Sunday, August 31, 2008

SELAMAT MENGERJAKAN IBADAH PUASA

Kepada semua pengunjung blog ini yang beragama Islam saya doakan semoga ibadah puasa kita diterima dan dirahmati Allah. Selamat mengerjakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubaraq.

Logo Hari Kebangsaan hasil ciplak, sungguh mengaibkan



Logo sebelah kiri adalah logo rasmi yang diguna pakai untuk barangan keluaran Taiwan manakala di sebelah kanan logo Hari Kebangsaan Malaysia ke-51 yang jelas diciplak daripada logo Taiwan.


Memalukan bahkan mengaibkan. Itulah kata-kata yang dapat diluahkan setelah mendapati logo Hari Kebangsaan Malaysia ke-51 adalah hasil ciplak.

Logo itu ditiru hampir keseluruhannya daripada logo rasmi Taiwan. Manusia yang kononnya melakarkan logo itu hanya membuat sedikit perubahan tetapi konsep dan rekabentuknya 100 peratus diciplak.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan para pegawai yang bertanggungjawab memilih logo itu semestinya berani bertanggungjawab atas kealpaan memilih logo yang diciplak.

Perbuatan dan tindakan mereka memilih sebuah logo ciplak amat memalukan seluruh rakyat Malaysia.

Apakah Malaysia ketandusan insan yang boleh menghasilkan rekaan logo yang asli sebagai lambang kejayaan negara selama 51 tahun, untuk Malaya dan 45 tahun untuk Sabah dan Sarawak?

Semasa mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shafie sering malaung-laungkan kepada rakyat Malaysia supaya beli barangan yang "Ori" atau yang asli/tulen. Beliau juga sering mengetuai usaha memerangi cetak rompak tetapi kenapa dalam usaha memilih logo hari kebangsaan, beliau memilih logo ciplak?

Inikah keterbukaan dan ketelusan yang selalu dicanang oleh Kerajaan Datuk Seri Abdullah bin Ahmad (Pak Lah). Adakah keterbukaan dan ketelusan membolehkan kita menutup sebelah mata kepada perbuatan menciplak?

Ciplak adalah satu kesalahan di bawah Akta Hak Cipta. Kita ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil ke atas insan yang menciplak logo dari Taiwan untuk dijadikan logo Hari Kebangsaan Malaysia ke-51?




Friday, August 29, 2008

Merdeka ... atau Hari Kebangsaan Malaysia




31 Ogos dikatakan tarikh keramat bagi negara Malaysia. Ia adalah hari kemerdekaan bagi tanah jajahan Inggeris bernama Malaya tetapi bukan untuk tanah jajahan Inggeris di pulau Borneo yang dikenali sebagai British North Borneo dan Sarawak.

Negeri Di bawah Bayu dan Bumi Kenyalang menyambut kemerdekaan sebenar pada 16 September bukan 31 Ogos. Oleh itu, 31 Ogos sebenarnya adalah Hari Kebangsaan Malaysia.


Selepas melepasi separuh abad (bagi Malaya) dan 45 tahun bagi Sabah dan Sarawak, kita tentu tertanya-tanya apa erti kemerdekaan.


Merdekakah jiwa dan raga, semangat dan keringat, hati dan budi kita ....





Kita masih bongkak, angkuh dan sombong. Maruah bangsa tidak boleh dipertahankan semata-mata dengan meminta supaya orang lain tidak menghina kita. Kita mesti membuktikan bahawa bangsa kita memiliki semangat jati diri yang tebal dan bekerja kuat untuk berjaya bukan mengharapkan bantuan dan pertolongan, ... mesti berani kata tidak kepada rasuah dan salahguna kuasa dan buang amalan pilih kasih dan kronisme...



Merdekakah kita sekadar berjaya dalam gelanggang politik tetapi ia membuahkan perpecahan apabila kita taksub dalam satu-satu isu atau pemimpin kita mengamalkan pilih kasih, menghalalkan rasuah dan menutup mata kepada penyelewengan. Merdekakah kita ...?


Apa erti Merdeka jika kita menggunakan kuasa dan kekerasan atas apa nama sekalipun ...


