Monday, March 31, 2008

Isteri menteri tak boleh berlagak macam menteri

Saya memilih topik berkaitan isteri menteri dengan harapan mereka akan sedar dan tahu akan kedudukan mereka sebagai isteri menteri.


Pada masa-masa lepas, ada isteri menteri yang berlagak seolah-olah dia adalah menteri kedua dalam kementerian. Ada kalanya isteri menteri berlagak lebih daripada suaminya, si menteri(ada orang kata ini disebabkan oleh "queen control").


Saya masih ingat, beberapa tahun lepas, betapa isteri seorang menteri luar (bukan Syed Hamid Albar) yang dengan begitu megahnya berlagak di Wisma Putra (semasa itu di Jalan Wisma Putra, KL) seolah-olah dialah menteri. Dia mahukan semua pegawai kanan menghormatinya sama seperti mereka menghormati suaminya, iaitu si menteri.


Ada pegawai kanan yang ditukar semata-mata kerana isteri si menteri, atas sebab-sebab tertentu, tidak suka akan pegawai berkenaan.


Kemudian ada pula isteri seorang menteri yang terlebih naik tocang, kata orang Utara, sehingga dia sanggup memarahi pegawai di hadapan khalayak dan memberi arahan itu dan ini semata-mata untuk menunjuk lagak bahawa dia 'ada kuasa' sebagai isteri menteri.


Jika ada apa-apa majlis yang dia hadir sama, dia akan turut sama naik ke pentas apabila suaminya, si menteri, naik untuk menyempurnakan sesuatu acara di atas pentas. Dia sepatutnya duduk di tempat duduknya dan tidak ikut sama ke atas pentas.


Isteri menteri tidak seharusnya terhegeh-hegeh dan tergedik-gedik naik ke pentas kecuali jika diperlukan oleh protokol atau istiadat majlis. Jika dia menghadiri majlis kutipan derma atau jamuan amal dan dia ingin menyumbang dengan mendendangkan satu dua lagi, tak apa sebab itu kena dengan majlis yang dihadirinya. Tetapi jika majlis perasmian sesuatu acara yang hendak disempurnakan oleh menteri, si isteri tidak perlu ikut sama naik ke pentas. Buat semak sahaja.


Isteri menteri mesti tahu had dan batasan yang ditentukan untuk seorang isteri menteri dan tidak seharusnya mencacatkan majlis dengan ikut sama ke tempat yang dia tidak sepatutnya berada.


Adalah sesuatu yang menyukar dan menyulitkan para pegawai kementerian atau jabatan jika bahtera yang mereka naiki itu mempunyai dua orang nakhoda. Keadaan akan menjadi kelam kabut dan tidak tersusun dan kurang sempurna.


Sesebuah kementerian itu boleh dianggap sebagai sebuah bahtera dan setiap bahtera semestinya diketuai oleh seorang nakhoda. Si nakhoda akan dibantu oleh juragan-juragan lain dan anak kapal yang mengikut arahan nakhoda untuk memastikan pelayaran bahtera itu lancar dan selamat.


Ada juga isteri menteri yang mengarah kakitangan pejabat menteri untuk buat kerja untuknya. Umpamanya, kerja yang berkaitan persatuan atau kelab sukan yang diketuai oleh si isteri menteri. Ia tidak salah jika dibuat diluar waktu pejabat tetapi bukan atas dasar paksaan. Tetapi jangan pula menyuruh kakitangan berkenaan melakukan sesuatu semasa waktu pejabat. Ini tidak betul.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) perlu menganjur kursus berkaitan etika dan tingkah laku isteri menteri agar mereka tahu di mana kedudukan mereka sebagai isteri menteri. Mereka juga harus tahu dan diberitahu mengenai protokol kerana masih terdapat isteri menteri yang tidak faham dan tidak tahu protokol.


Isteri menteri mesti diingatkan bahawa mereka bukan menteri. Tidak dinafikan bahawa isteri menteri ada peranan dan ada tugas tertentu. Tetapi mereka tetap isteri menteri. Bukan menteri.

