Thursday, November 01, 2007

UMNO Perlis .. meletus juga akhirnya

Ramai yang mengetahui bahawa sejak Datuk Seri Shahidan Kassim dihantar pulang ke Perlis Indera Kayangan untuk diangkat sebagai Menteri Besar, telah berlaku 'peperangan' di kalangan para penyokong dalam tiga buah bahagian yang wujud, iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

Di Padang Besar, perubahan sudahpun dilakukan dimana Datuk Azmi Khalid melepaskan jawatan ketua bahagian yang bakal dicabar itu kepada orang yang berkenaan. Di Kangar Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad masih menerajuinya manakala di Arau oleh Shahidan sendiri.

Perlis sebenarnya beruntung kerana ketiga-tiga tokoh politik mereka berjawatan penting dalam pentadbiran negeri dan persekutuan. Shahidan menjadi Menteri Besar, Azmi Khalid dan Radzi pula menteri persekutuan. Hanya MP Arau Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail tidak diberi jawatan pentadbiran.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen dikatakan tidak mempunyai banyak masalah antara satu sama lain tetapi mereka menghadapi 'masalah' dengan Shahidan dan ianya bukan satu rahsia.

Jika dilihat dari segi 'hubungan seranta' amat jelas yang Shahidan jauh mengatasi tiga pemimpin berkenaan dan rakyat Perlis, pada amnya, senang dengan cara dan gaya kepimpinan Shahidan. Dia senang mendekati rakyat dan agak 'pemurah'.

Gaya dan pendekatan yang diguna oleh Shahidan tidak berapa mampu ditandingi oleh Azmi Khalid, Radzi Sheikh Ahmad mahupun Syed Razlan. Shahidan memiliki 'kuasa' dan 'kekayaan' untuk melakukan sesuatu termasuk bermurah hati memberi bantuan kepada warga yang memerlukannya. Dia tidak lokek.

Ketidakserasian barisan kepimpinan di Perlis tidak dihebohkan dalam media tetapi menjadi pengetahuan umum di negeri yang tiada sumber kekayaan itu. Semuanya kelihatan baik dan tiada masalah. Itu adalah gambaran luaran sedangkan di dalam tidak begitu.

Ramai tentu masih ingat kenyataan yang dibuat oleh Shahidan pada tahun 2004, sebelum menghadapi pilihan raya umum, iaitu berkaitan apa yang disebutnya sebagai 'konspirasi berunsur fitnah' yang dilemparkan terhadapnya yang sedikit sebanyak menjejaskan kewibawaannya sebagai seorang Menteri Besar.

Shahidan berkata beliau bukan sahaja ditohmah oleh pihak pembangkang dalam ceramah-ceramah mereka tetapi oleh beberapa pemimpin UMNO negeri Perlis yang cuba menjatuhkannya. Shahidan telah menamakan beberapa orang pemimpin ketika itu antaranya Ammar Hasan, Azmi Suboh, Zainuddin Yom, Baharuddin Ahmad dan Bahari Ali.

Antara lain Shahidan dituduh telah berpakat dengan adiknya Ismail Kassim menggelapkan wang BERNAS, dan selaku MB telah menyalahgunakan wang perbendaharaan negeri Perlis semasa lawatan-lawatan ke luar negeri termasuk membawa bersama-sama keluarganya.

Menurut Shahidan sebahagian besar pemimpin UMNO di Perlis mempercayai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas beliau dan ia amat merisaukannya kerana pada masa itu mereka menghadapi pilihan raya.

Letusan terbaru ialah tengkarah antara Shahidan dan Radzi berkaitan pekerja asing di Perlis. Nampaknya Radzi dah hilang sabar dan terpaksa 'melondehkan' apa yang perlu dilondehkan kepada umum. Isu pekerja asing di Perlis turut dijadikan modal politik oleh PAS.

Ulang tayang ceritera bangsawan Indera Kayangan menjelang pilihan raya kali ini lebih menarik kerana ia membabitkan secara terang-terangan dua orang ketua bahagian yang berpengaruh, sekurang-kurangnya di Perlis.

Kedudukan Shahidan yang dikatakan akan digugurkan pada pilihan raya bakal muncul membuatkan dia dijadikan sasaran serangan politik bukan sahaja oleh parti pembangkang tetapi dari dalam kalangan UMNO sendiri. Begitu juga dengan Radzi dan Azmi. Kedua-duanya dikatakan akan dibersarakan oleh Pak Lah. Mampukah Pak Lah berbuat demikian? Siapa pula yang akan diketengahkan sebagai pemimpin peringkat negeri?

Dalam pada itu, laman blog Peghelihla ada melaporkan kenyataan timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil yang berkata bahawa Shahidan nampaknya macam dah hilang tumpuan (fokus) terhadap pentadbiran negeri.

"Kadang-kadang dia suka bangkitkan benda kecil seperti perkara remeh-temeh tentang agama sedangkan banyak lagi benda besar yang perlu diambil perhatian," kata Ustaz Ahmad Adnan.

Menteri Di JPM yang bertanggung jawab ke atas hal ehwal agama Islam, Datuk Abdullah Mohamad Zain juga menegur (tanpa menyebut nama) sikap pemimpin tertentu dan mufti yang membangkitkan perkara remeh-temeh berkaitan agama. Umum tahu teguran itu ditujukan kepada Shahidan dan Dr Asri Zainul Abidin, sarjana agama kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang diangkatnya menjadi mufti kerajaan negeri Perlis.

2 comments:

A Voice said...

The state is hardly the bigger than the size of majority Bahagian elsewhere.

Its existence is practically irrelevent in context of national economy and politics.

Perhaps it is petty politicking. Or its some bigger hands orchestrating some change.

Anonymous said...

Mungkin Shahidan akan mengulangi serangkap pantun Perlis ini,

Bukit Keteri Gua Berangin,
Tempat Orang Mencari Baja,
Putih Kuning Usah diingin,
Ramai Orang Pulang Sahaja.

Sesiapa yang faham maksud pantun ini akan fahamlah senario yang sedang berlaku di Perlis.