Apa erti Merdeka jika dalam bidang kemasyarakatan, kita sering memencilkan diri, bergaul dengan bangsa sendiri atau rakan senegeri dan kita menggunakan kuasa untuk meraih laba dan harta.
Apakah kita masih tercari-cari sesuatu untuk melengkapkan apa yang kita cuba perjuangkan ... Al-Ghazali, As-Syafie, Islam Hadhari ...? Ke mana hendak dituju, di mana arah haluan?
Kita seharus dan semestinya menyertai sektor ekonomi berbekalkan kebolehan dan kekuatan sendiri bukan bergantung kepada orang lain. Merdekakah kita jika orang lain yang lebih berkuasa dan mengatur segala-galanya ...?

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN NEGARA MALAYSIA.

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh - tamparan hebat kpd Pak Lah dan Najib

Kemenangan besar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kekalahan memalukan yang dipikul oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) Permatang Pauh merupakan satu tamparan menyakitkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah bin Ahmad dan timbalannya Datuk Seri Najib bin Abdul Razak.

Pak Lah telah beberapa kali turun ke Permatang Pauh untuk merayu dan meminta para pengundi menyokong calon BN, Arif Shah Omar Shah, yang kononnya calon popular dan paling sesuai untuk berdepan dengan Anwar semata-mata kerana dia boleh berturur bahasa Cina, iaitu Mandarin dan Hokkian serta dapat membawa perubahan ke Permatang Pauh. Sebaliknya, beberapa akhbar berbahasa Cina mendedahkan perbuatan Arif Shah yang kurang jujur berkaitan kelayakan akademiknya.


Selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Pak Lah harus memikul tanggungjawab atas kekalahan BN Pulau Pinang di tangan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum Mac lalu dan kini kekalahan teruk pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Najib pula boleh dikatakan berkampung di Permatang Pauh untuk memastikan calon BN yang dibanggakan kerana boleh bertutur dalam bahasa Cina itu, patut sama-sama memikul tanggungjawab atas kekalahan itu.

Najib sendiri terlibat dengan serangan peribadi ke atas Anwar dan memperlekehkan agama Islam apabila mengangkat sumpah di dalam masjid di Permatang Pauh. Orang Najib juga telah membawa orang yang tidak sepatutnya terlibat sama dalam pilihan raya kecil ini seperti Konsol Kehormat Mongolia dan manusia yang membuat tuduhan dia diliwat oleh Anwar.

Selain itu, Najib juga telah menggunakan kemudahan kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan untuk turun ke Permatang Pauh sedangkan ia dilarang oleh undang-undang kerana pilihan raya tiada kaitan dengan Kementerian Pertahanan mahupun Pejabat Timbalan Perdana Menteri. Ia adalah soal politik dan bukan soal pentadbiran.

( Nak kebumikan kerjaya politik Anwar Ibrahim, inilah sikap angkuh Khairy yang merupakan antara faktor kenapa rakyat terus menolak BN di Permatang Pauh)

Antara kesilapan besar yang dilakukan oleh jentera BN ialah membawa naib ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (KJ) untuk berkempen. Kehadiran KJ telah menyemarakkan serangan peribadi ke atas Anwar dan pendekatan ini membuatkan rakyat di Permatang Pauh marah.

Dengan begitu angkuhnya, KJ melaungkan kata-kata bahawa pilihan raya kecil Permatang Pauh sebenarnya akan menanamkam (menyemadikan) kerjaya politik Anwar dan bukan untuk membuka jalan untuk Anwar ke Putrajaya. KJ adalah antara orang yang begitu lantang menghentam peribadi Anwar. Ini adalah satu kesilapan amat besar yang tidak disukai oleh orang Permatang Pauh.

Seperti biasa, BN tidak mempelajari daripada kesilapan dengan menjadikan pembangunan sebagai umpan untuk mendapatkan undi. Muslihat ini sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi diterima oleh rakyat. Walau seluruh Kabinet turun ke Permatang Pauh dengan menaburkan 1001 macam bantuan dan membuat beratus-ratus janji, rakyat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh. Ini adalah taktik lapuk.

BN sebenarnya tidak peka dan tidak mengikuti arus perdana berbanding dengan PKR. Kempen yang dijalankan oleh BN tidak berkesan kerana isu yang dibangkitkan lebih mirip kepada serangan peribadi, sogokan pembangunan dan janji-janji manis berbanding dengan isu pokok yang dibawa oleh PKR iaitu kehidupan seharian rakyat.

Kehadiran sebegitu ramai orang UMNO yang berkampung sama ada di Permatang Pauh atau di Bukit Mertajam tidak memberi sebarang kesan kerana kebanykan mereka hanya melepak dan membuang masa. Ketua-ketua bahagian UMNO termasuk yang diterbangkan dari Sabah juga tidak membantu sama sekali. Kehadiran mereka hanya membazirkan wang sahaja.


