Wednesday, August 16, 2006

Pak Lah dah mula dok gelabah...kenapa?

Saya terperanjat bercampur sedih mendengar dan membaca kenyataan perdana menteri Abdullah Badawi (Pak Lah) mengenai urusan perniagaan yang dijalankan oleh satu-satunya anak lelaki beliau, Kamaluddin, melalui syarikat induknya, Scomi.

Dalam termubual yang dikendalikan oleh bekas pegawainya di kementerian pertahanan, Anuar Zaini yang kini pengerusi Bernama seperti yang dipancarkan oleh TV3 dan diulang tayang oleh Astro, Pak Lah dengan terang dan yakin menyatakan anaknya itu meraih keuntungan hasil urus niaga di luar negara, bukan di dalam negara atau mendapat kontrak kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Kenyataan ini tidak betul. Pak Lah tidak bercakap benar. Sedih sekali bagi saya melihat perubahan sikap Pak Lah. Insan yang bergelar "Mr Nice Guy" yang sering dikaitkan dengan latar belakang Islamnya, kini mula gelabah dan kegelabahannya itu mungkin mengakibatkan beliau lupa ingatan dan lupa kenyataan.

Saya sedih kerana saya sendiri terlibat secara kecil-kecilan untuk menaikkan nama Pak Lah yang ketika itu tidak begitu dikenali ramai, untuk bertanding sebagai calon BN di Kepala Batas, Seberang Perai menggantikan Datuk Mohamad Sopiee Sheikh Ibrahim, bekas bos saya, yang popularitinya menurun setelah dia mencabar bapa Pak Lah, Datuk Ahmad bin Abdullah Fahim, untuk jawatan ketua bahagian Umno Kepala Batas. Sopiee hanya mendapat satu undi, undi beliau sendiri. Pada waktu itu, saya adalah ketua pergerakan pemuda Umno cawangan Kelawai dan bertugas sebagai wartawan dengan sebuah agensi berita di Pulau Pinang. Saya menggunakan kedua-dua kedudukan untuk menonjolkan nama Pak Lah sebagai pengganti Sopiee. Antara kawan-kawan yang turut sama menaikkan nama Pak Lah termasuklah Zainal A dan Nazar Abdul (Berita Harian), Shukor Rahman dan Manan Othman (NST), Hassan Hanafiah dan Md Nor Ahmad (Bernama), Mukmin Latiff dan AR Kamaluddin (Utusan).

Kenyataan Pak Lah bahawa Kamaluddin terpaksa mendapatkan perniagaan di luar negara kononnya kerana dia tidak dapat sebarang projek di Malaysia, adalah tidak benar. Berikut adalah antara projek yang diperolehi oleh Kamaluddin melalui syarikat induknya, Scomi.

1. Kontrak lima tahun bernilai RM50 juta untuk membaikpulih dan menyenggara kira-kira 1000 gerabak Keretapi Tanah Melayu yang diperolehi pada tahun 2005 oleh Scomi Group.

2. Scomi Group juga membida untuk mendapatkan kontrak bernilai RM120 juta untuk membuat peralatan badan bas berjumlah 400 buah untuk Syarikat Prasarana Negara Bhd.

3. Scomi Group memperolehi kontrak daripada Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd yang dijangka menjanakan pendapatan RM57 juta setahun.

4. Scomi Marine Berhad menerima surat hasrat daripada TNB Fuel Services Sdn Bhd untuk kontrak pengangkutan arang batu selama tiga tahun, dengan opsyen untuk dilanjutkan selama dua tahun.

5. Scomi Engineering Bhd juga dilaporkan akan menguasai kepentingan 51 peratus dalam MTrans Transportation Systems Sdn Bhd untuk RM30 juta bagi membolehkan Scomi memperolehi pelantar untuk menjadi pemain utama dalam sektor pengangkutan bandar termasuk projek monorel di Pulau Pinang.

Bukankah semua projek dan urusan perniagaan ini diperolehi di Malaysia dan hampir semua melibatkan syarikat-syarikat yang berkaitan kerajaan atau syarikat milik kerajaan 100 peratus?

Macam mana Pak Lah boleh menyatakan melalui tv nasional dan kemudian disiarkan pula oleh semua akhbar arus perdana bahawa anaknya tidak memperolehi urus niaga atau projek di Malaysia?

Apa dah jadi dengan pendirian dan pegangan hidup Pak Lah? Macam mana orang nak percaya dan mengharapkan keadilan dan kesaksamaan daripada Pak Lah?

Saya teringat akan kata-kata hikmat seorang tokoh Islam bernama Wasil bin 'Atha'iaitu:-

" Hindarilah memberi jawapan di dalam keadaan yang marah kerana itu adalah sumber penyesalan. "

Mungkinkah Mr Nice Guy telah memberi jawapan kepada persoalan itu ketika perasaannya marah, maklumlah ia melibatkan satu-satunya anak lelaki beliau, Kamaluddin.

No comments: