Thursday, October 10, 2013

Antara "running dogs" dan anjing yang sedang berlari

Terlebih dahulu saya mohon ma'af kepada para pembaca dan pengikut blog ini kerana agak lama tidak mengemas kini. Saya terima banyak pertanyaan daripada kawan-kawan dan pengikut yang ingin tahu kenapa dan mengapa. Sebenarnya saya sengaja tidak berbuat demikian walaupun banyak isu dan persoalan yang boleh dihurai atau diulas.

Namun begitu, saya terpanggil untuk mengulas mengenai isu "running dogs" yang disebut oleh ketua publisiti Partai Tindakan Demokratik (DAP), YB Tony Pua.  Walaupun "running dogs" hanyalah satu peribahasa atau perumpamaan dalam bahasa Inggeris, banyak pihak yang kurang arif membuat andaian dan tanggapan salah. Tidak kurang juga yang membuat laporan polis dan ini mengheret timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Bakri Zinin  membuat ulasan untuk menyiasat mengikut undang-undang tertentu. 

Saya bukan menyokong tuduhan Tony Pua yang menyatakan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan adalah "running dogs of UMNO" tetapi cuba membetulkan andaian dan tanggapan yang salah. Kita tidak seharusnya menterjemah perkataan atau ayat dalam bahasa Inggeris secara langsung kerana maksud dan pengertiannya tidak semestinya sama. Sebagai contoh, "fire" boleh bermaksud api,  tembak dan pecat, oleh itu ia tidak boleh diterjemah tanpa memahami maksud dalam sesuatu ayat itu. Begitu juga dengan peribahasa atau perumpamaan yang membabitkan binatang atau benda-benda lain yang tidak bernyawa. 

Banyak pihak yang kurang arif telah secara langsung menuduh Tony Pua sebagai menyifatkan ROS dan Utusan sebagai "anjing UMNO" sedangkan ia  tidak tepat.

Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa itu membawa maksud mengikuti atau patuh kepada  satu sistem politik  atau sanggup berkhidmat dan menjaga hati dan perasaan  pihak lain. Ia bukan merujuk kepada pihak yang dituduh itu sebagai anjing tetapi sebagai satu kiasan. Banyak peribahasa dalam semua bahasa yang menjadikan binatang sebagai kiasan dan ini diterima oleh masyarakat.

Dalam bahasa Melayu pun banyak peribahasa, perumpamaan dan simpulan bahasa yang menggunakan binatang sebagai kiasan, umpamanya, anak anjing takkan jadi anak musang jebat, kera sumbang, rusa masuk kampung, anjing menyalak bukit, memberi bunga kepada kera,  kalau anjing biasa makan tahi, tak makan hidu ada juga dan banyak lagi. Ia tidak merujuk kepada manusia sebagai binatang tetapi menjadikan binatang sebagai perumpamaan atau bidalan.

Dalam bahasa Inggeris terdapat beberapa kiasan dan peribahasa yang menggunakan binatang, umpamanya "throw someone to the lions;  live like fighting-cocks;  drive one's pigs to market;   get a pig in a poke;  go to pigs and whistles;  make a pig of oneself;  donkey work;  as poor as a church mouse" dan banyak lagi.

Saya tidak dapat bayangkan reaksi pihak berkenaan sekiranya Tony Pua guna salah satu peribahasa yang mengandungi perkataan "pig" atau "church",  tentu lebih hebat bantahan dan lebih banyak laporan polis dibuat.

Apa yang dimaksudkan oleh Tony Pua apabila merujuk kepada ROS dan Utusan sebagai "running dogs" bukan bermakna dia menyifatkan kedua-duanya sebagai "anjing UMNO".  Maksud peribahasa itu dalam  bahasa Inggeris  adalah: "a servile follower, especially of a political system.  One who is willing to serve or please others." Jika kita faham maksud peribahasa itu, maka tidak timbul tanggapan atau andaian yang tidak betul.





3 comments:

-thethinker- said...

depa kata UMNO tinggal org yg bodoh je.. memang pun...

bila akhbar buat laporan , calon underdog , knp tak buat laporan polis.. Duduk bawah anjing .. hehehe

Unknown said...

-thethinker-

Correct, correct, correct!

Yang menyedihkan, mereka yang bergelar pemimpin (UMNO) dan PDRM pun tak faham. Sepatutnya, jika tak faham duduk diam sajalah.

Jangan beri peluang kepada orang lain tertawakan kita (orang Melayu) seperti apa yang berlaku dalam wadah alam maya sekarang. Ada yang sanggup nak bimbing pemimpin politik dan timbalan KPN belajar bahasa Inggeris. Ini yang memalukan.

said said...

Buah mata KUCING. Tak boleh makankah? Sebab kucing tak halal dimakan oleh orang Islam. Susah ...
susah.