Tuesday, April 05, 2011

Bukan mudah bagi BN nak tawan semula Pulau Pinang

Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak ke Pulau Pinang dilihat oleh para pendokong Barisan Nasional, BN, sebagai sesuatu yang mampu memulih sokongan rakyat kepada gabungan parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Begitu jua dengan gambaran yang diberi oleh semua media arus perdana terutama media elektronik milik kerajaan dan pro-kerajaan. Laporan media arus perdana memberi gambaran yang kononnya lawatan itu membawa semangat dan harapan tinggi kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN.

Najib, atas nasihat para pakar parti dan penasihat politiknya, memilih untuk melawat dan bermesra dengan rakyat di tiga kawasan Parlimen yang tidak diwakili oleh BN, iaitu Balik Pulau, Jelutong, Bukit Bendera dan sebuah kawasan yang dimenangi oleh PKR tetapi wakilnya kini melompat ke kawanan 'bebas' di Dewan Rakyat, iaitu Bayan Baru.

Kehadiran Najib disambut oleh rakyat atau penduduk setempat yang berduyun-duyun sama ada dibawa ke tempat berkenaan oleh parti-parti politik gabungan BN atau yang ingin melihat dari dekat wajah pemimpin gagasan 1 Malaysia yang selama ini mereka melihatnya menerusi kaca atau kelir tv dan di dada-dada akhbar.

Di Bayan Baru, antara atur cara yang disediakan untuk Najib ialah menghadiri satu majlis kebudayaan masyarakat Asia Selatan dan sempena majlis itu, diadakan satu upacara khas penyerahan borang yang melambangkan tindakan keluar parti oleh mereka yang mendakwa sebagai ahli PKR. Mereka dikatakan sudah tidak lagi menyokong PKR dan ingin beralih angin kepada BN.  Upacara sedemikian bukanlah sesuatu yang luar biasa atau ajaib di Malaysia malah ia adalah sesuatu yang sudah basi lebih-lebih lagi apabila menghampiri pilihan raya atau muslihat politik yang cetek. Upacara di Bayan Baru itu mungkin boleh disamakan dengan satu babak sandiwara masyarakat Asia Selatan kerana ia tidak lebih daripada itu, satu sandiwara yang didalangi oleh seorang yang pernah menganggotai MIC, kemudian melompat kepada Gerakan, kemudian kepada PKR dan kini ingin melompat kembali kepada BN, sama ada MIC, Gerakan , PPP ataupun PCM.

Jika sebut saja Bayan Baru maka timbul pula nama seorang politikus yang pernah mengetuai UMNO Bahagian Tanjong, kemudian melompat ke PKR dan kini gah sebagai seorang MP Bebas yang mesra BN. Apakah satu kebetulan upacara yang disebut di atas diadakan di Bayan Baru atau ia satu kebetulan. Hanya Mohamad Zahrain Mohamad Hashim ada jawapannya.

Bercakap mengenai Zahrain yang merupakan penyokong kuat semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkedudukan kukuh dalam UMNO dan kerajaan,  memenangi kerusi Bayan Baru  pada PRU 2008 bukan atas kekuatan diri atau kerana dia popular tetapi dek kejutan tsunami politik yang melanda negara ketika itu. Zahrain sendiri tidak menyangka yang dia boleh menang dan merampas kerusi yang disandang oleh wakil MCA itu. Saya percaya jika Zahrain bertanding di kerusi yang sama pada PRU akan datang atas tiket bebas dia pasti kalah dan mungkin hilang wang pertaruhannya.

BN tidak boleh terlalu yakin yang kehadiran Najib atau mana-mana pemimpin besar BN ke Pulau Pinang mampu membawa perubahan kepada pentadbiran negeri. Ia bukan sesuatu yang mudah walaupun UMNO berkedudukan kuat di bahagian tanah besar tetapi ia belum cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

UMNO tidak boleh bergantung harap kepada MCA atau Gerakan untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu terutama Cina. Di bahagian pulau, kekuatan DAP sukar digugat oleh kedua-dua anggota komponen BN itu manakala kekuatan UMNO hanya pada tiga kawasan DUN di Balik Pulau dan Bayan Baru. 

Bagi kerusi Dewan Rakyat di bahagian pulau, BN hanya boleh  mengharapkan kemenangan di Balik Pulau dan mungkin di Bayan Baru, bergantung kepada faktor siapa calon yang dipilih. Bagi kerusi Dewan Rakyat yang kini diwakili DAP iaitu Tanjong, Bukit Gelugor, Jelutong dan Bukit Bendera, BN mempunyai peluang tipis untuk menang.

Pada pilihan raya lepas, UMNO hanya mampu mempertahankan kerusi  Dewan Rakyat di Kepala Batas dan Tasek Gelugor manakala kerusi Nibong Tebal berjaya direbut oleh PKR dan Permatang Pauh kekal di tangan PKR.

Kita percaya pada PRU akan datang, Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Noor Mohamed Yakcop mungkin tidak akan bertanding untuk mempertahan  Kepala Batas dan Tasek Gelugor dan ini akan memberi kesan kepada peluang UMNO untuk kekal mewakili kedua-dua kawasan undi  itu. Faktor calon memain peranan penting dan UMNO mesti membuat pilihan tepat dengan tidak hanya mencari bakal calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian. 

