Showing posts with label Perdana Menteri. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri. Show all posts

Saturday, January 24, 2009

MALAYSIA KETANDUSAN DIPLOMAT?

Adakah Malaysia, sebuah negara yang mempunyai sebegitu banyak universiti dan warga negara yang terpelajar sama ada dari dalam atau luar negara, ketandusan calon untuk dilantik sebagai duta (diplomat)?

Inilah yang boleh dikatakan kedudukan semasa apabila dua jawatan penting di kedutaan besar Malaysia di Washington dan di Jakarta masih belum dipenuhi atau bakal diplomat dilantik.

Perkara ini didedahkan oleh akhbar The Star hari ini melalui berita bertajuk: Long wait to fill Washington, Jakarta diplomat posts".

Laporan itu menyebut bahawa kedua-dua jawatan penting itu belum dapat dimuktamatkan berikutan campur tangan politik dan perbuatan melobi untuk jawatan duta besar oleh mantan menteri.

Jawatan Duta Besar ke Washington, salah satu jawatan diplomatik yang kanan, telah kosong sejak Jun tahun lepas berikutan persaraan Datuk Rajmah Hussain manakala Duta Besar ke Jakarta, Datuk Zainal Abidin Zain, dijadual bersara pertengahan bulan depan.

Menurut laporan Washington Times, kerajaan Malaysia telah mengemukakan nama mantan duta besar ke Washington, Tan Sri Ghazzali Sheikh Khalid (1999-2006) untuk mengisi kekosongan itu. Ini bermakna Ghazzali, jika dipesetujui oleh pentadbiran Obama, akan berkhidmat buat kali kedua di sana. Setakat ini Washington belum memberi jawapan dan nampaknya Malaysia terpaksa mengemukakan nama lain untuk mengisi kekosongan di ibu negara Amerika Syarikat itu.

Menurut laporan The Star, nama Ghazzali telah dikemukakan oleh Pejabat Perdana Menteri (Pak Lah) sedangkan Wisma Putra yang dipimpin oleh Dr Rais Yatim mempunyai calon lain.

Kita sedar bahawa Perdana Menteri mempunyai kata pemutus dalam pelantikan diplomat, tetapi dalam hubungan ini, dia perlu mendengar dan menerima nasihat Wisma Putra.

Bagi jawatan duta besar ke Jakarta, perebutan dikatakan antara dua orang mantan menteri yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya umum lepas. Nampaknya kedua-dua mereka masih ghairah untuk merebut jawatan. Kedua-dua orang mantan menteri itu sedang kuat melobi jawatan itu dengan Wisma Putra.

Kerajaan seharusnya bertindak tegas dan pragmatik dalam melantik diplomat terutama sekali untuk mengetuai pejabat perwakilan di luar negara.

Apakah Malaysia ketandusan orang atau begitu susah untuk mendapatkan calon yang layak bagi mengisi kekosongan di Washington dan Jakarta (mulai pertengahan bulan depan) sehingga terpaksa melantik semula mantan diplomat (Ghazzali kini Duta Berkelana).

Apakah negara kekurangan pegawai yang layak dari kalangan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) sehingga terpaksa mencari di kalangan orang politik yang kalah dalam pilihan raya atau orang politik yang sudah pencen untuk menjadi duta?

Antara dua orang mantan menteri yang kalah dalam pilihan raya lepas yang sedang melobi untuk dilantik sebagai duta besar ke Jakarta, seorang daripadanya pernah mengguris perasaan rakyat Indonesia terutama kalangan wartawan apabila dia mengeluarkan kata-kata "tidak diplomatik" terhadap seorang wartawan wanita Indonesia. Adakah orang yang sedemikian rupa sesuai untuk dilantik sebagai duta besar ke Jakarta? Nanti kena ganyang Pak!

Wisma Putra seboleh-bolehnya hendaklah mengutamakan pegawai diplomatik atau "career diplomat" untuk mengisi sebarang kekosongan di pejabat perwakilan negara di luar negeri. Kerajaan juga boleh melantik sama ada pegawai kanan kerajaan yang bersara, pegawai kanan Angkatan Tentera atau Polis, ataupun tokoh-tokoh profesional bukan politik untuk mengisi kekosongan jawatan duta atau persuruhjaya tinggi. Elakkan pelantikan orang politik.

Orang politik elok sajalah bersilat, berkuntau, bertomoi dan bersalambam serta berpolitik wang dalam gelanggang politik tempatan. Di situlah tempat yang paling sesuai untuk mereka. Bukan di pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negeri.

Kepada dua orang mantan menteri yang bercita-cita nak jadi diplomat, cerminlah diri terlebih dahulu sebelum melobi untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Jakarta. Pokonnya .... di Putrajaya enggak bisa diatur Pak....!


TERKINI: Menurut laporan SINAR HARIAN, Ahad 25 Januari - mantan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin membuat penafian bahawa dia adalah antara dua orang mantan menteri yang melobi jawatan duta besar ke Indonesia.

Walaubagaimanapun, dia mengaku bahawa ura-ura pelantikannya itu pernah dibincangkan dengan PM Pak Lah, TPM Najib dan Rais Yatim.

Nama mantan menteri penerangan itu heboh diperkatakan sebagai salah seorang yang sedang melobi untuk dilantik sebagai duta besar ke Jakarta, Indonesia. Beliau mengakui yang dia telah dihubungi banyak pihak yang inginkan penjelasan mengenai berita tersebut, lapor Sinar Harian.


Tuesday, October 28, 2008

Siapa bakal penghuni Aras 4, Blok Utama, Kompleks Perdana Putra





(Foto Kompleks Seri Perdana, Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia)

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menukilkan mengenai penghuni "Tingkat 4" dalam blognya sambil menasihati bakal Perdana Menteri Najib Abdul Razak supaya jangan terjerumus (ini kata-kata saya bukan Tun M) dalam kubang yang sama seperti PM Abdullah Haji Ahmad (Pak Lah). Nasihat Tun M amat berguna dan harus diambil kira oleh Najib, andai kata dia ditakdirkan berpejabat di Aras 5, Blok Utama.


Tun M merujuk kepada lantai berkenaan sebagai "Tingkat 4" sedangkan perkataan yang diguna secara rasmi untuk merujuk kepada lantai-lantai di Kompleks Perdana Putra ialah "aras" dan bukan tingkat.


Pejabat PM terletak di Aras 5, Blok Utama manakala pejabat Timbalan PM di Aras 4, Blok Barat, sama searas dengan segolongan penasihat Pak Lah yang mengisi ruang-ruang pejabat di Blok Utama.


Semasa Tun M menjadi PM, ruang pejabat di Aras 4 turut menempatkan Pembantu Khasnya Hashim Ahmad Makaruddin (kini Tan Sri dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu), Setiausaha Akhbarnya Zakaria Wahab (kini Pewarta Bernama di Singapura) dan Penolong Setiausaha Akhbar Saufi Yusof (kini Pegawai Khas Tun M). Dalam erti kata lain, bidang tugas mereka yang menghuni Aras 4 adalah yang berkaitan media.


Apabila Pak Lah mengambil alih kerusi PM, peranan dan kuasa mereka yang menghuni Aras 4 turut berubah dan tidak terbatas kepada urusan berkaitan media. Penghuni-penghuni Aras 4 dikatakan cukup hebat dan berpengaruh sehingga boleh menghubungi para menteri dan ketua-ketua kementerian dan jabatan melalui telefon untuk memberi 'arahan' atau pesanan dan nasihat bagi pihak PM.


Oleh itu, peranan penghuni-penghuni Aras 4 dikatakan mengatasi semua 'penasihat' PM termasuk Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO. Tun M pun kata demikian dalam blognya. Keadaan itu juga mengakibatkan pentadbiran Pak Lah tidak popular dan peranan Aras 4 turut diguna untuk kepentingan lain. Akibatnya, Pak Lah terpaksa membayarnya dengan kos yang cukup tinggi, iaitu melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya.