Oleh kerana terlalu terdesak untuk menang, BN sanggup menggunakan taktik kurang sihat sedangkan kempen yang dijalankan oleh PKR jauh lebih teratur dan berkesan. Isu liwat dan sumpah laknat sebenarnya telah melaknatkan BN sendiri. Kehadiran tokoh-tokoh agama yang dihormati oleh masyarakat Melayu seperti Dr Haron Din, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Dauk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mantan mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya dengan mudah mematahkan serangan BN itu.

Orang Melayu tolak dakwaan ke atas Anwar kerana mereka tidak dapat menerima perbuatan mengaibkan itu. Mereka berpendapat bahawa ia adalah isu lama yang dibangkitkan semula semata-mata atas kepentingan politik dan ia bukan satu isu bagi rakyat tempatan.

Rakyat Permatang Pauh juga tidak dapat menerima tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar kononnya dia adalah pengkhianat bangsa, ejen Amerika dan yang lebih dahsyat lagi ejen Yahudi.


(Pengorbanan Dr Wan Azizah cukup berbaloi dan amat dihargai oleh pengundi Permatang Pauh)

Kita juga tidak boleh menafikan bahawa media arus perdana seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian, RTM, TV3 dan stesen-stesen lain di bawah Media Prima dan Bernama, tidak memberi liputan yang adil dan saksama. Hampir semua media berkenaan menghidangkan laporan berat sebelah atau yang condong memihak kepada BN. Kita juga akui ada media alternatif termasuk penulis blog yang memihak kepada Anwar Ibrahim semata-mata kerana mereka dah naik muak dengan sikap media arus perdana.

Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Anwar menang di Permatang Pauh

Berita mutakhir: Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti 15,524 undi. Anwar memperolehi 31,195 undi, Arif Shah 15,524 undi manakala Hanafi cuma 92 undi.



Keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh - Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti melebihi 12,000 undi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah pasti akan mempertahankan kerusi yang diwakili isteri beliau, Dr Wan Azizah Ismail. Calon Barisan Nasional (BN) Arif Shah Omar Shah ketinggalan jauh di belakang manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Hanafi Mamat hanya diberi 74 undi dan hilang wang pertaruhannya.
BERNAMA melaporkan bahawa sehingga pukul 9.00 malam, Anwar mendahului dengan memperolehi 23,674 undi manakalan Arif Shah di belakang dengan 10,762 undi manakala Hanafi 72 undi.

Monday, August 25, 2008

Sumpah laknat - imam kata dia diarah untuk saksinya



Foto Malaysiakini.com






Salah satu sepanduk yang direntang di Permatang Pauh








Imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan majlis atau upacara mengangkat sumpah laknat oleh Mohamad Saiful Bukhari Azlan berkata dia terpaksa berbuat demikian kerana di arah oleh "orang atasannya".


Ustaz Ramlang Porigi, yang turut dijadikan bahan kecaman sama ada melalui e-mel, sms mahupun percakapan umum, berkata semasa berucap di dua majlis berasingan di Permatang Pauh bahawa dia telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu pada 15 Ogos lalu dimana Mohamad Saiful mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya.


Ustaz Ramlang, dipetik oleh Malaysiakini.com sebagai berkata agar dia tidak dikaitkan dengan majlis sumpah itu kerana kehadirannya adalah tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Ustaz Ramlang mengkui bahawa dia adalah ahli UMNO cawangan Seri Machang, dalam bahagian Bukit Mertajam dan mendaftar sebagai pengundi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.


Kita menghargai keberanian dan keinsafan yang diperlihatkan oleh Ustaz Ramlang untuk menegak kebenaran walaupun dia adalah ahli UMNO.

Sunday, August 24, 2008

Tunku Abdul Aziz dilantik naib pengerusi DAP



Pejuang anti-rasuah dan amalan bersih yang tidak asing lagi, Tunku Abdul Aziz telah dilantik sebagai salah seorang naib pengerusi kebangsaan Parti Tindakan Rakyat (DAP).

Tunku Abdul Aziz yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam sektor korporat termasuk selaku penasihat Bank Negara dan jawatan penting dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, juga seorang penulis ruangan akhbar New Straits Times/Sunday Times.

Apakah mereka yang menguasai Kumpulan New Straits Times akan menarik balik atau menamatkan ruangan mingguan Tunku Abdul Aziz?

Untuk biodata Tunku Abxul Aziz, sila klik di bawah ini.