Berdasarkan perkembangan politik setempat dan semasa, UMNO mesti mencari calon dari kalangan muka-muka baru jika ia ingin mempertahan kerusi DUN dan Dewan Rakyat di bahagian tanah besar atau Seberang Perai.  Semua ADUN yang ada sekarang perlu diganti kerana pengundi tidak lagi memangkah berdasarkan simbol parti politik tetapi melihat siapa calonnya. Pemilihan calon mesti menjangkau jawatankuasa peringkat bahagian kerana amalan memilih calon di kalangan pemimpin bahagian tidak dapat menjamin kemenangan untuk parti.

Di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kedudukan PKR agak rapuh dan semakin hilang sokongan rakyat berbanding dengan DAP ataupun PAS. Kedudukan PAS jauh lebih kukuh berbanding PKR terutama di kalangan pengundi Melayu. Pengundi bukan Melayu juga semakin mempercayai PAS.

Pada PRU akan datang, PKR mungkin akan hilang sokongan di kalangan pengundi di Pulau Pinang terutama bagi  kawasan-kawasan DUN  majoriti Melayu dalam kawasan undi Dewan Rakyat Bayan Baru dan Balik Pulau.

Yang hampir pasti ialah kemampuan DAP untuk mempertahan dan mungkin menambah kerusi DUN di bahagian pulau dan mengekal kerusi-kerusi Dewan Rakyat. Begitu juga di Seberang Perai, DAP agak sukar dicabar di Bagan dan  Bukit Mertajam serta kerusi-kerusi DUN dalam kedua-dua kawasan undi berkenaan.

Masalah besar yang dihadapi UMNO di Pulau Pinang ialah ketandusan pemimpin berwibawa yang mampu membawa perubahan seperti yang diharapkan oleh orang Melayu. Di kalangan pemimpin politik masyarakat Cina, kepercayaan rakyat harus ditangani  terutama dalam isu-isu yang agak sensitif termasuk apa yang disebut oleh masyarakat Cina sebagai ' kow tow' kepada UMNO. Ia adalah sesuatu yang sukar bagi sama ada MCA ataupun Gerakan dan faktor ini membuatkan kedua-dua parti tidak diyakini oleh masyarakat Cina.

Walaupun Najib, Muhyiddin ataupun pemimpin tertinggi BN yang lain kerap turun ke Pulau Pinang, ia tidak dapat menjamin kemenangan pada pilihan raya akan datang. Bukan mudah bagi BN untuk menawan semula Pulau Pinang. Bukan mudah.

 


8 comments:

mr edz said...

setuju dengan tuan.. inilah akibatnya bila umno terlalu sombong semasa berkuasa.

-thethinker- said...

DAP takkan berjaya menambah kerusi DUN , sebab... dia dah menang semua kerusi yg ditandingi....

Unknown said...

mr edz, mereka masih begitu.

-thethinker- betul. Saya percaya jika DAP diberi peluang bertanding kerusi PKR dia boleh menang.

Anonymous said...

Tuan,

PAS punya prospek kat Pulau Pinang camna pulak?
Dok teropong DAP dan PKR je..... :)

Skuad Peninjau

Unknown said...

Skuad Peninjau,

Saya perlu beri sedikit penjelasan. Saya tidak bermaksud PAS boleh mentadbir Pulau Pinang tetapi ia mampu meraih sokongan dalam kawasan-kawasan undi tertentu. Seperti yang tuan sedia maklum, PAS mempunyai seorang wakil dalam DUN Pulau Pinang dan PAS juga pernah mewakili Parlimen Permatang Pauh sebelum Anwar Ibrahim. Allahyarham Ustaz Zabidi Ali bukan sahaja dipilih sebagai MP tetapi ADUN mewakili kawasan pengundi majmuk walaupun majoriti kecil adalah Melayu. Dalam kedudukan semasa, pengundi bukan Melayu semakin menerima PAS walaupun apa yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, soal loteri, agak memberi sedikit kesan tetapi tidak di Pulau Pinang. Jika PAS diberi peluang bertanding kerusi-kerusi DUN yang majoriti kecil pengundi Melayu, mereka mempunyai peluang untuk menang kerana diterima pengundi bukan Melayu yang anti BN/UMNO. Itu yang dimaksudkan.

Anonymous said...

Saya mohon Najib dan Moidin jangan buang masa pi Penang berkempen. Biaq la Penang jadi negeri PR. Dah jelak dengan BN dan UMNO memerintah Penang, kami nak terus bagi PR mentadbir (bukan memerintah - ini istilah BN/UMNO. Takkan UMNO nak bawa muka baru macam yang berikut jadi calon UMNO-
1. Zainal Azwar-CEO Tabung Haji Plantations
2. Che Khalib -CEO Tenaga Nasional
3. Azhari Kamil-CEO Asian Finance House
4. Syed apanama -CEO PROTON
5. blogger OutSyed the box-Syed Keling
6. Kalimullah Hassan
7. Prof Razak Maidin-pengarah filem
8. Prof Ahmad Murad Merican

Depa ni kalau jadi calon UMNO di bahagian Pulau sah kena kelepiaq sampai kalah deposit.

sri hartamas

Unknown said...

Ha, jangan lupa depa yang dok pegang jawatan dalam parti kat Penang dah tentu tak sokong oghang luaq walaupon anak Penang, syoru punya pasai, beb, syoru punya pasai. Depa nak harya sampai tak tinggai habukpun kat oghang lain.

Anonymous said...

Saya dipahamkan pengundi cina akan undi BN untuk kerusi parlimen PK untuk kerusi negeri.