Sunday, August 20, 2006

Lepas KM P Pinang jawatan datuk bandar KL pula jadi rebutan

Setelah hampa mengejar jawatan ketua menteri Pulau Pinang secara giliran, kini timbul pula suara di kalangan Umno Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan jawatan datuk bandar. Jawatan penting itu selama ini disandang oleh pegawai kanan perkhidmatan awam yang bebas daripada politik walaupun tidak begitu bebas daripada pengaruh politik.

Sebenarnya, usaha untuk "mempolitikkan" jawatan datuk bandar KL bermula semasa Tengku Adnan Mansor menjadi pengerusi perhubungan dan Syed Ali Alhabshee selaku setiausaha badan perhubungan.

Gandingan Tengku Adnan-Syed Ali mengemukakan nama bekas diplomat yang sedang mencuba nasib dalam politik Umno, Syed Hussein bin Abdul Kader Alhabshi, untuk menggantikan Datuk Mohamad Shaid Mohamad Taufek sebagai datuk bandar. Syed Hussein adalah bapa saudara sepupu Syed Ali. Bagaimanapun, ia telah ditolak oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengekalkan status quo.

Kita tidak nampak sebarang kelebihan dalam hujah Umno WPKL yang mahukan orang politik, tentunya orang Umno, dilantik sebagai datuk bandar. Yang pasti berlaku sekiranya orang politik menjadi datuk bandar tidak lain dan tidak bukan - salah urus tadbir, amalan rasuah, pilih kasih dan salahguna kuasa. Jika Umno WPKL ikhlas dan jujur mahukan orang politik menerajui Dewan Bandaraya KL (DBKL), mereka harus mengemukakan cadangan atau usul supaya jawatan itu dipilih melalui pilihan raya tempatan seperti yang pernah diadakan untuk KL Municipality (1955) dan City Council of Georgetown, Pulau Pinang sebelum ia dibubarkan dan diganti dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Biar pembayar cukai yang membuat pilihan dan mereka yang dipilih, jika gagal melaksanakan tugas, akan disingkir oleh pembayar cukai dalam pemilihan berikutnya.

Kita sedar kenapa Umno KL tidak mahu pembayar cukai membuat pilihan. Jika ini dilaksanakan, maka DBKL akan dikuasai oleh DAP. Tokoh DAP akan dilantik sebagai datuk bandar dan parti itu juga akan menguasai majlis bandar raya. Lihat saja kerusi parlimen WPKL yang dikuasai oleh DAP untuk memberi gambaran tentang kekuatan parti itu di KL. Di mana kekuatan Umno jika diadakan pemilihan untuk datuk bandar?

Sistem yang ada sekarang berjalan dengan baik dan berkesan di bawah pentadbiran seorang pegawai kanan perkhidmatan awam. Sistem ini tidak perlu diubah dengan meletakkan orang politik sebagai datuk bandar melainkan ia diadakan secara pilihan raya. Jika Umno takut menghadapi rakyat untuk memilih datuk bandar, duduk diam sajalah.

Sejak KL menjadi Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1972, bandar raya yang merupakan ibu negara Malaysia ini telah ditadbir dengan baik oleh tujuh orang datuk bandar dari kalangan pegawai perkhidmatan awam yang tidak kurang hebatnya.

Mereka adalah:- 1. Tan Sri Lokman Yusof (1972); 2. Tan Sri Yaakob Latiff (1973-1983); 3. Tan Sri Elyas Omar (1983-1992); 4. Tan Sri Dr Mazlan Ahmad (1992-1995); 5. Tan Sri Kamaruzzaman Shariff (1995-2001); 6. Datuk Mohamad Shaid Mohamad Taufek (2001-2004); dan 7. Datuk Ruslin Hassan (2004-2006). Khidmat Datuk Ruslin akan tamat hujung tahun ini dan seorang datuk bandar baru akan mengambil alih mulai Januari 2007.

DBKL mempunyai kawasan seluas 243.65 km persegi dengan penduduk berjumlah 1.5 juta. Ia adalah pihak berkuasa tempatan paling maju dan kaya di Malaysia. DBKL masih memiliki banyak tanah yang harganya amat tinggi dan ini mungkin telah mengabui mata pemimpin-pemimpin Umno KL untuk menguasai DBKL.

No comments: