Monday, March 10, 2008

Maha silap jika Pak Lah lantik Khairy

Desas-desus dan cakap-cakap yang menyebut bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) berkemungkinan besar akan memberi sesuatu jawatan pentadbiran kepada menantunya yang juga pemenang pemilihan umum bagi kerusi kawasan undi Parlimen Rembau, Negeri Sembilan, cukup membimbangkan.


Amat malang dan mendukacitakan jika ianya menjadi kenyataan. Ia berkemungkinan besar akan menjadi satu maha kesilapan.


Perlu diingatkan bahawa banyak pihak yang berpendapat bahawa salah satu penyebab kenapa Barisan Nasional tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal berkuasa di Kelantan dan gagal mempertahankan majoriti dua-pertiga di Parlimen berpunca daripada isu menantu Pak Lah. Sama ada ianya betul atau tidak, ia tetap dijadikan alasan dan ia mungkin telah mempengaruhi para pengundi pada 8 Mac.


Lihat saja pencapaian Bursa Malaysia apabila urus niaga dibuka pada hari Isnin, iaitu selepas pilihan raya hari Sabtu yang memperlihatkan ketidaktentuan politik. Urus niaga saham di Bursa Malaysia terpaksa dihentikan selama satu jam mulai pukul 2.58 petang setelah bursa mengalami kejatuhan 130.01 mata kepada 1,166.32 atau merudum kira-kira 10.03 peratus. Pasaran pulih sedikit selepas itu dan ditutup pada 1,1172.2 mata, juga jauh lebih rendah daripada kedudukan pada Jumaat lepas.


Urus niaga di pasaran wang juga menjunam dan ringgit jatuh 1.2 peratus kepada RM3.198 berbanding dolar Amerika.


Para pelabur dan pemain pasaran bimbang tentang kestabilan politik dan kedudukan Pak Lah selaku perdana menteri. Ada yang meramalkan bahawa Pak Lah tidak akan bertahan lama dan berkemungkinan besar akan dicabar pada pemilihan UMNO yang bakal diadakan tahun ini.


Kebimbangan juga disuarakan sekiranya Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan negara memandangkan beberapa isu berkaitan seperti yang dibangkitkan dalam kempen-kempen pilihan raya oleh parti-parti bukan Barisan Nasional. Antaranya isu kes pembunuhan Altantuya dan pembelian aset-aset pertahanan (kapal selam dan pesawat pejuang/pengebom).


Oleh itu, Pak Lah harus berhati-hati dan teliti dalam memilih dan melantik Jemaah Menteri atau Kabinet agar ianya tidak turut menyumbang kepada kebimbangan pasaran dan pelabur asing.


Satu jalan keluar yang boleh memulihkan keyakinan para pelabur dan pasaran saham ialah meletakkan orang yang paling sesuai dan yang dapat memberi keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada para pelabur dan pasaran saham. Orang berkenaan tidak semestinya presiden, timbalan presiden atau naib-naib presiden UMNO. Dalam usaha pemulihan yang amat penting sekarang, kita tidak semestinya mengikut konvensyen.


Bagi saya, orang yang paling layak untuk menerajui pentadbiran negara yang dapat memberi penawar pemulihan ialah Tengku Razaleigh Hamzah.


Sudah pasti para penyokong dan mereka yang bergantung atau mendapat perlindungan daripada Pak Lah akan melenting dan marah. Mereka tidak dapat menerima senario seperti ini kerana ia akan menjejas masa depan politik dan pembabitan mereka dalam dunia perniagaan atau yang sedap disebut sebagai dunia korporat. Peminat ceritera sang serigala (wolves) dan Red Indian pun akan naik angin membaca apa yang saya perkatakan ini.


Saya melihat Tengku Razaleigh sebagai tokoh yang dapat sekurang-kurangnya menyuntik semangat dan kepercayaan yang amat diperlukan oleh pasaran dan para pelabur. Pengalaman, kewibawaan dan kebolehpercayaan yang dimiliki oleh Tengku Razaleigh amat diperlukan sekarang. Kita berkehendakkan kepada seseorang yang bukan sahaja mampu memimpin tetapi tidak terlibat dalam sebarang skandal politik atau skandal-skandal lain; yang dapat diterima dan dihormati oleh pemimpin-pemimpin politik bukan BN. Orangnya ialah Tengku Razaleigh.


