Pihak yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan berkaitan kes yang membabitkan mantan timbalan perdana menteri itu yang lepas.
Polis boleh menyiasat tetapi sejauh mana keterbukaan dan ketelusan siasatan yang membabitkan ketua mereka ataupun peguam negara. Bayangkan seorang pegawai penyiasat kanan di IPD Dang Wangi, katakan berpangkat DSP, sebagai contoh, nak siasat bos besarnya berpangkat Inspektor-Jeneral. Mampukah dia berbuat demikian dengan berani dan tegas? Apatah pula nak siasat Peguam Negara.
Itu soal siasatan, jikapun ia diadakan.
Bagaimana pula soal pendakwaan. Persoalan ini jauh lebih berat jika ditinjau dari sudut Perlembagan Persekutuan.
Mari kita andaikan yang pihak polis dah siasat dan mendapati ada kes terhadap Peguam Negara. Kertas siasatan mesti diserah kepada Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Apakah Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara akan mengambil keputusan untuk mendakwa Peguam Negara?
Dalam sistem yang diamalkan di Malaysia, Peguam Negara adalah satu-satunya manusia yang diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk memutuskan sama ada sesuatu kes itu hendak didakwa atau tidak di mahkamah. Dalam erti kata lain, pendakwaan ditentukan oleh Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara seorang sahaja.
Perlembagan memberi kuasa mutlak kepada Peguam Negara seperti berikut:-
"Peguam Negara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa pembicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada pembicaraan di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah bumiputra atau mahkamah tentera".
Kuasa yang diberi oleh Perlembagaan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145 (Fasal 3) itu dengan jelas dan nyata menunjukkan bahawa dia (peguam negara) sahaja yang memutuskan sama ada nak dakwa atau tidak. Kuasa yang ada pada Peguam Negara tidak ada pada orang lain termasuk perdana menteri atau mana-mana menteri kabinet ataupun raja yang memerintah.
Tidak masuk akal bagi Peguam Negara untuk mendakwa dirinya sendiri sekiranya siasatan polis terhadapnya menjurus kepada "ada bukti atau kes" untuk di bawa ke muka penghakiman. Oleh itu, pendakwaan tidak harus dilaku atau ditentukan oleh seorang sahaja, iaitu Peguam Negara.
Oleh itu, saya percaya apa-apa laporan polis yang dibuat terhadap Peguam Negara hanya akan menjadi sia-sia kerana kuasa pendakwaan berada di tangan Peguam Negara itu sendiri.
Masanya sudah tiba bagi kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan (Perkara 145) berkaitan Peguam Negara. Kuasa penentu pendakwaan hendaklah di tentukan oleh satu panel sekurang-kurangnya tiga orang, bukan seorang, seperti sekarang.