Saturday, December 06, 2008

Jaminan yang sama setiap kali bencana berlaku

Saya dan saya yakin majoriti rakyat sudah bosan mendengar jaminan dan pengakuan oleh pemimpin negara setiap kali berlaku bencana alam.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi apa yang selalunya diluahkan apabila berlaku bencana alam yang mengakibatkan kematian.

Kejadian tanah runtuh di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bukan perkara baru dan tragedi di Bukit Antarabangsa juga bukan perkara baru.


Apabila tragedi Highland Towers berlaku, kerajaan mengarahkan semua pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit dihentikan. Tetapi, setelah keadaan reda kita dapati puncak bukit dan lereng bukit terus digondol untuk pembangunan kediaman terutama yang bertaraf mewah.


Kerakusan pemaju dan ketidakpekaan pihak berkuasa tempatan adalah punca berlakunya bencana alam yang bukan dek alam semula jadi tetapi akibat perbuatan manusia mengusik dan mengubah struktur alam.


Inilah yang berlaku di Bukit Antarabangsa.


Tragedi itu tidak akan berlaku sekiranya manusia tidak mengusik kesempurnaan alam ciptaan Allah. Bukit dan hutan ada peranan dan akibat perbuatan manusia menebang pokok dan meratakan bukit atas nama pembangunan, dengan sendirinya tujuan kewujudan hutan dan bukit telah diusik dan akibatnya berlakulah bencana.


Jangan salahkan alam, jangan salahkan cuaca. Salahkan pihak berkuasa tempatan yang meluluskan projek-projek pembangunan di atas bukit (tanah tinggi) dan di lereng bukit.


Kerajaan pula janganlah asyik memberi amaran dan arahan yang kemudiannya tidak dihiraukan. Ketegasan nampaknya menjadi kelemahan yang akhirnya mengakibatkan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.

8 comments:

mn said...

Tuan Syed,

1. Bukan 'bencana alam' tetapi ini 'bencana buatan sendiri'.

2. Siapa suruh depa dok pi buat bunglow di lereng-lereng bukit tu?

3. Depa ingat bukit tu besi. Depa tak tau bukit tu tanah. Bila mai hujan lebat tanah tu boleh relai dan gelungsur ke bawah.

4. Peliknya yang dok di Bkt A.bangsa tu kebanyakannya orang cerdik-cerdik dan elit belaka.

5. Ini yang susah bila terlalu cerdik, last sekali pi buat bunglow dan pi beli bunglow di lereng bukit. Depa belajar kat universiti mana nih..???

Anonymous said...

Sebenarnya saya sedikit kecewa sebab tragedi ini tidak mendapat liputan yang meluas di akhbar-akhbar tempatan. Seharusnya ia disiarkan di beberapa muka surat sebagai peringatan untuk semua.
Salam Aidl Adha.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Apa nak buat, pada mata mereka, $$$$ melebihi segala galanya.

Apabila pihak pemaju pergi jumpa mereka dengan briefcase yang dipenuhi dengan kepingan wang RM100& RM50 atau pun sekurang-kurangnya dengan sekeping cek yang tertera angka-angka dengan nilainya di dalam imbuhan juta, mata mereka jadi kelabu dan peraturan yang mereka wujudkan terlebih dahulu, mereka sendiri melanggarinya.

Dan selepas 5 atau 10 tahun dan apabila kejadian-kejadian baru terjadi, sekali lagi mereka akan keluarkan peraturan yang sama.

Selagi kejadian-kejadian sebegini tidak melibatkan anak bini dan kaum keluarga mereka selagi itu mereka tidak akan insaf.

Apa pandangan Tuan Syed?

Unknown said...

Setuju. Saya setuju dengan komen Sukj, Ismail N dan Anon 10:04. Manusia mudah lupa bahawa bukit adalah pasak bumi. Jika ia diusik, manusia juga yang akan menerima padahnya.

Tanah runtuh dahpun mula berlaku di Taman Tun Abdul Razak (Taman TAR) dan saya khuatir malapetaka yang serupa akan berlaku di situ. Hanya menunggu masa.

Untuk pengetahuan, bukit bukau yang bermula dari Ampang Jaya hinggalah ke Ulu Klang mengandungi banyak mata air dan anak sungai bawah tanah. Kuasa airlah yang mengakibatkan Highland Towers rebah menyembah bumi dan kuasa air juga yang mengakibatkan bencana di Bukit Antarabangsa. Kedua-dua bencana itu, seperti yang dikatakan oleh pengulas di blog ini, berlaku kerana angkara manusia. Manusia telah mengusik keseimbangan alam semula jadi.

tajudin said...

mereka pemaju cuma akan lupa dan patuh arahan cuma 3 bulan sahaja. paling maksimum.

lepas itu, "kita" gerak semula.

Anonymous said...

Maaflah, saya rasa kurang simpati kepada mangsa tanah runtuh kerana salah mereka membina rumah di lereng bukit yang mana pemaju juga patut tahu risiko yang akan berlaku. Kepada pemaju, anda patut bertanggungjawab atas segala kejadian itu. Dan pihak berkuasa tempatan, anda juga perlu menanggung raza azab.

Tulang makanan jin, bukit-bukau tempat tinggalnya. Manusia patut membina rumah di kawasan lapang yang selamat.

