Saturday, February 23, 2008

Sandiwara ala-canggung Perlis

BERITA TERKINI: PENCALONAN ISMAIL KASSIM, IAITU ADIK SHAHIDAN KASSIM, DI PARLIMEN ARAU DITARIK BALIK DAN DIGANTIKAN OLEH MASTIKA JUNAIDAH, DEMIKIAN MENURUT malayiakini.com.
Hebat! sungguh hebat. Kalah segala bentuk telenovela atau drama tv dari Indonesia yang setiap hari disogokkan melalui kaca tv sehingga membuatkan rakyat leka dan ada kalanya lalai.

Sandiwara Indera Kayangan yang dipentaskan di Putrajaya dan diulang lakon di Kangar dan Arau sama hebatnya dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah mahupun Malim Kundang (Si Tanggang) ataupun telenovela Storm.
Sandiwara ini tidak kurang dengan episod titisan air mata, ugutan dan ancaman, rajuk, rujuk dan merajuk, letak jawatan dan kemudian tarik balik serta tunjuk perasan dan perasaan.

Tak kurang juga espisod ala-mafia untuk mendapatkan sesuatu demi mengekalkan kedudukan dan kawalan. Bukankah semuanya itu cukup hebat.

Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya berjaya mengekalkan pencalonannya di kawasan undi Tambun Tulang dan dengan penuh bangga memberitahu para wartawan bahawa dia akan kekal sebagai Menteri Besar. Pastikah Shahidan yang dia akan menang kali ini? Apakah Shahidan hendak mendahului takdir? Apa kata mufti Perlis selaku penasihat kerohaniannya?

Selain mengekalkan pencalonannya, Shahidan juga berjaya meletakkan adiknya, Ismail Kassim, untuk bertanding di kawasan undi Parlimen Arau, menggantikan adinda Raja Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail yang dipindahkan bertanding di kawasan undi negeri, Pauh, salah satu kerusi di bawah Parlimen Arau.

Ismail akan menghadapi bukan calang-calang orang tetapi seorang ulama dan mantan tokoh akademik yang amat dihormati bukan sahaja oleh orang PAS tetapi orang UMNO, iaitu Datuk Dr Haron Din. Timbalan ketua Mursyidul Am PAS itu tewas kepada Syed Razlan pada pilihan raya 2004 dengan kelebihan 3,243 undi. Syed Razlan meraih 17,367 undi manakala Haron Din 14,124 undi.

Dengan meletakkan adiknya Ismail di Arau, Shahidan sebenarnya membuka peluang kepada Haron Din untuk menang dan saya percaya kemenangan akan memihak kepada ulama Darul Syifa itu. Pendek kata, talkin untuk Ismail Kassim.

Setiausaha Agung UMNO yang juga mantan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kekal bertanding di kerusi Parlimen Kangar manakala rakan Kabinetnya Datuk Seri Azmi Khalid di Padang Besar.

Walaupun hanya mempunyai tiga kawasan undi Parlimen, namun masalah dan keributan yang ditimbulkan oleh mereka yang pada mulanya disenaraikan sebagai orang yang kena gugur tetapi tidak mahu menerima kenyataan, menunjukkan sikap yang tidak seharusnya ada pada sesiapa sahaja yang berpegang kepada prinsip setia dan patuh kepada parti dan keputusan parti.


Shahidan, yang keluar-masuk Bangunan Perdana Putra di Putrajaya sebanyak tujuh kali, pernah membuat pengakuan bahawa dia akan menerima dan patuh kepada apa saja keputusan yang dibuat oleh bosnya, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad. Tetapi, apa dah jadi sehingga menimbulkan masalah dan karenah?

Tidak ada seorangpun pemimpin yang akan menongkat dunia. Tidak ada seorangpun pemimpin yang tidak boleh diganti. Tidak ada seorangpun pemimpin pada zaman serba canggih ini yang boleh dikategorikan sebagai insan kamil.

Masalahnya, manusia masih tidak sedar akan hakikat ini seolah-olah tanpa mereka maka masa depan negeri ataupun negara akan menjadi gelap, tanpa pembangunan, tanpa kemajuan dan tanpa nilai dan taraf kehidupan yang bagus dan tinggi untuk rakyat.

7 comments:

Anonymous said...

Pak Tuan,
Saya mohon untuk memberi pendapat.