Saturday, March 29, 2008

Mat Taib dan hartanya


(Foto kenang-kenangan bersama Mat Taib, MB Selangor, yang dirakamkan pada pertengahan 1990-an di kediaman rasmi MB semasa pasukan badminton Bernama mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan MB Selangor. Saya berdiri di kanan Mat Taib manakala sebelah kiri beliau Azman Ujang, kini Pengurus Besar Bernama)

MENTERI KENA ISYTIHAR HARTA - PAK LAH

Semua Ahli Kabinet dimestikan mengisytihar harta masing-masing, termasuk yang dimiliki ahli keluarga terdekat seperti isteri dan anak, dan orang ramai dikatakan boleh menyemaknya. Baguslah kalau ianya benar dan disempurnakan secara terbuka akan arahan Perdana Menteri Abdullah Haji Ahmad.

Antara orang lama yang diberi nafas baru dalam Kabinet 2008 ialah mantan Menteri Besar Selangor Darul Ehsan, Muhammad bin Muhammad Taib atau lebih glamor dipanggil Mat Taib ataupun Mat Tyson.

Saya pernah berinteraksi dengan Mat Taib dan sedikit sebanyak tahu 'kehandalan' anak jantan Selangor ini. Kita ketepikan isu kejantanan beliau. Semua orang pun dah tahu.


Saya ingin memperkatakan tentang harta Mat Taib di luar negara dan ingin tahu sama ada beliau masih memilikinya dan sekiranya begitu, adakah beliau akan mengisytiharkannya seperti yang diarah oleh Perdana Menteri.

Menurut laporan-laporan media termasuk Brisbane Courier Mail, Mat Taib memiliki enam hartanah di New Zealand yang didaftarkan atas nama isterinya. Hartanah berkenaan dibeli pada tahun 1996 pada harga melebihi 3 juta dolar Australia (pada waktu itu).

Enam hartanah dibeli di pulau utara New Zealand, iaitu satu di Pakurunga seluas 4573 meter persegi yang dibeli pada 18 Jun, satu di Otahuhu seluas 1713 meter persegi yang dibeli pada 27 Nov., dan empat hartanah lain di Mataitai dengan jumlah keluasan 144 hektar yang dibeli antara 29 November 1996 dan 11 mac 1997.

Umum mengetahui bahawa pada 22 Disember 1996, Mat Taib ditahan di lapangan terbang antarabangsa Brisbane sebelum beliau menaiki pesawat ke New Zealand dengan membawa wang tunai dalam mata wang Singapura, Malaysia dan New Zealand yang kesemuanya bernilai 1.26 juta dolar Australia.


Sebagai seorang Menteri Besar ketika itu, umum hairan dari mana Mat Taib memperolehi wang yang sebegitu banyak dan sudah tentu dia membayar secara tunai semua hartanah yang dibelinya itu kerana, sebagai seorang warga asing, dia tidak mungkin boleh membuat pinjaman wang di New Zealand untuk membelinya.


Dari mana Mat Taib dapat wang itu? Adakah dia akan mengisytiharkan harta tersebut sekiranya masih menjadi miliknya? Besar kemungkinan Mat Taib tidak akan berbuat demikian dengan alasan harta di New Zealand itu adalah milik isterinya.


Thursday, March 27, 2008

Ghapur Salleh letak jawatan timbalan menteri


Belumpun huru-hara politik pasca pilihan raya umum ke-12 reda, seorang timbalan menteri dari Sabah, Abdul Ghapur Salleh, memeranjatkan bosnya Abdullah Haji Ahmad dengan meletak jawatan.


Ghapur, seorang ahli politik veteran dari negeri di bawah bayu itu, dilantik sebagai timbalan menteri di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.


Mesti ada sesuatu yang tak kena yang menghantui pentadbiran Pak Lah.


Sebelum ini seorang lagi wakil rakyat Sabah, Anifah Aman, adik Ketua Menteri Musa Aman, menolak perlantikan sebagai timbalan menteri dan seorang wakil rakyat Pahang, Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar, juga menolak perlantikan yang sama.


