Monday, November 19, 2007

Bekas anggota X-Factor temui ayah selepas 25 tahun

Bekas anggota kumpulan nyanyian X-Factor, Faizal Eshak, akhirnya menemui ayah kandungnya, Eshak Othman selepas berpisah selama 25 tahun.

Faizal terputus hubungan dengan ayah kandungnya ketika berusia lapan bulan berikutan perpisahan ibu dan ayahnya.

Atas naluri seorang anak yang ingin menemui dan menatap wajah ayah kandungnya, Faizal, yang kini bertugas dengan sebuah syarikat khidmat tempahan hotel antarabangsa di Kuala Lumpur, berusaha menjejaknya sebelum bulan Ramadan lepas.

Beliau mendapatkan bantuan sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya yang berjaya memperolehi nama dan alamat dua orang saudaranya yang berlainan ibu di Pulau Pinang, iaitu salah seorang abangnya Wan Salmizan, 30, dan adik perempuannya, Salina, 24.

Selepas puas menjejaki ayahnya, akhirnya Faizal berjaya menghubunginya di Pulau Pinang.

Pada 18 November lalu (Ahad), Faizal menghubungi ayahnya yang kemudian menghubungi abangnya, Wan Salmizan untuk betemu muka di sebuah hotel antarabangsa di Persiaran Gurney tanpa memberitahu apa tujuannya. Wan Salmizan agak risau lalu menghubungi abangnya Wan Salman dan adiknya Wan Salmizi untuk sama-sama ke Hotel Evergreen Laurel seperti yang diminta oleh ayah mereka.


Apabila tiba di sana barulah mereka tahu tujuannya.

Faizal agak terperanjat mendapat tahu bahawa beliau mempunyai empat orang abang, empat orang kakak dan seorang adik perempuan yang berlainan ibu.

Keluarganya agak besar kerana ayahnya, Eshak, seorang mekanik yang kini menetap di Tasik Gelugor, Seberang Perai, berkahwin sebanyak empat kali. Pernikahan dengan isteri pertama ketika berusia 20 tahun dikurniai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua orang perempuan; pernikahan kali kedua dikurniai lima orang anak iaiu tiga lelaki dan dua perempuan; pernikahan kali ketiga menghasilkan seorang anak lelaki iaitu Faizal manakala pernikahan kali keempat yang kekal hingga sekarang diberkati dengan seorang anak perempuan.

Faizal merakamkan rasa syukur dan gembira kerana bukan sahaja dapat bertemu wajah dengan ayah kandungnya tetapi dapat bertemu dengan empat orang abangnya, Abdul Wahab, Wan Salman, Wan Salmizan dan Wan Salmizi serta adik perempuannya Salina dan kakak-kakak ipar serta anak-anak saudaranya.

Dia berharap dan berdoa untuk bertemu empat orang kakaknya yang tidak pernah ditemui apatah lagi dikenali. Semoga niat baik seorang adik untuk bertemu kakaknya itu akan berhasil dengan izin Allah.


1 comment:

Zulkifli Bin Zahari said...

Assalamualaikum,
Kisah yang amat menarik dan patut dijadikan teladan oleh semua orang supaya budaya menyimpan salasilah keluarga diamalkan.
Saya seorang pencatit dan pencinta salasilah keluarga,sentiasa mencari-cari cerita-cerita begini supaya generasi sekarang dan seterusnya dapat menghayati betapa pentingnya catitan mengenai keluarga disimpan.
Terlalu banyak faedah yang bolih kita perolehi selain mengeratkan silatur-rahim.
Syabas kerana memuatkan kisah tersebut semoga banyak lagi cerita masyarakat kita dapat dipaparkan.