Wednesday, July 29, 2009

Masih ada yang tidak faham apa itu 1Malaysia

Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dalam nada yang marah mengeluarkan arahan, seperti yang dilaporkan media, kepada semua pegawai dan petugas agensi/jabatan di bawah kementeriannya yang jelas bertentangan dengan konsep 1 Malaysia PM Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Noh mengeluarkan perintah melarang pegawai dan petugas berkenaan daripada menghadiri sebarang mesyuarat yang dipanggil oleh pentadbiran atau kerajaan negeri yang bukan dibawah Barisan Nasional (BN). Pendek kata boikot pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Antara agensi penting di bawah Kementerian itu ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (Veterinar) dan Jabatan Perikanan. Ketiga-tiga jabatan ini berperanan penting dalam pembangunan industri asas tani yang majoritinya disertai oleh kaum Bumiputera dan masyarakat luar kota.

Melalui arahan itu, yang menjadi mangsa adalah rakyat, bukan pentadbiran Negeri PR. Yang menjadi serba salah adalah kakitangan awam kerana tugas dan amanah yang mereka pikul telah dijadikan perbalahan politik sedangkan mereka diwajibkan berkhidmat dengan taat dan setia kepada kerajaan yang memerintah, bukan kepada parti politik. Jika disesebuah negeri itu diperintah oleh pentadbiran yang bukan sama seperti di peringkat pusat, itu bukan masalah bagi kakitangan awam.

Tindakan Noh itu agak kebudak-budakan dan membelakangkan rakyat. Noh bermain politik yang paling rendah darjatnya, jika politik boleh dikatakan berdarjat.

Apa yang dilakukan oleh Noh tidak ubah seperti semasa dia berada pada zaman kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak berkelahi, maka yang terlibat lazimnya akan cuba mempengaruhi kawan-kawan agar "jangan berkawan" dengan rakan yang menjadi lawannya. Dia juga akan cuba mengumpul sebanyak yang boleh kawan-kawan supaya memihak kepadanya. Itulah dunia kanak-kanak.

Apa yang dilakukan oleh Noh sama seperti apa yang dilakukan oleh kanak-kanak.

Saya mengenali Noh semasa dia berjawatan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Pejabat kami di aras yang sama di Blok Barat, Bangunan Perdana Putra. Noh yang saya kenali adalah seorang yang cukup berhemah, rajin bekerja dan tidak banyak bercakap tetapi menjalankan tugas, terutama apabila bertugas di Parlimen, dengan amat cekap.

Apa sudah jadi dengan Noh sekarang? Saya tiada jawapan yang khusus tetapi sekadar memberi pendapat dari luar "pentadbiran".

Saya katakan tindakan Noh berlawanan dengan konsep 1 Malaysia kerana DS Najib begitu lantang menyatakan bahawa 1Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

1 Malaysia menandakan harapan untuk menuju ke puncak yang satu agar rakyat mampu berdiri teguh atas satu persada. Itulah harapan DS Najib.

1 Malaysia menjadi pegangan Kabinet dan Noh adalah anggota Kabinet.

Sesebuah kerajaan atau pentadbiran dipertanggungjawabkan untuk membawa kemakmuran dan kemewahan (kesenangan hidup) kepada rakyat secara am tanpa mengira warna kulit, pegangan agama atau kepercayaan hidup mahupun pegangan politik.

Kerajaan tidak boleh membiarkan segolongan rakyat menderita dan segolongan yang lain kaya raya. Ia bertanggungjawab memperseimbangkan kemewahan yang ada kepada seberapa banyak penduduk yang boleh bukan kepada kroni politik masing-masing.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyat. Ia mesti menghadapi cabaran dan masalah-masalah kemasyarakatan yang berbangkit seperti masalah kemiskinan tegar, kekurangan makanan, pengangguran, kemudahan kesihatan dan soal pendapatan yang tidak seimbang.

Perlembagaan tidak menyebut kerjasama ataupun bantuan hanya boleh diberi kepada mana-mana Kerajaan Negeri yang sehaluan politik sahaja. BN bantu BN atau PR bantu PR.

Apabila terbentuk sesebuah pentadbiran, maka soal politik kepartian tidak seharusnya dijadikan ukuran untuk sama ada bekerjasama atau tolong-menolong.

Sebagai contoh, Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Persekutuan (Kerajaan Pusat) hendaklah memberi kepada tiap-tiap satu Negeri bagi tiap-tiap satu tahun kewangan -

(a) pemberian, yang dinamakan pemberian mengikut bilangan orang yang dikira mengikut peruntukan-peruntukan Bahagian 1 Jadual Kesepuluh;

(b) pemberian untuk menyenggara jalan-jalan Negeri, yang dinamakan pemberian jalan Negeri dan yang dikira mengikut peruntukan-peruntukan Bahagian 2 Jadual Kesepuluh.