Anifah dan Ku Lan adalah timblan menteri dalam pentadbiran lalu dan mereka merasai yang kekananan mereka sebagai timbalan menteri tidak dihargai apabila Pak Lah mengangkat wakil rakyat lain yang tiada pengalaman (sebagai timbalan menteri) terus sebagai menteri penuh.


Mungkinkah kita akan melihat apa yang disebut sebagai 'lompat parti' akan berlaku dalam tempoh masa terdekat ini?


Kepada ketua-ketua bahagian UMNO, hayatilah apa yang sedang dan akan berlaku kepada parti kesayangan anda. Sanggupkah anda melihat UMNO musnah dan terkubur dek kepimpinan yang lemah dan tidak bermaya sekarang?


UMNO amat memerlukan seorang pemimpin yang berpengalaman luas, tegas, bersih daripada rasuah dan skandal-skandal lain dan boleh diterima dan dihormati oleh kawan dan lawan. Orangnya ialah Tengku Razaleigh Hamzah, calonkan Ku Li untuk jawatan presiden UMNO, biar lambat asal selamat.


Mungkinkah berakhirnya sebuah impian?










(Klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas)
Sungguh mesra dan cerianya Idris Jusoh bersama-sama Patrick Lim (Patrick Badawi kata Tun Dr. Mahathir Mohamad). Baik untuk iklan ubat gigi cap Monsoon Cup. Err...siapa MB sebenar?

Pak Lah dan Idris Jusoh (gelaran datuk ditarik balik oleh Istana Terengganu?) mendengar taklimat (betul ke taklimat?) daripada Patrick Lim. Siapa yang benar-benar berkuasa di Terengganu?

Sungguh bergaya si Patrick posing di sisi helikopternya. Kaya betul dia, tapi dari mana datangnya wang yang sebegitu banyak? Ah... dah terang lagi bersuluh di "Terang anu". Banyak projek mega, maklumlah duit royalti minyak kan banyak.... tak tahulah sama ada masih berbentuk royalti atau wang ihsan? Kunci kira-kira ada kah? Negeri Terengganu dapat wang daripada hasil minyak dan gas tetapi ramai rakyatnya masih hidup dalam keadaan daif. Kenapa?

Foto dikutip daripada laman sesawang rakan blogger dari Kelantan Darul Naim, Shieh. Terima kasih Beb.

Wednesday, March 26, 2008

Ketua Kampung dan JKKK nak letak jawatan

Semua 876 Ketua Kampung di Perak akan meletak jawatan secara beramai-ramai kerana tidak sehaluan dengan kerajaan negeri, iaitu kerajaan campuran DAP, PAS dan PKR.



Yang akan turut meletak jawatan ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Eloklah mereka berbuat demikian kerana mereka dilantik oleh Kerajaan BN dan majoriti adalah orang UMNO. Kita seharusnya memberi tahniah kepada mereka kerana berani menerima kenyataan dalam politik semasa.

Ahmad Said sah MB Terengganu, Pak Lah mengalah

Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Kijal, Ahmad Said, sah kekal sebagai Menteri Besar Terengganu apabila presiden parti itu, Abdullah Haji Ahmad, akur dengan kehendak Istana Terengganu.

Adalah diharapkan episod yang dialami Pak Lah di Perlis dan Terengganu akan membuka mata dan hatinya kepada realiti politik tanah air khusunya yang bersangkut-paut dengan Istana.

Saya tidak mahu ulas panjang lebar tetapi ingin bertanya kepada Dr Rais Yatim, siapa yang akan jatuh macam nangka masak?

Zulhasnan terkejut beruk bila Cheras lawan arus

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Zulhasnan Rafique, dikatakan terperanjat besar bila diberitahu bahawa UMNO Bahagian Cheras mahukan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO dipertandingkan.


Dia naik panik kerana Cheras berani melawan arus sedangkan dalam pertemuan dengan presiden parti merangkap (sekarang lebih sesuai dikata merangkak) perdana menteri, Abdullah Haji Ahmad atau Pak Lah, Zulhasnan memberi sokongan sebulat suara UMNO WP kepada Pak Lah.