1. Menjelang hari penamaan calon, saya terhibur dengan drama demi drama yang dilakonkan oleh ahli-ahli politik baik dari BN dan juga BA. Itulah politik Malaysia, kuat bekerja untuk menjadi calon dan kuat mengumpul harta selepas menang.

2. Sepanjang pengetahuan saya, dalam sejarah pilihanraya, pemilihan calon-calon bagi parti UMNO tidak pernah berlaku bantahan, ugutan dan lakonan secara terang-terangan. Bantahan tetap berlaku pada masa-masa dulu tetapi tidak sehebat 2008. Ugutan tetap ada tetapi 2008 kelihatannya begitu menakut dan merunsingkan UMNO. Dimanakah disiplin dan ketaatan ahli kepada parti? Atau rasa hormat kepada pucuk pimpinan terutama Presiden parti telah berkurangan dengan nyata.Saya mungkin salah dalam hal ini, mungkin Pak Tuan mempunyai pendapat lain berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada.

3. Saya mendapati hubungan akrab ahli-ahli dengan Presiden Parti UMNO mengatasi segala-galannya dalam soal pencalonan. Bahagian-bahagian mungkin kecewa jika suara dan pilihan mereka langsung tidak diendahkan. Inilah yang berlaku, terutama di Perlis. Pak Lah hendak melindungi orang-orangnya, manakala bahagian mempunyai calon pilihan sendiri. Radzi, Azmi dan Razlan, ketiga-tiganya jelas ditolak oleh bahagian atau sedang dibuli oleh Shahidan tetapi bagai anak manja mereka mengadu untuk diberi tempat. Pak Lah memerlukan ketiga-tiga orang ini untuk mengukuhkan kedudukannya di Perlis, takut-takut ada ancaman kerana UMNO akan mengadakan pemilihan parti selepas PRU12.

4. Jika ahli-ahli parti berpegang pada kata-kata mereka, tugas Pak Lah akan menjadi lebih mudah. Ahli politik kita mempunyai sifat lain dimulut lain dihati dan kata tidak perlu dikotakan. Jika Radzi dan Azmi yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar sebelum ini sebagai berkata tidak kisah jika tidak terpilih mengotakan kata-kata itu atau memberi peluang kepada orang lain, maka ia dapat mendamaikan suasana di Perlis. Begitu juga jika Shahidan akur dengan janji-janji untuk akur pada keputusan Pak Lah maka jernihlah UMNO nnegeri Perlis.

5. Dalam hal ini saya memuji sikap Shahrir Samad. Beliau tidak pulak naik angin walaupun sebagai Ketua Bahagian tidak terpilih menjadi calon pada masa DRM menjadi Presiden. Setahu saya kedua-duanya tidak suka di antara satu sama lain.

6. Razlan akan menjadi MB Perlis yang baru pada firasat saya. JIKA BN MENANGLAH!. Bagaimanapun Pak Lah kena ambil ikhtibar pada tahun 1995 di Kedah. DRM telah memindahkah Sanusi Junid bertanding di DUN. Sanusi dan Anwar tidak ngam di Federal dan DRM pula lebih sayang kepada Anwar. Pak Tuan lebih mengetahui daripada saya. Kepulangan Sanusi memberi masalah yang besar dan DRM pula tidak terus melantik Sanusi sebagai MB selepas pilihanraya 1995sebaliknya terus melantik Osman Aroff. Selepas satu tahun barulah Osman diarah turun untuk memberi laluan kepada Sanusi. Osman jelas enggan berbuat demikian dan peristiwa ini telah menjejaskan reputasi DRM dan UMNO walaupun akhirnya Osman akur dengan arahan DRM. Saya berharap episod di Kedah tidak berlaku di Perlis. Selepas pilihanraya terus lantik Razlan.

6. Saya setuju dengan Pak Tuan Haron Din akan menang. Tapi bagaimana nasib Kak Wan?. Dulu dalam tulisan saya kepada Pak Tuan, saya meramalkan beliau akan menang tapi selepas berbual dengan pengundi di Permatang Pauh, saya meramalkan Pirdaus akan menang. Tapi Jalil dari UMNO yang dulu menang kawasan DUN Penanti (dalam P.Pauh)akan kalah.

Sekian. TK
Akulamat

Syed Imran said...

Saya setuju dengan apa yang saudara katakan.