Benar Pak Lah sudahpun mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi ia bukanlah sesuatu yang kekal dan tidak boleh ditukar ganti. UMNO sendiri boleh membuat penentuan demi masa depan parti itu sendiri. UMNO memerlukan seorang pemimpin yang boleh memulihkan penyakit yang menjangkiti parti itu. UMNO perlu mencari penawar kerana punca penyakit sudahpun diketahui.


Pak Lah tidak boleh dibiarkan membuat lebih banyak kesilapan. Pak Lah masih belum menemui apa yang dicarinya (Al-Ghazali dan As-Syafie) walaupun ramai yang berkata secara berseloroh bahawa dia telah menemui jin.


Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui bahawa dia telah melakukan kesilapan apabila memilih Pak Lah sebagai penggantinya. Oleh itu, Tun Mahathir turut bertanggungjawab dan sebab itulah dia meminta Pak Lah supaya meletak jawatan. Hanya dengan berbuat demikian sahajalah kesilapan yang dilakukan itu boleh diperbetulkan agar lebih banyak kesilapan tidak akan dilakukan.

10 comments:

Anonymous said...

Pak Tuan

Di dalam fikiran saya, orang yang dicadangkan oleh Pak Tuan adalah ahli UMNO yang terbaik untuk mengambilalih kepimpinan UMNO dan seterusnya menjadi PM Malaysia.

Saya menaruh keyakinan kepada beliau untuk memulih semangat UMNO/BN dan meletakkan Malaysia di landasan yang betul. Beliau tidak memegang jawatan yang besar di dalam parti tetapi dihormati oleh kebanyakan pemimpin UMNO, lemah lembut tetapi tidak mudah dipengaruhi oleh orang sekeling, tidak banyak bercakap tetapi mempunyai idea tersendiri dan bernas. Namun paling mustahak beliau tidak mempunyai kecelaruan........

Penyelesaian melalui jalan lain nampak seakan kabur. Pak Lah enggan meletak jawatan. Media kerajaan dan milik UMNO telah mula bekerja untuk beliau sejurus Pak Lah mengangkat sumpah. Pemimpin-pemimpin UMNO mula ketakutan dan muncul seorang demi seorang untuk mengangkat baiah menyokong Pak Lah. Mukriz kelihatan berseorangan. Oleh itu Pak Lah mesti dicabar dalam PAU akan datang.

Bahagian-bahagian tidak perlu memikirkan calon yang lain untuk mencabar Pak Lah. Najib telah menyatakan pendiriannya untuk berada di belakang Pak Lah. Lupakan saja Najib. Semuanya seakan-akan mudah bagi bahagian-bahagian. Hanya seorang calon yang layak dan terbaik daripada penyandang yang sedia ada. Saya juga berharap bahagian-bahagian yang kalah di dalam PRU12 mendahului bagi mengadakan mesyuarat dan mencalon YM Tengku. Bahagian-bahagian ini tidak rugi apa-apapun. Ayuh Jelutong, Bagan, Bukit Bendera, Sungai Petani, Merbok, Kulim Bandar Bharu, Bukit Gantang, Taiping, Parit Buntar, Hulu Langat, Klang, Ampang dlll.

Malaysia bukanlah negara demokrasi berpresiden yang mana setiap pengundi berhak dan berpeluang secara langsung memilih presiden melalui pilihanraya. Kami pengundi atau penyokong UMNO tidak diberi peluang memilih PM Malaysia. Hanya 3000 ahli UMNO yang berhak untuk berbuat demikian. Tetapi janganlah lupa, kami telahpun mengambil kesempatan secara tidak langsung dalam PRU yang lalu. Tiada sebarang keraguan dan tiada penyesalan sama sekali. Janganlah menuduh penyokong-penyokong UMNO tidak berfikir panjang. Mereka telah membuat keputusan satu atau dua atau tiga tahun yang lalu untuk menolak kepimpinan Pak Lah. Tidak panjangkah masa itu?

Hayati perasaan pengundi-pengundi UMNO. Mereka semua telahpun menunjukkan jalan kepada Pak Lah. Dalam hidup saya, tidak pernah melihat media berkempen sebegitu rupa untuk memenangkan BN. Tidak pernah sama sekali. Adakah saya betul Pak Tuan? Bagaimanapun BN tetap ditolak oleh pengundi dan sebahagian besarnya adalah penyokong UMNO sendiri. Kalau mesej daripada pengundi tidak dihayati, tidak mengapa, kami akan menunggu 4 tahun lagi.

Pak Tuan, terima kasih atas artikel ini. Saya berharap Pak Tuan bergerak secara maya mencalonkan YM Tengku. Kita tidak rugi-rugi apa kerana kita telahpun bersuara.

Akulamat

Berita dari gunung said...

PM telah membuat kenyataan. Khairy, katanya tidak mempengaruhi beliau dalam membuat keputusan.

Tetapi terlalu ramai berpandangan sebaliknya. Pandangan ini boleh dikutip, waktu berkumpul masa pilihanraya baru-baru ini. Yang turun mengundi datangnya dari segenap pelusuk negara, berkunjung ketempat asal.

Hardcore UMNO memang berpendapat begitu, siap dengan contoh-contohnya. Rakan-rakan busines juga menyebut perkara yang sama. Rakan-rakan dalam sektor kerajaan juga berkata sedemikian, lengkap dengan insiden-insiden menarik.

Hal Khairy disebut mempengaruhi PM dan kerajaan bukan hal terpencil, malah sudah jadi bulan semua orang. Tidak ada siapa boleh percaya penafian-penafian selanjutnya.

Malam ketika keputusan rembau diumumkan, Khairy memaksa diri untuk senyum, manakala Mohamad Hassan langsung kekal mencuka. Thats reality for all to see. Sebuah pengajaran yang sangat pahit.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya setuju Pak Lah tidak boleh terus kekal sebagai PM. Saya juga setuju yang Najib tidak boleh menggantikan tempat Paklah kerana isu najib terlalu banyak diperkatakan dalam kempen pilihan raya PKR, DAP dan PAS. Ini akan memberikan bebanan kepada UMNO dan kerajaan. Najib adalah seorang pentadbir yang baik, cekap, berkebolehan tinggi, bijak, tetapi dia juga mempunyai cerita-cerita belakang tabir yang kurang enak dan ini tidak sesuai sebagai Perdana Menteri. Saya harap orang UMNO akan pilih pemimpin yang betul dan Tengku Razaleigh adalah calon terbaik. Analisis saya salah satu sebab pengundi melayu beralih angin kali ini sehingga sanggup memangkah DAP ialah kerana bosan dan dengan keperibadian pemimpin UMNO yang sangat jauh dari ciri-ciri yang ditetapkan Islam dengan contoh yang ditunjukkan oleh nabi muhamad SAW dan empat kalifah Abu Bakar Siddiq, Umar Ibnu Khatab, Osman Affan dan Ali Abi Talib. Tapi takapalah juga kalau paklah tak mahu undur. Kita ajar dia sekali lagi pilihan raya akan datang. Taklah juga kalau UMNO pilihan Najib ganti Paklah jika paklah mau berhenti. Kita ajar pula UMNO cukup-cukup pada pilihan raya akan datang. Kali ini kita beri peringatan sahaja.

Tuan Senang Besar said...

khairy as the minister.
it is vital for the continuity of the dynasty.

and then there is every reason to start a revolution against the shrewd.

Anonymous said...

Pandangan Pak Tuan saya sokong seratus peratus. Saya turut berdoa agar Ku Li menggantikan Pak Lah sebagai PM walaupun Najib sudah pasti menjadi calon popular orang-orang UMNO. Namun jika dilihat rekod Ku Li sudah tidak dapat diduga lagi bahawa masanya untuk beliau menerajui pucuk kepimpinan negara sudah sampai. Najib juga layak tapi biarlah beri peluang kepada yang berpengalaman dulu seperti Ku Li ni. Lagipun Najib perlu masa untuk membuktikan dirinya benar-benar bersih dari tohmahan dan cerita-cerita yang keluar sepanjang kempen PRU 12 dulu.

zeme said...

