Wednesday, December 31, 2008

Kekejaman pengganas Zionis di Semenanjung Gaza




















Inilah kekejaman dan kezaliman pengganas Zionis ke atas manusia yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza.

Tuesday, December 30, 2008

Rumah keluarga Eddy Choong kini pejabat PERKESO



Rumah agam yang merupakan kediaman keluarga jaguh badminton dunia era 1950-an, Datuk Eddy Choong, kini berubah wajah apabila dijadikan pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang.


Rumah agam yang terletak di Jalan Burma (dekat Pulau Tikus) itu dikekalkan dalam bentuk senibina asalnya kerana ia merupakan bangunan yang diikiraf sebagai satu warisan (senibina).


PERKESO mendirikan sebuah bangunan menara bersebelahan rumah agam itu di tapak yang dahulunya menempatkan rumah kediaman pemandu, tukang kebun, tukang masak dan pembantu rumah keluarga Choong.


Eddy Choong menjuarai acara perseorangan badminton All England, iaitu kejuaraan tidak rasmi dunia, sebanyak empat kali antara tahun 1953 dan 1957. Dia juga menjuarai bahagian bergu berpasangan dengan abangnya, David Choong sebanyak tiga kali pada tahun 1951, 52 dan 53.

Eddy Choong juga terpilih dalam senarai Badminton Hall of Fame pada 1997. Pemain badminton negara yang turut tersenarai adalah David Choong, Ng Boon Bee, Ong Poh Lim dan Tan Yee Khan, semuanya pada tahun 1998.

Eddy Choong adalah antara pemain yang mewakili negara mempertahankan Piala Thomas pada tahun 1955.

Baru-baru ini saya menemui salah seorang anak pemandu keluarga itu yang berketurunan Jawa bernama Marzuki, iaitu kawan sepermainan semasa kanak-kanak, di Lorong Kulit. Marzuki adalah antara berpuluh peniaga kecil yang menjual barangan terpakai dan antik di padang letak kereta bersebelahan Stadium Bandar Raya di Lorong Kulit. Penjualan barangan lusuh dan antik itu diadakan pada setiap hujung minggu di situ dan orang Pulau Pinang merujuk tempat itu sebagai "Rope Walk", iaitu tempat asal yang menawarkan penjualan barangan lusuh dan antik. Rope Walk asal atau Jalan Pintal Tali terletak antara Lebuh Chulia dan Jalan Prangin.

Monday, December 29, 2008

Pulau Tikus dan Pulau Tikus


Di Negeri Pulau Pinang terdapat dua tempat berasingan yang mempunyai nama yang sama. Di daratan Pulau Pinang, sebuah pekan yang kini membentuk sebuah kawasan Dewan Undngan Negeri bernama Pulau Tikus. Ia sebenarnya bukan sebuah pulau kerana berada atas darat.

Kira-kira dua kilometer dari pantai Tanjung Bunga, terdapat sebuah pulau batuan yang juga diberi nama Pulau Tikus. Di pulau yang lebih kurang sama besarnya dengan Batu Putih di selatan pantai Johor, terdapat sebuah rumah api dan makam seorang yang dikatakan keramat (Wali). Pulau Tikus tidak berpenghuni.

Pasar Pulau Tikus yang terletak di daratan Pulau Pinang.
Pekan Pulau Tikus di persimpngan Jalan Burma dan Jalan Cantonment

Pulau Tikus yang sebenar terletak kira-kira dua kilometer dari pantai Tanjung Bunga. Pulau ini pada hakikatnya terbentuk daripada batuan sama seperti Batu Putih di luar pantai selatan Johor yang kini menjadi milik Singapura.


Selamat Melayari Bahtera Perkahwinan


Wan Haniff bin Osman dan Nuur Rabiatuladawiyah Amran

Wan Hanafi bin Osman dan Safinah Che Man


Saturday, December 27, 2008

dok tak dok Shahidan Kassim hentam Sime Darby

Tun Musa Hitam, Pengerusi Sime Darby


"Sime Darby tidak menyerlah dalam NCER" begitulah tajuk utama yang terpampang dalam muka surat dua akhbar Utusan Malaysia hari ini (Sabtu 27 Disember).

Tajuk berita itu melaporkan rasa kurang senang mantan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Pak Lah) berkaitan Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau NCER.

Shahidan dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau melihat penglibatan Sime Darby yang membabitkan NCER tidak begitu menyerlah berbanding syarikat-syarikat besar dalam koridor lain seperti Khazanah Nasional Berhad dan Petronas.

Itu kata atau dakwa Shahidan. Persoalannya adakah kebenaran dalam tuduhannya itu dan adakah ia melibatkan kepentingan politik membabitkan Shahidan sendiri?

Kenapa kita tidak dengar rungutan atau rasa kurang senang terbit daripada pihak-pihak berkuasa di Kedah, Pulau Pinang mahupun Perak dan juga pentadbiran negeri Perlis itu sendiri? Kenapa pula Shahidan yang melenting?

Peranan Shahidan, itupun jika ada, selaku Penasihat Khas kepada PM tidak lebih daripada satu simbolik politik kerana ia tanpa kuasa dan tanpa taring. Shahidan tidak dilantik menduduki agensi pelaksana projek NCER iaitu Northern Corridor Implimentation Agency (NCIA). Maka tiada peranan dalam pelaksanaan projek.

Jika Shahidan kata dia adalah perantara antara NCER dengan Perdana Menteri, dia jelas silap besar. Perdana Menteri tidak perlu sebarang perantara kerana PM adalah pengerusi NCIA, badan pelaksana projek. Apa perlu perantara jika PM sendiri terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek?

Sebenarnya, Shahidan ada kepentingan dalam satu-satunya projek NCER yang dirancang untuk Perlis, iaitu Pusat Benih Negara. Pembabitan Shahidan adalah melalui pelan asal untuk melaksanakan projek itu di Kampung Sentua, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang yang diwakili oleh Shahidan.

Dengar kata, oleh kerana masalah membabitkan kelulusan tanah, maka NCIA memutuskan untuk memindah projek itu ke Bukit Tangga di Kedah. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PAS memberi kerjasama penuh dan baik kepada NCER.

Oleh itu, Perlis atau lebih tepat Shahidan atas sifatnya selaku Penasihat Khas PM kehilangan satu-satunya projek NCER. Kehilangan projek itu, jika benar, sudah tentu mengaibkan Shahidan dan Ahli Parlimen Arau yang turut merangkumi Tambun Tulang, iaitu adiknya Ismail Kassim. Rakyat Perlis sudah tentu akan bertanya bagaimana satu-satunya projek NCER di negeri yang dikenali sebagai Indera Kayangan itu boleh terlepas sedangkan dua orang kuat mereka, Shahidan dan adiknya Ismil, adalah wakil rakyat (Dewan Negeri dan Dewan Rakyat) kawasan itu.

Shahidan tidak seharusnya mempersalah atau mempersoalkan kewibawaan pihak lain semata-mata kerana gagal mempertahankan projek berkenaan dan Shahidan mesti akui bahawa dia tiada kuasa dalam NCER kerana dia tidak terlibat dalam NCIA.

Kedudukan Shahidan selaku Penasihat Khas PM juga akan berakhir Mac tahun depan jika dia mematuhi konvensyen dan pendirian politik sebenar. Ini kerana orang yang melantiknya akan bersara pada Mac 2009 dan mengikut konvensyen semua pelantikan yang dibuat berbentuk "khas" seperti Penasihat-Penasihat Khas Agama, Ehwal Luar, Wanita dan NCER mesti meletak jawatan serentak. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian ia menandakan bahawa mereka mengutamakan kepentingan peribadi.

Shahidan mesti meletak jawatan selaku Penasihat Khas kepada PM berkaitan NCER apabila Pak Lah letak jawatan. Kita ingin lihat sama ada Shahidan seorang "gentleman" atau tidak apabila Pak Lah letak jawatan.

Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin tidak memerlukan penasihat atau dia mungkin ada calon lain untuk mengisi sebarang kekosongan yang difikirkan perlu.

Kepada Shahidan, ... tepuk dada tanya selera... hidung tak mancung pipi jangan tersorong-sorong.

Thursday, December 25, 2008

Gendang Raya




Sebut saja gendang raya, ramai remaja dan anak muda tidak tahu mengenainya. Penggunaan gendang raya atau beduk kini boleh dikatakan pupus di telan zaman termasuk di kampung mahupun pinggir kota.

Gendang raya begitu sinonim dengan masjid atau surau di semua negeri dalam persekutuan Malaysia.

Di Pulau Pinang, gendang raya bukan sahaja digunakan sebagai alat pengumuman masuk waktu solat tetapi sebagai salah satu alat perhubungan atau pemakluman awam. Pukulan gendang raya mengikut berapa kali dipalu membawa pengertian atau makluman tertentu.

Sayang sekali, peranan gendang raya tidak lagi dihargai setelah masjid dilengkapi alat pembesar suara untuk melaungkan azan. Jika dahulu gendang raya akan dipalu sebelum azan dilaungkan (tanpa pembesar suara), kini azan dilaungkan menerusi pembesar suara tanpa paluan gendang raya.


Apabila berlaku kematian, umpamanya, gendang raya akan dipalu sebagai satu cara memaklumkan kepada orang ramai bahawa ada kematian di qariah itu. Di tempat asal saya, gendang raya akan dipalu mengikut kiraan genap sekiranya si mati adalah seorang lelaki dan paluan bilangan ganjil untuk wanita.