- Mat Habitat

Cucu Tok Selampit said...

Part I

Apa lagi yang hendak diperkatakan. Apabila manusia sendiri rakus menodai alam, adakah kita mengharapkan alam sebaliknya akan menjaga kita? Manusia-manusia ini tidak pernah belajar dari kesilapan. Bukan sekali dua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan tanah tinggi. Yang terbesar adalah keruntuhan Kondominium Highand Towers yang bakal menyambut ulang tahunnya pada hari esok. Jika dikaji secara mendalam, siapakah yang mendiami kawasan-kawasan mewah ini, kita akan mendapati tidak ada orang miskin menumpang hidup di sini melainkan orang-orang gaji yang menumpang bekerja. Semua penduduknya adalah golongan Datuk-Datuk, Tan Sri dan hartawan jutawan. Tentunya saudara-saudara beranggapan kenyataan ini adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan. Siapa yang lebih tidak berkemanusian. Saya atau golongan-golongan ini yang membantu mengondol bukit-bukit dan tanah tinggi. Adakah perkara ini tidak mengenai batang hidung saya, maka saya berkenyataan kejam sebegini. Salah. Seorang mangsa di dalam tragedi tersebut adalah Pakcik saya. Beliau kini terpaksa menginap di rumah anak perempuannya di Shah Alam selepas kejadian dua hari lepas.

Hasil pembelajaran saya yang tidak seberapa ini, boleh dikatakan kebanyakan agama menegah pengondolan tanah-tanah tinggi dan bukit bukau yang menjadi pasak bumi. Kita tidak memerlukan kajian roket sains untuk memikirkan perkara ini. Sekiranya pasak bumi telah ditarah dan dirogol sewenang-wenangnya, apa lagi yang diharapkan untuk bumi melindungi kita. Bumi kita tengah nazak dengan perbuatan kita sendiri. Jangan salahkan alam sekitar sekiranya bencana alam yang telah, sedang dan akan berlaku. Mengapakah hendak disalahkan pihak kerajaan tempatan yang kononya gagal mengawal pencerobohan tanah tinggi? Mengapa hendak disalahkan pemaju yang membina dan mengondolkan bukit-bukit bukau ini. Salahkan diri sendiri! Salahkan pembeli dan mangsa-mangsa yang terlibat di dalam tragedi tersebut. Tanpa permintaan dari mangsa-mangsa tragedi tersebut, maka adakah penawaran daripada pihak pemaju? Sekiranya tiada permintaan dari golongan-golongan yang kononya berstatus elit tinggal di puncak tinggi, perlukah adanya pengawasan dan pengawalan dari pihak berkuasa. Jangan asyik menunding jari apabila berlakunya mala petaka. Salahkan diri sendiri. Satu jari telunjuk menunding ke arah orang lain, tiga lagi jari akan menunding ke arah diri sendiri. Pada masa sekarang masih banyak lagi projek-projek perumahan mewah yang sedang atau dalam pembinaan di sekitar tanah-tanah tinggi dan bukit bukau. Adakah projek-projek ini adalah untuk rakyat marhaen dan miskin. Tidak. Projek-projek ini adalah untuk Datuk dan Tan Sri dan hartawan serta jutawan. Nasihat saya, teruskan dengan hukum permintaan ini. Semoga suatu hari nanti kita kita terpaksa menghabiskan duit rakyat untuk menyelamatkan mereka-mereka ini daripada runtuhan seterusnya.

Part II

Menteri Perdagangan Dan Industri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan bilik hotel percuma kepada penduduk di Bukit Antarabangsa yang bercadang hendak berpindah daripada kediaman mereka dan tidak mempunyai kawan dan sanak saudara untuk tinggal. Sejak bilakah layanan kelas pertama ini diberikan kepada golongan orang-orang kaya ini. Bukankah seluruh Malaysia sekarang sedang mengalami musim banjir dan ramai lagi yang kehilangan harta benda dan tiada tempat untuk tinggal. Kenapa tiada layanan dan janji yang sama untuk memperuntukkan biliik-bilik hotel kepada mereka. Kenapakah ada layanan 'double standard'? untuk golongan-golongan yang kaya sahaja? Bukankah golongan-golongan banjir ini juga rakyat Malaysia, pembayar cukai dan turut menyumbang untuk pembangunan negara? Malah di dalam laporan berita semalam, dipaparkan nasi-nasi bungkus yang masih elok dibuang di kawasan penempatan. Soalan saya, adakah orang-orang kaya ini tidak betah makan nasi bungkus walaupun di masa darurat? Oh ya, saya lupa. Inilah peraturan dunia. Jika perkara ini berlaku kepada rakyat biasa, tiada siapa yang ambil perduli. Sekiranya ini berlaku kepada orang-orang kaya, Sultan turun padang, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri turut turun padang. Inikah yang kita katakan prihatin???

Anonymous said...

Ami Ban,

Semperna kita menyambut Hari Raya Iduladha ni, lebih baik pemimpin-pemimpin dan kita semua berbanyak Muhasabah diri, apa yang berlaku atas kesilapan manusia sendiri di muka bumi ini yang diciptanya dengan sangat sempurna.
Berbanyaklah kita kembali kepada jalanya.

-Mijan-