Wednesday, August 23, 2006

Kenapa Khir Toyo kebal daripada tindakan undang-undang?

Dalam ingatan saya yang hampir 27 tahun berkhidmat dengan agensi berita nasional dan hampir lima tahun menghambakan diri sebagai setiausaha akhbar kepada seorang menteri persekutuan, belum pernah berlaku dimana seorang timbalan menteri besar menulis surat kepada ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah berkaitan tindak tanduk bosnya, menteri besar.

Perkara yang dibangkitkan itu semestinya serius, jika tidak, sudah tentu timbalan menteri besar berkenaan tidak akan mengadu kepada BPR dan diberikan pula salinan suratnya itu kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang.

Perkara ini berlaku di negeri Selangor Darul Ehsan pada tahun 2003. Yang mengemukakan aduan kepada BPR ialah Dato Dr Zainal Abidin Ahmad, mantan timbalan menteri besar Selangor. Yang kena adu tidak lain dan tidak bukan menteri besar selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Yang aneh tetapi tidak luar biasa dan sememangnya menjadi satu kelaziman di bumi bertuah bernama Malaysia ini, tindakan tidak diambil dan orang yang dilaporkan melakukan kekhilafan dan salahguna kuasa masih berkuasa sebagai menteri besar Selangor.

Episod yang pernah dibangkitkan oleh ketua pembangkang Lim Kit Sing di Dewan Rakyat ini berlaku semasa Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan diwarisi pula oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kedua-dua orang pemimpin ini tahu dan dimaklumkan mengenai perkara ini melalui salinan surat Dr Zainal Abidin. Persoalannya...kenapa tiada tindakan diambil? Hebat sangatkah anak pendatang baru dari Jawa yang bernama Khir Toyo sehingga dia kelihatan begitu kebal?

Untuk makluman, bapa Khir Toyo berhijrah dari tanah Jawa ke Selangor semasa Tanah Melayu dibawah pemerintahan Jepun. Pada waktu itu tidak wujud istilah pendatang haram atau pendatang tanpa izin. Khir Toyo dilahirkan pada 6 Ogos 1965 di Sungai Burung, Sekinchan, Selangor, iaitu selepas Persekutuan Malaysia terbentuk. Khir Toyo secara automatis bergelar bumiputera dan menikmati semua kemudahan dan keistimewaan yang diperuntukkan kepada bumiputera sehingga membolehkan beliau menerajui sebuah negeri yang dianggap termaju di Malaysia. Tuah seperti ini hanya terdapat di Malaysia, bumi yang benar-benar bertuah.

Berbalik kepada isu pokok, kenapa Dr Zainal bertindak sedemikian terhadap Khir Toyo?

Dr Zainal terpanggil untuk menulis surat kepada BPR setelah beliau dapati namanya telah dibabitkan dalam satu kenyataan media oleh Khir Toyo yang menurut Dr Zainal adalah tidak betul dan tidak menepati fakta. Dalam erti kata lain, Khir Toyo telah berbohong, satu sifat yang, menurut sudut Islam, dikatakan antara tiga unsur orang jadi munafik.

Ia berbangkit daripada satu pendedahan oleh Teng Chang Khim, ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Bandar Klang pada persidangan DUN 29 April 2003 yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri meluluskan pemberian tanah di Lot 557, Mukim Dengkil dan Kampung Labu Lanjut, Sepang kepada beberapa orang yang menurutnya mempunyai kepentingan.

Teng berkata bagi pemberian tanah di Lot 557 untuk tujuan pertanian, seramai 107 pemohon berjaya dan beliau mendakwa antara mereka termasuklah orang yang ada kaitan dengan Khir Toyo, Adun Dengkil Mohd Shariff Jajang dan beberapa kakitangan kerajaan negeri.

Wakil DAP itu turut mendakwa bahawa walaupun Khir Toyo dan beberapa orang yang berkepentingan telah mengisytiharkan kepentingan mereka tetapi mereka tidak meninggalkan mesyuarat semasa kertas dibentangkan. Khir Toyo terus mempengerusikan mesyuarat yang meluluskan permohonan tersebut. Perbuatannya itu melanggar tatacara dan undang-undang dari sudut percanggahan kepentingan.

Perkara yang sama berlaku dalam kelulusan permohonan tanah di projek pembesaran Kampung Labu Lanjut, Sepang apabila Khir Toyo sekali lagi tidak meninggalkan mesyuarat walaupun telah mengisytiharkan kepentingan berkaitan dengan kakitangan beliau iaitu seorang pengawal peribadi (bodyguard) dan seorang pemandu.

Pada 30 April 2003, Khir Toyo memberitahu wartawan di lobi Dewan Undangan Negeri bahawa semasa Exco kerajaan negeri membuat keputusan itu, beliau telah meninggalkan bilik mesyuarat selepas mengisytiharkan kepentingannya.

"Tuduhan pembangkang kata saya tak keluar mesyuarat tak betul, selalunya bila saya tinggalkan mesyuarat timbalan menteri besar atau Datuk Tang See Hang akan mempengerusikan, itu dah jadi prosedur," kata Khir Toyo. (Petikan ini terkandung dalam laporan Utusan Malaysia bertarikh 1 Mei 2003)

Tetapi, dalam suratnya kepada BPR, Dr Zainal menulis:

"Sehubungan dengan kes pemberian tanah yang dihebohkan sekarang, inginlah saya secara sukarela dan penuh kesedaran menyatakan bahawa YAB Dato Seri Mohd. Khir bin Toyo dan beberapa orang ahli EXCO telah mengistiharkan kepentingan masing-masing semasa mesyuarat EXCO berkenaan berlangsung tetapi TIDAK seorang pun telah keluar meninggalkan bilik mesyuarat. Mesyuarat terus berjalan dipengerusikan oleh Dato Menteri Besar sendiri."

Cukup terang dan jelas. Khir Toyo bukan sahaja telah berbohong tetapi melanggar aturan dan peraturan serta undang-undang pencegahan rasuah apabila beliau sendiri mempengerusikan mesyauarat EXCO yang meluluskan pemberian tanah seperti yang dibangkitkan oleh Teng.

Kenapa BPR tidak bertindak? Jika benarlah BPR bebas menyiasat dan bebas mengambil tindakan, kenapa jadi begini? Sebenarnya BPR hanya bebas menyiasat tetapi tidak bebas untuk bertindak. Umum tahu bahawa sebarang tindakan yang ada kaitan dengan VVIP seperti menteri, menteri besar/ketua menteri dan tokoh-tokoh politik tertentu, BPR perlu menghadap perdana menteri untuk mendapat restu.

Dalam suratnya itu, Dr Zainal juga menjelaskan bahawa selama pemerintahan Khir Toyo selaku menteri besar Selangor, mesyuarat EXCO tidak pernah sekali pun diarah untuk dipengerusikan oleh beliau (Dr Zainal) atau mana-mana ahli EXCO yang lain.

Oleh itu, tegas Dr Zainal, kenyataan Khir Toyo bahawa mesyuarat yang meluluskan pemberian tanah berkenaan dipengerusikan oleh Dr Zainal atau Datuk Tang adalah palsu dan bertentangan dengan kebenaran.

Seperti yang kita sedia maklum, Dr Zainal telah digugurkan sebagai calon BN dalam pilihan raya 2004 lalu oleh Khir Toyo walaupun nama Dr Zainal disenaraikan oleh Umno bahagian yang dipimpinnya. Dr Zainal kini menganggotai Parti KeAdilan kerana beliau tidak sanggup lagi bersekongkol dengan golongan munafik.

2 comments:

Aku Bukan Blogger said...

En Syed. Saya kurang gemar apabila terdengar kisah org jawa. Walaupun En tidak mengatakan org Jawa pendatang tetapi seolah olah, org Jawa tidak layak diberi layanan sama rata walaupun org Jawa memperjuangkan Islam. Maaf ya kerana meluahkan perasaan tidak puas hati kepada encik.

Mengenai isu Khir Toyo. Apa kena mengena rasuah dan juga mempengerusikan mesyuarat yang ada kepentingan? Adakah saluran nya hanya BPR? Tiada saluran lain untuk aduan?

Unknown said...

Sdr, harap maaf jika terasa kurang senang atau kurang gemar dengan tulisan saya. Sebenarnya saya tidak bermaksud seperti mana yang mungkin sdr fahami. Benar orang Jawa berperanan penting dalam memperjuangkan Islam yang diperkenalkan oleh anak cucu Rasullullah melalui Wali Songo. Saya cuma memberi penekanan kepada fakta iaitu bapa Khir Toyo baru sangat berhijrah, iaitu semasa permerintahan Jepun, berbanding dengan ratusan ribu masyarakat Jawa, Bugis, Minang, Batak, Aceh, Banjar, Boyan atau Madura ke tanah Melayu. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa masih ada anak cucu mereka ini yang tidak diberi taraf warganegara. Begitu juga dengan penghijrah dari benua kecil India, Arab dan China yang bermastautin di negara ini sudah beratus tahun sehingga ada yang tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka tetapi masih dilihat oleh ramai sebagai kaum pendatang. Tahukah sdr bahawa keturunan Arab di Johor yang datuk nenek mereka turut memperjuangkan kemerdekaan, kedaulatan bahasa Melayu dan pengembangan syiar Islam di Tanah Melayu masih tidak diiktiraf sebagai bumiputera?

Sdr bertanya apa kena mengena rasuah dan juga mempengerusikan mesyuarat yang ada kepentingan. Terima kasih atas keprihatinan sdr. Untuk makluman sdr, ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan pihak yang menguatkuasakan akta tersebut adalah Badan Pencegah Rasuah. Persoalan yang saya timbulkan ialah kenapa tiada tindakan diambil sedangkan pihak BPR mempunyai cukup bukti. Saya cuba bayangkan kepada pembaca bahawa tangan BPR terikat dan BPR tidak bebas untuk bertindak tanpa mendapat restu pihak atasan.

Saya amat menghargai minat sdr dan sekali lagi saya minta maaf sekiranya perasaan sdr tersinggung atau terguris. Seperti sdr, saya juga seorang insan yang bukan kamil.