Pada bulan Ramadhan, gendang raya menjadi alat penting untuk mengumumkan telah masuk waktu berbuka puasa. Paluan gendang raya amat dinanti-nantikan terutama oleh kanak-kanak untuk berbuka puasa. Selepas solat maghrib, anak muda akan ke masjid untuk memalu gendang raya sementara menunggu waktu untuk solat isya' dan taraweh. Gendang raya akan dipalu kira-kira pukul 3 pagi untuk mengejutkan umat Islam daripada tidur dan bersahur.


Sebelum penggunaan alat pembesar suara secara meluas, gendang raya berperanan penting dalam kehidupan seharian umat Islam Malaysia. Sayangnya, zaman telah berubah dan amalan juga turut berubah.


Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Baru-baru ini, kenangan saya dikembalikan ke tahun-tahun lewat 50-an dan 60-an apabila ke Masjid Tuan Guru di Jalan Tanjong Tokong Lama, Pulau Pinang. Saya terpegun melihat sebuah gendang raya tergantung megah di dalam masjid itu. Mungkin gendang raya itu tidak dipalu untuk menandakan masuknya waktu solat, tetapi ia sekurang-kurangnya mengingatkan atau memaklumkan kepada generasi yang ada di sekitar perkampungan Melayu itu tentang peranan dan kegunaan gendang raya.



Gendang raya adalah warisan bangsa dan ia seharusnya dipelihara dan dihargai walaupun kita kini berada dalam era kesejagatan dan dunia siber tanpa sempadan. Malangnya, kebanyakan masjid yang baru dibina atau yang menggantikan masjid lama, telah tidak mengekalkan atau menyimpan gendang raya seperti yang dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Qariah Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong.




Gambar gendang raya yang masih dihargai dan dikenangi akan kegunaannya yang menjadi kebanggaan semua anak qariah Tanjong Tokong (Jalan Tanjong Tokong Lama)

Wednesday, December 10, 2008

Tragedi Bkt Antarabangsa - angkara siapa?

Apa tujuan mantan MB Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo menuding jari kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim apabila dia memperkatakan mengenai tragedi Bukit Antarabangsa.

Saya melihatnya sebagai satu sandiwara yang ada kaitan dengan pemilihan UMNO Mac tahun depan.


Khir Toyo tidak boleh sama sekali menyalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang berkuasa tidak sampai setahun sedangkan pembangunan Bukit Antarabangsa dimulakan 15 tahun lalu.

Siapa atau parti politik mana yang berkuasa ketika itu? Bukankah Barisan Nasional (BN). Oleh itu, kenapa persalahkan kerajaan yang ada sekarang?

Khir Toyo seharusnya menujukan rasa kurang senang atau lakonannya itu kepada mantan MB Selangor Tan Sri Muhammad bin Muhamad Taib dan bukan Khalid Ibrahim. Khir tidak boleh memisahkan tanggungjawab pembangunan Bukit Antarabangsa daripada tangan Mat Taib, calon timbalan presiden UMNO.

Pentadbiran Negeri Selangor yang meluluskan pembangunan di Bukit Antarabangsa mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Siapa yang memerintah atau mentadbir Selangor 15 tahun lalu? Dialah yang bertanggungjawab.

Apakah pengajaran yang dapat dipelajari daripada tragedi Bukit Antarabangsa?

1. Jangan usik bukit, iaitu jangan tebang pokok, jangan gondolkan bukit dan jangan bangunkan apa jenis rumah sekalipun di atas bukit.

2. Jangan beli rumah yang dibina di atas bukit.


Itu saja.

Tragedi Bkt Antarabangsa - berapa harga nyawa manusia?



Saya terperanjat mendengar kata-kata salah seorang mangsa tragedi Bukit Antarabangsa dalam satu temubual siaran berita salah sebuah stesen tv kita.

Lelaki yang masih muda itu (saya agak berumur bawah 40 tahun) dengan tegas menyatakan dia akan tetap tinggal di Bukit Antarabangsa walaupun menghadapi kemungkinan berulang tragedi tanah runtuh.

Alasan yang diberi oleh lelaki itu ialah sewa rumah di situ murah. Beliau berkata pangsapuri boleh disewa serendah RM200 manakala rumah teres RM600 sebulan. Murah. Cukup murah ikut piawaian Kuala Lumur/Ampang.

Kerana sewa yang murah, dia sanggup menggadai nyawa untuk terus menetap di Bukit Antarabangsa. Sekiranya lelaki itu berkeluarga, ini bermakna dia sanggup menggadai nyawa isteri dan anak-anaknya.

Saya tertanya-tanya sama ada nyawa manusia semurah itu kerana dia sanggup menghadapi malapetaka semata-mata kerana sewa kediaman yang murah.

Benar, ajal maut di tangan Tuhan. Tetapi manusia diajar untuk menolong diri sendiri, bertindak bijak dan waras untuk mengelak bencana dan malapetaka. Selepas melakukan sesuatu untuk itu, maka barulah kita berserah kepada Allah.

Sesungguhnya nayawa manusia tiada harga. Tidak boleh dinilai sama sekali. Hargailah nyawa kerana ia tidak boleh dijual beli.

Saturday, December 06, 2008

Jaminan yang sama setiap kali bencana berlaku

Saya dan saya yakin majoriti rakyat sudah bosan mendengar jaminan dan pengakuan oleh pemimpin negara setiap kali berlaku bencana alam.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi apa yang selalunya diluahkan apabila berlaku bencana alam yang mengakibatkan kematian.

Kejadian tanah runtuh di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bukan perkara baru dan tragedi di Bukit Antarabangsa juga bukan perkara baru.


Apabila tragedi Highland Towers berlaku, kerajaan mengarahkan semua pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit dihentikan. Tetapi, setelah keadaan reda kita dapati puncak bukit dan lereng bukit terus digondol untuk pembangunan kediaman terutama yang bertaraf mewah.


Kerakusan pemaju dan ketidakpekaan pihak berkuasa tempatan adalah punca berlakunya bencana alam yang bukan dek alam semula jadi tetapi akibat perbuatan manusia mengusik dan mengubah struktur alam.


Inilah yang berlaku di Bukit Antarabangsa.


Tragedi itu tidak akan berlaku sekiranya manusia tidak mengusik kesempurnaan alam ciptaan Allah. Bukit dan hutan ada peranan dan akibat perbuatan manusia menebang pokok dan meratakan bukit atas nama pembangunan, dengan sendirinya tujuan kewujudan hutan dan bukit telah diusik dan akibatnya berlakulah bencana.


Jangan salahkan alam, jangan salahkan cuaca. Salahkan pihak berkuasa tempatan yang meluluskan projek-projek pembangunan di atas bukit (tanah tinggi) dan di lereng bukit.


Kerajaan pula janganlah asyik memberi amaran dan arahan yang kemudiannya tidak dihiraukan. Ketegasan nampaknya menjadi kelemahan yang akhirnya mengakibatkan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.

Thursday, December 04, 2008

Ke mana perginya pasir Malaysia? Tentulah ke ....



Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini dengan jelas mendedahkan perbuatan khianat yang amat sangat oleh pihak tertentu yang sanggup menggondol bumi Malaysia untuk tujuan tertentu.


Kita boleh agak bahawa pasir yang dikaut itu di eksport ke tanah seberang - lebih tepat ke sebuah negara pulau. Jika tidak ke sana ke mana?


Perbuatan menjual pasir secara "haram" ke Singapura bukan perkara baru. Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan kesedaran mengenainya pada tahun 2006.

Untuk rekod, Malaysia melarang pengeksportan pasir ke Singapura pada tahun 1997. Ekoran daripada itu, Singapura mengimport pasir dari kepuluan Riau, Indonesia. Tetapi, atas kesedaran nasional, Indonesia pun melarang pengeksportan pasir ke Singapura pada tahun 2007.

Akibat larangan oleh Indonesia, harga pasir untuk industri pembinaan di Singapura melambung sehingga 15 peratus. Singapura mengimport pasir bernilai antara RM145 juta dan RM330 juta setahun untuk menampung keperluan pembangunannya.

Saya masih ingat iaitu pada tahun 2006, ketua pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu, Lim Kit Siang pernah menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan Tun Dr Mahathir mengenai pembabitan pemimpin tertentu dalam pengeksportan pasir ke Singapura. Tidak tahu pula saya sama ada BPR berbuat demikian atau tidak. Besar kemungkinan tidak kerana sebab-sebab tertentu.

Untuk mengembalikan ingatan, Tun Dr Mahathir mendakwa pihak tertentu di Malaysia mempunyai rancangan untuk mengeksport pasir bernilai berbilion ringgit ke Singapura untuk satu tempoh menjangkau 20 tahun. Katanya, perbuatan itu merupakan satu percanggahan kepentingan pemimpin tertentu dan ada kaitan dengan isu pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa pasir berkenaan akan di ambil dari dasar laut seluas satu bilion meter persegi dan akibat yang akan diterima oleh Malaysia ialah kepupusan ikan dan kesengsaraan hidup untuk para nelayan.

Pendedahan yang dibuat oleh Utusan Malaysia membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena di Johor.

Kita asyik dengan pembangunan Iskandar Malaysia dan dalam keasyikan itu bumi kita digondoli untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Apa nak jadi dengan negara kita jika kerakusan dan kegelojohan terus menguasai pihak tertentu terutama yang bergelar pemimpin dan pentadbir.

Nak harapkan siapa untuk menyiasat?

Harapkan pagar, pagar makan padi.

Wednesday, December 03, 2008

Tiada anugerah datuk untuk orang politik di Selangor

Saya menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas keputusan Sultan Selangor untuk tidak menganugerahkan sebarang bintang dan darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran "dato"' atau "datuk" kepada orang politik sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Baginda yang akan datang.

Sebenarnya, orang politik tidak seharusnya diberi pertimbangan dari sudut keutamaan atas beberapa sebab.