Perlembagaan tidak menyebut mengenai kesamaan parti politik yang memerintah tetapi kenapa pemimpin politik mahu membeza-bezakan antara pentadbiran persekutuan dengan pentadbiran Negeri.

Di negeri-negeri yang diperintah oleh PR, kita dapati bahawa ada perkara yang dilakukan adalah sama seperti yang dilakukan oleh pentadbiran BN. Sebagai contoh, perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), perlantikan ketua kampung, dan perlantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

Semuanya dibuat atas kepentingan politik kepartian. BN dan PR adalah sama sahaja.

Yang bertambah celaru apabila agensi Persekutuan melantik JKKK yang mewakili pentadbiran Persekutuan dan dinamakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan. Ini bermakna di sesebuah kampung wujud dua JKKK, satu memihak kepada pentadbiran Negeri dan satu lagi kepada Kerajaan Persekutuan.

Siapa yang memecah-belahkan rakyat?

Pentadbiran di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri, sama ada yang diterajui oleh BN atau PR, tidak boleh menghalang atau melarang pengkhidmat awam daripada menjalankan tugas mengikut dasar yang ada.

Kakitangan awam pula dilarang daripada memihak kepada parti politik walaupun kita tahu perkara ini tidak dipatuhi oleh semua dan ada pula yang "terpaksa" melakukan sesuatu atas arahan politik. Namun demikian, taat setia adalah kepada kerajaan atau pentadbiran yang dipilih rakyat, bukan kepada parti politik.

Bagi menteri, dia bertanggungjawab terhadap tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya. Tugas-tugas itu terkandung dalam satu Akta yang dinamakan Akta Tugas-tugas Menteri. Jika menteri membaca dan memahami apa yang tersurat dalam Akta itu, dia sudah pasti dapat menjalankan amanah dengan sempurna dan jujur.

Adalah diharapkan agar semua menteri akan mengutamakan konsep 1 Malaysia, iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Bukan politik didahulukan dan pencapaian dikebelakangkan.

Begitu juga dengan pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai oleh PR di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Jangan terlalu berpolitik.

Pada pilihan raya ke-13 kelak, ada yang akan diubah jika pentadbiran yang ada sekarang , sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, tidak berubah.


Saturday, July 18, 2009

SPRM mesti bersikap adil dan saksama

Tragedi yang menimpa seorang pembantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dipandang ringan. Ia melibatkan nyawa manusia dan bukan isu politik atau ras.

Kematian seorang yang dikatakan saksi dalam siasatan SPRM adalah luar biasa dan mesti disiasat dan diambil tindakan.

Kebelakangan ini, SPRM nampaknya cepat membuka kertas siasatan ke atas mereka yang berada di pihak tertentu. Siasatan terus dijalankan walaupun ia berasaskan dengar khabar dan tuduhan tidak berasas.

Kes-kes yang membabitkan pihak yang berada atau menyokong parti pemerintah termasuk seorang mantan besar semacam tidak penting dan dilengah-lengahkan sedangkan yang membabitkan pentadbiran negeri bukan BN, segera dan cepat disiasat.

Itulah gambaran yang dapat dibayangkan oleh orang ramai.

Dalam kes membabitkan wakil rakyat Selangor dari Pakatan Rakyat, nampaknya SPRM begitu cekap dan pantas bertindak sehingga orang yang dikatakan saksi, bukan yang disiasat, terpaksa menghadapi siasatan sehingga melewati pukul 3.30 pagi.

Kenapa orang yang dikatakan saksi dipaksa menjalani siasatan yang didakwa dilakukan secara kasar dan dicampur ugutan, sedangkan dia bukan orang yang disiasat. Adakah ini cara yang boleh dianggap sebagai adil dan saksama dan selari dengan hak asasi yang dijaminkan oleh Perlembagan dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

Sebagai sebuah institusi yang dikatakan bebas dan tidak memihak, SPRM mesti memperlihatkan kebebasan dan kesaksamaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Jika benar dan bersungguh-sungguh ingin membanteras penyalahgunaan peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui wakil rakyat seperti yang dikatakan sedang disiasat ke atas beberapa orang wakil rakyat di Selangor, SPRM mesti bersikap adil dan tidak memilih untuk melakukan siasatan secara pilihan (selective).

