Tuesday, December 30, 2008

Rumah keluarga Eddy Choong kini pejabat PERKESO



Rumah agam yang merupakan kediaman keluarga jaguh badminton dunia era 1950-an, Datuk Eddy Choong, kini berubah wajah apabila dijadikan pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang.


Rumah agam yang terletak di Jalan Burma (dekat Pulau Tikus) itu dikekalkan dalam bentuk senibina asalnya kerana ia merupakan bangunan yang diikiraf sebagai satu warisan (senibina).


PERKESO mendirikan sebuah bangunan menara bersebelahan rumah agam itu di tapak yang dahulunya menempatkan rumah kediaman pemandu, tukang kebun, tukang masak dan pembantu rumah keluarga Choong.


Eddy Choong menjuarai acara perseorangan badminton All England, iaitu kejuaraan tidak rasmi dunia, sebanyak empat kali antara tahun 1953 dan 1957. Dia juga menjuarai bahagian bergu berpasangan dengan abangnya, David Choong sebanyak tiga kali pada tahun 1951, 52 dan 53.

Eddy Choong juga terpilih dalam senarai Badminton Hall of Fame pada 1997. Pemain badminton negara yang turut tersenarai adalah David Choong, Ng Boon Bee, Ong Poh Lim dan Tan Yee Khan, semuanya pada tahun 1998.

Eddy Choong adalah antara pemain yang mewakili negara mempertahankan Piala Thomas pada tahun 1955.

Baru-baru ini saya menemui salah seorang anak pemandu keluarga itu yang berketurunan Jawa bernama Marzuki, iaitu kawan sepermainan semasa kanak-kanak, di Lorong Kulit. Marzuki adalah antara berpuluh peniaga kecil yang menjual barangan terpakai dan antik di padang letak kereta bersebelahan Stadium Bandar Raya di Lorong Kulit. Penjualan barangan lusuh dan antik itu diadakan pada setiap hujung minggu di situ dan orang Pulau Pinang merujuk tempat itu sebagai "Rope Walk", iaitu tempat asal yang menawarkan penjualan barangan lusuh dan antik. Rope Walk asal atau Jalan Pintal Tali terletak antara Lebuh Chulia dan Jalan Prangin.

No comments: