Friday, November 09, 2007

UMNO terus dengan dendangan irama yang sama

Sama ada ianya disebut sebagai perhimpunan agung atau persidangan perwakilan atau nama apa sekalipun, ia tetap menghidangkan pelbagai selera untuk mereka yang berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (akronim bahasa Inggerisnya PWTC) setiap kali ia diadakan.

Selain menjadi pentas untuk anggota perwakilan yang bernasib baik dipilih oleh badan perhubungan masing-masing untuk berucap dan menonjolkan kepintaran berpidato, berpantun atau berseloka dan sesekali berjenaka, ia juga merupakan pelantar bagi mereka yang duduk di atas pentas untuk mendekati ahli di akar umbi. Semuanya menunjukkan muka manis, muka alim dan muka bersih.

Pertemuan kali ini tidak sebegitu hebat dan hangat kerana tiada pemilihan di peringkat Majlis Tertingi (MT) dan tiadalah habuan atau sogokan untuk para perwakilan dalam usaha mereka yang ingin menang dan meraih sokongan atau undi. Rebutan untuk menjadi anggota perwakilan juga hampir tiada.

Setiap kali persidangan berakhir, maka presiden parti dan timbalannya akan memuji para perwakilan dengan kata-kata yang sedap didengar seperti 'mutu perbahsan amat baik' atau hujah-hujah yang diketengahkan 'cukup matang' dan sebegainya. Dalam erti kata lain, semuanya baik belaka, itulah keadaannya.

Isu-isu tidak berapa penting masih dibangkitkan walaupun peredaran kemajuan sarwajagat yang turut berlaku di bumi bertuah bernama Malaysia ini menjadikannya tidak penting. Masih ramai yang tidak memahami atau sengaja buat-buat tak tahu tentang ledakan era Internet dan kemunculan media bentuk baru. Ianya dijadikan sasaran kritikan dan hentaman termasuk oleh ketua Puteri yang belum tentu dapat diterima oleh sayap Wanita.

Penulis blog yang di 'cop' sebagai 'goblok' dan pendokong parti pembangkang turut menjadi mangsa serangan. Dalam dunia penulisan blog, bukan semuanya goblok atau menyokong pembangkang, ramai yang berpengalaman dan berakal fikiran baik dan tidak kurang yang menyokong UMNO termasuk menjadi ahlinya. Jadi, mereka yang suka menyerang penulis blog tidak seharusnya melonggokkan penulis blog atau perawi diari maya dalam satu kelompok yang dikira goblok. Janganlah terlalu mengharapkan pujian dan penulisan yang sedap dibaca tanpa mahu menerima kritikan, teguran dan hentaman yang boleh menyedarkan kita daripada halimunan dan khayalan duniawi. Memang ada penulis blog yang agak keterlaluan. Biasalah tu. Orang UMNO atau pemimpin kerajaan harus menggunakan pendekatan yang bijak dalam menangani 'masalah' dengan penulis blog, jika ia boleh dianggap atau dilihat sebagai masalah. Tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi atau ditangani secara bijaksana. Perbezaan pendapat atau berlainan ideologi dan prinsip tidak bermakna satu permusuhan abadi. Tengkarah adalah sebahagian daripada kehidupan.

Seperti biasa, media elektronik dan media cetak membuka pejabat dan studio sementara di PWTC untuk memberi liputan sewajarnya. Ucapan presiden parti dilaporkan sebagai terbaik dan kena dengan sasarannya. Berita yang diliputi sudah semestinya elok-elok belaka kerana itulah gambaran yang perlu dotonjolkan. Itu adalah satu perkara yang biasa dalam dunia kewartawan di mana jua. Jadi tak perlulah kita membuat ulasan mengenai perkara ini.

Tidak kurang hebatnya setiap kali ahli UMNO berkumpul di PWTC ialah 'pasar raya segera' yang menghidangkan bermacam-macam jenis jualan dan juadah dari seluruh negara. Orang UMNO banyak duit dan ianya amat jelas semasa kita meninjau kerancakan urus niaga di pasar raya berkenaan. UMNO turut meraih keuntungan hasil daripada kutipan sewa 'tapak gerai' yang tidak juga murah! Peniaga untung, UMNOpun untung.

Kali ini, ada peniaga dari Sarawak yang menjual ikan terubuk. Nampaknya UMNO perlu memikirkan semula hasrat orang Sarawak yang tidak serasi dengan Tan Sri Taib Mahmud , Ketua Menteri paling lama bertahan, untuk membawa masuk UMNO ke bumi Kenyalang itu. Kan UMNO sebuah parti politik bersifat kebangsaan! Jika tak ke Sarawak maka tak nasional namanya. Mantan menteri kabinet dari Sarawak, Datuk Abang Abu Bakar mungkin dah patah semangat untuk membawa masuk UMNO ke sana, tetapi ramai orang Melayu/Melanau Sarawak yang bercita-cita untuk berbuat demikian. Mereka tidak perlu menunggu Taib Mahmud bersara untuk berbuat demikian kerana Malaysia mengamalkan kebebasan yang dijamin oleh demokrasi untuk berbuat demikian, itupun jika kepimpinan UMNO 'berani' memberi keizinan.