Seingat saya, belum pernah berlaku seperti apa yang berlaku sekarang. Ini merupakan kelemahan Pak Lah. Pemimpin yang tegas tidak akan melayan karenah atau tunduk kepada tekanan dalam membuat pilihan calon.

Saya pernah berkhidmat di Perlis hampir empat tahun pada penghujung 1971 dan saya dapati apa yang berlaku sekarang berpunca daripada isu personaliti, atau lebih tepat persaingan antara personaliti.

Walaupun Shahidan membatalkan pencalonan adiknya Ismail bagi kerusi Parlimen Arau dan meletakkan ketua wanita UMNO Negeri Mastika Junaidah Husin, saya masih percaya Datuk Dr Haron Din akan menang.

Berkaitan Permatang Pauh, nampaknya kedudukan Dr Wan Azizah tergugat dan saya juga merasai yang Ustaz Firdaus mempunyai peluang cerah untuk menang. Saya difahamkan bahawa BN, terutama sekali UMNO, akan memberi tumpuan yang lebih di Permatang Pauh
untuk memastikan BN menang. Ia bertujuan untuk 'mengelak' Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil selepas April depan. Jika Wan Azizah menang, dia akan meletak jawatan selepas April bagi membolehkan Anwar bertanding. Inilah yang cuba dielak oleh UMNO.

Pada pilihan raya kali ini, nampaknya semua parti politik menghadapi masalah sama ada dari segi calon atau pemilihan kawasan. Tetapi masalah yang dihadapi UMNO adalah luar jangkaan dan belum pernah berlaku sedemikian.

Pada hari mengundi, saya akan mengundi di Ampang dan selepas itu akan ke Pulau Pinang untuk melihat keadaan dan suasana di sana. Saya menjangkakan bahawa sesuatu perubahan besar akan berlaku di Pulau Pinang.

Anonymous said...

Pak Tuan
Saya mohon untuk memberi sedikit laporan. Kawan saya mengundang saya untuk membuat tinjauan persediaan dan suasana pilihanraya di dua buah kawasan DR sebentar tadi.

1. Kami meninjau DUN Lunas. Calonnya Cik gu Radzi (PKR) menentang S.Ananthan (BN). Menakjubkan kerana orang-orang India nampak jelas menyokong dan sedang bekerja untuk calon PKR. Walaupun saya nampak orang India BN tetapi semangat dan hati orang India di Lunas berada bersama-sama PKR. Kawan saya pengundi di Lunas memberitahu bahawa PKR akan menang. Dia juga membuat pengakuan kepada saya untuk mengundi calon BA bersama-sama isteri walaupun 2004 mereka mengundi BN.

2. Kami seterusnya menuju ke DR Kulim. Terus mencari bilik gerakan UMNO kerana Aziz iaitu adik Nana Kadiaq akan bertanding di situ. Menakjubkan bilik gerakan bagai dilanggar geruda. Sunyi dan sepi. Tapi tidaklah ditutup. Lampu bernyala dan saya pasti mereka sedang meeting untuk besok. Adalah 5/6 buah kereta saja. Saya merasakan perasaan tidak puashati akan menjalar pada hari pengundian. Peluang Aziz pada pengamatan saya hanyalah 50% w/pun Kulim Bandar Bharu kuat UMNO. Saya pula berharap Zulkifli menang.

3. Kami sampai di kawasan Permatang Pauh hampir 10 malam. Sepanjang jalan pondok-pondok PAS/PKR penuh dengan penyokong. Cukup mengujakan. Pondok BN agak lengang tapi kelihatan cukup bersedia. Rupa-rupanya penyokong BN sedang berkumpul di Bilik Gerakan UMNO P.Pauh. Penuh sesak. Kereta, kereta dan kereta sepanjang jalan. Beratus kenderaan. Bagai Langit dan Bumi di antara Kulim dan P.Pauh. UMNO P.Pauh tidak berhadapan dengan pemilihan calon. Pirdaus, Arif Shah dan Jalil jelas direstui di bahagian tersebut. Terpulanglah kepada pengundi untuk menentukan wakil mereka. Meminjam kata-kata Saddam Hussain "ibu segala peperangan" akan berlaku di P.Pauh.

Sekian. TK.
Akulamat

Zulkifli Noordin said...

Menarik di P18

http://zul4kulim.blogspot.com

Anonymous said...

Pak Tuan...