SPRM mesti menyiasat secara rambang semua wakil rakyat, tak kira dari BN ataupun PR, kerana kita percaya penyelewengan berlaku di mana-mana terutama dalam pelaksanaan projek pembangunan kecil di satu-satu kawasan pilihan raya Parlimen.

Kita tahu bahawa setiap wakil rakyat BN, diperuntukkan sejumlah wang untuk menampung pembiayaan projek-projek pembangunan dan kemasyarakatan di kawasan masing-masing.

Adakah wang yang diperuntukkan itu dibelanja secara jujur dan amanah atau sebaliknya berlaku penipuan, penyelewengan dan disalahguna?

SPRM semestinyalah menyiasat sama ada peruntukan yang diagihkan kepada satu-satu kawasan pilihan raya Parlimen itu disempurnakan tanpa amalan rasuah yang mencakupi isu penyelewengan dan salahguna kuasa. Setahu saya, tiada siasatan dilakukan sedangkan SPRM mempunyai petugas yang mencukupi untuk berbuat demikian.

SPRM tidak hanya boleh digahkan sebagai sebuah badan siasatan amalan rasuah yang bebas tetapi ia mesti memperlihatkan kebebasan sebenar dengan tidak dilihat sebagai hanya menjalankan siasatan pilihan.

SPRM bukan bertugas atau bertindak mewakili mana-mana parti politik tetapi mewakili rakyat jelata dan ia mesti memperlihatkan yang ia benar-benar bertindak atas landasan yang betul.

Keberkesanan SPRM masih belum menyerlah dan memberi keyakinan penuh kepada rakyat. Kita tidak ingin melihat SPRM tidak lebih daripada "paper tiger" yang hanya gah dengan kenyataan-kenyataan media, kita mahu melihat SPRM gagah dan berani seperti seekor "harimau Malaya" yang tulen.

Kita percaya SPRM mampu berbuat demikian, jika ia mahu.


Tuesday, July 14, 2009

Tiga tokoh negara dikatakan "crook"

Apabila membaca laporan dalam akhbar NST awal hari ini, saya agak ragu-ragu akan kesahihannya kerana tuduhan yang dilemparkan adalah keterlaluan dan melampaui kewarasan daya fikir seorang yang bergelar menteri.

Saya agak hampa apabila melayari internet dengan harapan untuk menemui berita penafian oleh menteri sehingga lewat petang, tetapi tiada. Ini bermakna yang menteri berkenaan memang mengeluarkan kenyataan tersebut.

Menteri yang dimaksudkan ialah Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Tuduhan yang dilemparkannya itu membabitkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar dan mantan Peguam Negara yang kini Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manunsia (Suhakam) Tan Sri Abu Talib Othman.

Akhbar NST memetik Nazri sebagai berkata: "Now, these are all crooks."

Nazri menuduh Tun Mahathir, Tun Haniff dan Tan Sri Abu Talib sebagai "crooks". Ia adalah satu tuduhan yang cukup berat.

"Crook" adalah perkataan Inggeris yang merujuk kepada seseorang itu sebagai penjenayah, penjahat atau penipu.

Nazri menuduh ketiga-tiga mantan tokoh itu sebagai sama ada penjenayah, penjahat atau penipu.

Nazri nampaknya marah kepada Tun Mahathir (bukan sesuatu yang baru), kepada Tun Haniff dan Tan Sri Abu Talib semata-mata kerana mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak digemarinya. Jika kenyataan itu memihak atau menyokongnya, sudah tentu Nazri tidak akan melemparkan tuduhan melulu itu.

Nazri berkata mereka dah lupa yang mereka pernah berkhidmat dan mempertahankan pentadbiran semasa mereka berada dalam kerajaan. Mereka kini menjadi pengkritik lantang terhadap pentadbiran (kerajaan). Itu yang membuat Nazri marah.

Oleh itu, Nazri menyifatkan mereka sebagai "crooks".

Nampaknya, Nazri tidak dapat menerima teguran, kritikan mahupun sindiran daripada mana-mana pihak terutama Tun Mahathir, Tun Haniff dan Tan Sri Abu Talib. Nazri tidak dapat menerima kenyataan bahawa tiada pentadbiran yang benar-benar bersih tanpa melakukan sebarang kesilapan sehingga tidak boleh ditegur atau dikritik.

Peribahasa Cina ada menyebut yang terjemahannya lebih kurang begini... seseorang yang memanggil atau menuduh orang lain itu bahlul (bodoh), sebenarnya dialah yang jauh lebih bahlul.