Saya dapati di kebanyakan negeri sebilangan besar orang politik yang diberi penganugerahan tersebut sebenarnya tidak layak dari sudut perkhidmatan cemerlang, kerja-kerja sukarela dan kebajikan dan tempoh lama perkhidmatan.

Kriteria yang diberikan apabila memilih orang politik, oleh pentadbir negeri yang juga orang politik, termasuklah apa sumbangan orang politik berkenaan kepada pemimpin negeri, sama ada dia penyokong pemimpin negeri dan berapa banyak sumbangan yang dihulurkan untuk "perbelanjaan politik" pihak-pihak tertentu.

Jika ditinjau, kita akan dapati ramai orang politik yang berjawatan ketua bahagian parti politik tertentu yang hanya setahun jagung menjadi pemimpin dan tiada pula khidmat lama dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarela kepada masyarakat dan negeri dan yang masih muda, menerima bermacam gelaran datuk.

Ini jauh berbeza dengan keadaan antara tahun-tahun awal negara Merdeka hingga lewat tahun 1970-an dimana bukan senang untuk seseorang itu diberi anugerah bintang dan darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk.

Sekarang, gelaran itu diterima oleh hampir setiap lapisan masyarakat dengan agak mudah sehingga ramai yang menganggap gelaran datuk itu tiada makna dan terlalu murah harganya.

Sudah menjadi satu kelaziman bagi pembuka pintu hotel atau "door man" di hotel-hotel utama sekitar Lembah Kelang yang akan menyapa setiap tetamu sebagai "datuk" sekiranya mereka tidak mengenali orang berkenaan. Mereka berbuat demikian atas kesedaran bahawa ramai orang yang bergelar datuk atau yang belum bergelar datuk akan berasa bangga apabila di sapa sebagai "datuk". Inilah "budaya" yang menjalar di negara ini.

Tidak tahu pula saya sama ada gelaran "datuk" yang menjadi hambatan orang politik dan juga orang "berniaga" yang kononnya "orang korporat" itu boleh dijadikan "saham akhirat" sehingga ada yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkannya.

Teringat saya akan perbualan dua orang politik (ketua cawangan sebuah parti politik di KL) pada satu majlis ilmu yang saya hadiri beberapa tahun lalu. Semasa majlis berhenti rehat untuk jamuan ringan, saya mendengar dengan jelas perbualan mereka (saya cukup mengenali kedua-duanya) seperti berikut:

"Sapa dapat?" tanya si A. "Belum tau lagi. Lis belum keluar," jawab si B.

"Bos (ketua bahagian) rekomen sapa untuk datuk," tanya si A dan dijawab oleh si B "timbalan" (bermakna timbalan ketua bahagian) dan memberitahu si A bahawa dia (si B) di rekomen untuk salah satu pingat.

Perbualan antara dua orang ketua cawangan itu dengan jelas memperlihatkan bahawa bagi kebanyakan orang politik, pangkat, bintang kebesaran dan pingat adalah sebahagian daripada "perjuangan" politik. Dahulu, bapa, emak, datuk dan nenek mereka masuk politik untuk menyokong dan menyertai perjuangan tertentu (spesifik) seperti menuntut kemerdekaan dan mempertahankan hak dan kepentingan bangsa. Bukan untuk mengejar jawatan, pangkat, kedudukan dan kekayaan.

Oleh itu, tindakan Sultan Selangor amat tepat dan seharusnya mendapat sokongan rakyat Darul Ehsan. Masanya sudah tiba untuk memberi anugerah bintang dan darjah kebesaran kepada mereka yang benar-benar layak dan patut dihargai berasaskan sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan terutama secara sukarela kepada Negeri dan Negara.


Monday, December 01, 2008

Kesatuan pekerja Bernama kemuka writ saman terhadap Bernama

Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama-1974 (KPPB) pada Jumaat 28 November telah memfailkan writ saman terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Mahkamah Tinggi Malaya (Bahagian Sivil), Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Melalui writ saman itu, KPPB menuntut satu deklarasi (perisytiharan undang-undang) bahawa pemberhentian 13 orang pekerja oleh pengurusan Bernama adalah salah dan menyalahi undang-undang; menuntut gantirugi; menuntut faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh; menuntut kos atas dasar peguamcara anak guam; dan apa-apa relief lain dan selanjutnya sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Writ saman itu difailkan oleh tetuan Abdul Aziz & Associates bagi pihak KPPB.

Selaku salah seorang veteran Bernama, saya agak terperanjat dengan writ saman itu kerana setahu saya KPPB belum pernah bertindak sedemikian kerana sebarang masalah atau pertikaian yang dihadapi dapat diselesaikan melalui rundingan dan secara baik.

Sebelum ini dan semasa saya berkhidmat hampir 27 tahun dengan Bernama, saya tahu bahawa KPPB selalunya bertindak mengikut rasional dan lebih suka berunding untuk menyelesaikan sebarang masalah. Setahu saya KPPB tidak mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh ahli-ahlinya dan sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang terutama yang berkaitan kesatuan sekerja.

Jadi, apabila KPPB, bagi pihak ahlinya yang juga pekerja Bernama menyaman majikannya sendiri, sudah tentu ada sebab yang kukuh kenapa mereka berbuat demikian.

Menurut dokumen yang menyokong writ saman itu, pada 21 Ogos 2003, Bernama (Defendan) mengeluarkan surat tawaran kepada 13 orang pekerja dari Unit Teknikal di bawah Jabatan Sumber Manusia dengan mengarahkan mereka untuk bekerja di Bernama Systems and Solution Advisor Sdn. Bhd. (BESSAR), iaitu anak syarikat milik penuh Bernama.

Pekerja-pekerja berkenaan diberi opsyen (pilihan) sama ada untuk menerima tawaran itu dengan syarat mereka mesti meletak jawatan secara serentak di Bernama ataupun jika mereka memilih untuk menolak tawaran tersebut, Defendan berhak untuk menukar mereka secara pinjaman BESSAR dan mereka akan terus kekal di bawah perkhidmatan Bernama tanpa perubahan kepada syarat-syarat dan terma-terma pelantikan asal.

Pekerja-pekerja tersebut memilih untuk menolak tawaran itu dan Defendan pada 26 September 2003 mengeluarkan surat pinjaman ke BESSAR berkuatkuasa pada 1 Oktober 2003 dan pekerja-pekerja berkenaan masih kekal sebagai kakitangan di bawah Skim Komersil Bernama dan tanpa perubahan kepada terma dan syarat-syarat asal.

Selepas itu, pada 5 Mac 2004 KPPB (Plaintif) menulis surat kepada Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Defendan untuk memohon penjelasan mengenai status pinjaman pekerja-pekerja tersebut dan Defendan, melalui sepucuk surat bertarikh 26 Mac 2004, menjelaskan status pekerja-pekerja tersebut yang menjadi pertikaian oleh pihak Plaintif.

Pada 21 Mac 2006 BESSAR memaklumkan melalui sepucuk surat kepada pekerja-pekerja tersebut bahawa mereka telah dipulangkan semula kepada Defendan dan Defendan, melalui sepucuk Memo bertarikh 31 Mac 2006 memaklumkan bahawa perkhidmatan pekerja-pekerja tersebut di BESSAR telah ditamatkan berkuatkuasa 1 September 2006.

Di bawah peruntukan undang-undang, Bernama perlu dalam tempoh lapan hari selepas penyampaian writ saman berkenaan, untuk mengamil tindakan sewajarnya.

Friday, November 28, 2008

UMNO perlu anjakan paradigma untuk terus relevan

Pada Rabu lepas (26 November) saya menghadiri apa yang disebutkan sebagai majlis "dialog" dengan "bloggers" anjuran Ibu Pejabat UMNO di Hotel Seri Pacific, bersebelahan menara Dato Onn yang menempatkan markas UMNO.



Majlis itu dipengerusikan oleh YB Dato' Sri Dr Jamaluddin Jarjis, mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti). Beliau adalah timbalan pengerusi sebuah jawatankuasa berkaitan dunia maya yang ditubuhkan termasuk untuk menangani isu-isu berkaitan media alternatif (Blog).



Hampir separuh daripada mereka yang hadir adalah dari markas UMNO itu sendiri termasuk apa yang dikenali sebagai "Cyber Troopers" iaitu sekumpulan petugas yang dilantik untuk mengikuti apa yang disiarkan oleh media alternatif terutama "bloggers" dan bertindak sama ada untuk menangkis atau menjawab serta menghentam laporan berkenaan, jika perlu. Saya tiada masalah dengan perkara itu kerana tidak berselindung dengan apa yang saya sebarkan melalui blog ini.


Saya menyambut baik langkah Ibu Pejabat UMNO bersemuka dengan "bloggers" walaupun tidak semua yang dijemput hadir. Saya katakan begitu kerana pendekatan yang diambil oleh UMNO adalah sesuatu yang bijak dan matang iaitu tidak bersifat konfrantasi tetapi duduk berbincang dan bertukar fikiran.


Saya tidak ingin menyentuh secara spesifik mengenai apa yang berbangkit dalam majlis itu tetapi memadai secara sepintas lalu sahaja.


Saya melihatnya sebagai satu langkah atau strategi yang dimulakan oleh timbalan presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk cuba membawa perubahan berlandaskan peredaran masa dan keadaan semasa terutama membabitkan dunia maya yang terbukti sebagai wadah penting dalam perjuangan politik.


Peranan media alternatif yang digerakkan oleh sistem internet terbukti amat berkesan dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat. Kejayaan besar yang diperolehi oleh bakal presiden AS Barrack Obama adalah hasil daripada penggunaan internet dan pendekatan kempennya mendekati pengundi muda berlandaskan cogan kata membawa "perubahan".


Di Malaysia, hampir semua parti politik yang dirujuk oleh media arus perdana sebagai "parti pembangkang" telah menggunakan internet atau lebih tepat lagi media alternatif terutama blog untuk menyalurkan maklumat dan berita terkini kepada pembaca atau mereka yang melayari internet.


Laman-laman web atau laman sesawang parti-parti politik seperti PAS, DAP dan PKR jauh lebih baik dan maju berbanding dengan laman sesawang UMNO ataupun BN sendiri. Inilah kelebihan parti-parti berkenaan dan inilah juga kelemahan UMNO.


Pilihan raya umum lalu menunjukkan kegagalan UMNO untuk mendekati dan meraih sokongan pengundi muda Melayu terutama golongan profesional. Mereka menjauhkan diri daripada UMNO kerana sudah bosan dan naik meluat dengan amalan rasuah politik, penghambatan jawatan dan kuasa serta sifat sombong dan angkuh yang menjalar di kalangan orang UMNO.


Kita akui bukan semua orang UMNO bersifat sedemikian tetapi susu sebelanga telah rosak akibat setitik nila.


Pergerakan Pemuda UMNO tidak sehebat zaman ia dipimpin oleh Almarhum Dato' Haron Idris yang tidak perlu menghunus keris untuk berjuang dan mencapai apa yang diperjuangkan. Kegemilangan Pemuda UMNO terhakis sedikit demi sedikit selepas zaman Dato' Haron dan ia kini tidak ubah seperti jaguh atas kertas atau "paper tiger" yang hanya gah dalam media.


Kekuatan Pemuda UMNO bukan berasaskan kenyataan berapi-api yang dikeluarkan oleh sama ada ketua atau naib ketuanya. Kekuatan pemuda UMNO tidak terletak pada sama ada pemimpinnya lulusan Oxford, Cambridge atau Harvard dan kekuatan Pemuda UMNO tidak sama sekali terletak pada sebilah keris.


Lihat saja masalah yang dihadapi generasi muda Melayu terutama masalah dadah dan merempit - ia semakin parah walaupun Biro Putera di bawah Pergerakan Pemuda UMNO begitu bangga mengumumkan dalam media bahawa ia sedang mendekati untuk menangani isu Mat Rempit dan masalah lepak. Apa faedahnya mengadakan penerjunan di Khutub Utara atau di khutub mana sekalipun sedangkan masalah Mat Rempit semakin parah dan semakin ganas. Anggota polis trafik yang dirempuh dan dilanggar oleh Mat Rempit terus berlaku.


UMNO, khususnya pergerakan Pemuda, harus ambil tahu dan ambil tindakan sewajarnya tentang kenapa semakin ramai golongan muda Melayu lebih mirip kepada PAS dan PKR dan menjauhkan diri daripada UMNO. Inilah perkara yang mesti ditangani kerana pendirian orang muda hari ini sudah berubah, pemikiran mereka juga berubah dan kemahuan mereka juga berubah.


Jika UMNO kekal pada takok lama dan enggan melakukan perubahan dan anjakan paradigma selari dengan keperluan semasa dan akan datang, ia akan terus disisih oleh golongan muda Melayu dan dengan sendirinya menjadi sebuah parti siasah yang tidak lagi relevan.


UMNO harus terima teguran, kritikan dan kutukan termasuk yang dibuat oleh "bloggers" sebagai sesuatu yang positif untuk berubah dan jangan lagi bersikap bermusuhan atau konfrantasi dan enggan menerimanya kerana terlalu ego dan sombong.


Kuasa yang ada bukan milik mutlak tetapi diberi oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Pada pilihan raya lalu rakyat telah memberi isyarat yang cukup jelas terutama kepada UMNO. Jadikan isyarat itu sebagai satu pengajaran yang amat berharga dan paling berguna.


Setinggi manapun sang bangau terbang, akhirnya turun bertenggek di atas kerbau. Sepandai mana tupai melompat, ke tanah jua akhirnya.


Tuesday, November 25, 2008

Warisan George Town perlu dipertahankan

Bangunan yang dikenali sebagai Town Hall (atas) dan City Council (bawah) adalah sebahagian daripada binaan yang diiktiraf sebagai warisan kebudayaan (senibina) Inggeris yang membolehkan George Town diterima oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia.


Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang ditunjangi oleh DAP harus peka dan berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di dalam kawasan yang diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia, Bandar Bersejarah di Selat Melaka.

Sebarang projek pembangunan yang hendak diluluskan mesti mematuhi dan menepati syarat yang ditetapkan oleh UNESCO, badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan penganugerahan tersebut. Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng harus sedar bahawa bukan senang untuk mana-mana negeri atau bandar untuk diiktiraf sebagai tapak waisan dunia (aspek kebudayaan) seperti yang dinikmati oleh Melaka, Bandar Raya Bersejarah dan Bandar Raya George Town.


Pemilihan George Town sebenarnya berkat usaha Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dan kita akui ada projek pembangunan terbabit diluluskan oleh kerajaan itu. Ini tidak bermakna kerajaan yang ada sekarang boleh melakukan sesuatu tanpa merujuk kepada syarat pemilihan George Town selaku tapak warisan dunia atau melepaskan tangan begitu sahaja.


Adalah diharapkan Lim Guan Eng, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (pengganti Majlis Bandar Raya George Town) akan lebih peka akan kedudukan George Town sebagai tapak warisan dunia.


Dalam hubungan tapak warisan dunia, Lim Guan Eng mewarisi sesuatu yang dimulai dan diperjuangkan oleh kerajaan BN dan bak kata orang, dia dan anggota pentadbirannya seolah-olah memasuki rumah hanya dengan sehelai sepinggang kerana semuanya sudah tersedia. Apabila menghuni rumah tersebut, jangan pula bertindak bodoh dengan merosakkan segala kemudahan yang ada. Buruk padahnya!

Saturday, November 22, 2008

Melaka terima tamparan hebat dpd Shahrukh Khan

Terkini: Isnin 24 November - Kerajaan Negeri Melaka berkata pelakon itu kini bersetuju untuk hadir pada majlis penganugerahan darjah kebesaran itu pada 6 Disember. Semoga dia tak buat hal sekali lagi.




Kerajaan Negeri Melaka terutama ketua menterinya, Ali Rustam, menerima tamparan hebat yang memalukan apabila pelakon Bollywood, Shahrukh Khan membatalkan kehadirannya untuk menerima anugerah bintang kebesaran Melaka yang membawa gelaran datuk.


Alasan yang diberikan... dia terlalu sibuk dan tiada masa untuk ke Melaka.


Apakah ertinya tindakan pelakon Bollywood itu?


Yang dapat difahami ialah dia tidak menghargai dan menghormati penghargaan itu kerana dia adalah seorang pelakon hebat, bernama besar dan disanjungi bukan sahaja di benua kecil India tetapi melepasi sempadan negara itu.


Jadi, peduli apa dengan sebuah negeri kecil bernama Melaka. Peduli apa dengan maruah kerajaan negeri, ketua menterinya dan Yang Dipertua Negeri Melaka itu sendiri. Bagi Shahrukh, bukan dia yang meminta anugerah itu.


Inilah padah yang diterima oleh Kerajaan Negeri Melaka dan Ali Rustam apabila memilih untuk memberi anugerah kepada seorang pelakon Bollywood yang kononnya "berjasa" kepada Melaka semata-mata kerana "memperkenalkan" negeri itu ke seluruh dunia melalui lakonannya.


Apakah sebelum ini Melaka tidak dikenali? Apakah sebelum ini tiada pelancong dari Barat dan Timur Jauh yang mengunjungi Melaka?


Sebenarnya, nama Melaka sudah gah di seluruh dunia bukan kerana filem Hindustan atau Shahrukh Khan tetapi kerana warisan sejarah kesultanannya. Bukankah ia pernah dikunjungi oleh Laksamana Cheng Ho dan pelayar serta pengembara dari dunia Barat. Bukankah laluan laut penting yang memisahkan Malaya dengan Sumatera bernama Selat Melaka! Nama Melaka cukup terkenal dan tidak memerlukan penganugerahan darjah kebesaran kepada seorang pelakon Bollywood untuk menyatakan perasaan terima kasih.


Jikapun Ali Rustam ingin menghargai Bollywood kerana menjadikan Melaka sebagai tapak penggambaran filem, ia tidak semestinya diberi kepada pelakon kerana yang memilih Melaka bukan pelakon tetapi sama ada penerbit atau pengarah filem itu sendiri.


Tindakan Shahrukh Khan tidak akan ke Melaka seperti yang ditetapkan semata-mata kerana dia terlalu sibuk bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Kerajaan Negeri Melaka tetapi kepada negara Malaysia.


Dia sudah tahu dan diberitahu tentang majlis khas yang bakal diadakan khusus untuknya di Melaka. Dia tentu sedar bahawa majlis itu membabitkan Yang Dipertua Negeri dan persediaan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Dia sudah tentu menyemak dan mencatat jadual majlis itu dalam jadual catatan hariannya kerana dia adalah pelakon Bollywood yang pertama diberi penghargaan tersebut oleh sebuah kerajaan negeri di Malaysia.


Oleh itu, adalah tidak wajar bagi Shahrukh Khan untuk membatalkan kehadirannya semata-mata dengan alasan dia terlalu sibuk.


Yang jelas, dia tidak menghormati Yang Dipertua Negeri Melaka, dia tidak menghormati Kerajaan Negeri Melaka dan dia tidak menghargai anugerah yang bakal diterimanya itu.


