Sunday, February 01, 2009

Lompat parti - sini boleh, sana tak boleh!



Isu wakil rakyat melompat parti - iaitu berpindah naungan daripada satu parti ke parti yang lain - kini hangat diperkatakan berikutan perkembangan semasa di Negeri Perak.

Mula-mula ADUN Bota (BN/UMNO) Datuk Nasaruddin Hashim, atas sebab-sebab yang dia sendiri tahu, "melompat" dari BN kepada Pakatan Rakyat (Parti KeAdilan Rakyat).

Tindakannya itu mendapat reaksi marah, kesal dan kecewa di kalangan kepimpinan BN, terutama UMNO dan PM Abdullah Ahmad sendiri menyifatkan tindakan itu sebagai "lemah dari segi perjuangan".

Yang lebih teruk lagi apabila seorang Ahli Dewan Rakyat BN/UMNO dari Johor yang menyamakan perbuatan melompat parti dengan perbuatan haiwan (katak atau kodok) dan dia dengan jelas dirakam oleh sebuah tv swasta menggunakan perkataan "binatang".

Saya tidak mahu ulas atau komen mengenai perkataan yang digunakan oleh wakil rakyat bertaraf "doktor" itu kerana saya tidak mahu merendahkan martabat seseorang manusia sedemikian rupa. Orang berfikiran matang dan berpendidikan tidak akan berbuat demikian!

Itu adalah antara reaksi daripada orang BN/UMNO apabila ada rakan mereka yang berpaling tadah ke parti lawan.

Bagaimana pula reaksi mereka apabila wakil rakyat dari parti lawan ingin melompat ke pihak BN/UMNO?

Adakah mereka akan disamakan dengan perbuatan binatang? Adakah mereka akan dituduh sebagai lemah dalam perjuangan dan mementingkan diri sendiri daripada kepentingan parti?

PM Abdullah sendiri dirakam tersenyum lebar apabila wartawan bertanyakan tentang kemungkinan dua orang wakil rakyat dari Parti KeAdilan Rakyat akan melompat ke dalam lubuk UMNO/BN. Pak Lah cukup senang dengan berita tersebut.

Antara lain, Pak Lak dipetik sebagai berkata bahawa mereka akan diterima dengan baik kerana itu adalah pilihan mereka dan mereka hendak menyertai dalam perjuangan yang lebih besar dalam UMNO dan BN...

Jika benar ADUN Behrang Jamaluddin Mat Razi dan ADUN Changkat Jering Mohamad Osman Jailu, kedua-dua Exco Pakatan Rakyat Negeri Perak, nak lompat parti dan menyertai BN, itu hak mereka. Sama seperti yang dibuat oleh ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang melompat dari UMNO kepada PKR.

Orang mungkin berhujah bahawa mereka dipilih atas tiket parti dan mereka mesti patuh kepada parti. Benar. Tetapi, bukan semua wakil rakyat dipilih berdasarkan parti, tetapi atas kekuatan atau kelebihan peribadi.

Sebagai contoh, seorang mantan wakil rakyat di Selangor telah beberapa penggal menjadi wakil rakyat atas tiket bebas. Kita masih ingat nama Cik Gu Jabar di Kampung Batu Laut. Di Kuala Lumpur, siapa yang tidak kenal Lee Lam Thye yang menang atas kekuatan diri sendiri walaupun atas tiket bebas di kubu kuat DAP, di Pulau Pinang nama C.Y. Choy boleh dijadikan contoh.

Saya tidak menyamakan mereka dengan wakil-wakil rakyat yang sedang diperkatakan sekarang tetapi sekadar memberi contoh tentang kekuatan individu yang mengatasi kekuatan parti politik.

Ada orang yang mendesak wakil rakyat yang melompat parti meletak jawatan supaya satu pilihan raya kecil boleh diadakan untuk memilih wakil rakyat baru. Malangnya Kerajaan BN telah meminda perlembagaan yang mewartakan satu undang-undang di bawah Akta Pilihan Raya melarang mana-mana wakil rakyat yang meletak jawatan daripada bertanding selama lima tahun. Oleh itu, soal letak jawatan bukan jawapannya.

Sekiranya BN/UMNO, seperti yang dinyatakan oleh Pak Lah, boleh menerima wakil rakyat dari parti lawan menyertai BN/UMNO, maka BN/UMNO juga seharusnya menerima perpindahan wakil rakyatnya ke parti lawan.

Kalau sini boleh, sana pun boleh. Jangan sini boleh, sana tak boleh.

4 comments:

Unknown said...

kuda ranggi,
u should looked upon also the statement made by Mustafa of PAS here.just as "double standard" as what you mentioned towards UMNO and Pak Lah.

Unknown said...

Jeremy Adnan,

I am aware of that. I am also aware of YB Karpal Singh's stand. Some how, people will change if it is in their favour, Perak MB included.

melayuangkat said...

Assalamualaikum,

Manusia biasalah,

MB Perak pun kata "Baik dan berdemokrasi bila Nasa lompat ke PKR dari UMNO, dia juga tersenyum lebar dan tersengeh-sengeh dalam tv tapi dia juga kata BN Jahat bila ada ura ura orang PKR nak lompat ke UMNO".

2 X 5

Unknown said...

Melayuangkat,

Wa'alaikumsalam,

Benar. Inilah budaya politik kita. Dulu di Kelantan dan sekarang di Perak.