Monday, March 10, 2008

Hashim, Khalid Utusan bagaimana?

Selain peranan negatif yang dimainkan oleh RTM, dah tentu atas arahan Mamu Zainudin Maidin (Maideen) yang tersungkur di Sungai Petani, akhbar di bawah Kumpulan Utusan Melayu turut bertanggungjawab atas kekalahan BN (UMNO).

Lihat saja berita yang disajikan oleh Kumpulan Utusan Melayu menjelang dan semasa tempoh berkempen. Laporan Kumpulan Utusan adalah yang paling berat sebelah kepada BN (UMNO) dan yang paling bawah dari sudut profesionalisme kewartawanan. (tak termasuk akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil).

Saya tidak menyalahkan para wartawan di lapangan yang membuat liputan. Tidak sama sekali. Mereka hanya mengikut arahan dan tugasan yang diberikan oleh Meja Berita.


Wartawan yang mengendalikan Meja Berita, sama ada ketua pemberita, penolong pengarang berita ataupun pengarang berita, mendapat arahan daripada pengarang, penolong ketua pengarang, timbalan ketua pengarang dan ketua pengarang kumpulan.


Peranan yang dimainkan oleh Kumpulan Utusan telah memberi kesan buruk yang turut menyumbang kepada penolakan rakyat terhadap calon-calon BN. Pembaca dah bosan dan jelek dengan berita yang dipaparkan dalam akhbar, Utusan Malaysia terutamanya.


Rakyat tidak mudah digula-gulakan dengan berita dan cerita yang sebenarnya satu penghinaan kepada minda dan tahap pemikiran mereka. Hakikat inilah yang harus difahami oleh pucuk pimpinan Kumpulan Utusan.


Saya dapati bos-bos besar Utusan Melayu telah turun padang ke Sungai Petani semasa tempoh berkempen dan jelas sekali tujuannya untuk apa. Tak kiralah apa alasan yang diberikan sama ada nak lancar kempen kesedaran membcakah, kempen ITkah atau kempen politik Zainudin Maidin.


Bos-bos Utusan tidak seharusnya membiarkan diri mereka diperalatkan untuk menyokong mantan bos kumpulan akhbar itu. Ini tidak profesional.


Mereka mungkin mengharapkan sesuatu kerana terlalu yakin yang Mamu Zam akan menang besar. Mereka tidak menyangka bahawa satu gelombang besar yang dikatakan tsunami politik akan melanda dan meranapkan segala-galanya.


Apakah kita harus biarkan bos-bos di Utusan Melayu begitu sahaja. Apakah mereka tidak turut bertanggungjawab atas apa yang berlaku? Apakah para pemegang saham Kumpulan Utusan Melayu nak peluk tubuh sahaja?


Terus terang saya katakan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu yang bergelar Tan Sri Hashim Ahmad Makaruddin (anak Perak) yang juga mantan Pembantu Khas Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berjawatan Perdana Menteri, harus bertanggungjawab penuh atas apa yang dilakukan oleh akhbar-akhbar Kumpulan Utusan Melayu.


Turut bertanggungjawab dan mesti memikulnya ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu yang bergelar Datuk Khalid Mohamad, Nana anak Pulau Pinang (Jelutong).


Mereka berdualah yang bertangungjawab, bukan para wartawan yang mengikut arahan, bukan wartawan yang bertaraf pengarang, penolong pengarang dan pengarang berita. Hanya Hashim dan Khalid sahaja.


Oleh itu, saya mencabar Hashim dan Khalid untuk meletak jawatan kerana di bawah kepimpinan anda berdua, kewibawaan dan profesionalisme Kumpulan Utusan Melayu telah merudum.


Kewibawaan Utusan Melayu mesti dipulihkan. Profesionalisme kewartawanan mesti dipertahankan.

9 comments:

Anonymous said...

Saudara Syed Imran,

Tahniah atas isi kandung blog yang sgt bagus.

Saya hanya golongan rakyat biasa yang dapat melihat pelbagai perkara dan perlakuan ahli politik dan kerajaan sebagai mana yang saudara katakan.

Ada benarnya apa yang dikatakan, orang atasan utusan juga harus dengan matang bertanggungjawab atas kekalahan memalukan BN. mana tidaknya, saban hari masyarakat di hidangkan dengan pelbagai tipu helah dan maklumat memuji ke langit kerajaan BN, sedangkan masyarakat bandar tidak menerima bulat2 apa yang dipaparkan di utusan. maklumat sebegini mudah dipercayai oleh masyarakat luar bandar (kebanyakan bandar2 utama dimenangi oleh BA, BN hanya bergantung di kampung2!)