Kita tidak terperanjat dengan pendirian Zulhasnan kerana dia dilantik semula sebagai menteri WP walaupun UMNO WP hanya memenangi dua kerusi Parlimen (tidak termasuk Labuan) dan dimalukan di kubu kuatnya, Titiwangsa. Sebagai balasan, dia kenalah sokong Pak Lah sebab dia sedar dia tidak sepatutnya dilantik semula sebagai menteri.


Kita angkat kopiah dan songkok kepada UMNO Bahagian Cheras atas keberanian, keterbukaan dan bersemangat mengamalkan sistem demokrasi sepenuhnya. UMNO Cheras membuktikan bahawa tidak semua bahagian UMNO atau pemimpin di peringkat bahagian adalah pak turut atau 'yes man' belaka.


Saya berkata demikian bukan kerana ketua bahagian itu, Syed Ali Alhabshee ada kena-mengena dengan saya atau tidak, tetapi kerana saya menyokong sesiapa sahaja yang berani bercakap dan berani menunaikan apa yang dicakapnya. Saya benci akan manusia munafik yang hanya pandai bersandiwara semata-mata untuk mengampu atau membodek bos dan untuk mendapat sesuatu habuan dan ganjaran selepas itu. Syed Ali bukan orang seperti itu.


Dalam mesyuarat khasnya semalam, UMNO Bahagian Cheras menegaskan bahawa cadangan agar kedua-dua jawatan tertinggi UMNO itu dipertandingkan untuk membolehkan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi, di mana letaknya kekuatan UMNO, untuk menterjemahkan pendirian secara jelas mengenai kehendak dan aspirasi mereka terhadap pemimpin.


Dengan mengadakan pemilihan, ahli UMNO khasnya dan rakyat umumnya, akan tahu sama ada presiden dan timbalan presiden (Pak Lah dan Najib) benar-benar mendapat sokongan parti atau tidak.


Syed Ali berkata sekiranya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, parti tidak dapat mengetahui kekuatan sebenar presiden dan timbalan presiden.


Bagi saya, saki-baki kekuatan yang ada pada Pak Lah semakin menurun dan hanya menanti masa dan saat untuk rebah. Najib, walaupun memiliki sedikit kekuatan, namun beberapa kes dan skandal yang dikaitkan dengan beliau dan isteri (jika benar), akan menambah satu lagi masalah kepada UMNO dan BN kerana mereka akan menghadapi jumlah wakil rakyat bukan BN yang bukan calang-calang orang. Zaman wakil rakyat BN mengeluarkan kata-kata tidak senonoh dan 'biadab' dalam Dewan Rakyat sudapun berakhir.


Oleh itu, dalam keadaan dan suasana sekarang, UMNO perlu mencari calon paling sesuai untuk menerajui parti itu serta menyuntik semangat dan iltizam baru jika ia ingin terus menjadi sebuah parti politik yang relevan.


UMNO perlu ingat, sedar dan insaf bahawa orang Melayu mempunyai pilihan lain dan tidak lagi bergantung harap kepada UMNO. Orang Melayu sanggup memangkah parti lain kerana mereka sedar UMNO telah melakukan banyak kesilapan. Orang Melayu bukan bencikan UMNO tetapi mereka dah bosan dan tidak dapat menerima sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang rakus, tamak dan mengutamakan kepentingan peribadi dan keluarga serta segelintir pengampu mereka.

Tuesday, March 25, 2008

Pak Lah akui kesilapan pandang rendah media alternatif


Perdana Menteri Abdullah Haji Ahmad (Pak Lah) hari ini mengakui bahawa kerajaan memandang sebagai tidak penting media alternatif termasuk blog dan ini merupakan salah satu faktor kenapa Barisan Nasional hampir-hampir tersungkur.


Baguslah kalau dah sedar...tapi dah terlambat.


Pak Lah seharusnya mempersalahkan dirinya sendiri kerana melantik Zainuddin Maidin sebagai menteri penerangan dalam Kabinet 2004. Zainuddin atau Mamu Zam adalah punca segala-galanya yang berkaitan pandangan negatif terhadap media alternatif, lebih-lebih lagi blog.