Thursday, November 20, 2008

Kini masanya untuk Rafidah berundur secara terhormat

Seperti yang dijangkakan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO - iaitu mencabar ketuanya sekarang Tan Sri Rafidah Abdul Aziz.

Keputusan yang diambil oleh Shahrizat adalah tepat kerana amat jelas suara majoriti pemimpin Wanita UMNO peringkat negeri memberi sokongan kepadanya.

Bagi Rafidah, inilah masa yang paling sesuai untuknya bersara dan melepaskan jawatan ketua wanita kerana pelan peralihan yang diilhamkannya amat janggal dan menimbulkan banyak tanda tanya.

Apa yang Rafidah nak buat dalam tempoh tiga bulan sebelum menyerah jawatan itu (atas sifat pemangkuan) kepada Shahrizat?

Jika Shahrizat tidak mencabar Rafidah, kedudukannya selaku naib ketua akan berada seperti telur di hujung tanduk dan kemungkinan besar dia akan tumpas di tangan Datuk Kamilia Ibrahim. Dengan itu, pelan peralihan daripada Rafidah kepada Shahrizat sudah tentu akan gagal. Shahrizat tidak boleh dan tidak seharusnya mempergadaikan kedudukannya.

Rafidah tiada jalan lain melainkan menarik diri daripada bertanding untuk mempertahankan jawatannya jika ia ingin melihat wanita UMNO terus bersatu, mantap dan kuat.

Bak kata Allahyarham P. Ramlee dalam lagunya "Tidurlah Permaisuri" yang diubah sedikit gurindamnya ...... "Undurlah wahai permaisuri, undurlahlah, tinggalkanlah ah ah tinggalkanlah.....

undurlah wahai permaisuri".

Saturday, November 15, 2008

Wanita UMNO semakin bercelaru dan haru biru















Apa yang sedang berlaku di kalangan pemimpin dan anggota Wanita UMNO ekoran daripada pelan peralihan (penyerahan jawatan ketua) yang di atur oleh ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz sebenarnya sesuatu yang cukup bercelaru dan haru biru.

Rafidah tidak mahu dia dan naib ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ditandingi pada pemilihan parti Mac tahun depan. Rafidah mahu menerajui Wanita UMNO untuk tempoh tiga bulan sebelum menyerah kuasa kepada Shahrizat pada bulan Jun.

Ini bermakna Shahrizat akan menerajui Wanita UMNO selaku pemangku ketua untuk satu tempoh hampir sepenggal atau tiga tahun. Dalam tempoh itu, Wanita UMNO, pada mata kasar, akan tiada seorang naib ketua kerana Perlembagaan UMNO tidak membolehkan seseorang dilantik mengisikannya disebabkan Shahrizat adalah naib ketua dan jawatan itu tidak dikosongkan.

Apa muslihat Rafidah untuk mempertahankan jawatan ketua hanya untuk tiga bulan? Jika Rafidah benar-benar ikhlas untuk menyerah jawatan itu kepada Shahrizat, kenapa dalam bentuk pemangkuan?


Ada pihak yang berpendapat bahawa Rafidah ingin kembali ke Kabinet apabila diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika benar, maka ia adalah satu tindakan yang mementingkan diri, jika benarlah seperti yang dikatakan.


Pengerusi Tetap Wanita UMNO yang juga mantan naib ketuanya, Tan Sri Napsiah Omar menyifatkan pelan peralihan yang diilhamkan oleh Rafidah itu sebagai "luar biasa" dan satu perkembangan yang tidak sihat.


Kita sudahpun melihat apa yang sedang berlaku di kalangan pemimpin Wanita UMNO peringkat negeri dan bahagian akibat daripada kecelaruan yang timbul. Ada pemimpin negeri yang sokong Rafidah, ada yang sokong Shahrizat dan ada pula yang sokong tindakan ketua wanita UMNO Kuala Kangsar, Kamilia Ibrahim untuk bertanding bagi jawatan naib ketua. Malah, di negeri tertentu ketua dan naib ketua wanitanya bertelagah pendapat.


Rafidah, yang telah mencurah khidmat dan bakti kepada negara selama 32 tahun termasuk 22 tahun selaku menteri, seharusnya bersara. Itulah pilihan terbaik yang boleh dilakukan oleh Rafidah.


Anak kelahiran Selama, Perak berusia 65 tahun itu sudah tentu mampu membuat keputusan bijak dengan tidak menerima pencalonan untuk mempertahankan jawatan ketua wanita bagi mengelak dimalukan sekiranya Shahrizat mencabarnya dan menang pada pemilihan Mac depan.


Rafidah mula mencurah bakti selaku pengajar di Universiti Malaya pada 1966 sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) pada tahun 1974 dan bertanding atas tiket Barisan Nasional untuk kerusi Selayang (Dewan Rakyat) pada 1978. Beliau berpindah ke Kuala Kangsar pada pilihan raya seterusnya hingga sekarang (pilihan raya umum ke-12).


Nama Rafidah amat sinonim dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak menerajuinya pada tahun 1987 dengan cemerlang dan berjaya. Oleh itu, Rafidah tidak seharusnya membiarkan kecemerlangan perkhidmatannya itu, hampir keseluruhannya atas sifat selaku Ketua Wanita UMNO, dicemari dengan pelan peralihan yang pelik dan luar biasa.


Bagi Shahrizat, 55, dia sebenarnya tiada pilihan melainkan menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO. Sekiranya dia takut untuk berbuat demikian, Shahrizat akan berdepan dengan Kamilia Ibrahim dan belum tentu dia boleh mempertahankan jawatannya itu.


Shahrizat perlu ingat bahawa bahagian-bahagian yang mencalonkannya untuk jawatan ketua, tidak akan menyokongnya untuk jawatan naib ketua kerana sebilangan besar mencalonkan Kamilia. Mereka sudah tentu marah dan kecewa jika Shahrizat tidak mencabar Rafidah dan kemarahan itu akan dialihkan ke atas kertas undi dengan tidak mengundinya tetapi mengundi Kamilia untuk jawatan naib ketua.


Sebagai mantan majistret, Peguamcara Perbendaharaan dan peguam, Shahrizat sudah tentu boleh membuat perhitungan dan keputusan yang tepat dan berani, iaitu menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO dan bukan tunduk kepada pelan peralihan yang hanya akan melayakkannya selaku pemangku ketua. Masanya sudah tiba untuk Shahrizat menerajui Wanita UMNO selaku ketua yang dipilih oleh perwakilan bukan sebaliknya.

Monday, November 10, 2008

Tun Salleh was indeed dismissed

Minister in the Prime Minister's Department Datuk Seri Nazri Abdul Aziz should do his homework before stating that former Lord President (Chief Justice of the Federal Court), Tun Salleh Abas was not sacked but advised to retire. .


Tun Dr Mahathir Mohamad, then prime minister, correctly said that the judges were dismissed as recommended by the Tribunal appointed pursuant to the Constitution of Malaysia by the Yang di Pertuan Agong (King).

After their dismissal which rocked the nation temporarily, the then Lord President Tan Sri Abdul Hamid Omar (later Tun) received a letter dated 13 February 1989 from the International Commission of Jurists (ICJ) Secretary-General Niall MacDermot.

MacDermot wrote to inform Hamid that at a meeting of the Members of the ICJ held in Caracas, Venezuela, on 16 - 21 January 1989, the Commission unanimously adopted a resolution with the support of representatives of its National sections and Affiliated Organisations on the Malaysian judicial crisis.

Among others, the resolution resolved:- "To EXPRESS its grave concern about the removal from office of the former Lord President of Malaysia (Tun Salleh bin Abas) and two other Judges of the Supreme Court of that country namely Tan Sri Wan Sulaiman and Datuk George Siah, as well as the earlier suspension of Judges of that Court."

Similarly, in a letter dated 23 February 1989 the then President of the Court of Appeal, Supreme Court Sydney, Michael Kirby, in his capacity as a Commissioner of the International Commission of Jurists wrote to Hamid seeking answers to events which accompanied the dismissal of Tun Salleh and the two judges.

He wrote: "A great deal of concern is felt amongst the Judges and lawyers of Australia about the removal from office of your predecessor and the manner by which you secured office in succession to him."

The Malaysian Bar Council also commented in a press statement released on 17 June 1988 by its then vice-president S. Theivanthiran which stated that "The Bar Council is gravely concerned at the damaged done to the impartial administration of justice and to public confidence in the administration of justice as a result of the steps taken to remove the head of the judiciary following upon a series of attacks on the judiciary by the Prime Minister after the delivery of judgements displeasing to the Executive."

The words used - removal and remove - meaning to dismiss and not as claimed by Nazri, the de-facto law minister.

However, the Mahathir administration was kind enough to approve pension payments to the judges concerned although, normally, it would not. Unfortunately, similar kindness was not extended to former High Court judge, Dato' Syed Ahmad Idid, who (anonymously) exposed corruption and wrongdoings in the judiciary and was forced to resign.

Like most of us, I am not aware that the judges were paid pensions handsomely and am disappointed that Tun Salleh said nothing about it until it was disclosed by a third party. And we are talking about transparency and honesty.

It is game, set and match to the judges, if I may say so.


Saturday, November 08, 2008

Bayang-bayang Tun Mahathir akan mengekori Najib

Adakah ia satu kebetulan? Inilah persoalan yang bermain dalam minda saya apabila mendapati bahawa nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkait rapat dengan pemindahan kuasa dan kepimpinan pentadbiran negara antara dua orang Perdana Menteri dan timbalan masing-masing.


Ia bukan satu kebetulan tetapi satu kenyataan. Apa yang dapat saya katakan ialah ia memperlihatkan kehebatan dan kepintaran berpolitik oleh Tun Dr Mahathir. Kehebatan beliau pernah diakui oleh mantan PM Singapura, Lee Kuan Yew yang pada satu ketika menyifatkan kehandalan Tun Mahathir sebagai seorang "Silat Master" atau Adi Guru Silat (saya tidak setuju dengan perkataan Maha Guru kerana ia seolah-olah menyamatarafkan dengan Yang Maha Berkuasa).


Saya masih ingat kata-kata Kuan Yew, yang ketika itu Perdana Menteri Singapura, pada satu majlis di Universiti Nasional Singapura. Kuan Yew mengeluarkan kata-kata itu apabila memperkatakan tentang beberapa orang pemimpin Malaysia dan Indonesia yang dikenalinya seperti Tunku Abdul Rahman, Sukarno, Suharto, Tun Razak dan Dr Mahathir.


Katanya, sebagai seorang "Silat Master", amat sukar bagi orang lain untuk membaca langkah (Tun Mahathir) seterusnya (it is difficult for one to read his next move). Begitulah hebatnya Tun Mahathir berasaskan pandangan dan pengalaman Kuan Yew, juga seorang pemimpin yang tidak kurang hebatnya.


Berbalik kepada pemindahan kuasa daripada Almarhum Tunku kepada Almarhum Tun Razak, ia ada kaitan dengan Peristiwa 13 Mei dan penentangan terhadap kepimpinan Tunku selepas itu.
Antara orang yang paling kuat menentang kepimpinan Tunku adalah Tun Mahathir.


Saya ingin mengutip kata-kata Tunku semasa Persidangan Perhimpunan Agung UMNO ke-22 pada 23 dan 24 Januari, 1971 di Hotel Merlin, Kuala Lumpur. Persidangan itu adalah satu sejarah kerana telah menempa perubahan pucuk pimpinan UMNO daripada Tunku kepada Tun Razak.


"Saya sangat dukacita mendengar dalam masa yang akhir-akhir ini kata-kata dan cakapan-cakapan yang mengatakan dalam UMNO sekarang ini ada order baharu dan ada pula order lama yang tidak boleh dipakai. Kata-kata yang seumpama ini tidak sesuai dengan dasar perjuangan kita. Apakah salah silapnya pada yang lama dan apakah kekurangan pada yang dahulu itu? Kerana kita telah menjadikan Malaya yang terjajah kepada Malaya yang Merdeka? Dari Malaya sebuah koloni dibebaskan menjadi sebuah negeri Merdeka. Malaya yang kecil itu dijadikan dia Malaysia? Itukah salahnya?"


( Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra mewarisi kepimpinan UMNO setelah Almarhum Dato Onn Jaafar letak jawatan dan keluar parti berikutan cadangannya untuk membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu tidak mendapat sokongan. Foto ini merakamkan Dato Onn menyampaikan ucapan perpisahan yang turut diamati oleh Tunku).



Tunku seterusnya berkata sekiranya mereka yang menentang kepimpinannya itu bermaksud hendak memberi nafas dan semangat baru dalam parti, beliau amat bersetuju kerana itu menjadi dasar perjuangan UMNO iaitu berubah mengikut peredaran zaman. Tetapi, tambah Tunku, jika sekiranya tujuan mereka hendak menyingkir orang-orang lama dan asal yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada parti dan negara supaya diubah perjuangan UMNO sama sekali, maka beliau tidak bersetuju.


Tunku berkata sekiranya kewujudan order baharu dan order lama itu semata-mata kerana disebabkan adanya beliau, maka perkara itu tidak seharusnya berbangkit kerana beliau tidak lagi Yang Di Pertua UMNO. Jawatan itu dipikul oleh Tun Razak.
Sebelum itu, iaitu pada 22 September, 1970 Tunku telah meletak jawatan Perdana Menteri dan menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada Tun Razak.

(Almarhum Tun Abdul Razak adalah contoh seorang timbalan yang taat dan setia kepada ketua. Kesabaran dan pengorbanan Tun Razak amat dihargai oleh Tunku hingga sanggup menyerah jawatan Perdana Menteri dan kemudian YDP UMNO kepada timbalannya itu).



Pada satu majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin UMNO peringkat bahagian di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 22 September 1970, Tun Razak berkata bahawa UMNO dukacita kerana Tunku memilih untuk bersara dari jawatan Perdana Menteri setelah memimpin selama 19 tahun. Tun Razak merakamkan perasaan terharu dan amat bangga kerana Tunku menamakannya sebagai pengganti.

"Saya telah berdamping rapat dengan Tunku di dalam UMNO dan juga di dalam Kerajaan. Tunku ialah seorang kerabat karib saya dan perhubungan kami berdua adalah sebagai "bapa dan anak", saling hormat-menghormati dan kasih mesra yang tidak boleh dipisahkan oleh sesiapa pun dan oleh mana-mana pihak selagi ada hayat kami. Walaupun ada krisis atau perselisihan faham di dalam parti dan kerajaan tetapi perhubungan kami adalah sentiasa rapat dan kekal".

Kesetiaan Tun Razak terhadap Tunku adalah sesuatu yang benar-benar jujur dan ikhlas, ia bukan satu sandiwara atau lakonan politik yang mengikut rentak dan irama semasa seperti yang pernah dan sedang berlaku dalam UMNO sekarang.



Tidak dapat dinafikan bahawa bayang-bayang Tun Mahathir begitu jelas dalam episod perletakan jawatan Tunku dan pengunduran atau peralihan kuasa yang bakal dilaksanakan oleh PM Abdullah Ahmad kepada Datuk Seri Najib. Ia bukan satu kebetulan tetapi satu kenyataan di mana nama Adi Guru Tun Mahathir terpahat dalam tinta sejarah kerjaya politik Tun Razak dan anaknya, Najib.


Pak Lah bukan sahaja menghampa dan mengecewakan Tun Mahathir, orang yang memilihnya sebagai pengganti, tetapi turut mengecewakan sebilangan besar ahli UMNO dan rakyat dengan corak kepimpinannya.


Dalam episod Tunku-Tun Razak, keadaan dan suasana amat berbeza berbanding dengan episod Pak Lah-Najib. Peristiwa 13 Mei dan kekalahan teruk Perikatan pada pilihan raya umum mengakibatkan kebangkitan apa yang disebut sebagai order baru dan order lama dalam UMNO. Dalam episod sekarang, kekalahan Barisan Nasional di lima buah negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat turut menjadi punca penentangan terhadap kepimpinan Pak Lah.


Tun Razak telah mewarisi kepimpinan UMNO dan kerajaan dengan kejayaan yang besar terutama dalam sudut pembangunan negara dan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama.


Mampukah Najib mengulangi kejayaan bapanya itu? Ianya bukan mustahil tetapi agak sukar memandangkan Najib akan mewarisi ekonomi yang tidak menentu dan berkemungkinan besar kemelesetan yang agak serius. Masalah kaum juga menghantui masa depan negara dan memerlukan penanganan yang bijak, adil dan saksama.


Rakyat Amerika Syarikat mencatat sejarah yang mungkin tidak termimpi oleh satu generasi terdahulu, iaitu memilih seorang yang bukan berkulit putih sebagai bakal presiden. Di Malaysia, perlantikan seorang pegawai bukan Bumiputera selaku pemangku pengurus besar sebuah perbadanan peringkat negeri dibantah dan dijadikan satu isu serius. Inilah antara perkara yang akan diwarisi oleh Najib selain beberapa isu perkauman dan keagamaan.


Bayang-bayang Tun Mahathir akan mengekori Najib. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Najib sama ada ingin dirinya terus dibayangi atau menjadikan bayang-bayang itu satu bayang-bayang pada kelir wayang kulit dengan Najib sendiri sebagai Tok Dalangnya.



Monday, November 03, 2008

APMM bakal memiliki helikopter Agusta-Westland

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang dipertanggungjawab untuk mengawasi sempadan pantai negara akan diperkukuhkan dengan pembelian tiga buah helikopter Agusta-Westland.

Pengumuman mengenai pembelian tersebut diumum oleh syarikat berkenaan dan bukan oleh Kerajaan Malaysia atau APMM dan oleh itu tiada keributan atau persoalan timbul.

Bagaimanapun, harga pembelian tidak diumumkan. Oleh itu, kita tidak tahu sama ada pembelian itu mengikut harga pasaran atau sebaliknya. Nampaknya, tiada ketelusan.

APMM dilaporkan akan memiliki tiga buah helikopter AW139. Kontrak pembelian ditanda tangani pada 7 Oktober dan penghantaran akan dibuat tahun depan (tidak pula disebut bila antara Januari hingga Disember 2009).

APMM akan menggunakan helikopter berkenaan untuk gerakan mencari dan menyelamat (SAR), rondaan udara dan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang.

Helikopter keluaran Agusta-Westland terutama AW139 diguna oleh beberapa agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang beberapa buah negara termasuk Pengawal Pantai Jepun dan Korea Selatan, Agensi Keselamatan Sepanyol, Pengawal Sempadan Estonia, Agensi Maritim dan Pengawal Pantai United Kingdom dan Pengawal Pantai Itali.

Oleh itu, pembelian helikopter AW139 oleh APMM boleh dikatakan bertepatan dengan keperluan kelengkapan untuk menjalankan tugas dan tangungjawab yang diamanahkan.

Sunday, November 02, 2008

Jaguh dasar Bumiputera yang berkepentingan




Semasa musim pemilihan parti sekarang, ramai pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi begitu lantang bersuara "mempertahankan kedudukan dan hak Bumiputera". Sejauh mana keikhlasan mereka berbuat demikian boleh diukur dan hampir semuanya berbuat demikian semata-mata atas kepentingan politik peribadi. Inilah lumrah yang dilalui oleh parti itu apabila tiba masa dan ketika untuk ahli parti, yang disebut sebagai akar umbi, menggunakan kuasa untuk membuat pencalonan barisan kepimpinan parti.