Tunku Abdul Aziz Bio

Saturday, August 23, 2008

Harga minyak naik mendadak, turun merangkak




Kita menyambut baik langkah kerajaan menurunkan harga minyak tetapi agak kurang berpuas hati dengan kadar penurunannya, iaitu 15 sen seliter. Ini dapat dilihat daripada maklum balas orang ramai seperti yang disiarkan oleh beberapa buah stesen tv tempatan.

Rakyat mengharapkan penurunan antara 30 sen dan 50 sen yang dipercayai dapat mengurangkan sedikit bebanan hidup.

Apabila harga minyak mentah melambung tinggi, kerajaan secara mengejut dan mendadak menaikkan harga runcit petrol sehingga 70 sen mengakibatkan kesannya melimpah kepada hampir semua barang keperluan harian dan kos pengangkutan. Kadar inflasi juga mencecah paras tertinggi kepada 8.5 peratus.

Harga bahan makanan asasi seperti beras telah berganda dan harga minyak masak, sayur-sayuran telah naik sementara harga tepung susu bayi kini menjadi terlalu mahal terutama bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Kesan atau bebanan hidup paling teruk dirasai bukan sahaja oleh rakyat berpendapatan rendah dan bekerja sendiri tetapi oleh mereka yang berpendapatan sederhana terutama kakitangan awam (kumpulan sokongan) dan pekerja swasta yang menghuni bandar-bandar besar.

Cogan kata rakyat sihat negara aman untuk menggalak rakyat mengamal cara hidup yang sihat adalah perlu, tetapi jika majoriti rakyat tidak mampu untuk membiayai penghidupan yang sihat, bagaimana?

Kita tidak ingin dan tidak mahu melihat kebuluran di kalangan rakyat miskin tegar kerana ia boleh menimbulkan masalah besar kepada negara.

Wednesday, August 20, 2008

BPR tahan dua Exco Perak

Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan untuk siasatan dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco) yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Untuk keterangan lanjut, sila klik pada kenyataan BPR di bawah.


Saturday, August 16, 2008

Sumpah Pegang Quran Tiada Dalam Islam, Kata Nik Aziz







Mana satu yang betul?


Utusan Malaysia Online memaparkan tajuk berita berikut:

Nik Aziz akui sumpah Saiful ikut cara Islam


Bernama.com pula meletakkan tajuk berikut:

Sumpah Pegang Quran Tiada Dalam Islam, kata Nik Aziz




Utusan Malaysia yang dikuasai atau dimiliki sama ada secara langsung atau secara tidak langsung oleh UMNO berkata cara sumpah laknat itu mengikut cara Islam manakala Bernama, sebuah agensi berita dibawah seliaan Kementerian Penerangan berkata cara itu (memegang Quran) tiada dalam Islam. Kedua-dua media memetik atau mengutip Murshidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai berkata demikian.

Mana satu yang betul?

Dalam laporannya, Utusan Malaysia Online melaporkan bahawa "Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui cara bersumpah laknat (mubahalah) yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memang mengikut cara Islam."

Bernama.com pula memetik Nik Aziz sebagai berkata "kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci Al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam."

Utusan Malaysia Online kutip Nik Aziz sebagai berkata "mengikut cara Islam" manakala Bernama.com memetik Mursyidul Am Pas itu sebagai berkata "menyalahi ajaran Islam."

Bagaimana boleh wujud dua laporan yang amat jauh bezanya? Adakah salah satu media itu sengaja berbuat demikian atas kepentingan politik pihak tertentu?

Nik Aziz juga dipetik oleh Bernama.com sebagai berkata perbuatan memegang atau menjunjung Al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

Saya yakin laporan Bernama.com lebih tepat dan betul.

Pertandingan tiga penjuru di Permatang Pauh






Pilihan raya kecil kerusi Parlimen (Dewan Rakyat) bagi kawasan undi Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru setelah salah seorang calon menarik diri.
Pertandingan menjadi tiga penjuru kerana calon bebas yang juga calon "kedua" Pakatan Rakyat (PR), Dr Mansor Othman, menarik diri. Dr Mansor diletakkan sebagai calon kedua PR untuk menghadapi kemungkinan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibatalkan.

Barisan Nasional (BN) mempertaruh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah manakala parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) meletakkan presidennya Hanafi Hamat.