Bukankah Mamu Zam yang memperlekehkan pengaruh blog dan menyifatkan penulis blog sebagai goblok, tidak profesional, tidak boleh dipercayai, alat parti pembangkang dan apa tah lagi yang dihamburnya kepada penulis-penulis blog. Mamu Zam juga menteri yang mengambil pendekatan salah terhadap portal berita dalam talian yang berpengaruh, Malaysiakini.


Bukankah Mamu Zam yang dengan bangga, sombong dan angkuh berkata bahawa rakyat masih percaya akan media arus perdana terutama Utusan dan The Star dan apa yang ditulis oleh penulis blog sebagai sampah dan tidak boleh dipercayai.


Nah! sekarang apa dah jadi? Media arus perdana turut menyumbang kepada gelombang tsunami politik yang melanda negara pada 8 Mac lalu.


Mamu Oh Mamu

Kenapa engkau gelisah

Macam mana caya tarak itu macam

eleksyen sudah kalah,

Mamu Oh Mamu

apa mau bikin cekarang?

Itu Maidin pasar raya ada cari jaga

Mamu boleh minta kerja la!


Maaf, saya melakar seloka yang bodoh ini kerana sebagai penulis blog yang goblok, had tu saja yang termampu.



Ahmad Said tak akan jatuh macam nangka masak

Saya kurang bersetuju dengan kenyataan Menteri Luar Dr Rais Yatim bahawa Menteri Besar pilihan Istana, Ahmad Said, akan jatuh macam nangka masak sekiranya dia terus sebagai MB.


Maaf, saya tidak setuju dengan pendapat mantan bos saya itu kerana ada beberapa fakta yang tidak dinyatakan oleh semua orang yang menentang keputusan Istana Terengganu. Mereka dengan begitu mudah memberi alasan dan sebab musebabnya berlandaskan undang-undang tetapi tidak merangkumi sepenuhnya.


Alasan paling kukuh yang diutarakan oleh mereka ialah Ahmad Said tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu. Sandiwara sokongan 22 ADUN yang diketuai oleh mantan MB Idris Jusoh melalui Rosol Wahid belum pasti kekal.


Sokongan sedemikian juga tidak memberi erti kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) belum bersidang. Hanya melalui persidangan DUN dapat ditentu dan disahkan sama ada Ahmad Said mendapat sokongan majoriti atau tidak.


Sokongan yang dihebohkan di luar DUN tidak memberi apa-apa kesan sama sekali. Ini adalah kenyataan.


Apa sahaja boleh berlaku menjelang persidangan DUN. Setakat inipun sudah timbul khabar berita yang 13 daripada ADUN yang kononnya menyokong Idris Jusoh telah berpaling kepada Ahmad Said dan akan menyokong keputusan Istana.


Tiada halangan untuk Ahmad Said mengangkat sumpah jawatan dan beliau mempunyai masa yang cukup untuk menyatukan tenaga dan kekuatan sebelum memanggil DUN bersidang. Dalam tempoh itu beliau boleh mendapat sokongan majoriti untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.


PAS pun sudah menyatakan sokongan kepada kebijaksanaan Istana melantik Ahmad Said sebagai MB. PAS tahu apa yang dilakukan oleh Idris semasa menerajui Kerajaan Negeri. PAS juga tahu peranan JE Terengganu.


Oleh itu, Ahmad Said tidak akan jatuh macam nangka masak ataupun nangka busuk. Sebaliknya beliau akan berdiri megah dan gagah sebagai seorang pemimpin yang tidak lari daripada amanah, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh Istana dan rakyat Terengganu.


Saya yakin 'tindakan pihak-pihak tertentu' membabitkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam kemelut politik Terengganu juga akan gagal.

Monday, March 24, 2008

Indahnya adab, budaya dan bahasa Melayu

Isu perlantikan Menteri Besar Terengganu bukan sahaja membabitkan soal perlembagaan, politik dan budaya Melayu tetapi merangkumi banyak perkara lain yang berkaitan adab, budaya dan bahasa Melayu itu sendiri.