Banyak wang yang mengalir untuk menyogok bagi mendapatkan pencalonan. Lebih banyak akan mengalir apaila anggota perwakilan yang akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengundi kelak.

Pemimpin-pemimpin berkenaan menonjolkan kemarahan apabila pihak lain menyentuh tentang kedudukan dan hak Bumiputera. Ini termasuk mempertikai perlantikan seorang pegawai kanan dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilantik memangku jawatan Pengurus Besar perbadanan itu. Ia hanya memangku.

Bantahan dibuat semata-mata pegawai itu bukan berbangsa Melayu. Saya mencari tetapi tidak menjumpai syarat atau peruntukan dalam akta penubuhan PKNS yang menyebut bahawa jawatan itu adalah hak mutlak sesuatu bangsa atau kaum. Alasan yang diberi oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dihiraukan walaupun ianya berasas dan tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Yang penting bagi mereka ialah bantah. Itu saja.

Yang jelas, ada di kalangan pemimpin UMNO berkenaan yang kononnya berjuang mempertahankan hak dan kepentingan Bumiputera melakukan sesuatu yang sebaliknya semata-mata atas kepentingan peribadi. Tidak pula kedengaran suara-suara yang lantang membantah.

Mereka bukan sahaja bersekongkol dengan orang lain tetapi mendapat faedah daripadanya.

Lihat saja senarai ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat milik bukan Bumiputera sama ada yang tersenarai dalam Bursa Malaysia atau tidak. Lihat siapa yang dilantik selaku pengerusi (hampir semua bertaraf bukan eksekutif) dan siapa pula yang dilantik menduduki lembaga pengarah. Adakah muka-muka bangsa Melayu itu benar-benar layak atau perlantikan mereka berkepentingan? Atau ianya dibuat semata-mata untuk memenuhi syarat dan tidak lebih daripada untuk diperkudakan apabila syarikat berurusan dengan kerajaan?
Pemimpin UMNO boleh menerima kedudukan sedemikian kerana ianya menguntungkan mereka tetapi tidak dapat menerima sekiranya orang bukan Bumiputera yang layak dan cukup syarat dilantik ke jawatan tertentu. Kenapa wujud dwi-standard?
Dalam kes PKNS, pengurus besar tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hatinya kerana wujud Akta dan lembaga pengarah. Walau siapapun yang dilantik, ia tidak tidak terlepas daripada perkara itu. Menteri Besar adalah bosnya.
Semasa Dr Khir Toyo berjawatan MB Selangor, dia bertangunggjawab penuh ke atas PKNS dan kini tiba giliran Tan Sri Khalid. Kita sudah merdeka lebih separuh abad dan kita seharusnya sudah dewasa.

Tuesday, October 28, 2008

Siapa bakal penghuni Aras 4, Blok Utama, Kompleks Perdana Putra





(Foto Kompleks Seri Perdana, Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia)

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menukilkan mengenai penghuni "Tingkat 4" dalam blognya sambil menasihati bakal Perdana Menteri Najib Abdul Razak supaya jangan terjerumus (ini kata-kata saya bukan Tun M) dalam kubang yang sama seperti PM Abdullah Haji Ahmad (Pak Lah). Nasihat Tun M amat berguna dan harus diambil kira oleh Najib, andai kata dia ditakdirkan berpejabat di Aras 5, Blok Utama.


Tun M merujuk kepada lantai berkenaan sebagai "Tingkat 4" sedangkan perkataan yang diguna secara rasmi untuk merujuk kepada lantai-lantai di Kompleks Perdana Putra ialah "aras" dan bukan tingkat.


Pejabat PM terletak di Aras 5, Blok Utama manakala pejabat Timbalan PM di Aras 4, Blok Barat, sama searas dengan segolongan penasihat Pak Lah yang mengisi ruang-ruang pejabat di Blok Utama.


Semasa Tun M menjadi PM, ruang pejabat di Aras 4 turut menempatkan Pembantu Khasnya Hashim Ahmad Makaruddin (kini Tan Sri dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu), Setiausaha Akhbarnya Zakaria Wahab (kini Pewarta Bernama di Singapura) dan Penolong Setiausaha Akhbar Saufi Yusof (kini Pegawai Khas Tun M). Dalam erti kata lain, bidang tugas mereka yang menghuni Aras 4 adalah yang berkaitan media.


Apabila Pak Lah mengambil alih kerusi PM, peranan dan kuasa mereka yang menghuni Aras 4 turut berubah dan tidak terbatas kepada urusan berkaitan media. Penghuni-penghuni Aras 4 dikatakan cukup hebat dan berpengaruh sehingga boleh menghubungi para menteri dan ketua-ketua kementerian dan jabatan melalui telefon untuk memberi 'arahan' atau pesanan dan nasihat bagi pihak PM.


Oleh itu, peranan penghuni-penghuni Aras 4 dikatakan mengatasi semua 'penasihat' PM termasuk Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO. Tun M pun kata demikian dalam blognya. Keadaan itu juga mengakibatkan pentadbiran Pak Lah tidak popular dan peranan Aras 4 turut diguna untuk kepentingan lain. Akibatnya, Pak Lah terpaksa membayarnya dengan kos yang cukup tinggi, iaitu melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya.


Tun M telah menasihati Najib, jika anak mantan PM Tun Abdul Razak itu dapat menduduki kerusi PM, supaya pelajari daripada kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah. Saya berkata jika Najib menjadi PM kerana berpegang kepada kenyataan bahawa manusia hanya mampu merancang dan yang menentukannya adalah Allah. Jika Allah mengizinkan maka Najib akan jadi PM.


Najib harus berhati-hati dan mengamalkan ketelitian dan tapisan yang sehalus-halusnya jika ingin melantik mana-mana individu sebagai penasihat dan pembantu yang bakal menghuni Aras 4. Lulusan Oxbridge atau Harvard tidak semestinya yang terbaik dan lulusan UM, UKM atau USM dan IPT lain di Malaysia tidak semestinya tidak bagus.


Najib tidak semestinya mengikuti apa yang dibuat oleh Pak Lah iaitu melantik 15 orang pegawai, lima orang penasihat dan lima orang setiausaha politik semasa mula-mula mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan daripada Tun M. Ianya terlalu ramai dan tidak diperlukan oleh seorang PM.


Saya ingin kembalikan ingatan para pembaca kepada siapakah pegawai-pegawai utama Pak Lah pada masa itu.


Mereka adalah Dato' Mohamed Thajudeen Abdul Wahab selaku Ketua Setiausaha Sulit (KSUS), Ahmad Nazri Yusof selaku Timbalan KSUS (I), Khairy Jamaluddin selaku Timbalan KSUS (II), Ho May Yong selaku Pegawai Tugas-tugas Khas, Ahmad Yaacob selaku Setiausaha Sulit Kanan, Ahmad Zaki Zahid selaku pegawai Khas Unit Luar (Aras 4), Kamal Khalid selaku Pegawai Khas Unit Komunikasi (Aras 4), Azhar Osman (allahyarham) selaku Setiausaha Akhbar (I) (Aras 4), dan Aminuddin Md Yassin selaku Setiausaha Sulit (I).

Khairy terpaksa melepaskan jawatannya setelah Pak Lah dimaklumkan mengenai satu Pekeliling yang melarang ahli Kabinet daripada melantik anggota keluarga memegang jawatan-jawatan tertentu bersifat pembantu seperti Setiausaha Sulit, Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas.


Lima orang penasihat yang dilantik ketika itu adalah Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcob (Kewangan) yang kini Menteri Kewangan II, Tan Sri Dato Ali Abul Hassan Sulaiman (Ekonomi), Tan Sri Abdul Kadir Mohamad (Dasar Luar), Tan Sri Datuk Dr Ahmad Zaharuddin Idrus (Sains) dan Tan Sri Abdul Hamid Othman (Agama). Nama Tan Sri Hamid tiada dalam senarai asal yang dikeluarkan tetapi dia dikekalkan, atas sebab-sebab tertentu, selaku Penasihat Agama.



Lima orang setiausaha politik ketika itu adalah Dato' Mohd Johari Baharum (kemudian Timbalan Menteri Dalam Negeri), Dato' Mahadzir Khalid (kemudian mantan MB Kedah), Dato' Osman Desa (tewas dalam pemilu lepas), Dato Hasbullah Lebai Isa dan Dr Vincent Lim Kian Tick.



Para pegawai, penasihat dan setiausaha politik yang dilantik oleh Pak Lah sebaik sahaja mengambil alih jawatan PM mengatasi yang berkhidmat dengan mantan PM sebelum itu. Adalah diharapkan Najib tidak akan melakukan perkara yang sama semata-mata untuk memberi jawatan kepada kroni atau membalas budi orang tertentu.



Perlantikan pegawai dan penasihat di Pejabat PM amat penting dari semua sudut terutama keselamatan. Ia harus dibuat dengan cukup teliti dan melepasi tapisan keselamatan. Penghuni Aras 4 di bawah Najib, jika dimakbulkan Tuhan, harus balik kepada peranan dan bidang tugas asal dan tidak mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbirasn Pak Lah.

Tuesday, October 21, 2008

Politik wang dan pawang politik dalam UMNO




Kelohan Menteri Luar Negeri Dr Rais Yatim mengenai keseriusan politik wang atau rasuah politik dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO bukanlah sesuatu yang baru dalam sepak terajang politik tanah air terutama di kalangan orang UMNO.

