Soal siapa yang nak dilantik menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang sedang hangat diperdebat dan diperkatakan sedangkan parti mana yang akan memenangi pilihan raya dan diberi mandat untuk membentuk pentabiran negeri belum diketahui.
Apakah mereka yang ingin tahu siapa yang bakal menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai ketua menteri tahu dan yakin bahawa Barisan Nasional akan menang dan akan menerajui kerajaan negeri?
Apakah tidak mungkin pakatan parti-parti bukan BN akan menang dan membentuk kerajaan negeri? Lupakah mereka kepada sejarah tumbangnya kerajaan negeri pimpinan Parti Perikatan pada tahun 1969 kepada parti Gerakan, yang ketika itu sebuah parti pembangkang?
Di kalangan ahli parti Gerakan, mereka mahukan Tsu Koon menamakan penggantinya sama ada naib presiden merangkap mantan Exco Kanan Teng Hock Nan, atau mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Lee Kah Choon yang kini bertanding kerusi DUN atau mantan Exco Teng Chang Yeow.
Pastikah mereka yang semua calon BN dari Gerakan akan menang? Tidakkah mungkin sebilangan besar daripada mereka akan tewas dan ini dengan sendirinya menolak perlantikan seorang tokoh Gerakan sebagai ketua menteri.
Bagaimana jika semua calon BN dari MCA menang dan mengatasi bilangan wakil rakyat dari Gerakan? Sudah tentu MCA akan meminta jawatan ketua menteri. Kedudukan akan menjadi lebih kelam-kabut sekiranya gabungan parti-parti DAP, PKR dan PAS yang menguasai Dewan Undangan Negeri.
Dalam politik caca-marba Pulau Pinang, semuanya boleh terjadi termasuk Lim Guan Eng menjadi ketua menteri. Kenapa tidak?
Bagaimana pula dengan kedudukan calon BN dari UMNO? Ada dikalangan orang UMNO yang mahukan jawatan ketua menteri diberi kepada parti itu. Saya tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku tetapi pada hakikatnya, ia agak rumit untuk dijadikan kenyataan. Lebih baik dikekalkan status quo.
Dalam sejarah pentadbiran negeri Pulau Pinang selepas Merdeka, seorang wakil rakyat UMNO pernah memangku jawatan ketua menteri, iaitu Allahyarham Datuk Abdul Aziz Ibrahim semasa zaman Kerajaan Perikatan. Pemangkuan jawatan itu untuk satu tempoh pendek apabila ketua menteri, mendiang Tan Sri Wong Pow Nee ke luar negeri atas urusan rasmi. Hanya sekali itu orang UMNO memangku jawatan ketua menteri.
Bagi jawatan timbalan ketua menteri, orang Melayu yang pertama sekali dilantik bukan orang UMNO tetapi orang Gerakan apabila peguam Mustapha Hussein dilantik oleh (Tun) Dr Lim Chong Eu sebagai timbalannya.
Semasa pemerintahan Kerajaan BN yang diketuai oleh Chong Eu, beberapa orang tokoh UMNO telah dilantik sebagai Exco Kanan tetepi bukan sebagai timbalan ketua menteri. Antara mereka ialah Allahyarham Datuk Haji Ahmad (Badawi) bin Abdullah Fahim (bapa Pak Lah) dan (Tun) Abdul Rahman bin Abbas (Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sekarang).
Jawatan timbalan ketua menteri diwujudkan selepas era Chong Eu, iaitu apabila Tsu Koon mengambil alih dan orang pertama yang diberi kepercayaan ialah Dr Ibrahim Saad. Tetapi amat jelas jawatan itu tidak memberi erti yang besar kepada orang Melayu tetapi sekadar memenuhi desakan dan tidak lebih sebagai satu 'peragaan politik'.
Orang Melayu Pulau Pinang tahu apa yang dibuat oleh Ibrahim Saad semasa menjadi timbalan ketua menteri, mereka juga tahu apa yang tidak dilakukan oleh Mohamad Shariff Omar selepas itu dan oleh Dr Helmi Yahya mahukan Datuk Abdul Rashid.
Jawatan tidak penting, yang jauh lebih penting ialah khidmat seseorang wakil rakyat itu kepada rakyat yang diwakilinya. Khidmat bakti yang dijalankan dengan penuh jujur dan amanah; bertanggungjawab, bersih daripada rasuah dan salahguna kedudukan dan kuasa. Itu yang dicari dan dikehendaki oleh rakyat.
6 comments:
Pak Tuan...
Dengan TIDAK menamakan calon ketua menteri pulau pinang semasa menghadapi ujian paling besar dalam politik, saya merasakan ini adalah satu strategi politik (kalau boleh disifatkan sebagai stsrategi) yang kurang tepat, tidak cerdik dan tumpul.
Dalam bahasa inggeris ianya disebut sebagai "failure to plan is a plan to fail, immensely".
Dalam bahasa orang tanjong, "ni semoa rghaplah cari pasai. Siiru ka apa?".
Adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan bahawa seseorang panglima perang tidak diketahui apabila para pejuang sedang bertungkus lumus dan berhempas pulas di medan peperangan.
Apabila ini berlaku jelas bahawa ianya suatu strategi yang kurang tepat dan berkemungkinan laksana senjata memakan tuan.
Sejarah membuktikan bahawa Gerakan sebagai parti pembangkang telah menakan wong pow nee sebagai calon ketua menteri dengan berkata bahawa "inilah dia ketua menteri kita seandainya kita mengambil-alih negeri ini" dan strategi ini berkesan dan parti itu dipilih sebagai pemerintah di negeri dan menyertai parti perikatan selepas itu.