Salah satu perkara yang timbul semasa berada di Terengganu baru-baru ini ialah soal adab berbicara dengan pihak Istana. Semua orang Melayu tahu dan sedar tentang betapa indahnya bahasa Melayu sehingga wujud istilah yang khusus untuk Istana atau Bahasa Istana.


Bahasa Istana sebenarnya melambang ketinggian adat resam Melayu yang begitu hormat akan Raja Melayu. Walaupun Malaysia mengamalkan apa yang disebut sebagai Raja Berperlembagaan, namun penggunaan Bahasa Istana tidak diketepikan malah terus dipupuk dan disanjung tinggi.


Seorang Raja atau Sultan akan dibahasakan sebagai "Tuanku" dan rakyat yang berbicara dengan Raja akan membahasakan dirinya sebagai 'patik'. Bahasa Melayu juga menetapkan istilah khas untuk keluarga Di-Raja apabila merujuk kepada sesuatu perbuatan, umpamanya 'bersiram' untuk mandi, 'santap' untuk makan, 'bersemayam' untuk duduk, 'berangkat' untuk pergi dan 'beradu' untuk tidur. Apabila istilah berkenaan digunakan, umum akan mengetahui bahawa ia merujuk kepada pihak Istana. Begitulah indah dan halusnya Bahasa Melayu.


Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah menulis bahawa semasa berada di Jeddah, Arab Saudi pada tahun 1971, Tunku menerima sepucuk surat daripada seorang pegawai tinggi kerajaan yang meminta mantan Perdana Menteri itu memulangkan pas kereta api dan kemudahan-kemudahan lain yang diperuntukkan semasa Almarhum menjadi Ahli Parlimen.


Bahasa yang diguna oleh pegawai berkenaan bukan sahaja tidak betul tetapi biadab. Dalam surat itu pegawai berkenaan, antara lain, menulis: "Saya minta tuan serah balek tiket-tiket keretapi".


Almarhum Tunku membalas surat itu sambil menyatakan bahawa Almarhum tidak membuang gelaran sebagai Yang Teramat Mulia dan tidak juga membuang pangkatnya sebagai Tunku. Almarhum menegaskan bahawa yang diletakkan hanyalah kerusi sebagai Ahli Parlimen. Selepas menerima surat itu, pegawai berkenaan memohon ampun dan maaf daripada Tunku.


Adat dan adab Melayu menentukan penggunaan bahasa yang betul apabila berhadapan dengan pihak Istana, lebih-lebih lagi seorang Sultan atau Raja.


Sama ada orang yang menghadap Sultan atau Raja itu adalah Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri atau pegawai tinggi kerajaan, semuanya kena dan semestinya menggunakan bahasa yang betul.


PM atau MB tidak boleh menggunakan gantinama "I" atau "You" atau "saya" apabila berbahasa dengan Sultan ataupun Raja. Saya mendapat tahu bahawa ada pemimpin negeri yang tidak menggunakan bahasa yang betul apabila berbicara dengan Rajanya seolah-olah dia menyamakan kedudukannya dengan Raja yang memerintah.


Dalam soal menghormati institusi beraja, para pemimpin Melayu, terutama di kalangan pemimpin UMNO, tidak boleh membezakan antara pihak yang menyokong mereka dan pihak yang merupakan parti lawan kepada UMNO. Apabila berdepan dengan pihak Istana, semuanya sama sahaja.


Kenapa para pemimpin UMNO termasuk Najib Tun Razak, Hishamuddin "keris' Hussein, Ali Rustam dan beberapa kerat pemimpin pertengahan dan bawahan, begitu marah kepada Lim Kit Siang apabila beliau meminta Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari DAP memboikot majlis angkat sumpah MB baru.


Pemimpin UMNO masih marah Kit Siang walaupun beliau telah memohon ampun dan maaf daripada Pemangku Raja Perak secara terbuka dan secara peribadi. Ke mana perginya budaya dan adab Melayu yang seharusnya menerima permohonan maaf daripada orang yang insaf akan kesilapannya?