Tun M telah menasihati Najib, jika anak mantan PM Tun Abdul Razak itu dapat menduduki kerusi PM, supaya pelajari daripada kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah. Saya berkata jika Najib menjadi PM kerana berpegang kepada kenyataan bahawa manusia hanya mampu merancang dan yang menentukannya adalah Allah. Jika Allah mengizinkan maka Najib akan jadi PM.


Najib harus berhati-hati dan mengamalkan ketelitian dan tapisan yang sehalus-halusnya jika ingin melantik mana-mana individu sebagai penasihat dan pembantu yang bakal menghuni Aras 4. Lulusan Oxbridge atau Harvard tidak semestinya yang terbaik dan lulusan UM, UKM atau USM dan IPT lain di Malaysia tidak semestinya tidak bagus.


Najib tidak semestinya mengikuti apa yang dibuat oleh Pak Lah iaitu melantik 15 orang pegawai, lima orang penasihat dan lima orang setiausaha politik semasa mula-mula mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan daripada Tun M. Ianya terlalu ramai dan tidak diperlukan oleh seorang PM.


Saya ingin kembalikan ingatan para pembaca kepada siapakah pegawai-pegawai utama Pak Lah pada masa itu.


Mereka adalah Dato' Mohamed Thajudeen Abdul Wahab selaku Ketua Setiausaha Sulit (KSUS), Ahmad Nazri Yusof selaku Timbalan KSUS (I), Khairy Jamaluddin selaku Timbalan KSUS (II), Ho May Yong selaku Pegawai Tugas-tugas Khas, Ahmad Yaacob selaku Setiausaha Sulit Kanan, Ahmad Zaki Zahid selaku pegawai Khas Unit Luar (Aras 4), Kamal Khalid selaku Pegawai Khas Unit Komunikasi (Aras 4), Azhar Osman (allahyarham) selaku Setiausaha Akhbar (I) (Aras 4), dan Aminuddin Md Yassin selaku Setiausaha Sulit (I).

Khairy terpaksa melepaskan jawatannya setelah Pak Lah dimaklumkan mengenai satu Pekeliling yang melarang ahli Kabinet daripada melantik anggota keluarga memegang jawatan-jawatan tertentu bersifat pembantu seperti Setiausaha Sulit, Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas.


Lima orang penasihat yang dilantik ketika itu adalah Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcob (Kewangan) yang kini Menteri Kewangan II, Tan Sri Dato Ali Abul Hassan Sulaiman (Ekonomi), Tan Sri Abdul Kadir Mohamad (Dasar Luar), Tan Sri Datuk Dr Ahmad Zaharuddin Idrus (Sains) dan Tan Sri Abdul Hamid Othman (Agama). Nama Tan Sri Hamid tiada dalam senarai asal yang dikeluarkan tetapi dia dikekalkan, atas sebab-sebab tertentu, selaku Penasihat Agama.



Lima orang setiausaha politik ketika itu adalah Dato' Mohd Johari Baharum (kemudian Timbalan Menteri Dalam Negeri), Dato' Mahadzir Khalid (kemudian mantan MB Kedah), Dato' Osman Desa (tewas dalam pemilu lepas), Dato Hasbullah Lebai Isa dan Dr Vincent Lim Kian Tick.



Para pegawai, penasihat dan setiausaha politik yang dilantik oleh Pak Lah sebaik sahaja mengambil alih jawatan PM mengatasi yang berkhidmat dengan mantan PM sebelum itu. Adalah diharapkan Najib tidak akan melakukan perkara yang sama semata-mata untuk memberi jawatan kepada kroni atau membalas budi orang tertentu.



Perlantikan pegawai dan penasihat di Pejabat PM amat penting dari semua sudut terutama keselamatan. Ia harus dibuat dengan cukup teliti dan melepasi tapisan keselamatan. Penghuni Aras 4 di bawah Najib, jika dimakbulkan Tuhan, harus balik kepada peranan dan bidang tugas asal dan tidak mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbirasn Pak Lah.