Saturday, July 11, 2009

Pak Lah jelas kenapa dia tenang menerima kritikan

UMNO Bahagian Cheras pimpinan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengadakan satu majlis khas meraikan mantan Perdana Menteri/Presiden UMNO Tun Abdullah Ahmad bertemakan "Sejunjung Kasih Setulus Ingatan" di Hotel Nikko, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 10 Julai.

Majlis makan malam itu dihadiri oleh ahli-ahli UMNO Bahagian Cheras dan wakil parti-parti komponen BN Cheras dan jemputan khas termasuk Timbalan Menteri di JPM Senator Dr Marshitah Ibrahim dan suami.

Pada majlis itu, Syed Ali menegaskan bahawa walaupun beliau pernah "menegur" Pak Lah semasa masih menjadi PM dan Presiden UMNO, ia tidak bermakna bahawa jasa dan sumbangan mantan PM itu harus dilupakan. Dia berbuat demikian kerana sayangkan parti dan sayangkan Pak Lah.


Seperti Syed Ali, sayapun pernah berbuat demikian kerana kritikan itu ditujukan kepadanya atas sifatnya sebagai PM dan bukan kerana soal peribadi. Atas sifatnya sebagai seorang insan, saya tetap menghormatinya kerana disitulah Pak Lah wujud sebagai seorang yang berhemah tinggi, bersopan santun dan baik hati. Kita seharusnya boleh membezakan antara kedua-dua sifat itu - pemimpin dan manusia biasa.

Pada majlis itu, Pak Lah berkata dia tidak menyimpan sebarang perasaan dendam atau marah kepada sesiapapun yang pernah menegur atau mengkritiknya. Kritikan dan perbezaan pendapat adalah sebahagian daripada amalan demokrasi. Dia tidak berkecil hati atau tersinggung kerana itu adalah kebebasan untuk memberi pandangan asalkan tidak berbentuk memaki hamun atau menghina.

Perbuatan bersifat maki hamun dan menghina bukan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran agama Islam, katanya.

Pak Lah menegaskan seseorang pemimpin mestilah sanggup menerima kritikan dan teguran termasuk daripada ahli partinya sendiri.

Sempena majlis itu, sebuah buku khas dilancarkan sebagai kenang-kenangan hubungan antara Pak Lah dengan UMNO Bahagian Cheras.

Walau bagaimanapun, masih terdapat kesilapan fakta dalam catatan riwayat hidup Pak Lah. Kesilapan paling jelas ialah tempat kelahiran Pak Lah. Banyak pihak termasuk media masih beranggapan bahawa Pak Lah dilahirkan di Kepala Batas, Seberang Perai.

Sebenarnya, Pak Lah dilahirkan di Kampung Perlis, Bayan Lepas dan rumah kelahiran Pak Lah masih wujud di kampung tersebut dan kini dihuni oleh sepupunya. Kampung Perlis, Bayan Lepas adalah kampung ibu dan nenek Pak Lah manakala Kepala Batas adalah kampung bapa dan datuknya.

Thursday, July 02, 2009

Penduduk Kampung Buah Pala tuntut kesaksamaan


Satu isu besar yang menghantui pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang ialah kedudukan sebidang tanah yang bernilai tinggi di mukim Gelugor yang dikenali sebagai Kampung Buah Pala. Pakatan Rakyat mewarisi masalah itu daripada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan mantan Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Khoon.

Perkampungan terakhir orang Tamil di Pulau Pinang itu dikelilingi oleh bangunan dan taman perumahan yang pada satu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada ladang atau estet milik keluarga Brown.

Kampung Buah Pala diberi nama sempena ladang pokok pala yang diusahakan oleh David Brown, seorang ahli perniagaan yang kaya yang berhijrah ke Pulau Pinang semasa pentadbiran EIC (East India Company) yang diketuai oleh Francis Light.

Brown membuka ladang yang dikenali sebagai Gelugor Estate atau Periya Thottam kepada orang Tamil, iaitu ladang rempah ratus yang menghasilkan buah pala, cengkih dan lada hitam.

Selain Gelugor Estate, David Brown turut memiliki dua ladang yang tidak kurang luasnya itu Sungai Nibong dan Sungai Dua Estate (Sinna Thottam).

Turut memiliki ladang dan hartanah yang besar pada ketika itu ialah Francis Light sendiri dan James Scott.

Orang Inggeris menguasai hampir 75 peratus tanah di Pulau Pinang yang bermula dari puasat bandar hinggalah ke Sungai Nibong dan Ayer Itam.