Masyarakat (kebanyakannya di bandar2) semakin tidak mempercayai media2 yang dikuasai oleh umno (utusan&rtm). Walaupun ber progandakan politik, utusan perlu lebih adil dalam melaporkan perkara2 yang kelihatan negatif terhadap BN kerana dari situ lah kita boleh membina negara yang lebih berjaya berdasarkan maklumat yang seimbang di antara kejayaan dan mengambil tindakan dan panduan terhadap kegagalan.

Ketika pilihanraya, amat memeranjatkan kerana pemimpin2 umno khususnya tidak mempunyai blog atau medium di ruang cyber untuk mengutarakan hujah2 mereka dan memberikan maklumat kepada masyarakat.

Ambil contoh di Jelebu, saya tidak dapat sebarang maklumat berkenaan BN tetapi PAS amat bijak kerana terdapat usaha menyebarkan maklumat melalui internet.BN masih kuat di sana tetapi jika tidak dilakukan sebarang perubahan, tidak mustahil akan berlaku perubahan BA di sana.

Berbalik kepada kumpulan Utusan, akhbar ini semakin tidak relevan, disyorkan dijadikan akhbar parti BN/umno sahaja layaknya.
-MYZ-

sbj said...

Pak Syed,

Sudahlah tu. Kita tak perlu menunding jari. Suara keramat rakyat telah membuktikan yang putih itu putih yang hitam itu tetap hitam. Surat akhbar ada peranannya dan bloggers jugu begitu. The best win. Di orang cari makan macam pak syed juga masa kerja dengan bernama dan datuk rais yatim dulu. Kalau pak syed jadi ketua pengarang bernama atau utusan pasti pak syed juga akan main peranan untuk mempastikan "tangan yg memberi makan tidak digigit" itu kenyataan.
Saya harap mulai hari ini kit smua cari jaln yag positif untuk mempastikan media baik arus perdana mahupun alternatif, masing-masing lebih bertangunjawab menylurkan berita dn maklumat betul, benar dn sahih.

Syed Imran said...

Sdr SBJ,

Inilah kelemahan kita, terlalu mudah dan cepat mengalah dan memberi muka. Ini bukan soal cari makan, makanan boleh dicari di mana-mana jika kita berusaha, tetapi maruah diri tidak boleh dijual beli.

Semasa saya berkhidmat di Bernama selama hampir 27 tahun, memang kamipun menerima arahan tertentu, tapi taklah seteruk dan sebegini rupa. Apa yang dilakukan sekarang sudah jauh menyimpang. Harap sdr faham keadaan.

Setiap jawatan yang dipikul dan diamanahkan, ada tanggungjawabnya. Orang yang memikul tanggungjawab itu mesti benar-benar bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan melekat atas kerusi empuk dalam kurungan bilik yang dinamakan pejabat.

Saya menulis tanpa berselindung disebalik nama samaran. Saya tidak gentar membuat ulasan jika saya fikir ia patut dilakukan.

Hashim dan Khalid Utusan adalah kawan saya dan saya tidak berselindung untuk mencabar mereka meletak jawatan.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Umum tahu akhbar seperti NST, UM, BH, malah Star juga, adalah milik, secara langsung atau tidak langsung, parti pemerintah. Oleh demikian sudah tentu sepanjang tempoh kempen pilihan raya, akhbar bersikap berat sebelah dan ini sedikit sebanyak menyebabkan pengundi, terutama yang terdedah kepada sumber berita lain, berasa mual terhadap parti pemerintah.
Persoalannya ialah adakah pengarang-pengarang akhbar telah tidak menggunakan akal fikiran dan pertimbangan keintelektualan dalam keghairahan melaksanakan arahan ‘political masters’ mereka. Saya tidak yakin setiap rencana dan berita yang hendak disiarkan perlu dirujuk kepada pihak tertentu. Mungkin isu-isu tertentu saja perlu dirujuk atau mendapat arahan, tetapi berita lain, terpulanglah kepada budi bicara pengarang tersebut atau orang bawahannya. Tetapi akibat pengarang itu sendiri atau staf kanannya kurang pengalaman, pengetahuan dan/atau lebih cenderung ‘play safe’, pembaca hanya dihidangkan dengan rencana dan berita yang terlalu berat sebelah sehingga menidakkan keintelektualan mereka.
Saya juga tertanya-tanya sama ada media terutama akhbar berbahasa Melayu mampu menimbulkan kesedaran politik di kalangan pembaca mereka, terutama golongan muda. Saya melihat akhbar Melayu lebih cenderung kepada berita sensasi dan hiburan. (Malah dalam kehangatan kempen memujuk rakyat mengundi pemimpin untuk masa depan, BH mengajak pembaca melalui iklan tv memilih artis popular!) Berita sensasi dan hiburan mungkin boleh meningkatkan jualan akhbar sebagai produk perniagaan tetapi saya berpendapat akhbar juga mempunyai tanggungjawab membentuk keintelektualan pembacanya.
Pada saya, seorang pengarang yang berwibawa ialah pengarang yang boleh mengukur dan sentiasa peka terhadap kematangan serta keintelektualan pembacanya dalam keadaan semasa.

