Friday, April 17, 2015

Anak Lebai Sudin celah masuk…..

Tengkarah antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan PM Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendapat perhatian dan diperbahaskan bukan sahaja dalam negeri tetapi seantero dunia. Begitulah hebatnya sesuatu isu apabila orang yang bersuara ialah Tun Mahathir.

Pihak media yang sama ada dikawal atau dimiliki pihak yang berkepentingan telah diarah untuk tidak melaporkan apa-apa yang boleh menjejas sokongan kepada Najib. Umpamanya sokongan terbuka Datuk Siti Nurhaliza dan pelakon cantik gebu, Che Ta atau Rozita Che Wan kepada Tun Mahathir.

Stesen TV terutama TV3 yang dikuasai Media Prima (UMNO lah tu) terus menemu bual pemimpin UMNO dan NGO tertentu untuk kononnya menyokong penuh Najib dan sekali gus menghentam Tun Mahathir.

Dalam pada itu, ada pula pihak yang cuba melaga-lagakan anak Tun Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah, Mukhriz, dengan Najib. Mereka cuba memaksa Mukhriz untuk sokong Najib dan secara langsung menentang bapanya sendiri. Itu belum cukup, timbul pula seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (Bukit Lada), Ahmad Lebai Sudin yang mendesak Mukhriz letak jawatan jika tidak sokong Najib.

Ahmad Lebai Sudin yang dikatakan sudah bernyawa ikan dalam sepak terajang politik UMNO Kedah, cuba mencelah masuk untuk mendapat penawar bagi memulihkan kerjaya politiknya, dan siapa tahu dengan menyokong Najib, mungkin boleh duduk kerusi MB. Dalam politik apa saja boleh berlaku dan Ahmad Lebai Sudin, yang pernah berkhidmat dibawah Ibrahim Saad di Pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada zaman BN mentadbir negeri itu, bijak bermain politik.    


(Foto hiasan semasa Dr Mahathir pulang ke Kedah selepas dilantik PM. Terus terang saya katakan saya sokong Tun Mahathir dalam perdebatan berkaitan kedudukan Najib sebagai PM)

Bak kata orang, sepandai manapun tupai melompat, satu hari akan jatuh ke tanah jua. Ahmad Lebai Sudin tak sempatpun nak melompat, dah tersungkur apabila kenyataannya itu tidak mendapat sokongan bukan sahaja di kalangan barisan kepimpinan UMNO Kedah tetapi dari luar negeri jelapang padi itu.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar ikut sama meminta supaya jangan memberi tekanan atau desakan kepada Mukhriz. Tiga pemimpin cabang UMNO Kedah, Wanita, Pemuda dan Putri juga tidak mahu Mukhriz menyatakan sokongan kepada Najib secara terbuka. Mereka faham akan kedudukan dan dilema yang dihadapi Mukhriz tetapi Ahmad Lebai Sudin tidak. Itulah bezanya.

Kepada Ahmad Lebai Sudin…hayatilah pantun lama pusaka bangsa ini.

Anak kumbang merayap-rayap
Mati ditangkap anak merpati,
Hendak terbang tidak bersayap
Hendak hinggap tidak berkaki.

Jika tidak faham akan maksudnya, tanyalah kepada orang yang lebih arif.


Thursday, April 16, 2015

Zahid Hamidi dan jam tangannya

Menteri Dalam Negeri merangkap Naib Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai memiliki tiga jam tangan mewah berharga ratusan ribu ringgit. Dia dikatakan memiliki jam tangan Richard Mille Felipe Massa berharga lebih kurang RM366,000, jam tangan Richard Mille RM025 Diver bernilai RM248,000 dan Richard Mille RM011 Flyback bernilai RM480,000. 

Dr Zahid tidak menafikan laporan itu sambil berkata jam tangan mewah itu diperolehinya semasa terlibat dalam dunia korporat. Zahid berkata ia diperolehi sebelum dia menyertai politik. 

Saya cuba nak percaya apa yang Zahid kata, tetapi setelah meneliti kerjaya politiknya, saya terus sangsi akan kebenarannya. 

