Thursday, February 14, 2008

Apabila Parlimen terbubar, maka gugurlah keahlian Dewan Rakyat

Apabila Parlimen dibubarkan, maka gugurlah keahlian semua Ahli Dewan Rakyat. Oleh itu, apa saja urusan Dewan Rakyat tidak boleh dijalankan kerana tiada ahli yang dipilih oleh rakyat.

Jadi, apakah perlu bagi Yang diPertua Dewan Rakyat membuat kenyataan bahawa mesyuarat yang dijadualkan bagi Parlimen yang dibubarkan itu terbatal. Inilah yang dilaporkan oleh Bernama, agensi berita kebangsaan yang diletakkan di bawah seliaan Menteri Penerangan.

Dalam berita yang bertajuk "Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-11 Terbatal Kerana Pembubaran Parlimen", Bernama mengutip Yang diPertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib sebagai berkata bahawa mesyuarat pertama Penggal Kelima Parlimen ke-11 yang dijadualkan bermula pada 17 Mac ini terbatal kerana pembubaran Parlimen.


Budak sekolahpun tahu jika tiada ahli mana boleh diadakan mesyuarat. Parlimen Ke-11 dah dibubarkan dan ini bermakna tidak wujud seorangpun Ahli Dewan Rakyat atau MP dan dengan sendirinya mesyuarat yang dijadualkan tidak boleh dijalankan kerana tiada ahli.

Ahli baru hanya akan menduduki kerusi Dewan Rakyat selepas pilihan raya ke-12 dan boleh menyertai semua urusan Dewan Rakyat selepas mereka mengangkat sumpah seperti yang ditetapkan dalam perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

"Tiap-tiap ahli mana-mana Majlis Parlimen hendaklah sebelum mengambil tempatnya mengangkat dan menandatangani di hadapan orang yang mengetuai Majlis Parlimen itu suatu sumpah mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, tetapi seseorang ahli boleh sebelum mengankat sumpah itu mengambil bahagian dalam urusan memilih Yang diPertua Dewan Negara atau Yang diPertua Dewan Rakyat.

Seperti yang terkandung dalam perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, apabila Parlimen (dalam hubungan ini Parlimen Ke-11) dibubarkan, maka suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dan Parlimen (dalam hubungan ini Parlimen Ke-12) hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu.

Sepanjang tempoh pembubaran Parlimen, urusan pentadbiran negara dipikul oleh sebuah kerajaan sementara atau 'caretaker government' yang tidak semestinya pentadbiran sedia ada. Tetapi dalam kes di Malaysia, pentadbiran yang ada semasa Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan akan bertindak selaku kerajaan sementara.

Dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara itu, anggota pentadbiran tidak seharusnya menggunakan kemudahan dan logistik kerajaan kerana mereka adalah pentadbir sementara sehingga sebuah pentadbiran baru dibentuk.

Malangnya, pentadbiran sementara sering menyalahgunakan kemudahan 'kerajaan' untuk 'berkempen' dengan alasan menjalankan tanggungjawab selaku menteri.

Media yang dimiliki kerajaan juga dipergunakan untuk 'menyokong' parti yang berkuasa sebelum Parlimen dibubarkan dengan alasan menyampai atau menyalur maklumat kepada rakyat sedangkan parti itu tidak lagi berkuasa kerana ahlinya bukan lagi Ahli Parlimen.

Jadi, wujudkah kebebasan, keadilan dan kebersihan sebenarnya dalam pilihan raya di Malaysia? Jawapannya - tidak.

2 comments:

Hovidpure said...
This comment has been removed by a blog administrator.
MYSON said...

saudara syed....inilah lumrah politik tidak matang di malaysia