Saturday, January 30, 2010

Congratulations!

CONGRATULATIONS/TAHNIAH SAUDARA AHIRUDDIN ATAN.

Tahniah bukan kerana apa yang disebut dalam poster di bawah tetapi mulai Isnin ini, Sdr Ahiruddin boleh dikatakan akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rakan penulis blog AKJ, Pahit Manis dan Kuda Kepang.

Ya...Datuk Ahiruddin Atan a.k.a Datuk Rocky for short.

Friday, January 29, 2010

Masalah politik PR Pulau Pinang sudah serius

Gah diperkatakan di kalangan pengamat politik termasuk di warung dan kedai kopi di Pulau Pinang bahawa Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain M Hashim akan mengetuai "segelintir" ahli dan penyokong Parti KeAdilan Rakyat (PKR) untuk keluar Pakatan Rakyat (PR).

Zahrain dan pengikutnya itu diikatakan akan menjadi "wakil rakyat mesra BN" atau melompat terus memasuki rumah mewah BN.

Geng Zahrain dikatakan tidak puas hati dan kecewa dengan sikap Ketua Menteri DAP/PR Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Wakil rakyat dan ahli majlis kerajaan tempatan PKR dikatakan sering terpaksa tunduk dan akur kepada DAP.

Ah! Siapa yang tidak kenal Zahrain. Mantan pengerusi PKR Pulau Pinang, dan mantan Ketua UMNO Bahagian Tanjong itu adalah penyokong kuat penasihat umum PKR Anwar Ibrahim. Dia keluar UMNO dan masuk PKR kerana ikut Anwar. Zahrain sanggup berbuat demikian kerana dia bukanlah orang susah yang mengharapkan sesuatu untuk kekal dalam UMNO.

Mungkin Zahrain dan pengikutnya tidak mendapat sesuatu yang dihajati kerana projek persekutuan dah tentu terlepas ke tangan orang BN manakala kerajaan negeri pimpinan Guan Eng tiada projek untuk diagih-agihkan.

Jadi, untuk terus beralih sokongan sebagai "wakil rakyat mesra BN" tanpa sebarang alasan kukuh agak rumit, oleh itu alasan munasabah seperti tidak mendapat kerjasama atau sokongan pentadbiran DAP boleh diterima.

Saya memang tidak suka melihat orang politik yang dipilih sebagai wakil rakyat melompat parti. Tak kira parti mana sekalipun kerana orang berkenaan sebenarnya mengkhianati sokongan rakyat yang mengundinya.

Saya tidak hormat wakil rakyat UMNO melompat ke pihak lawan, saya juga tidak hormat wakil rakyat PKR mahupun parti pembangkang lain melompat ke BN. Mereka yang berbuat demikian hanya mementingkan agenda peribadi bukan soal lain. Mereka mengkhianati rakyat yang mengundi mereka untuk menjadi wakil rakyat.

Rakyat, terutama pengundi, memilih wakil rakyat atas beberapa faktor termasuk parti, iaitu simbol yang dipangkahnya, bukan sepenuhnya atas sifat peribadi seseorang itu, walaupun faktor itu berperanan penting.

Jika seseorang wakil rakyat itu tidak puas hati atau kecewa atas apa alasan sekalipun, dia seharusnya meletak jawatan dan serahkan semula mandat kepada rakyat, bukan melompat parti atau mengubah sokongan, sama ada atas alasan "mesra" atau sebaliknya.

Dengan berbuat demikian, wakil rakyat berkenaan akan tahu sama ada kemenangannya pada pilihan raya lepas adalah atas kekuatan dirinya atau atas kekuatan simbol parti yang diwakilinya.

Dalam kes Zahrain, dia tidak mungkin menang sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru sekiranya tidak berlaku tsunami politik yang menyaksikan majoriti rakyat memilih untuk menolak BN yang gagal memperolehi majoriti dua pertiga. Itulah kenyataan yang harus diingati oleh Zahrain.

Kes Zahrain di Pulau Pinang juga mendedahkan ada yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat. Ia berkemungkinan kerana mereka yang pernah menikmati kemewahan dan kuasa satu ketika dahulu kini dipinggir.

Wednesday, January 27, 2010

Isu berkaitan agama perlu ditangani segera

Isu berkaitan agama nampaknya memasuki batasan amat serius dan genting apabila ia menular kepada perbuatan yang boleh mencetuskan kemarahan dan huru-hara jika tidak ditangani segera.

Selain perbuatan cuba membakar gereja dan kemudian surau, kini mereka yang tidak bertanggungjawab bertindak dengan lebih berani apabila melontar kepala babi ke dalam kawasan dua buah masjid di Petaling Jaya.

Dua kepala babi ditemui dalam kawasan Masjid Taman Dato' Harun dan Masjid Taman Seri Sentosa awal pagi ini.

