Wednesday, February 27, 2008

Undi calon bukan parti, kata mufti Perlis


"Saya tidak setuju mengundi hanya berdasarkan jenama parti semata. Ini adalah cara fikir yang menghalang proses kemajuan negara. Akhirnya rakyat menjadi fanatik parti dan tidak menggunakan lagi akal fikiran menilai siapakah yang diundinya."


Kata-kata di atas diungkap oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu wawancara khas yang disiarkan dalam laman sesawangnya Minda Mufti.


Kenyataan mufti yang sering menimbulkan perdebatan dan perbalahan di kalangan tokoh agama dan sarjana Islam termasuk berkaitan soal akidah, isu bida'ah dan fahaman mengikut mazhab yang empat, semestinya mendapat perhatian umum tetapi tidak pula dilaporkan oleh media arus perdana.

Saya setuju 100 peratus dengan kenyataan Dr Mohd Asri seperti yang tercatat dalam blog ini. Bagi saya faktor calon amat penting berbanding faktor parti kerana yang nak mencorakkan parti adalah calon atau manusia itu sendiri.

Antara lain, Dr Mohd Asri berkata jika semua pengundi memilih calon dan bukan parti, maka beliau percaya tidak akan timbul atau berlaku persaingan kualiti (mutu) calon.

Pemilihan berdasarkan parti boleh "menyebabkan 'si bodoh' atau 'perasuah' atau orang yang rendah moralnya (rendah akhlak) akan terpilih dek kerana parti yang diwakilinya. Ini adalah cara fikir yang tidak berdaya saing dan jumud," tambah Dr Mohd Asri.

Sikap undi atau sokong siapa saja yang diletakkan oleh parti hendaklah dikikis dan saya percaya majoriti pemilih yang ada sekarang bukan lagi berpendirian begitu. Mereka bijak membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji atau sogokan-sogokan 'musim pilihan raya' seperti yang saban hari dihidangkan oleh media arus perdana terutama media elektronik.

Walaupun ada pihak yang mahukan perubahan sepenuhnya, iaitu menolak sama sekali BN dan memilih gabungan parti lain untuk memerintah, saya berpijak di atas bumi yang nyata dan menerima hakikat bahawa BN akan kekal berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Kekuatan dan pengaruh BN sukar ditandingi tetapi penguasaannya dalam Parlimen boleh dikurangkan dengan menafikan kelebihan dua-pertiga.

Salah satu cara untuk menafikan majoriti dua-pertiga ialah dengan membuat pilihan berdasarkan calon dan bukan parti. Banyak calon parti lain (bukan BN) yang jauh lebih baik dari beberapa sudut termasuk agama, kelayakan akademik dan kewibawaan.

Seperti yang dinyatakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, jangan buat pilihan berdasarkan jenama parti dan jangan jadi fanatik parti. Gunakan akal fikiran dengan memilih calon, bukan parti.

1 comment:

Anonymous said...

Ami Ban..

baik mana-mana parti pun ada baik dan ada buruknya.. jadi kita sebagai pengundi 4 tahun sekali..
harus mengundi calon yang betul-betul boleh buat kerja di kawasan kita, kalau setakat masa kempen cakap bukan main tapi lepas menang pilihanraya, batang idong pun tak nampak baik tak payah!!...

calon macam ni harus di cantas awal-awal... kalau boleh bagi hangus terus duit deposit..

-mijan-