Majoriti pengamat politik meramalkan Anwar akan memenangi pilihan raya kecil ini walaupun dia akan menghadpi serangan bertubi-tubi daripada BN.
BN yang menguasai Kerajaan Perskutuan dah pun mula bermurah hati dengan meluluskan peruntukan demi peruntukan kepada penduduk Permatang Pauh. Antara sogokan pembangunan termasuk peruntukan khas untuk SRJK Cina berjumlah RM1 juta dan janji untuk membina rumah kepada rakyat miskin.
Dalam tempoh berkempen, penduduk Permatang Pauh akan menikmati durian runtuh dan para menteri akan kerap turun padang memperlihatkan atau lebih tepat lagi memperlakonkan sikap ambil berat mereka terhadap masalah rakyat. Inilah budaya politik BN setiap kali menghadapi pilihan raya kecil.
Adalah dijangkakan pilihan raya kecil ini akan membabitkan beratus juta ringgit wang rakyat dalam bentuk projek-projek pembangunan, bantuan kebajikan dan bantuan-bantuan lain serta jumlah tuntutan perjalanan, makan-minum dan penginapan para menteri, pegawai-pegawai menteri dan pegawai-pegawai kerajaan yang terpaksa turun padang semata-mata kerana menteri turun padang.
Kerajaan Persekutuan sememangnya murah hati apabila menghadapi pilihan raya kecil.

Thursday, August 14, 2008

Arif Shah lawan Anwar Ibrahim

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (ADUN) kawasan undi Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Arif Shah, mantan ketua pemuda UMNO Permatang Pauh semasa diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikira sebagai calon paling sesuai dan layak untuk mencabar Anwar.
Penamaan calon akan diadakan 16 Ogos ini.

Wednesday, August 13, 2008

Khalid Ibrahim perlu belajar jadi politikus




Lepas satu, satu kesilapan yang dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sejak dilantik menjadi Menteri Besar Selangor. Kesilapan yang dilakukannya bukan dalam bentuk perbuatan atau tindakan tetapi dalam bentuk percakapan atau tutur kata.


Sebagai seorang ahli politik atau politikus yang diberi amanah untuk menerajui atau memimpin sebuah kerajaan negeri, Khalid harus berhati-hati dan fikir panjang sebelum mengeluarkan sebarang ulasan atau komen kepada pihak media. Dalam hubungan ini, saya tidak tahu peranan setiausaha akhbarnya. Tetapi, hasil dripada kesan buruk ekoran daripada kenyataan Khalid, saya kira setiausaha akhbarnya gagal.


Kita akui kehebatan dan kejayaan Khalid semasa menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sebuah syarikat pelbagai negara. Tetapi, peranannya selaku tokoh korporat tidak boleh dijadikan kayu pengukur dan diletakkan harapan yang dia akan berjaya sebagai seorang pemimpin politik. Dunia korporat dan dunia politik amat jauh bezanya walaupun kedua-duanya agak selari dari beberapa sudut termasuk rasuah atau sogokan, pilih kasih (kronisme) mahupun salahguna kuasa.


Sejak memasuki dunia politik melalui pelantar Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Khalid terus diberi tempat atau kedudukan penting dan dipilih sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil DUN Ijok, Selangor, tetapi dia gagal.


Khalid diberi kepercayaan untuk bertanding di dua kerusi - DUN Selangor dan Parlimen (Bandar Tun Razak) dan berkat gelombang perubahan yang melanda pada pilihan raya umum ke-12, Khalid memenangi kedua-dua kerusi berkenaan dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.


Selaku MB Selangor, awal-awal lagi Khalid dah buat kesilapan percakapan apabila membabitkan projek ternakan khinzir. Selaku MB, dia adalah pemimpin kepada semua rakyat Selangor tetapi Khalid harus sedar bahawa dia adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam, fakta ini harus diutamakan. Khalid, atas sifatnya sebagai seorang Melayu, seharusnya peka dengan perasaan dan naluri bangsanya sendiri dan masyarakat Islam keseluruhannya. Kita bukan meminta Khalid melupakan masalah dan keperluan atau kehendak bangsa lain yang juga rakyat negara ini khusunya negeri Selangor, tidak sama sekali. Kita sedar bahawa tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, Khalid dan PKR tidak mungkin mendapat mandat membentuk pentadbiran atau kerajaan di Selangor. Kita meminta Khalid agar lebih peka akan kepentingan Melayu dan masyarakat Islam apabila memperkatakan perkara-perkara yang sensitif dan yang boleh menguris hati nurani.