Perbuatan tersebut, jika tidak ditangani segera oleh pihak berkuasa terutama polis, boleh mencetus tindak balas dan kemungkinan besar huru-hara. Inilah yang mesti dielakkan kerana majoriti rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, ingin hidup dalam suasana aman, damai dan selamat.

Pihak polis semestinya memandang serius perbuatan jenayah yang membabitkan rumah-rumah ibadat tanpa mengira fahaman agama dan kita yakin akan kemampuan polis.

Perbuatan melaku musnah dan mencemar kesucian rumah-rumah ibadat jauh lebih berbahaya daripada perbuatan menghina sesuatu institusi tertentu oleh seseorang individu.

Jika polis sanggup menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani satu perbuatan yang mudah dikesan dan ditangani, seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Johor baru-baru ini, kita tidak nampak kenapa pasukan petugas khas Bukit Aman tidak boleh ditubuh untuk menangani isu yang jauh lebih serius yang melibatkan agama.

KPN Tan Sri Musa Hassan yang turut berada di salah sebuah masjid yang dilontar kepala babi, memberi perhatian serius dan kita percaya beliau akan bertindak segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

KPN Musa diminta segera menubuhkan sebuah pasukan petugas khas kerana isu ini sudahpun menular jauh dan mesti ditangani dalam kadar yang segera.

Monday, January 25, 2010

Ghazali Shafie - antara anak Melayu yang amat pintar


AL-FAATIHAH.

Takziah atas pulangnya ke-Rahmatullah seorang anak bangsa Melayu yang tergolong antara mereka yang benar-benar pintar, insan yang berjasa besar kepada bangsa dan negara serta agama, insan yang begitu tegas dan penuh beramanah, insan yang begitu membenci amalan rasuah, salahguna kuasa dan kedudukan dan yang mengutamakan kerja dengan penuh dedikasi, insan yang bernama Ghazali Shafie.

Kepemergiannya ke alam akhirat sememangnya sukar dicari ganti kerana setakat ini tiada insan lain sama ada dalam Jemaah Menteri (Kabinet) mahupun dalam kepimpinan Perkhidmatan Awam yang sehebat dan sepintarnya. Tiada.

Saya amat bertuah kerana dengan izin Allah pernah berinteraksi dan sedikit sebanyak mengenali insan pintar ini semasa bertugas dengan Bernama. Pengalaman itulah yang membuatkan saya berani menegaskan bahawa tiada insan lain dalam barisan kepimpinan negara sekarang, sama ada politik ataupun perkhidmatan awam, yang sehebat Tun Ghazali Shafie.

Semoga Allah merahmati ruh Allahyarham dan menempatkannya bersama-sama ruh hamba-hamba-Nya yang soleh. - Amin

Thursday, January 21, 2010

Antara Twitter, Facebook, RTM dan Dr Rais

Kebelakangan ini saya menerima beberapa SMS bertanyakan sesuatu yang berhubung kait dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Tiga daripada empat merujuk kepada komen yang dilontar oleh Dr Rais terhadap dua kemudahan perhubungan dan talian persahabatan Internet, iaitu Facebook dan Twitter manakala satu berkaitan kekerapan RTM menyiar berita mengenainya.

Saya tidak tahu kenapa mereka bertanyakan perkara berkenaan kepada saya sedangkan saya tiada kaitan lagi dengan Dr Rais. Mungkin mereka yang bertanya itu sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan ulasan. Mungkin begitu agaknya.

Saya tidak ingin mengulas panjang lebar tetapi sekadar memberi pendapat berdasarkan sedikit pengalaman semasa berkhidmat sebagai salah seorang pegawai Dr Rais di Jabatan Perdana Menteri dan seketika di KEKKWA.

Merujuk kepada kenyataan beliau mengenai Facebook dan Twitter, pendirian saya adalah sama dengan hampir semua orang yang memberi ulasan dalam kedua-dua saluran perhubungan itu, iaitu saya tidak setuju dengan pendirian Dr Rais, malahan saya agak terperanjat beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Itu saja ulasan yang dapat saya buat.

Merujuk kepada kekerapan RTM menyiarkan berita dan rakaman video melalui TV1 dan TV2, saya berani menyatakan bahawa itu adalah perkara biasa bagi RTM. Sesiapa sahaja yang dilantik menerajui kementerian yang mengawal selia RTM, maka dia pasti diberi liputan sebanyak mungkin. Ia bukan sesuatu yang baru dan khusus untuk Dr Rais.

Setahu saya ia bukanlah satu arahan tetapi diamalkan oleh mereka yang bertugas di bilik berita, umpamanya editor tugasan atau editor eksekutif, atas sebab-sebab tertentu. Ia tidak semestinya kehendak atau arahan menteri.

