Friday, November 28, 2008

UMNO perlu anjakan paradigma untuk terus relevan

Pada Rabu lepas (26 November) saya menghadiri apa yang disebutkan sebagai majlis "dialog" dengan "bloggers" anjuran Ibu Pejabat UMNO di Hotel Seri Pacific, bersebelahan menara Dato Onn yang menempatkan markas UMNO.



Majlis itu dipengerusikan oleh YB Dato' Sri Dr Jamaluddin Jarjis, mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti). Beliau adalah timbalan pengerusi sebuah jawatankuasa berkaitan dunia maya yang ditubuhkan termasuk untuk menangani isu-isu berkaitan media alternatif (Blog).



Hampir separuh daripada mereka yang hadir adalah dari markas UMNO itu sendiri termasuk apa yang dikenali sebagai "Cyber Troopers" iaitu sekumpulan petugas yang dilantik untuk mengikuti apa yang disiarkan oleh media alternatif terutama "bloggers" dan bertindak sama ada untuk menangkis atau menjawab serta menghentam laporan berkenaan, jika perlu. Saya tiada masalah dengan perkara itu kerana tidak berselindung dengan apa yang saya sebarkan melalui blog ini.


Saya menyambut baik langkah Ibu Pejabat UMNO bersemuka dengan "bloggers" walaupun tidak semua yang dijemput hadir. Saya katakan begitu kerana pendekatan yang diambil oleh UMNO adalah sesuatu yang bijak dan matang iaitu tidak bersifat konfrantasi tetapi duduk berbincang dan bertukar fikiran.


Saya tidak ingin menyentuh secara spesifik mengenai apa yang berbangkit dalam majlis itu tetapi memadai secara sepintas lalu sahaja.


Saya melihatnya sebagai satu langkah atau strategi yang dimulakan oleh timbalan presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk cuba membawa perubahan berlandaskan peredaran masa dan keadaan semasa terutama membabitkan dunia maya yang terbukti sebagai wadah penting dalam perjuangan politik.


Peranan media alternatif yang digerakkan oleh sistem internet terbukti amat berkesan dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat. Kejayaan besar yang diperolehi oleh bakal presiden AS Barrack Obama adalah hasil daripada penggunaan internet dan pendekatan kempennya mendekati pengundi muda berlandaskan cogan kata membawa "perubahan".


Di Malaysia, hampir semua parti politik yang dirujuk oleh media arus perdana sebagai "parti pembangkang" telah menggunakan internet atau lebih tepat lagi media alternatif terutama blog untuk menyalurkan maklumat dan berita terkini kepada pembaca atau mereka yang melayari internet.


Laman-laman web atau laman sesawang parti-parti politik seperti PAS, DAP dan PKR jauh lebih baik dan maju berbanding dengan laman sesawang UMNO ataupun BN sendiri. Inilah kelebihan parti-parti berkenaan dan inilah juga kelemahan UMNO.


Pilihan raya umum lalu menunjukkan kegagalan UMNO untuk mendekati dan meraih sokongan pengundi muda Melayu terutama golongan profesional. Mereka menjauhkan diri daripada UMNO kerana sudah bosan dan naik meluat dengan amalan rasuah politik, penghambatan jawatan dan kuasa serta sifat sombong dan angkuh yang menjalar di kalangan orang UMNO.


Kita akui bukan semua orang UMNO bersifat sedemikian tetapi susu sebelanga telah rosak akibat setitik nila.


Pergerakan Pemuda UMNO tidak sehebat zaman ia dipimpin oleh Almarhum Dato' Haron Idris yang tidak perlu menghunus keris untuk berjuang dan mencapai apa yang diperjuangkan. Kegemilangan Pemuda UMNO terhakis sedikit demi sedikit selepas zaman Dato' Haron dan ia kini tidak ubah seperti jaguh atas kertas atau "paper tiger" yang hanya gah dalam media.


Kekuatan Pemuda UMNO bukan berasaskan kenyataan berapi-api yang dikeluarkan oleh sama ada ketua atau naib ketuanya. Kekuatan pemuda UMNO tidak terletak pada sama ada pemimpinnya lulusan Oxford, Cambridge atau Harvard dan kekuatan Pemuda UMNO tidak sama sekali terletak pada sebilah keris.


Lihat saja masalah yang dihadapi generasi muda Melayu terutama masalah dadah dan merempit - ia semakin parah walaupun Biro Putera di bawah Pergerakan Pemuda UMNO begitu bangga mengumumkan dalam media bahawa ia sedang mendekati untuk menangani isu Mat Rempit dan masalah lepak. Apa faedahnya mengadakan penerjunan di Khutub Utara atau di khutub mana sekalipun sedangkan masalah Mat Rempit semakin parah dan semakin ganas. Anggota polis trafik yang dirempuh dan dilanggar oleh Mat Rempit terus berlaku.


UMNO, khususnya pergerakan Pemuda, harus ambil tahu dan ambil tindakan sewajarnya tentang kenapa semakin ramai golongan muda Melayu lebih mirip kepada PAS dan PKR dan menjauhkan diri daripada UMNO. Inilah perkara yang mesti ditangani kerana pendirian orang muda hari ini sudah berubah, pemikiran mereka juga berubah dan kemahuan mereka juga berubah.