Belumpun isu ternakan khinzir selesai, timbul pula isu Universiti Teknologi Mara (UiTM). Nampaknya Khalid masih belum peka akan perasaan dan naluri bangsanya sendiri. Apakah Khalid tidak berfikir sebelum mengeluarkan ulasan? Jikapun dia diajukan soalan berbentuk provokatif seperti yang berlaku, dia seharusnya peka akan kedudukan UiTM dan memberi jawapan yang bijak.


Nampaknya Khalid bukan seorang ahli politik yang cekap, jika dia boleh ditakrifkan sebagai ahli politik. Khalid perlu belajar dan terus belajar menjadi pemimpin politik jika dia ingin kekal lama dalam dunia politik.


Jelas sekali Khalid tidak boleh dilihat sebagai aset kepada PKR mahupun Pakatan Rakyat. Kesilapan-kesilapan yang dilakukannya, jika tidak disekat, boleh mengakibatkan kerugian besar kepada Pakatan Rakyat. Khalid mungkin hebat, jika boleh dikatakan hebat, dalam dunia korporat (itupun PNB yang dimiliki Kerajaan), tetapi ia tidak memberi jaminan bahawa dia akan hebat atau berjaya dalam dunia politik selaku ketua sebuah kerajaan negeri.


Khalid harus sedar bahawa santan boleh rosak semata-mata kerana pulut.

Sunday, August 10, 2008

Antara Permatang Pauh, Penarik Beca dan Majlis Peguam

Dalam seminggu ini banyak perkembangan menarik telah berlaku dan mendapat liputan meluas media dalam dan luar negeri. Nama Malaysia mendapat tempat dalam media asing bukan kerana kejayaan atau kecemerlangan yang dicapai tetapi semuanya berkaitan undang-undang dan kebebasan.

Isu atau kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian dunia. Begitu juga isu forum berkaitan pemelukan atau penganutan agama Islam oleh yang bukan Islam dan tidak kurang hebat kes penahanan kira-kira 40 jam ke atas penulis blog Bakaq @ Penarik Beca.
Apabila memperkatakan isu Anwar Ibrahim, kita tidak terlepas daripada isu pilihan raya kecil kawasan undi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang. Hampir semua pihak, termasuk dari kalangan Barisan Nasional, mengakui bahawa pilihan raya kecil ini bukan sesuatu yang mudah untuk BN. Pendek kata, sukar atau hampir pasti BN tak akan dapat menawan semula Permatang Pauh.
Penganalisis dan pengamat politik nombor satu negara, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui hakikat bahawa Anwar sukar ditewaskan di Permatang Pauh. Walau bagaimanapun, Parti KeAdilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya berpeluk tubuh dan terlalu yakin kerana dalam politik, perkara yang mustahil dan tidak disangka-sangka boleh berlaku.
BN sudah pasti akan melakukan apa saja untuk menang. Mantan MB Selangor yang pernah berbohong kepada Almarhum Sultan Selangor dan pernah ditangkap pihak berkuasa Australia kerana mambawa masuk sejumlah besar wang secara gelap, sudahpun berada di Seberang Perai dan mengagih-agihkan bantuan kebajikan. Kita yakin banyak lagi bantuan akan turun dari langit untuk orang Permatang Pauh selain projek-projek pembangunan dan peruntukan-peruntukan segera.
Pemimpin-pemimpin kanan PKR, DAP dan PAS yang bergabung dalam Pakatan Rakyat juga akan turun padang untuk mempastikan kerusi Permatang Pauh kekal milik pakatan itu. Isu penahanan Anwar sudah pasti dijadikan salah satu bahan kempen selain isu-isu hangat seperti pembunuhan wanita Mongolia dan isu rasuah dan salahguna kuasa oleh pemimpin tertinggi BN.
Saya menghormati pendirian rakan penulis blog Bakaq @ Penarik Beca yang mempertahankan isi penulisannya dan berani mengakui kesilapannya berkaitan logo Polis Diraja Malaysia dan memohon maaf kepada semua anggota polis. Bakaq adalah seorang penulis blog yang bertangungjawab dan berwibawa. Penahanannya agak keterlaluan kerana pihak polis boleh merakamkan percakapan atau keterangannya tanpa menahannya.
Forum Majlis Peguam yang tidak sepatutnya diadakan, juga berakhir dengan kegagalan setelah mendapat bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berkumpul dihadapan bangunan Majlis Peguam sejak pukul 7 pagi. Keadaan pasti akan menjadi lebih buruk sekiranya pihak Majlis Peguam tidak segera menamatkan perbincangan yang sensitif itu.
Apa yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran kepada Majlis Peguam agar lebih berhati-hati terutama apabila membabitkan isu agama. Kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan ada batas sempadannya dan sebagai manusia yang dilatih dan mengamalkan undang-undang, mereka seharusnya jauh lebih peka berbanding rakyat biasa.