Dalam hubungan ini, editor tugasan mahupun editor eksekutif tidak boleh dipersalahkan kerana jika tiada liputan, mereka pula yang akan terima padahnya. Mereka boleh diibaratkan seperti mentimun dengan durian.

Semasa di JPM, Dr Rais sendiri pernah tidak mendapat liputan untuk satu majlis yang agak penting sehingga beliau terpaksa merujuk masalah itu kepada menteri bertanggungjawab ketika itu Tan Sri (kini Tun) Khalil Yaakob. Lain pula ceritanya sekarang apabila Dr Rais menerajui kementerian berkenaan. Inilah hakikatnya.

Pendek kata, sesiapa yang dilantik menerajui kementerian penerangan sudah pasti akan mendapat liputan semaksimum oleh RTM. Jangan salahkan menteri, jangan salahkan editor bertugas ataupun Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran. Mereka hanya melakukan apa yang sudah menjadi satu kelaziman atau budaya kerja yang diwarisi.

Walau bagaimanapun, ianya boleh diperbaiki jika mahu. Sebagai seorang yang menyokong kuat konsep dan slogan 1Malaysia atas sifatnya sebagai KP Jabatan Penyiaran, saya percaya ngauman sang harimau mampu membawa perubahan, itupun jika masih berkuku dan bertaring.


Friday, January 08, 2010

Allah - there is no God but He



Orthodox and Coptic Christians in the Middle East, North Africa, Europe and Central Asia celebrated Christmas on January 7. In most of the Arab world, Coptic Christians conducted their prayers in Arabic and thus God is Allah.

In Arabic, Allah is the proper name of God, however to Muslims, we know Him generally through His attributes. These attributes describe how Allah manifests Himself to us. Allah's attributes are innumerable since human intellect cannot possibly comprehend every aspect of the Supreme Being.

In the Holy Quran we read; ''And to Allah alone belong all perfect attributes. So call Him by these. And leave alone those who deviate from the right way with respect to His Attributes.'' (7:181)

''Allah - there is no God but He, the Living, the Self-Subsisting and All-Sustaining. Slumber seizes Him not, nor sleep. To Him belongs whatsoever is in the heavens and whatsoever is in the earth. Who is he that will intercede with Him except by His permission? He knows what is before them and what is behind them, and they encompass nothing of His knowlege except what He pleases. His knowledge extends over the heavens and the earth; and the care of them burdens Him not; and He is the High, the Great.'' (2:256)

To Muslims, there is no God beside Him, the Knower of the unseen and the seen. He is Gracious, the Merciful. He is Allah, the Creator, the Maker, the Fashioner.

Muslims must not think of Him as having a son or a father as the Christians do - ''the Father, the Son and the Holy Spirit.''

Allah is the One and only God, the Only One to whom worship is due; all other things or beings that we can think of are His creatures and in no way comparable to Him.

The Holy Quran (Surah Al-Ikhlas):

'' Say; He is Allah, the One,
Allah, the Eternal, Absolute,
He begetteth not, Nor is He begotten,
And there is none Like unto Him.''




Source - The Quran; islam.com.




Saturday, January 02, 2010

Lagak bergaya RPK sempena tahun baru


Foto ini menunjukkan blogger Raja Petra Kamaruddin atau RPK menyambut tahun baru 2010 bersama-sama dua orang wanita Poland di salah sebuah negeri, mungkin Poland, di Eropah.

Dalam portal beritanya, Malaysiatoday, RPK secara sinis berkata beliau tidak tahu sama ada Malaysia memeterai atau tidak perjanjian ekstradisi dengan Poland. Beliau tidak bimbang kerana katanya Eropah adalah sebuah benua yang luas dan beliau bebas ke mana-manapun di sana.

RPK yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan tertentu, berjaya keluar dari Malaysia untuk ke Eropah. Menurut laporan media, beliau dan isteri menghuni sebuah pangsapuri mewah di London.

Dalam beberapa laman blog yang mengulas kemunculan RPK di Eropah khususnya England, mereka berkata ia tidak menghairankan kerana di Malaysia, enjin pesawat pejuang pun boleh hilang, inikan pula manusia.

Kita tunggu dan lihat sejauh mana kecekapan dan kemampuan pihak berkuasa di negara ini untuk membawa pulang RPK bagi menghadapi tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Dunia sedang memerhati Malaysia.


Friday, January 01, 2010

Tok Mat pulang ke rahmatullah


ALFATIHAH.

Mantan menteri penerangan dan mantan setiausaha agung Umno, Tan Sri Mohamad Rahmat, telah pulang ke rahmatullah hari ini di kediamannya di Bukit Damansara.

Allahyarham berusia 72 tahun dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya tiga hari lagi.