Salam,

Merasakan untuk Pak Lah melepaskan jawatan PM adalah sukar dengan mengundur diri, adalah lebih elok kiranya ahli-ahli UMNO membuat perhitungan terakhir di gelanggang pemilihan PAU 2008 nanti. Agak tidak memeranjatkan andai kita akan menyaksikan satu fenomena regu (Presiden-Timbalan Presiden-Ketua Pemuda) iaitu Abdullah-Najib-Khairy, Najib-Ali Rustam-Hishamuddin atau mungkin lebih menarik dan tidak mustahil gandingan Tengku Razaleigh-Shahir-Mukhriz atau Tengku Razaleigh-Muhyiddin-Mukhriz pada pemilihan PAU 2008 nanti. Mungkin ramai beranggapan ia mustahil tapi yang mustahil itulah yang telah menyebabkan BN pimpinan Pak Lah kehilangan 5 negeri kepada pakatan pembangkang pada PRU12 yang baru ini disebabkan faktor Abdullah Ahmad Badawi.

Percalonan YBM Tengku Razaleigh adalah pilihan terbaik untuk ahli UMNO buat masa ini di atas penilaian YBM Tengku mempunyai rekod yang baik sejak menjadi MP bermula 1974 sebelum itu ADUN Kelantan 1969, selain berpengalaman dalam pentadbiran negara memegang portfolio yang penting sebagai Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Perindustan serta dalam pentadbiran parti sebagai Naib Presiden UMNO.

Pokok pangkalnya ahli-ahli UMNO kini perlu bangkit seperti mana rakyat malaysia telah buktikan bagi menyelamatkan parti Melayu terbesar di Malaysia kerana pengorbanan diperlukan untuk UMNO terus mencapai matlamat perjuangannya.

Wasalam.

Anonymous said...

Pak Tuan,

Selepas lima negeri berada ditangan BA, Datuk Abdullah Ahmad Badawi masih berdegil untuk turun takhta dan masih lagi mempertahankan menantu kesayangannya, ahli UMNO seluruh negara mesti membuat keputusan pada PAU 2008 akan datang.

Masalahnya apakah ahli UMNO mampu membuat kejutan dengan mencalunkan YM Tengku untuk bertanding jawatan Presiden UMNO menentang AAB. Masalah dalaman UMNO pun belum selesai terutamanya masalah politik wang, bermula sejak zaman Tun Mahadhir dan hingga kini masih menjadi tren semasa pemilihan UMNO. Mampukan ahli UMNO memilih seorang ketua tanpa sogokan.

Realtinya, masih ramai pemimpin UMNO yang masih menjadi pengampu kepada AAB dan KJ. Sebab itulah hingga kini anak menantu ini masih naik tocang, tak mahu mengaku kesilapan mereka dalam PRU kali ini.

Kalau sikap dan pemikiran ahli UMNO samada diperingkat Cawangan dan Bahagian boleh berubah, maka barulah kepimpinan tertinggi UMNO kita boleh ubah. Selagi politik wang merupakan salah satu kaedah untuk mendapatkan jawatan dalam parti peringkat bahagian, selagi itulah UMNO akan ketandusan pemimpin yang benar-benar berjiwa pejuang. Apa guna kita mempunyai pemimpin yang menang kerana wang berbanding dengan pemimpin yang menang kerana kepimpinannya.


Kamalkamal

Anonymous said...

sya rasa ada baiknya juge die trus buat kesilapn...biar makin rmai dpt saksikan sendiri n lepas 4 tahun ni,BA akn dpt 2/3 majoriti....
am i rite people??

Anonymous said...

Salam..

Izinkan saya tambah skit info... pasal kejatuhan Indeks Komposit Bursa Malaysia..kononnya disebabkan oleh keputusan PRU 12 yang memeranjatkan semua pihak.. Mmg semua pihak terperanjat .. PAS,PKR and DAP pon terperanjat..

Kalau kita tahu, indeks komposit BSKL ni hanya saham-saham yang terpilih ja.. saham bluechips..yg mahal-mahal jer..
Kebanyakkan sykt dlm bluchips ni sykt berkaitan kroni UMNO spt YTL,UEM,Equine, dan byk lagi.. bila BN dah nak tumbang.. mestilah effect sbb dieorg ni berharap projek Kerajaan 'Direct Nego' semata-mata.. sedangkan kaunter untung pada hari tu 539 kaunter berbanding 199 rugi..

Kenapa media tak bgtau yg jelas?

Anonymous said...

kami sokong...fikir lah semua untuk masa depan...siapa yang lebih layak..
ada blog baru aku dapt...

www.raksasabn.blogspot.com