Sunday, August 06, 2006

Banyaknya beruk dan monyet dalam Umno


Saya memilih untuk menulis dalam bahasa Melayu untuk mengulas topik yang saya anggap 'membuka pekung di dada' oleh Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob. Saya hormati beliau kerana berani berterus terang walaupun terpaksa 'membuka pekung'. Syabas.

Saya amat tertarik dengan kenyataan ikhlas Adnan Yaakob yang mengakui bahawa dalam Umno ramai pemimpin (semua peringkat) yang bersifat semacam beruk dan monyet.

Pemimpin "beruk dan monyet" itu akan berpaut pada ranting dan dahan pokok yang banyak berbuah dan mereka akan meninggalkan pokok yang tiada berbuah.

Maksudnya, mengikut kefahaman umum, barisan kepimpinan Umno mementingkan diri sendiri. Mereka akan menyokong jika mereka mendapat habuan sama seperti beruk dan monyet yang berpaut pada pokok yang banyak buah untuk dimakan.

Adnan menyebut "bapa beruk" dan "bapa monyet" tapi saya ingin perluaskan sindiran itu kepada 'beruk dan monyet jantan dan betina' kerana bukan sahaja pemimpin lelaki yang terlibat tetapi pemimpin wanita dan puteri.

Keikhlasan dan keberanian Adnan mengeluarkan kiasan itu sebenarnya mencerminkan keadaan dalam Umno sekarang. Semua pemimpin senada memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi (betul ke?) kepada Abdullah Badawi.

Adnan mempersoalkan keikhlasan sokongan yang disuarakan itu kerana beliau tidak mahu melihat 'beruk dan monyet' yang berkepentingan dalam parti yang didokongnya. Adnan mahu sokongan yang diberikan adalah ikhlas dan jujur.

Pada pendapat saya, masalah 'beruk dan monyet' seperti yang dibangkitkan oleh Adnan adalah satu barah yang sudahpun merebak ke tahap yang serius dalam Umno. Amat sukar bagi kita untuk menemui seorang pemimpin Umno yang benar-benar bersih, jujur dan amanah dalam perjuangan siasah Melayu. Hampir semua mempunyai muslihat dan kepentingan diri sendiri, tamak dan haloba, rasuah dan tidak amanah.

Mereka cakap berbelit-belit dan mengikut rentak dan irama semasa. Pendirian sering kali berubah mengikut suasana dan keadaan. Lihat saja apa yang sedang dialami oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apabila sudah tidak memiliki kuasa. Nasib yang sama akan menimpa Abdullah Badawi apabila beliau "tersingkir" daripada teraju kepimpinan yang saya kira akan berlaku dalam tempoh masa terdekat ini. Semua 'beruk dan monyet' Umno akan melompat ke pokok yang berasal dari Pekan, Pahang untuk menikmati hasil ynag lumayan kerana pokok ara dari Kepala Batas, Seberang Perai sudah tidak berbuah lagi. Dalam masa yang sama, 'anak beruk dan anak monyet' akan lari daripada Khairy Jamaluddin, naib ketua pemuda Umno, kerana beliau bukan lagi menantu Perdana Menteri yang berpengaruh dan berkuasa itu.

Sandiwara dan riawara yang dilakonkan oleh 'beruk dan monyet' akan terus berulang dan diulang tayang selagi sifat berpaut dan bernaung kepada pokok yang mengeluarkan banyak buah tidak dapat dibendung. Kita tahu ia sukar dibendung dan kita juga tahu bahawa Umno yang wujud sekarang jauh berbeza daripada Umno di zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Abdul Razak. Umno sekarang menjadi lubuk mengejar kekayaan, pangkat dan kuasa. Umno dipenuhi rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Orang Melayu perlu mencari jalan keluar dan jika perlu, pilihlah parti politik bertunjangkan Melayu dan Islam untuk kelangsungan hidup anak cucu kita. Kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada Umno sekiranya parti itu masih dipenuhi oleh 'beruk dan monyet' yang hanya mementingkan diri sendiri.

Kepada Adnan Yaakob, saya ucapkan terima kasih. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang itu harus dipuji atas kejujurannya menyamakan golongan kepimpinan yang ada dalam Umno seperti 'bapa beruk dan bapa monyet'. Inilah kenyataan dan kenyataan inilah yang melemahkan Umno. Pekung yang merebak di dada itu memang sukar untuk diubati.

No comments: