Monday, June 30, 2008

Laporan polis terhadap Peguam Negara hanya sia-sia?

Pihak yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan berkaitan kes yang membabitkan mantan timbalan perdana menteri itu yang lepas.

Polis boleh menyiasat tetapi sejauh mana keterbukaan dan ketelusan siasatan yang membabitkan ketua mereka ataupun peguam negara. Bayangkan seorang pegawai penyiasat kanan di IPD Dang Wangi, katakan berpangkat DSP, sebagai contoh, nak siasat bos besarnya berpangkat Inspektor-Jeneral. Mampukah dia berbuat demikian dengan berani dan tegas? Apatah pula nak siasat Peguam Negara.

Itu soal siasatan, jikapun ia diadakan.

Bagaimana pula soal pendakwaan. Persoalan ini jauh lebih berat jika ditinjau dari sudut Perlembagan Persekutuan.

Mari kita andaikan yang pihak polis dah siasat dan mendapati ada kes terhadap Peguam Negara. Kertas siasatan mesti diserah kepada Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Apakah Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara akan mengambil keputusan untuk mendakwa Peguam Negara?

Dalam sistem yang diamalkan di Malaysia, Peguam Negara adalah satu-satunya manusia yang diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk memutuskan sama ada sesuatu kes itu hendak didakwa atau tidak di mahkamah. Dalam erti kata lain, pendakwaan ditentukan oleh Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara seorang sahaja.

Perlembagan memberi kuasa mutlak kepada Peguam Negara seperti berikut:-

"Peguam Negara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa pembicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada pembicaraan di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah bumiputra atau mahkamah tentera".

Kuasa yang diberi oleh Perlembagaan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145 (Fasal 3) itu dengan jelas dan nyata menunjukkan bahawa dia (peguam negara) sahaja yang memutuskan sama ada nak dakwa atau tidak. Kuasa yang ada pada Peguam Negara tidak ada pada orang lain termasuk perdana menteri atau mana-mana menteri kabinet ataupun raja yang memerintah.

Tidak masuk akal bagi Peguam Negara untuk mendakwa dirinya sendiri sekiranya siasatan polis terhadapnya menjurus kepada "ada bukti atau kes" untuk di bawa ke muka penghakiman. Oleh itu, pendakwaan tidak harus dilaku atau ditentukan oleh seorang sahaja, iaitu Peguam Negara.

Oleh itu, saya percaya apa-apa laporan polis yang dibuat terhadap Peguam Negara hanya akan menjadi sia-sia kerana kuasa pendakwaan berada di tangan Peguam Negara itu sendiri.

Masanya sudah tiba bagi kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan (Perkara 145) berkaitan Peguam Negara. Kuasa penentu pendakwaan hendaklah di tentukan oleh satu panel sekurang-kurangnya tiga orang, bukan seorang, seperti sekarang.

11 comments:

FactFactor said...

Salam

Apa jasa Gani Patail sehingga boleh dilantik sehingga ke jawatan Peguam Negara?

Apa jasa Musa Hassan sehingga skip ramai pegawai-pegawai polis yg lebih senior ke jawatan KPN?

Umum mengetahui keterlibatan aktif anak Patail dan anak Hassan dalam kes liwat DSAI 1998

isyak said...

Dalam mana-mana negara di dunia ini pun saya rasa tidak ada sesuatu yang 100% telus, transparen dan boleh dipercayai. Itu lah realitinya.

Mungkin cara terbaik untuk mengelakkan spekulasi macam2 adalah untuk mengadakan tribunal khas? seperti kes vk lingam mungkin.

stevenraymond64 said...

Assalamualaikum semua,

Dalam konteks yang dikatakan oleh kuda ranggi pun ada betulnya jugak. Kerana ini kita perlu tahu bahawa Polis-polis dan peguam-peguam secara umumnya dikuasai ataupun erti kata dipengaruhi oleh pihak kerajaan. Sebarang isu-isu yang berkaitan ataupun membabitkan mereka tidak semestinya mampu dilakukan dengan begitu berani dan tegas oleh pihak polis ataupun peguam-peguam yang ingin meyiasat sejauh dalam pun terhadap isu-isu kes yang membabitkan ahli-ahli politik yang sangat berpengaruh. Betulkan saya sekiranya saya salah. Sekian terima kasih.

farzain said...

Kalau macam tu buang masa Anwar je nak report polis. Lepas ni dapat bajet anwar akan uduh macam2 pula kata polis brat sebelah, biased, dll. Anwar tu terlalu cerdik, jangan tertipu.

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Kiat semua kena ingat bahawa Peguam Negara dn Ketua Polis Negara adalah kakitangan awam dengan lain perkataan ialah orang kerajaan.Pejawat awam bertanggungjawab kepada kerajaan yang berkuasa pada hari itu (government of the day) dan menjadi tugas mereka mematuhi perentah boss mereka selaras dengan Aku Janji.Tidak hairanlah jika kedua-dua kera jaan ini menjalankan tugas masing-masing selaras dengan kehendak boss mereka. Boss no 1 dalam sistem pentadbiran Malaysia ialah Perdana Menteri (Ketua Ekekutif) bukan Ketua Setiausaha Negara.Penjawat Awam adalah hanya pelaksana dasar. Dengan itu jika tidak boleh salahkan mereka.

Mier said...

Kalau ye pun tak nak resign..sebaik-baiknya AG patut ambil cuti rehat sehingga penyiasatan kes selesai. Tugas AG diambil oleh timbalannya. So there's no conflict of interest.

Anonymous said...

Tuan Kuda Ranggi,
Satu ketika dulu tuan kerap menulis mengenai Bernama, tempat di mana tuan pernah berkhidmat.
Sekarang ini, kerusi pengurus besar sudah kosong.
Apakah tuan sanggup mengisi tempat itu jika ditawarkan?
Tidak sampai dua hari, mantan pengurus besar tamat perkhidmatan, laman web Bernama begitu pantas mengeluarkan gambarnya.
Apakah mesej yang tersirat?

Anonymous said...

Bukanlah sesuatu yang sukar untuk menyiasat Ketua polis Negara atau Peguam Negara hatta apa apa jawatan tetinggi pun.

Yang paling penting ialah kerajaan mempunyai pendekatan dan cara jika MAHU dilaksanakan.

Antaranya ialah:
1- Penubuhan Suruhanjaya di Raja atau
2- Peguam Negara dan Ketua Polis Negara digantung tugas dan kedua dua jawatan dipangku oleh Pegawai lain yang berwibawa dan meneruskan siasatan.
3- Perlantikan Jawatankuasa siasatan di peringkat kabinet.
- kluangman

Anonymous said...

Salam ya Sheikh

Seorang pekerja di luar sana jika ada aduan terhadap pegawai atasannya akan mengadu kepada pengurus; pegawai jika ada aduan terhadap pengurus, mengadu kepada pengurus besar; pengurus against pengurus besar kepada pengarah syarikat, hinggalah ke mahkamah and so on.

Dalam isu ini orang terakhir ialah PM. Jika PM tidak boleh atau tidak mahu menanganinya, eloklah berhenti sahaja.

- Melayu Terakhir

Syed Imran said...

aTerima kasih kepada semua yang memberi ulasan dan pandangan berkaitan isu ini.

Menurut Perlembagaan Malaysia, Yang diPertuan Agong hendaklah, atas nasihat (saya ulangi) atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang berkelayakan menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara. Suka atau tidak, perlantikan bercorak sedemikian tidak boleh dipisahkan dengan kepentingan politik.

Perlembagaan juga menyebut bahawa Peguam Negara tidak boleh dipecat dari jawatan kecuali atas alasan-alasan dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Benar kata beberapa pengulas bahawa sebuah suruhanjaya boleh dilantik untuk menyiasat Peguam Negara sama seperti yang diambil ke atas beberapa orang hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara pada masa lalu.

Persoalannya, mahukah PM berbuat demikian? Saya fikir tidak.

kluangman said...

Terkini: IGP dan AG akan disiasat oleh BPR - mungkin sekadar siasatan kerana isu liwat dan akuan berumpah Bala sedang laris dalam pasaran.

Malaysia bernasib 'baik' kerana kita mempunya PM yang prihatin, katanya: Negara stabil, aman dan selamat.

Untuk melengkapkan siasah politik negara yang haprak dan kian hancus, saya berharap akan keluar pula akuan bersumpah terhadap Dolah dan KJ.

Adalah tidak logik Dolah dan KJ begitu bersih secara tiba tiba.