Jika UMNO kekal pada takok lama dan enggan melakukan perubahan dan anjakan paradigma selari dengan keperluan semasa dan akan datang, ia akan terus disisih oleh golongan muda Melayu dan dengan sendirinya menjadi sebuah parti siasah yang tidak lagi relevan.


UMNO harus terima teguran, kritikan dan kutukan termasuk yang dibuat oleh "bloggers" sebagai sesuatu yang positif untuk berubah dan jangan lagi bersikap bermusuhan atau konfrantasi dan enggan menerimanya kerana terlalu ego dan sombong.


Kuasa yang ada bukan milik mutlak tetapi diberi oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Pada pilihan raya lalu rakyat telah memberi isyarat yang cukup jelas terutama kepada UMNO. Jadikan isyarat itu sebagai satu pengajaran yang amat berharga dan paling berguna.


Setinggi manapun sang bangau terbang, akhirnya turun bertenggek di atas kerbau. Sepandai mana tupai melompat, ke tanah jua akhirnya.


5 comments:

Anonymous said...

Bagi memulakan anjakan paradigma, terajang orang macam JJ tu keluar dari umno ... angkuh dan perasuah besar!!!!

Satu lagi, umno untuk memperjuangkan melayu, berkhidmat kepada rakyat dan terlibat dalam governance.

Perosak utama adalah wang dan orang2 business dan korporat tidak sepatutnya diberi keutamaan melainakn mereka telah lakukan jihad dan perjuangan ekonomi.

Kalau setakat mereka kaya, itu tidak boleh dijadikan ukuran ketinggian darjat dalam kacamata umno untuk diberi penghormatan, duduk meja vip, dan jawatan2 penting.

Sesiapa yang nak melibatkan diri dalam UMNO secara ideal "have no business to be in business".

UMNO ... balik pangkal jalan.

Omar Guaq said...

UMNO..

Dengan kesombongan dan keangkuhan yang ada pada UMNO sekarang, amat sukar untuk rakyat melupakannya.

Kealpaan UMNO yang seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri dan membiarkan rakyat terbiar sementara yang berkuasa terus berebut kuasa, amat sukar untuk dibuang dari memori bangsa Melayu, apatah lagi bukan Melayu.

Kita boleh ambil contoh sejak pilihanraya Mac lalu. Apakah tindakan yang diambil oleh UMNO untuk memenangi hati rakyat kembali? Tidakkah mereka belajar dari kesilapan lansung?

Semuanya hanya menyalahkan orang lain, hanya berebut kuasa dalam pemilihan parti.....Tak nampak apa pun tindakan UMNO yang ingin menaikkan kembali keyakinan orang Melayu kepada UMNO.

Asyik sibuk dengan urusan parti hingga lupa asas mereka sebenar, iaitu untuk membela bangsa.

Sayang seribu sayang. Sekarang, sudah terlambat sebenarnya.

Sekarang dah kanser stage 3 buat UMNO. Hanya dengan izin Allah sahaja, ia boleh terus hidup.

Berdoalah wahai pemimpin UMNO.

lintahbertulang said...

Memang sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan UMNO daripada terus diperkotakkatikkan oleh pembangkang. UMNO harus kembali kuat dan bebas daripada belenggu politik wang yang hanya menjahanamkan parti...UMNO harus ingat, pembangkang hanya pandai menghentam dan membangkang, tapi dari segi pentadbiran, memang hancur...

Diver.Miskin said...

Salam,

Utk UMNO kembali relevan.. mereka perlu kembali kepada masyarakat.. Mereka tidak boleh dibuai dek jutaan ringgit yg telah mereka rompak selama ini.. pulangkan kembali aper yg telah terambil kepada yg berhak...

Dan tidak salah bagi mereka utk membuka semula cadangan oleh pengasas mereka, Datuk Onn Jaafar.. mungkin tidak ke tahap membuka UMNO kepada bukan melayu.. keangkuhan terhadap ketuanan melayu ini dikurangkan...

Lagi satu, rakyat menyampah dgn hidup pemimpin2 UMNO yg macam raja.. seolah-olah mereka kebal dr segala undang2... so.. bila kat atas tu.. sekali-sekala tgk2 gak la kebawah... tu jer....

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Pemimpin-pemimpin UMNO yang ada sekarang, amat sukar untuk menukar minda mereka. Mind Set mereka telah kaku dan tak boleh dipinda atau diubah.
Bolehkah mereka mendengar nasihat orang? Jauh sekali untuk mengikuti pandangan/nasihat yang diberikan. bagi mereka, mereka saja yang betul. Bagi mereka UMNO adaah platform untuk jadi jutawan, platform untuk berkuasa, platform sebagai Mullah.Mereka tidak kesah apa terjadi pada masa depan parti, bangsa, agama dan negara.Saya harap saya salah tetapi ramai berpendapat seperti saya dan mereka juga harap mereka salah.
Jadi jika pemimpin UMNO tidak boleh berubah dan tak mahu diubah, kita ubahkan parti. Daripada terseksa baiklah kita memaksa mereka keluar daripada tampuk kuasa.

Ahli UMNO 1969