Untuk mendapatkan tenaga kerja di ladang dan juga untuk kerja-kerja binaan jalan dan sebagainya, pihak Inggeris membawa masuk pekerja dari India terutamanya banduan. Bermula pada tahun 1790 rakyat India, kebanyaknnya negeri Tamil, berhijrah ke Pulau Pinang.

David Brown turut tidak ketinggalan membawa masuk pekerja dari India untuk bekerja di ladang rempah ratusnya. Tidak seperti tenaga kerja yang pulang ke India selepas mengumpul wang secukupnya, pekerja Brown memilih untuk menetap dan berkeluarga di ladang tempat mereka bekerja.

Apabila David Brown meninggal dunia pada tahun 1825 (iaitu 184 tahun lalu), pentadbiran ladangnya diambil alih oleh anak dan seterusnya oleh waris beliau yang lain. Apabila tanaman getah diperkenalkan di Tanah Melayu, keluarga Brown turut membuka ladang getah sehingga ke Sungai Ara.

Keluarga Brown adalah antara keluarga yang paling kaya di Pulau Pinang dan selain memiliki ladang getah dan rempah ratus, mereka turut memiliki tiga buah rumah di puncak Bukit Bendera.

Sebuah rumah yang dikenali sebagai David Brown's Cottage dibina di Strawberry Hill, yang dinamakan sempena ladang strawberry milik Brown, dan sebuah lagi rumah dikenali sebagai Brown House dan sebuah lagi bernama Mon Craig.

Jika anda ke Pulau Pinang anda akan diberitahu bahawa antara tempat yang menawarkan makanan ala-penjaja yang terbaik ialah di Padang Brown atau Padang Brom bagi sesetengah warga Pulau Pinang.

Padang Brown sudah tentu pada asalnya hartanah milik keluarga Brown yang dihadiahkan kepada rakyat Pulau Pinang sebagai sebuah padang permainan terutama bolasepak. Di Padang Brown atau kemudian dikenali sebagai Padang Datuk Keramat terdapat sebuah tugu peringatan untuk David Brown iaitu Brown Memorial.

Selain Padang Brown, terdapat sebuah taman perumahan yang menempatkan rumah kos rendah hinggalah ke kos sederhana tinggi yang dikenali sebagai Brown Garden. Ia adalah sebahagian daripada tanah Gelugor Estate yang dijadikan kawasan perumahan awam antara yang terawal di Pulau Pinang.

Brown Garden kini bertukar nama kepada Taman Tun Sardon, iaitu semasa orang politik begitu ghairah menukar nama jalan, kampung dan tempat daripada nama Inggeris kepada nama tempatan dan Brown Garden adalah antaranya.

Bertentangan dengan Brown Garden terdapat sebatang jalan yang bernama Jalan Helen Brown, iaitu nama salah seorang waris David Brown yang 'mewakafkan' hartanya kepada penduduk tempatan. Saya tidak tahu sama ada jalan itu masih wujud atau namanya telah ditukar kepada nama tempatan.

Tanah Kampung Buah Pala adalah antara hartanah keluarga Brown yang diamanahkan kepada penduduk atau waris pekerja ladang berkenan.

Hartanah itu berpindah milik kepada Koperasi Pegawai Kanan Kerajaan Pulau Pinang. Saya tidak tahu bagaimana atau bila hartanah itu dipindah milik dan siapa pemiliknya sebelum dipindah milik.

Syarikat yang bakal memajukan Kampung Buah Pala ialah Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd
yang bakal mengubah wajah kampung tradisional itu kepada sebuah projek mega termasuk kediaman mewah.

Waris pekerja Gelugor Estate yang datuk nenek mereka mula menetap di situ hampir 200 tahun lalu kini berdepan dengan masalah paling besar dalam sejarah kehidupan mereka. Tanah yang dikurniakan kepada datuk nenek mereka telah berpindah milik kepada orang lain dan kini mereka menanti masa untuk diusir entah ke mana.

Penghuni Kampung Buah Pala adalah waris insan yang turut memberi sumbangan kepada kemakmuran ekonomi Pulau Pinang, mereka turut memberi sumbangan kepada pembangunan Pulau Pinang dan mereka adalah warga negara yang hanya mengenali Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka.

Mereka bukan seperti sebilangan pekerja dari India yang ke bumi bertuah ini untuk mengumpul wang yang kemudian dibawa pulang ke negara asal, golongan itu dikenali sebagai "Adi Dravidas".

Waris pekerja ladang Gelugor Estate yang menghuni Kampung Buah Pala adalah warga negara yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang. Mereka menuntut kesaksamaan sama seperti orang lain yang berhak berbuat demikian.

Inikah Satu Malaysia?