Strategi yang sama digunakan oleh PAS di kelantan dengan menamakan nik aziz nik mat sebagai calon menteri besar apabila mereka menghadapi pilihanraya umum 1990 dan di sabah apabila pbs menjaja joseph pairin kitingan sebagai calon ketua menteri pada pilihanraya negeri 1992.
Apakah masalahnya Gerakan tidak menamakan calon ketua menteri pulau pinang kali ini? Dilaporkan beberapa sebab yang difikirkan sebelum mereka berbuat demikian.
Namun sebagai pelajar sains politik dan pemerhati politik saya berpendapat bahawa antara sebab yang utama ialah sifat "taking for granted" bahawa pulau pinang akan terus berada di tangan Gerakan (baca:barisan nasional) biarpun siapa sahaja menjadi ketua menteri pulau pinang selepas ini.
Mungkin kepada Gerakan persoalan itu adalah akademik sifatnya, justeru ianya tidak begitu penting untuk diputuskan pada ketika ini.
Apabila kita mengambil sikap sedemikian ini bermakna kita tidak memberi penghormatan akan kepentingan jawatan itu, justeru bersifat "tak kisah sapalah KM, janji kita menang".
Seperkara lagi yang perlu difikirkan ialah sejak bilakah penentuan sesuatu jawatan penting dari segi pentadbiran atau eksekutif itu adalah hak sesuatu parti komponen.
Bukankah ini ditentukan oleh Perdana Menteri? Dalam soal ini UMNO tidak boleh bersikap lepas tangan atau mencuci tangan akan tetapi hendaklah bersuara kerana parti teras barisan nasional ini juga akan merasakan tempias bahananya seandai pulau pinang terlepas ke tangan pembangkang.
Penyandang jawatan ketua menteri ketika ini yang bersifat ketua menteri sementara pulau pinang nampaknya seakan melepas tangan dalam soal kepentingan menentukan kemenangan bn di pulau pinang (baca:peri pentingnya ditunjukkan calon ketua menteri pasca-PRU12). Ini adalah difahami kerana beliau hampir pasti akan diberikan jawatan menteri persekutuan sekiranya memenangi kerusi parlimen batu kawan. Akan tetapi apakah sudahnya nasib pulau pinang?
KTK hendaklah lebih bertanggungjawab dalam soal ini dan mengkaji semula sejarah parti itu. Senanglah bagi beliau kerana beliau bukanlah seorang ketua menteri yang mengepalai jentera pilihanraya umum pada kali pertama dilantik ketua menteri kerana beliau hanya dilantik pada pertengahan penggal.
Apakah UMNO akan berterusan berdiam diri, sekadar memberi kenyataan bahawa "UMNO tidak campur tangan. Ini soal Gerakan...".
Apakah kenyataan ini mencerminkan sentimen kesemua pemimpin UMNO Pulau Pinang?
Suasana Tenang
Jitra Heights, Kedah
Terima kasih, tenang hati membaca ulasan saudara. Semoga ketenangan dan ketenteraman Jitra Heights terus menyusuk kalbu.
Mengenai UMNO Pulau Pinang, masalahnya kepemimpinan yang berkisar kepada beberapa persoalan pokok terutama sekali tujuan sebenar menjadi pemimpin - nak bantu dan memperjuangkan menerusi wadah politik nasib bangsa atau nak kayakan diri dan keluarga. Jawapannya mudah - lihat saja corak kehidupan semua ketua bahagian di Pulau Pinang.
Sedikit pembetulan terhadap ulasan Suasana Tenang.
Wong Pow Nee tidak pernah menganggotai parti Gerakan. Mendiang adalah ketua MCA Pulau Pinang sebelum dan selepas Merdeka. Dia mengepalai jentera Perikatan yang tewas kepada parti Gerakan pimpinan Tun Dr Lim Chong Eu pada pilihan raya 1969. Selepas tewas, Pow Nee dilanik sebagai Duta Malaysia ke Itali dan Vatican (pusat pentadbiran Gereja Roman Katolik).
Ami Ban..
Keadaan di Pulau Pinang makin tidak menentu, semalam (05 March 2008) calon BN parlimen bukit bendera dan calon DUN di dalam parlimen bukit bendera ada memberi ceramah di padang tembak, Pak Lah Pun turut hadir, tetapi sambutan agak kurang memberasangkan kemungkinan publisiti kurang.
Tetapi malam ini (06 march 2008) DAP bersama PKR membuat ceramah di Sekolah (JKC) Han Chang, orang terlalu ramai sehinggakan jalan jem lebih kurang 5KM, adakah perubahan yang orang Pulau Pinang inginkan atau saja datang untuk meramaikan dan mendengar penerangan?
-Mijan-
Assalamualaikum.. Pulau Pinang adalah negeri yang paling hangat bagi pilihan raya yang Ke-12 ini. Saya dapat rasakan, rata-rata masyarakat di negeri ini inginkan perubahan. Dan saya percaya bahawa Pulau pinang akan jatuh ke tangan pihak pembangkang pada pilihan raya kali ini..Wasalam.
Bekas timbalan KM Dr Ibrahim Saad yang tak buat apa-apa untuk Melayu P Pinang dan kalah teruk di tangan Dr Wan Azizah di Ptg Pauh, ada hati bagi ulasan dalam Bernama TV. Dia kata BN akan terus kuasai P Pinang dan UMNO akan catat kemenangan besar. Apa punya syeru... orang macam dialah yang membuatkan orang Melayu renggang dengan UMNO di P Pinang. Yang Bernama TV pulak tak kan tak dak orang lain yang nak dijemput ke studio bagi pendapat. Jangan panggil 'loser' atau orang yang tak diterima lagi untuk dapatkan komen. Tak profesional langsung.
Post a Comment