Tuesday, February 10, 2009

Orang politik, pentadbir kena baca buku ini

Esok, bertempat di Menara Perbadanan Putrajaya, Perdana Menteri Abdullah Haji Ahmad akan melancarkan sebuah buku bertajuk: "The Quintessential Man - The story of Tan Sri Azizan Zainul Abidin".

Buku karangan Editor Eksekutif The Edge, Azam Aris, bukan sahaja mencatatkan perjalanan hidup Allahyarham Azizan, tetapi mengandungi banyak contoh dan teladan mengenai sifat-sifat kejujuran, ketaatan dan keikhlasan seorang penjawat awam yang mendapat kepercayaan tiga orang Perdana Menteri.



Buku ini juga menceritakan bagaimana Azizan, seorang anak yatim yang melalui kehidupan yang begitu mencabar, dapat meniti tangga kejayaan satu persatu sehinggalah mencapai kemuncak dalam kerjayanya. Azizan mencurah khidmat bakti kepada perkhidmatan awam selama 28 tahun sebelum diamanahkan untuk menerajui Petronas pada tahun 1988.

Azizan adalah satu-satunya pegawai yang mendapat kepercayaan tiga orang Perdana Menteri apabila dia dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia adalah satu pencapaian yang sukar dicapai oleh mana-mana penjawat awam.

Azizan meninggal dunia pada 14 Julai 2004 di kediamannya di Putrajaya. Selaku Presiden Perbadanan Putrajaya (pihak berkuasa yang mentadbir Putrajaya), Azizan tidak menduduki rumah banglo yang dikhaskan untuknya, tetapi mendiami sebuah rumah teres dua tingkat yang dibelinya.

Azizan adalah seorang contoh pengkhidmat awam yang cukup beramanah, jujur, bersih dan bertanggungjawab. Buku karangan Azam Aris ini semestinya dibaca oleh pengkhidmat-pengkhidmat awam dan pemimpin-pemimpin politik. Banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman kerjaya Azizan.

Pengarang juga tidak ketinggalan mencatatkan cerita dan pengalaman rakan-rakan Azizan semasa belajar di Penang Free School dan kemudian Universiti Malaya di Singapura.

Mereka adalah Tan Sri Elyas Omar (mantan Datuk Bandar KL), Yusof Rahim (mantan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Awam), Tan Sri Nasaruddin Bahari (mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan), Dato Omar Hashim (mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya) dan Tan Sri Ahmad Mohamad Yusof (mantan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri).

Pengalaman hidup yang dilalui oleh Azizan sesungguhnya satu kejayaan hasil daripada kegigihan dan semangat juang seorang insan yang kehilangan bapa ketika berusia tujuh tahun tetapi tidak patah semangat untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas ruh Allahyarham. Amin.

7 comments:

Anonymous said...

salam...ahli politik juga perlu menonton filem terbaru berjudul CHANGELING dimana mereka perlu memahami penderitaan seseorang akibat perbuatan RASUAH!!inilah antara 2 masalah org melayu iaitu RASUAH dan TAK TEPATI JANJI..

balan said...

Just to let you know that I had a great privilege of meeting Tan Sri Azizan when I was working in a medical centre in KLCC. He used to visit the centre for his check up.

There are no airs and he is so down to earth. He is also quite hands on, since Petronas owns KLCC, he would observe KLCC from 4th floor window while waiting for the Dr. and immediately calls people in KLCC if something is not right.

In person, he is such a well mannered person, even to layman like me at that time.

Regards

http://balankumarpremakumaran.blogspot.com/

Syed Imran said...

Balan,

Thank you for your inputs. Yes, he was as you described him.

Bujang said...

Salam....
Selalu dia makan tengah hari sorang2...di mana2 restoran yang sempat dia singgah.

Saya tinggal di putrajaya.
Melihatkan kulit buku ni membuat saya rasa sebak.

Samad said...

Salam...
Seandainya semua pemimpin parti politik mempunyai sifat dan sikap seperti Allahyarham, insya Allah aman negara kita ni... Orang seperti beliaulah yang harus dikenang dan dijadikan idola pemimpin-pemimpin muda...

oney_chan9 said...

bagus tu memang bagus tapi kenapa tulis dalam bahasa inggeris.kenapa tak tulis dalam bahasa melayu? kalau dalam bahasa melayu, mungkin ramai orang melayu akan beli, terutama anak-anak muda.

Syed Imran said...

Oney_chan9,

Satu cadangan yang baik. Mungkin pengarang buku itu boleh usahakan.

Setelah membaca buku ini, kekaguman saya terhadap Allahyarham Tan Sri Azizan semakin menebal. Alangkah bagusnya jika semua pentadbir (mereka yang berjawatan tinggi dan penting) di negara kita bersikap dan bersemangat seperti Allahyarham.