Wednesday, March 19, 2008

Selamat Menyambut Maulidur Rasul



Selamat Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia, Muhammad s.a.w. Merayakan hari keputeraan Baginda membawa kita untuk berselawat dan salam kepadanya. Kedua-dua hal ini adalah sangat dituntut, sebagaimana bunyi firman Allah dalam Al-Quran pada surah Al-Ahzab, ayat 56; yang maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman selawatlah ke atasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam."

Memanglah apa-apa yang dituntut oleh syara' itu, kita digalakkan untuk melakukannya, kerana faedah berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu tidak dapat dikira banyaknya.

Apabila merayakan hari keputeraan Nabi s.a.w., kita akan dikenalkan kepada mukjizat dan riwayat hidup Nabi s.a.w. agar kita akan lebih mengenali Baginda s.a.w. Kita dituntut mengikuti jejak langkah Baginda, beramal seperti amalan Baginda, beriman pada mukjizatnya dan mempercayai segala keterangannya.

Oleh kerana banyak pendapat telah dan masih disuarakan dari segi hukum mengenai merayakan hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., perbalahan antara yang berfahaman Syiah, Sunni mahupun Wahhabi dan sebagainya, maka saya tidak membolehkan ulasan atau komen dibuat khusus untuk tajuk ini. Harap maklum.


PERINGATAN TAMBAHAN: Maaf Chua. Komen saudara tidak dapat disiarkan. Sebab itulah saya tak benarkan sebarang komen. Ulasan seperti yang dibuat oleh Mufti Perlis yang condong kepada fahaman tertentu itu boleh memecah-belahkan umat Islam dan saya tidak ingin masalah itu menular ke dalam blog ini. Terima kasih.