Pemerhati atau pengamat politik (yang semuanya pro-UMNO) seperti yang diwawancara atau dijadikan ahli panel perbincangan oleh stesen tv pro-kerajaan, turut memberi ulasan dan pandangan yang senada atau selari dengan kehendak semasa. Penerbit bijak memilih 'tokoh' untuk mendapatkan pandangan dan ulasan dan ia merupakan satu 'amalan yang lazim.' Kegoblokan tidak seharusnya berlaku. Perbincangan yang disiarkan oleh TV3 ada sedikit kelebihan kerana Kamaruzzaman Zainal, mantan setiausaha akhbar Pak Lah (semasa TPM) yang kini pengarah berita dan ehwal semasa Media Prima berjaya memikat Johan Jaafar selaku pengantara dan Anuar Zaini (mantan orang kanan Musa Hitam) dan Rosnah Majid (mantan wartawan Utusan Melayu dan ADUN Kedah) selaku ahli panel. Ulasan Anuar dan Rosnah jauh lebih baik daripada ahli-ahli panel yang ditonjolkan oleh RTM.

Akhir kata ... UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia!

4 comments:

Anonymous said...

Asslamualaikum Pak Syed

Saya tak ada selera nak nonton. Kalau terus nonton rasa diri diperbodohkan. Dulu-dulu Shahnon Ahmad pun dipanggil untuk beri ulasan walaupun jelas pendapatnya 101% anti DRM

Unknown said...

Wa'alaikumsalam,
Benar. Lain di depan, lain di belakang. Cakap cari makan namanya.
Cuma yang dipanggil memberi pendapat oleh TV3 lebih 'bermakna' dpd yang dipanggil oleh RTM. Saya berminat nak dengar apa mereka kata setelah bosan semasa meninjau di PWTC.

Sebagai contoh, lihat saja liputan perhimpunan yang di Dataran Merdeka petang hari ini yang dilabelkan sebagai satu tunjuk perasaan atau demonstrasi 'haram'. Ia sebenarnya bukan demonstrasi. RTM dan stesen-stesen tv tempatan yang berkaitan parti pemerintah buat laporan seperti yang diarahkan dan tidak memberi gambaran sebenar.

Jika ada peluang, lihat liputan oleh Aljazeera (saluran 513 Astro). Itulah laporan keadaan yang sebenar-benar berlaku. Suka atau tidak, itulah laporan yang bersifat profesional walaupun ia menambahkan lagi imej 'kurang elok' untuk Malaysia di mata dunia. Inilah padahnya jika hak rakyat untuk bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan disalahuruskan oleh pihak berkuasa atas apa alasan sekalipun.

Saya percaya jika polis meluluskan permit perhimpunan awam seperti yang dipohon oleh penganjur, apa yang berlaku petang hari ini tidak akan berlaku. Ia akan berjalan secara aman dan tanpa huru-hara dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air berkimia oleh FRU. Bayangkan, 4,000 anggota polis telah dikerah untuk kawal keadaan.

Polis bertindak seolah-olah keadaan sudah memasuki tahap luar kawalan dan bersifat satu rusuhan. Keadaan sebenar tidaklah begitu rupa. Rakyat Malaysia, terutama yang beragama Islam yang merupakan majoriti yang berhimpun, bukanlah golongan militan seperti yang cuba digambarkan.

Anonymous said...

Saya tidak boleh menyanggah pendapat Pak Syed kali ini. Apa salahnya diberi permit? Saya tidak pernah menghadiri mana-mana ceramah politik atau apa-apa rally, tetapi kita mesti menghormati hak orang. Biarlah rakyat yang memilih. Pada masa dulu, permit ceramah diberi dengan mudah dan rakyat memilih untuk menghadirinya. Beribu dan malah berpuluh ribu jika penceramah tokoh yang hebat. Jarang benar ada kekacauan. Bagaimanapun rakyat kemudiannya tetap memilih dan memberi kemenangan kepada UMNO dan BN. Saya rasa segar Pak Syed...

Kebelakangan ini, hak berceramah dan rally dinafikan. Pembesar dan pihak berkuasa akan mendendangkan irama yang sama (meminjam kata-kata Pak Syed)bagi menghalal dan mewajarkan hak-hak tersebut dinafikan. Restoran tutuplah, gaduhlah, teksi tak boleh cari makanka, bahayalah, dan banyak lagi. Semuanya sama....Cara mereka menguruskan kita (rakyat)tidak pernah berubah....sama.... dulu,kini dan selamanya sama....RAKYAT BODOH DAN MEREKA SAJA YANG PANDAI. Saya rasa tak berselera dan layu. Apa nasib Malaysia 50 tahun akan datang Pak Syed?

Terima Kasih.

Anonymous said...

Pak Syed,

Kat sini saya berpeluang untuk berkata-kata sesuatu utk melepaskan rasa geram terhadap pemimpin kita ..kalau dalam perhimpunan UMno mereka ni berapi-rapi berhujah ... tapi orang Melayu
masih ditahap tunggul kayu..
Kadang2 saya merasa kasihan pakcik/makcik dikampung tidak tahu apa yg sebenarnya berlaku..mereka ini diberi kain batik/sarong bila pilihanraya menjelang tiba utk menagih undi. Mereka hanya menonton TV dan medenngar berita yg rata-rata kepunyaan kerajaan. Apa saja berita yang keluar mereka percaya bulat-bulat.

Sepatutnya Pemimpin takut akan Rakyat tapi Rakyat pula yang takutkan Pemimpin ...Sekian