Agak sukar membayangkan negeri kecil seperti perlis yang hanya mempunyai 3 bahagian ini dan seluas tidak lebih daripada parlimen alor gajah di melaka mempunyai begitu banyak masalah politik dalaman.

sudah lama perlis tidak berkocak sehinggalah dua ahli parlimen yang sudah ketandusan idea memilih untuk "mengkuchai" shahidan, sekaligus menembak umno di kakinya. ia...seandainya perlis mengalami kekalahan teruk atau tumbang di dewan negeri ianya bukanlah kesalahan shahidan akan tetapi dua ekoq ahli parlimen ini yang tidak tahu bila hendak mengundur diri sedangkan kedua-dua bahagian mereka sudah siang2 menolak mereka menerusi pencalonan di peringkat bahagian.

seperkara yang menarik ialah saya sukar membayangkan bahawa perlis akan mempunyai seorang menteri besar yang mempunyai pertalian darah yang terus dengan pihak monarki di negeri.

sekiranya syed razlan yang tidak pernah balik menjenguk kawasan parlimen araunya sejak 2004 difikirkan sesuai dilantik menjadi mb maka sesuai jugalah tengku azlan di pahang dilantik sebagai mb pahang kerana beliau pun terbabit dalam poliitk.

pada barometer politik tengku azlan lebih matang dan mahir berpolitik berbanding dengan syed razlan kerana pengalaman tg azlan lebih lama dan pernah menjadi pengerusi Parti Melayu Semangat 46 suatu ketika dahulu, pada masa yang sama radzi sheikh ahmad memijak dna meludah bendera umno ketika beliau bertanding sebagai calon parlimen kangar pada 1990 dan 1995!

syed razlan tidak boleh menyatupadukan perlis seperti mana dilakukan oleh shahidan dan sehingga ini tidak siapa pun boleh melakukan dengan baik, sebaik shahidan. beliau muncul sebagai mb yang paling berkarisma dan berjaya menyatupadukan perlis yang masih mempunyai saki baki pemikiran warlord seperti yang kita semua tahu.

semoga Che Dan tetap di persada pemerintahan negeri dan semoga beliau tidak lagi diganggu gugat oleh anasir-anasir yang tidak mempunyai sokongan di peringkat akar umbi akan tetapi menggunakan pengaruh luaran dan politik nostalgia untuk mengatur-duduk politik perlis.

semoga che dan akan terus berjaya!!

Syed Imran said...

Saya tidak setuju mengenai dakwaan saudara bahawa Syed Razlan tidak pernah turun ke Arau sejak memenangi kerusi Parlimen itu pada tahun 2004.

Saya mempunyai ahli keluarga yang menetap di Arau dan mengundi di situ. Saya juga mempunyai ramai kawan dan taulan di Perlis. Mereka mengesahkan bahawa Syed Razlan kerap turun padang.

Bagi saya tidak timbul soal orang istana atau orang kampung. Kalau layak, sesiapapun boleh jadi pemimpin.

Pengalaman mengajar saya bahawa pembangunan di Perlis bergantung besar kepada Kerajaan Persekutuan bukan atas faktor siapa menteri besarnya. Perlis tiada hasil bumi dan hasil yang mencukupi untuk membayar gaji kakitangan awamnya.

Anonymous said...

Sandiwara Shahidan??

Sandiwara anak buah shahidan lagi canggung canggih. Rakyat yang hanya lulus LCE dicucuk hidung untuk jadi YB sepenggal pun pandai membina empayar sendiri. Lihatlah Banglo YB Bintong musim lalu. Dalam rakyat kampong sendiri bergelumang dengan kais-pagi, makan pagi, kais-petang makan malam, YB sekor ni selang sebulan membina rumah kedai dihadapan banglonya. Rakyat marhain mengharapkan bantuan semasa banjir. YB ni juga mengumpul berjenis biskut Kerajaan di banglonya, mungkin menyedari peluangya untuk masa depan bergantung kepada biskut dan sadin itu kerana nafsu besarnya ingin memiliki Kereta mewah yang hanya boleh dimiliki Jutawan atau YB yang lebih dari 2 penggal.
lihatla nasib suku sakatnya selepas ni. Bang Dan macam hilang arah mengambil orang yang dah diludah dan sanggup jilat balik. Mungkin wakil ini banyak ulam dan tongkat ali di rumah taman hutannya di Taman Guru Jaya.
Sandiwara alahai dan canggung