Sebut saja gendang raya, ramai remaja dan anak muda tidak tahu mengenainya. Penggunaan gendang raya atau beduk kini boleh dikatakan pupus di telan zaman termasuk di kampung mahupun pinggir kota.
Gendang raya begitu sinonim dengan masjid atau surau di semua negeri dalam persekutuan Malaysia.
Di Pulau Pinang, gendang raya bukan sahaja digunakan sebagai alat pengumuman masuk waktu solat tetapi sebagai salah satu alat perhubungan atau pemakluman awam. Pukulan gendang raya mengikut berapa kali dipalu membawa pengertian atau makluman tertentu.
Sayang sekali, peranan gendang raya tidak lagi dihargai setelah masjid dilengkapi alat pembesar suara untuk melaungkan azan. Jika dahulu gendang raya akan dipalu sebelum azan dilaungkan (tanpa pembesar suara), kini azan dilaungkan menerusi pembesar suara tanpa paluan gendang raya.
Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
Baru-baru ini, kenangan saya dikembalikan ke tahun-tahun lewat 50-an dan 60-an apabila ke Masjid Tuan Guru di Jalan Tanjong Tokong Lama, Pulau Pinang. Saya terpegun melihat sebuah gendang raya tergantung megah di dalam masjid itu. Mungkin gendang raya itu tidak dipalu untuk menandakan masuknya waktu solat, tetapi ia sekurang-kurangnya mengingatkan atau memaklumkan kepada generasi yang ada di sekitar perkampungan Melayu itu tentang peranan dan kegunaan gendang raya.
Gendang raya adalah warisan bangsa dan ia seharusnya dipelihara dan dihargai walaupun kita kini berada dalam era kesejagatan dan dunia siber tanpa sempadan. Malangnya, kebanyakan masjid yang baru dibina atau yang menggantikan masjid lama, telah tidak mengekalkan atau menyimpan gendang raya seperti yang dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Qariah Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong.
Gambar gendang raya yang masih dihargai dan dikenangi akan kegunaannya yang menjadi kebanggaan semua anak qariah Tanjong Tokong (Jalan Tanjong Tokong Lama)
1 comment:
kat kg aku la nih...(penuh bangga) huhuhu...
Post a Comment