Monday, August 21, 2006

GPMS kini dah jadi pelantar lompat politik Umno

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), salah sebuah badan bukan kerajaan yang suatu ketika dahulu cukup banyak menyumbang bakti ke arah peningkatan taraf pelajaran anak Melayu, kini sudah kehilangan bisa dan bertukar menjadi sebuah pelantar untuk pemuda Umno melompat ke atas.

Jika dahulu para pemimpin GPMS tidak mencampur-adukkan politik dengan matlamat dan asas perjuangan gabungan itu, kini ia menjadi salah satu lubuk bagi pemimpin muda yang baru menceburi politik, untuk mendapat sokongan dan membina tapak untuk cita-cita yang lebih besar.

Saya katakan pemimpin GPMS yang terdahulu tidak bermain politik kerana pada masa lalu, ramai pemimpin GPMS terdiri daripada para guru dan siswazah yang kebanyakannya menyokong atau mengikuti dengan penuh minat kegiatan Partai Sosialis Rakyat Malaya yang diterajui tokoh-tokoh handalan seperti Ahmad Boestaman, Kassim Ahmad dan Syed Hussein Ali. Mereka tidak pula menggunakan GPMS sebagai wadah perjuangan walaupun "akhbar" Mimbar Sosialis popular di kalangan guru dan siswazah muda.

Saya adalah antara ratusan pelajar Melayu di Pulau Pinang yang berpeluang mengikuti kelas tuisyen yang dikendalikan oleh GPMS secara percuma pada awal tahun 1960-an di sekolah Melayu Kampung Jawa. Saya mengikuti kelas itu setiap hujung minggu dan masih ingat nama beberapa orang guru yang juga pemimpin dan ahli GPMS Pulau Pinang yang sanggup meluangkan masa lapang untuk mengajar.

Semangat dan kegigihan para pemimpin GPMS pada waktu itu sudah tiada lagi di kalangan para pemimpin gabungan itu sekarang. Perkembangan ini amat malang dan amat mendukacitakan.

Ke mana arah haluan GPMS yang hendak dibawa oleh Reezal Merican Naina Merican?

Saya tidak nampak bagaimana GPMS boleh kembali ke matlamat dan tujuan asalnya setelah melihat bagaimana pemimpin-pemimpin muda dalam Umno menjadikan gabungan itu sebagai batu loncatan untuk menambah pengaruh. Seorang ahli Exco Pemuda Umno yang juga setiausaha politik pak menteri, tidak akan mempunyai masa untuk menyumbang tenaga dan khidmat bakti seperti yang pernah dilangsaikan oleh para pemimpin GPMS tahun-tahun terdahulu (sehingga 1980-an).

Mungkin ada asas kenyataan beberapa orang tokoh yang pernah memimpin GPMS iaitu kembalikan kepimpinan GPMS kepada pelajar dan mahasiswa (termasuk siswazah muda dan guru muda) yang tiada kepentingan politik.

Satu dilema yang sudahpun menjadi penyakit di Malaysia, terutama di kalangan orang Melayu, ialah apabila orang politik memimpin badan-badan bukan politik termasuk badan sukan, kebajikan dan sosial, ia tidak menguntungkan dari segi peningkatan mutu dan khidmat. Justeru itu, orang politik sepatutnya memberi tumpuan kepada bidang politik. Kalau nak naik, naiklah dan raihkan kemewahan yang terdapat dan kalau nak jatuh, jatuhlah bergolek-golek dalam gelanggang politik yang penuh dengan kekotoran itu.

1 comment:

Andin Salleh said...

Sekarang yang berkuasa di negara kita, dari atas hingga ke bawah, ialah "orang politik"

Agaknya proses ini bermula sejak kita merdeka; sejak "orang kita" kembali jadi pemerintah, jadi orang yang berkuasa.

Sejak itu orang politik "menguasai" segenap bidang kehidupan kita, termasuklah badan-badan seperti GPMS.

Setakat ini agaknya kita belum nampak jalan keluar dari situasi ini.