Friday, February 29, 2008

Singapura panik bila tahanan tak bersenjata bolos




Foto yang dikutip daripada media Singapura (versi Internet)



Dalam kita di Malaysia menghadapi bahang pilihan raya, jiran di sebelah selatan sedang berdepan dengan satu masalah keselamatan. Elok juga kita lupakan seketika isu pilihan raya dan sama-sama kita renungi episod keselamatan di Singapura.
Seluruh jentera keselamatan termasuk Regimen Gurkha dan "Special Operations Command" atau SOC, unit elit anti pengganas, telah dikerah dalam satu operasi besar-besaran oleh pemerintah Singapura. Keadaan panik menyelubungi pulau republik itu.
Apakah puncanya? Adakah Singapura sedang diancam musuh atau kumpulan pengganas "yang semestinya" ada kaitan dengan Al-Qaeda?
Tidak. Keributan dan kepanikan itu semata-mata kerana orang yang dikatakan pemimpin Jemaah Islamiyah di Singapura, Mas Selamat Kastari, 47, berjaya memboloskan diri daripada Pusat Tahanan Whitley Road pada tengah hari Rabu lepas.
Pihak berkuasa keselamatan dalam negeri Singapura mengesahkan bahawa Mas Selamat tidak bersenjata dan berjalan secara tempang. Jaminan itu diberikan oleh timbalan perdana menteri merangkap menteri ehwal dalam negeri, Wong Kan Seng di Parlimen, Khamis lalu.
Sebilangan rakyat Singapura, melalui ruang ulasan laman sesawang media di republik itu, mempersoalkan kewibawaan dan kecekapan pihak berkuasa keselamatan republik itu.
Mereka ingin tahu bagaimana seorang yang tidak bersenjata dan berjalan tempang, boleh terlepas daripada sebuah pusat tahanan di sebuah negeri yang begitu bangga dengan aset keselamatan dan pertahanan yang canggih dan berteknologi tinggi.
Beribu-ribu anggota keselamatan termasuk Regimen Gurkha, SOC, polis dan tentera dikerah menjejaki Mas Selamat. Semua pintu masuk dan keluar - iaitu darat, laut dan udara - termasuk ke Malaysia di kawal ketat dan diperiksa rapi.
Nampaknya, seorang manusia yang berjalan tempang dan tidak bersenjata bernama Mas Selamat Kastari, benar-benar memberi satu pengajaran yang amat berguna kepada pemerintah Singapura, iaitu kelengkapan keselamatan yang paling canggih dan berteknologi tinggi tidak dapat menjamin atau melindungi 'keselamatan' seratus peratus.
Aset paling penting dan cukup berharga ialah rakyat yang ta'at dan setia kepada negara.

1 comment:

Anonymous said...

do not read it too straight,, singapore are making all their force ready in the event un predict happen to malaysia GE,, this jews proxy are worry for their own gost