Wednesday, August 06, 2008

Anwar akan didakwa esok

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat.


Dalam laporannya, Bernama menyebut bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan didakwa atas "kesalahan meliwat". Ini kurang tepat kerana Anwar belumpun dibicarakan dan dia belum didapati bersalah. Perkataan yang lebih tepat adalah sama ada didakwa atau dituduh meliwat. Kita sedar bahawa meliwat adalah satu kesalahan dibawah undng-undang Malaysia tetapi Anwar belum didapati bersalah oleh Mahkamah.


Anwar sendiri mengesahkan bahawa dia telah diberitahu bahawa dia akan dituduh meliwat esok. Beliau memberitahu demikian kepada agensi berita Perancis, AFP.


Oleh kerana Anwar akan didakwa esok, semua pihak seharusnya menghormati proses undang-undang yang akan memutuskan sama ada dia bersalah atau tidak atas tuduhan meliwat.


Yang pasti, proses perundangan dan kehakiman Malaysia akan sekali lagi menjadi perhatian dan diikuti dengan penuh minat oleh negara-negara lain.

Tuesday, August 05, 2008

Laporan terhadap Pak Lah, sejauh mana BPR bebas


Mantan Exco Pemuda UMNO yang juga mantan EXCO Kerajaan (BN) Negeri Selangor, Datuk Mazlan Harun telah membuat laporan di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap perbuatan salahguna kuasa oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Pak Lah) dan timbalannya Najib Abdul Razak.

Mazlan yang juga anak mantan Menteri Besar Selangor dan mantan Ketua Pemuda UMNO yang paling berjaya, Allahyarham Datuk Harun Idris, mendakwa bahawa Pak Lah dan Najib telah menyalahguna jentera kerajaan untuk meraih sokongan daripada ahli-ahli UMNO bertujuan untuk membolehkan kedua-dua mereka dikekalkan dalam jawatan masing-masing pada pemilihan sempena perhimpunan agung parti itu Disember depan.

Rakyat ingin lihat sejauh mana kebebasan yang kononnya dimiliki oleh BPR sekarang dan secepat mana badan itu bertindak berdasarkan laporan yang diterima.

Rakyat juga ingin melihat sama ada BPR memilih bulu dalam tugas siasatannya memandangkan kebelakangan ini BPR agak cepat menjalankan siasatan terhadap kes-kes tertentu. Adakah BPR akan bertindak cepat untuk menyiasat laporan yang dibuat ke atas Pak Lah dan Najib? Sama-samalah kita tunggu dan lihat kewibawaan BPR.

When in Penang, do visit Kit Siang's coffee shop




One cannot miss the New Kit Siang coffee shop along Jalan Burma (Burmah Road), Penang. It is a normal coffee shop but not the name. YB Lim Kit Siang, I was told, has nothing to do with the coffee shop and neither is his son YAB Lim Guan Eng, the Chief Minister of Penang.

What happened to the "old" Kit Siang coffee shop?

One wonders whether later on one can visits Pak Lah's Sleeping Lodge in Kepala Batas, or Kak Wan's Internet Cafe in Permatang Pauh or may be Anwar's Bistro or Kopitiam Guan Eng. As the saying goes, anything is possible in good old Penang. Why not? George Town is now UNESCO's World Heritage Site.

Saturday, August 02, 2008

Perang besar di Permatang Pauh

Perletakan keahlian Dewan Rakyat mewakili kawasan undi Parlimen Permatang Pauh oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail nampaknya telah dijadikan sasaran serangan oleh pemimpin dan pengikut Barisan Nasional termasuk beberapa ekor burung kakatua yang bijak mengulangi kata-kata tuannya.

Mereka menuduh tindakan Dr Wan Azizah yang akan membolehkan suaminya yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesuatu 'kesalahan besar' dan mempermain-mainkan kepercayaan pengundi dan demokrasi.

Setelah pemimpin besar BN bernama Abdullah Ahmad atau Pak Lah bersuara, maka terbitlah suara burung kakatua mengulangi apa yang dikatakan oleh Pak Lah dan ada pula yang menokok tambah seperti yang dibuat oleh kakatua dari Johor yang terkenal dengan kerisnya.