Hantu Cetak

Syed Imran said...

Lihat muka depan Utusan Malaysia hari ini...

MB, Ketua Menteri pembangkang...

Ini tak betul. Kalau pembangkang mana boleh jadi ketua kerajaan.

Mereka bukan pembangkang tetapi parti yang membentuk kerajaan. Dalam hubungan ini BN adalah parti pembangkang.

Muka dua Utusan ...

Polis sedia bekerjasama dengan kerajaan baru 4 negeri...

Inipun tak betul. Polis mesti bekerjasama dengan kerajaan yang dipilih rakyat. Ia bukan soal sedia atau tidak. Ia adalah satu kemestian.

Apakah bos Utusan memikir hanya BN kerajaan yang sah dan parti-parti lain adalah pembangkang?

Dalam mana-mana pilihan raya, tidak wujud parti kerajaan atau parti pembangkang. Semuanya adalah parti politik yang bertanding dan sekiranya parti 'a' menang, maka dia akan bentuk kerajaan.

Sebaik sahaja Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, parti yang memerintah sebelum itu bukan lagi parti kerajaan. Yang memerintah adalah kerajaan sementara yang tidak semestinya yang diwakili oleh parti pemerintah sebelum itu.

Kerajaan sementara boleh dikendalikan oleh Ketua Hakim atau Ketua Setiausaha Negara atau golongan profesional seperti Gabenor Bank Negara, Naib Canselor universiti dan sebagainya, sehinggalah pembentukan sebuah kerajaan baru. Tetapi dalam konteks Malaysia, mantan kerajaan mengambil tugas itu. Jika diteliti secara mendalam, ia tidak seharusnya begitu.

Jadi tajuk utama Utusan Malaysia cukup mengelirukan apabila ia merujuk kepada bakal ketua-ketua kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sebagai 'pembangkang'. Mungkin para editor kena masuk semula ke bilik darjah.

Anonymous said...

ya betui. baca utusan dah macam nak muntah. muhong semata-mata. semua feel good story. dah kalah, takmau mengaku. bila dah kalah state, kamulah pembangkang di situ. saya dua tahun kerja utusan pun nak muntah.

rastom said...

Polis sedia bekerjasama dengan kerajaan baru 4 negeri...he. he....he...patutlah hari ini habis pisang dikedai. Tokey pisang suruh mai next week, baru boleh gantung pisang di pejabat..he.he.he.

Anonymous said...

Kenyataan Pak Syed yang terakhir mengenai berita di akhbar khususnya gelaran parti pembangkang memerintah amat benar. Sepatutnya akhbar memberi gambaran yang lebih seimbang dan kerana ketidakadilan inilah ramai pembaca seperti saya yg dalam umur 40+ memilih untuk membaca berita di internet. Saya telah lama berhenti membeli akhbar semenjak 1998 lagi. Kalau baca di internet saya akan baca semua dan buat perbandingan. Rata rata akhbar MSM tidak matang dan menyebabkan rakyat menyampah dan meluat untuk membaca.

Khadir Sahar

Anonymous said...

tuan syed,
saya pernah berkhidmat di Bernama selama 12 tahun dan masa tu kalau tak silap saya tuan syed di meja rencana Bernama dan saya kenal Mamak Zam nie sebagai pembodek no 1 akai tak tera mana tapi bodeknya tak boleh tahan kali nie Zam dah "overkill" Anwar Ibrahim dan media atas arahan Zam telah mencabar pemikiran waras pembaca dan pendengar dan ini adalah punca utama Be-End kalah teruk . saya telah "berkhidmat" sebagai pecacai propaganda Be-End di seluruh negara termasuk sabah dan serawak dan saya juga tahu bagaimana arahan diterima dan apa misi bernama semasa membuat lapuran,dan pada kesempatan ini saya memohon maaf kepada parti-parti pembangkang pada masa tu termasuk tengku razali hamzah bagaimana pada masa itu kami telah memanipulasi gambar tengku memakai tengkolok kadazan berlambang salib walaupun kami mengetahui telah ramai pemimpin UMNO pada masa itu telah memakai tengkolok yang berpaten sama sebelumnya ,tapi bila dah keluar nie baru tau bagaimana perit dan deritanya "penyokong parti pembangkang" (saya pun dah pening nak pangil parti kerajaan atau pembangkang kerana senario politik malaysia ni dah :totally change:) we are 50/50 now hopefully next election PRU13, paklah suka no ni dan nombor ni juga telah menghilangkan majoriti 2/3 Be-end dan seterusnyyyyyya pada PRU13 nanti wallahhualam bissawab