Rasuah politik dalam UMNO sukar malahan tidak dapat dihapuskan selagi mereka yang bertanding merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi mahupun di peringkat bahagian dan mereka yang dipilih menjadi ahli perwakilan bersifat tamak haloba dan tamak kuasa. Selagi kedu-dua ketamakan ini bersemai dalam hati orang yang bertanding dan orang yang bakal membuat pemilihan (mengundi), maka penyakit ini tetap akan wujud.

Rasuah politik di kalangan pemimpin atau bakal pemimpin UMNO bertapak di peringkat cawangan lagi dan menjadi parah apabila tiba di peringkat bahagian dan merebak sebagai wabak apabila membabitkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi.

Kita akui bukan semua cawangan dihidapi penyakit ini dan bukan semua orang yang bertanding merebut jawatan dalam UMNO mengamalkan rasuah politik. Ada pemimpin yang bersih daripada amalan rasuah politik dan ada juga ahli perwakilan yang menolak sogokan dan habuan yang sememangnya diharamkan itu.

Semasa menceburi dunia kewartawan hampir 27 tahun dan kemudian selaku setiausaha akhbar kepada seorang menteri UMNO (Dr Rais Yatim), saya ada sedikit pengalaman berkaitan isu rasuah politik yang sudahpun menjadi barah kepada UMNO.



Semasa berkhidmat dengan Dr Rais saya dilantik selaku Wakil Calon apabila Dr Rais bertanding merebut salah satu jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan tahun 2000. Sebenarnya, saya bukanlah orang yang sepatutnya dilantik tetapi sebagai seorang pegawai yang menurut perintah, saya mematuhi arahan ketua.

Selaku Wakil Calon, saya mewakili Dr Rais dalam urusan rasmi berkaitan pertandingan termasuk menyaksikan proses mengundi dan pengiraan undi. Perlu ditegaskan bahawa saya tidak sama sekali mengurus atau mengendalikan apa-apa perbelanjaan yang dibuat oleh urusetia atau bilik gerakan calon berkenaan.



Kurang 24 jam selepas perlantikan saya dibuat secara rasmi, saya mula menerima panggilan telefon daripada mereka yang mengakui mewakili bahagian-bahagian UMNO tertentu. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh dengan cepat tahu bahawa saya adalah Wakil Calon Dr Rais? Saya bukan membuat andaian tetapi percaya bahawa maklumat itu disalurkan oleh pihak tertentu di Ibu Pejabat UMNO (Menara Dato Onn).

Mereka yang menghubungi saya menyatakan bahawa pencalonan Dr Rais mendapat sokongan dan mereka menjanjikan beberapa undi daripada bahagian masing-masing. Saya tidak perlu menyatakan apakah tujuan mereka menghubungi saya kerana umum mengetahui bahawa mereka mahukan habuan atau sagu hati atas daya usaha mendapatkan sokongan.

Tetapi, seperti yang saya katakan awal-awal lagi, saya tidak mengurus wang atau terlibat dalam sebarang perbelanjaan semasa berkempen dan oleh itu, saya dengan jelas menyatakan kepada mereka yang menghubungi saya bahawa saya tidak diberi sebarang peruntukan untuk dibelanjakan termasuk memberi sogokan sama ada kepada ejen atau ahli perwakilan.

Dr Rais telah memberitahu bahawa dia tidak akan memberi wang ataupun menerima wang daripada mana-mana pihak dalam usaha untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Sekiranya perkhidmatan dan pengalaman beliau dikehendaki, ahli-ahli perwakilan boleh mengundi dengan jujur dan ikhlas. Saya berpegang kepada pesanannya itu dan kesannya saya turut dicemuh dan dijadikan bahan sindiran.

Saya menyebut "menerima wang" kerana itulah yang saya lalui selaku Wakil Calon. Selama ini orang bercakap mengenai politik wang yang membabitkan sogokan daripada pihak calon kepada perwakilan tetapi jarang orang bercakap mengenai sogokan daripada pihak ketiga kepada calon.

Saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali yang menawarkan sokongan dalam bentuk wang ringgit. Semuanya terpaksa ditolak atas arahan Dr Rais sendiri. Katanya, jika kita terima sumbangan, kita kena membalasnya kemudian dalam apa jua bentuk termasuk pemberian projek atau kontrak serta mahukan sokongan untuk bintang dan darjah kebesaran. Oleh itu, semua tawaran sumbangan yang diterima melalui pejabat saya telah ditolak dengan cara yang baik.

Selain panggilan telefon, pejabat saya di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya turut dikunjungi oleh mereka yang kononnya mewakili bahagian-bahagian UMNO tertentu dari utara hinggalah ke selatan. Mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk ke Putrajaya menemuai sama ada menteri yang bertanding atau Wakil Calon untuk tujuan-tujuan tertentu.
Selain rasuah politik, satu perkara yang memeranjatkan saya semasa menjadi Wakil Calon ialah penggunaan bomoh dan pawang oleh calon yang bertanding. Saya sendiri menerima tawaran daripada seorang yang kononnya boleh membantu Dr Rais melalui khidmat "wali". Tawaran yang bersifat syirik itu telah ditolak kerana orang yang menawarkan perkhidmkatan itu sebenarnya cuba mendapat habuan semata-mata.

Pada tahun pemilihan yang saya terlibat itu, saya difahamkan bahawa khidmat bomoh dan pawang termasuk bomoh Siam, Orang Asli, Jawa dan pawang Melayu telah digunakan oleh sebilangan calon yang benar-benar ingin menang. Perkara ini sudah pasti akan dinafikan oleh mereka yang terlibat sama seperti mereka menafikan pembabitan dalam politik wang.

Penggunaan pawang dan bomoh oleh orang politik untuk mendapat sesuatu, terutama jawatan penting, bukan perkara baru. Lihat saja apa yang terjadi kepada seorang mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang bercita-cita menjadi Menteri Besar dengan menggunakan khidmat seorang bomoh wanita.

Orang politik yang ingin mendapat sesuatu jawatan penting akan menggunakan apa sahaja yang termampu untuk mencapai cita-cita mereka. Wang ringgit bukan merupakan satu-satunya saluran dan ukuran untuk berkuasa tetapi mereka sanggup melakukan apa saja, termasuk menggunakan pawang dan bomoh, untuk mendapatkannya.

Sekali lagi saya tegaskan bukan semua yang bersikap sedemikian tetapi tidak boleh dinafikan ada yang berbuat demikian untuk memuaskan hawa nafsu menjadi pemimpin kerana melalui kepimpinan itu mereka boleh meraih kemewahan hidup.

Sebab itulah ramai orang yang tidak jujur berebut-rebut untuk menjadi Ketua Cawangan, Ketua Bahagian dan seterusnya ahli Majlis Tertinggi bukan kerana ingin berkhidmat dan menabur budi dan jasa kepada parti, bangsa, agama dan negara tetapi kerana pulangan yang bakal diperolehi hasil daripada kedudukan tersebut.
Inilah penyakit yang menjadi barah yang bakal membunuh UMNO sekiranya pemimpin dan ahli parti itu tidak mahu mencari penawar untuk mengubatinya.

Saturday, October 18, 2008

Perlantikan hakim bidang kuasa Agong

Perlantikan hakim-hakim bagi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah bidang kuasa dan hak mutlak Yang diPertuan Agong dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak.

Perkara ini disebut dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah difahami dalam Perlembagaan Perskutuan Malaysia di bawah Perkara 122B.

Oleh itu, agak kurang bijak bagi sesiapa termasuk orang politik terutama wakil rakyat DAP ataupun Majlis Peguam untuk mempersoalkan perlantikan Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi. Sama ada kita suka, setuju atau tidak dengan perlantikan itu, kita kena menerima dan menghormati kebijaksanaan Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang diPertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Sebelum memberi nasihatnya di bawah Fasal (1) dalam Perkara 122B tentang perlantikan seseorang hakim, lain daripada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah meminta fikiran Ketua Hakim Negara. Oleh itu, perlantikan Tan Sri Zaki dibuat setelah Perdana Menteri berunding dengan Ketua Hakim Negara yang akan bersara Tun Abdul Hamid. dalam erti kata lain, perlantikan Tan Sri Zaki dibuat mengikut semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Dewan Rakyat (DAP) YB Lim Kit Siang nampaknya sedang mempertikai perlantikan Tan Sri Zaki dengan cuba menggunakan Perkara 127 dalam Perlembagaan Persekutuan dan meminta semua wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menyokongnya.

Perkara 127 memperinci persoalan berkaitan sekatan mengenai perbincangan Parlimen tentang kelakuan hakim., iaitu:-

"Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali dengan suatu usul yang tersendiri dan notis mengenainya telah diberi oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan juga tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Dewan Negeri."

Kita tidak mempersoalkan hak YB Kit Siang untuk mengemukakan usul berkenaan tetapi adakah ianya perlu dan tidakkah ia, secara langsung, mempertikai kebijaksanaan dan bidang kuasa Yang diPertuan Agong?

Yang diPertuan Agong membuat perlantikan itu mengikut apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan ianya mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. Kebijaksanaan Majlis Raja-Raja tidak seharusnya dipertikai kerana pada masa lepas, Majlis Raja-Raja pernah tidak bersetuju dan menolak calon yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. Majlis Raja-Raja menggunakan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan tidak hanya meluluskan sesuatu cadangan perlantikan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Kita akui bahawa perlantikan hakim mungkin mempunyai kepentingan politik tetapi itu adalah hak Perdana Menteri dan terpulanglah kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan muktamat dan ianya mesti dihormati dan diterima oleh rakyat.