Tindakan Wan Azizah dibolehkan oleh Perlembagaan.

Sesiapapun tidak boleh mempertikaikan tindakan Dr Wan Azizah kerana apa yang dilakukannya itu tidak menyalahi undang-undang atau mencemar amalan demokrasi. Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan membolehkan seseorang Ahli Dewan Rakyat meletak jawatan tetapi ada hukum dan peraturannya.

"Seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh perletakan keahliannya berkuatkuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat."

Ini bermkna Dr Wan Azizah tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil atau umum untuk kerusi Dewan Rakyat dalam tempoh lima tahun berkenaan.

Dr Wan Azizah menggunakan haknya seperti yang dibolehkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan apa yang dilakukannya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang menjadi amalan di Malaysia.

Oleh itu, Dr Wan Azizah tidak seharusnya menjadi sasaran kutukan semata-mata kerana dia mengosongkan kerusi wakil rakyat Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Itu haknya dan haknya itu dibolehkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Nasib Anwar Ibrahim bukan ditentukan oleh Dr Wan Azizah atau sesiapapun yang tiada kaitan tetapi oleh para pengundi atau pemilih berdaftar di Permatang Pauh. Sama ada Anwar akan kembali ke Dewan Rakyat atau tidak adalah hak penentuan pemilih Permatang Pauh.

Sogokan pembangunan akan berlaku di Permatang Pauh

Apa yang pasti ialah penduduk kawasan undi Parlimen Permatang Pauh akan menikmati durian runtuh dalam bermacam bentuk bantuan dan hadiah pembangunan. Sekaranglah masa untuk meminta kerana Kerajaan Persekutuan akan bersikap murah hati dan akan meluluskan projek-projek pembangunan yang selama ini tidak diperolehi.

Penduduk Permatang Pauh juga akan dapat menatap wajah-wajah manis dan yang sentiasa tersenyum yang bakal dipertontonkan oleh para menteri Kerajaan Persekutuan yang dengan tiba-tiba mempunyai banyak masa untuk diluangkan.

Oleh kerana para menteri, timbalan menteri mahupun setiausaha politik tidak boleh membuat sebarang tuntutan perjalanan mahupun untuk penginapan dan makan-minum atas perbelanjaan kerja parti-parti politik, maka mereka akan mengadakan lawatan kerja seperti untuk merasmi dewan yang dah berusia lebih 10 tahun, bangunan sekolah yang disapu cat baru, jalan yang diturap semula atau memberi bantuan subsidi baja, atau bantuan persekolahan, atau bantuan alat dan kemudahan sukan dan bermacam bantuan lain termasuk kebajikan dan kemasyarakatan. Semuanya itu dibuat untuk membolehkan anggota pentadbiran turun ke Permatang Pauh 'secara rasmi' yang membolehkan tuntutan-tuntutan berkenaan dibuat. Ia boleh dikira sebagai menyalahguna kuasa dan perbuatan menipu secara 'sah' kerana mereka turun ke Permatang Pauh untuk berkempen dan bukan untuk menjalankan tugas rasmi kerajaan.

Para menteri besar dan ketua menteri juga akan ke Permatang Pauh kononnya nak bantu calon BN merampas semula kerusi Dewan Rakyat itu daripada PKR atau Pakatan Rakyat. Sebenarnya rombongan dari negeri-negeri yang turun ke Permatang Pauh termasuk yang mewakili bahagian-bahagian UMNO tidak ubah seperti sambil menyelam minum air.

Soal maruah dan masa depan politik

Keghairahan yang sedang dan akan ditunjukkan oleh parti-parti politik terutama yang bernaung dengan parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan begitu ketara kerana kalah atau menang di Permatang Pauh akan memberi kesan besar dan mendalam.

BN sedar bahawa ia menghadapi tugas yang berat dan sukar untuk menang dan mereka sudah tentu akan membuat apa sahaja yang termampu untuk memalukan Anwar dan Pakatan Rakyat. Perkara pokok ialah soal maruah dan masa depan politik. Jika BN gagal dan sekali lagi terhumban di Permatang Pauh, maka BN seharusnya mula mengira hari-hari terakhirnya sebagai satu kuasa politik.

Sebaliknya, jika Anwar dan Pakatan Rakyat terus bertakhta di Permatang Pauh, masa depan parti itu sebagai satu kuasa politik pilihan lain agak cerah dan BN ataupun UMNO khususnya, akan menjadi sebuah pertubuhan siasah yang akan menjadi sejarah semata-mata.