Zahid ceburi politik secara aktif pada tahun 1986 apabila dia dilantik Setiausaha Politik Najib Tun Razak di Kementerian Belia (1986-1990), kemudian di Kementerian Pertahanan (1990-1995) dan pada tahun 1995 dia bertanding pada pilihan raya umum dan menang di kawasan Bagan Datoh, Perak. Pada tahun 1996 dia dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO. Pada tahun 2004 dia dilantik Timbalan Menteri Pelancongan dan empat tahun kemudian sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, setahun kemudian Menteri Pertahanan dan pada 15 mei 2013 Menteri Dalam Negeri. 

Dalam dunia korporat atau perniagaan, Zahid dilantik menduduki Lembaga Pengarah Bank Simpanan Nasional dan PNB (1995-98), pada 1999 Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad. 

Sebelum diangkat  sebagai Menteri Kabinet, dia dilantik pengerusi beberapa buah syarikat, antaranya, Tekala Corporation Berhad, Seng Hup Berhad, Ramatex Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Kretam Holding Berhad, Pengarah Eksekutif Scandinavian Motors Sdn Bhd., dan sebelum itu berkerja di OCBC (bank saudagar). 

Menurut seorang pengulas laman FB, Khairi Abdullah,  Zahid menceburi dunia korporat antara tahun 1995 hingga 1998 sedangkan jam Richard Mille yang pertama dijual pada tahun 2001 dan jam yang Zahid pakai dijual pada tahun 2011. Oleh itu, alasan Zahid bahawa dia memperolehi jam tangan mewah itu semasa terlibat dalam dunia korporat adalah tidak benar. 

Untuk rekod, pada tahun 1994 Zahid, yang ketika itu Ahli Dewan Negara (Senator) dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) menggantikan seorang lagi ahli politik UMNO, Zubir Embong.
Cuma apa yang terbayang pada fikiran saya ialah semasa pergelangan tangan Zahid dicengkam jam yang begitu mewah, ada rakyat di Bagan Datoh yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen, hidup dalam kepapaan, kais pagi makan pagi dan ada kalanya terpaksa mengikat perut kelaparan. Bayangkan, ratusan ribu ringgit yang dibelanja untuk membeli jam berkenaan mampu memenuhi keperluan hidup ribuan insan yang hidup dalam kemiskinan. Apakah hebat sangat untuk memakai jam tangan berharga ratusan ribu ringgit sedangkan ada rakyat yang menderita kelaparan?

 

Thursday, April 02, 2015

Najib kepanasan diserang Mahathir?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sudah pasti kepanasan apabila menghadapi serangan paling tajam oleh mantan bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sudah tentu ramai yang menyokong apa yang dibangkitkan oleh Tun M dan tidak kurang juga yang memihak kepada Najib atas faktor-faktor tertentu.

Yang jelas ialah serangan kali ini amat serius, bak kata orang hentam habis kerana ia membabitkan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu. Ramai orang yang dapat menyangka dan mengandaikan apa yang dimaksudkan oleh Tun M.

Kes Altantuya bukan sahaja diikuti oleh rakyat Malaysia dan Mongolia tetapi seantero dunia. Ia kes berprofil tinggi melibatkan penggunaan peletup C4 yang hanya diguna oleh Angkatan Tentera. Kes itu membabitkan pembelian kapal selam Scorpene dan pada ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan. Dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dituduh membunuh Altantuya bertugas mengawal Najib.  Adakah ia satu kebetulan?

Tun Mahathir berkata kenyataan salah seorang daripada anggota UTK yang didapati bersalah membunuh Altantuya, iaitu Sirul Azhar Umar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya harus disiasat.

Siapa yang nak siasat atau berani siasat? Adakah IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar berani membuka semula kertas siasatan seperti dia begitu ghairah mengarah tangkapan demi tangkapan keatas mereka yang bersuara atau terlibat dalam penganjuran perhimpunan-perhimpunan aman dan anggota media yang membuat laporan tertentu. Jika laporan salah dan tidak benar, ada cara untuk menanganinya,  bukan dengan menangkap mereka berpandukan Akta Hasutan.

Berbalik kepada kes Altantuya, Tun M berkata ia melibatkan nyawa manusia dan "amatlah zalim" jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

Katanya rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. dalam hubungan ini, pernyataan berkanun (ST) pertama bekas penyiasat persendirian, mendiang P. Bala, yang diupah oleh Abdul Razak Baginda (bekas orang kuat  Najib), harus diambil kira. Banyak perkara dan butir terperinci berada dalam ST itu. 

Reaksi Najib sebelum ini apabila diajukan soalan itu amat ringkas. "Merepek."

Tetapi, tegas Tun M, selain daripada berkata Sirul merepek, tidak ada siasatan yang dibuat.  Bukankah ini sesuatu yang serius dan pihak Peguam Negara sepatutnya mengarah PDRM membuka semula kertas siasatan. Tetapi ianya tidak berlaku dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya. 

Kes pembunuhan Altantuya akan terus hidup selagi keadilan sebenar tidak berlaku. Benar, dua orang anggota UTK itu dibukti bersalah membunuh dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah. Tetapi mereka hanya mengikut arahan atau menurut perintah orang atasan. Adakah adil jika orang yang memberi arahan itu terus terlepas daripada hukuman dan bersenang lenang?

Kita hanya mampu mengagak siapa yang memberi arahan dan ia tinggal sebagai satu agakan. Oleh itu, Sirul perlu memberitahu dunia siapa yang memberi arahan tersebut. Semoga Sirul selamat di bumi Australia dan berani mendedah kebenaran.


Wednesday, April 01, 2015

Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor patut diisytihar sebagai sekolah warisan

Ada pihak yang menyenaraikan beberapa buah sekolah di Pulau Pinang sebagai sekolah warisan (heritage schools). Antaranya Sekolah Menengah Penang Free, Sekolah Menengah Saint Xavier, Sekolah Menengah (Perempuan) St George dan Sekolah Tinggi Han Chiang. Tiada satupun sekolah Melayu yang disebut sebagai sekolah warisan. Ini tidak seharusnya berlaku.

Pihak yang menyenaraikan sekolah warisan itu mungkin terlupa atau tidak tahu bahawa di Pulau Pinang wujud sekolah Melayu tertua di Tanah Melayu (Malaya).

Mengikut catatan sejarah, Sekolah Melayu Sungai Gelugor atau kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor  adalah sekolah Melayu tertua yang dibuka pada tahun 1826.

Ia dimula dan diuruskan oleh penduduk Kampung Gelugor sebagai kelas al-Quran, fardu ain dan pelajaran tulisan Jawi. 

Pemilik Ladang Brown (Brown Estate) telah mendirikan sebuah bangsal untuk menempatkan anak pekerja ladang. Di dalam bangsal berbumbung dan berdindingkan atap itulah mereka menimba ilmu.

Ia kemudian dinaik taraf apabila seorang pengurus Sekolah Penang Free yang juga pentadbir ladang pala dan getah (dimana sekolah tersebut berada) bernama Rev. Beighton melantik tiga orang guru untuk mengajar di sekolah berkenaan. Seorang guru dari Penang Free bernama  Munshi Shaik Mohamad Tambi bertindak sebagai guru besar.

Sekolah itu mempunyai empat  darjah terdiri daripada murid-murid lelaki - darjah satu hingga empat. Selepas itu dan sekiranya layak, murid-murid itu boleh meneruskan pelajaran di Sekolah Penang Free. 

Pada tahun 1838, Pentadbiran (Kerajaan) Negeri-Negeri Selat (Straits Settlement) mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut dan ianya kekal sebagai sekolah kerajaan hingga sekarang.

Badan Warisan Malaysia ataupun pihak-pihak tertentu  di Pulau Pinang termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang seharusnya bertindak atau mengambil daya usaha untuk membolehkan Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor diwartakan sebagai satu warisan negara atau sekolah warisan.