Ke mana dan di mana pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Najib, Hishamuddin, Ali Rustam dan lain-lain apabila Rosol Wahid dan ADUN UMNO yang lain memboikot majlis penyerahan watikah perlanikan MB Terengganu di Istana Tetamu?


Nampaknya perbuatan biadab yang diperlihatkan oleh ADUN UMNO Terengganu tidak menjadi satu kesalahan tetapi arahan yang belum diterjemahkan sebagai perbuatan oleh DAP di Perak dikutuk sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati institusi Kesultanan Melayu dan bercanggah dengan adab dan adat istiadat Melayu.


Kenapa dwi-standard? Institusi Kesultanan Melayu yang sebenar-benarnya lambang bangsa Melayu mesti dihormati oleh semua pihak. UMNO tidak terlepas atau terkecuali.

Janganlah kerana perebutan politik kita melupakan adab, adat dan budaya bangsa.

Sunday, March 23, 2008

Siapa pecat Ahmad Said?

Tertarik saya mendengar berita yang dipancarkan oleh media elektronik bahawa bakal MB Terengganu yang dipilih oleh Istana Terengganu, Ahmad Said, dipecat kerana menerima perlantikan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rosol Wahid, yang juga penyokong kuat mantan MB Idris Jusoh, calon yang menjadi pilihan Presiden UMNO Abdullah Ahmad (Pak Lah).

Saya pernah mengulas mengenai kuasa pemecatan yang ada dalam UMNO dan untuk kes ini, elok juga diulangi.

Buat permulaan, Presiden UMNO, Setiausaha Agung UMNO mahupun pengerusi dan setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri tiada kuasa untuk memecat mana-mana ahli UMNO.

Presiden UMNO hanya diberi kuasa oleh Perlembagaan UMNO seperti berikut:-

1. menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.
2. melantik setiausaha agung, bendahari dan pengerusi dan timbalan pengerusi Perhubungan Negeri dan Wilayah Persekutuan.
3. memanggil dan mempengerusikan sidang Majlis Tertinggi
4. melantik tidak lebih daripada dua belas (12) Ahli Majlis Tertinggi.

Itu saja kuasa dan tugas yang diberikan oleh Perlembagaan UMNO kepada presiden UMNO. Saya tidak jumpa dimana-manapun dalam Perlembagaan UMNO yang memberi kuasa kepada presiden parti untuk memecat mana-mana ahli parti. Tidak ada.

Mari kita lihat kuasa atau tugas yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO kepada setiausaha agung.

1. bertanggungjawab kepada presiden
2. bertanggungjawab atas kesempurnaan sidang-sidang Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung.
3. menyediakan Penyata Tahunan yang menerangkan pekerjaan dan kemajuan parti dalam masa setahun kepada Majlis Tertinggi.

Itu saja.

Bagaimana pula dengan pengerusi dan setiausaha Badan Perhubungan Negeri, apa tugas yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO.

Pengerusi ditugaskan untuk melantik setiausaha, ketua penerangan dan bendahari; memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan; bertanggungjawab atas semua pegawai dan anggota pejabat Badan Perhubungan.

Setiasuaha Badan Perhubungan pula bertanggungjawab secara langsung kepada pengerusi; bertanggungjawab atas kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat dan pejabat perhubungan; dan memanggil mesyuarat.

Jadi, atas peruntukan mana dan perkara mana dalam Perlembagaan UMNO yang digunapakai oleh Rosol Wahid apabila dia menyatakan bahawa Ahmad Said dipecat daripada parti? Dia tiada kuasa, Idris Jusoh selaku pengerusi pun tiada kuasa, Pak Lah selaku presiden pun tiada kuasa apatah lagi Teuku Adnan Teuku Mansor yang begitu ghairah memegang jawatan setiausaha agung.

Kalau barisan kepimpinan UMNO sendiri tidak mengikut dan berpandukan apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO, siapa yang nak ikut? Jangan salahkan anak apabila dia kencing berlari apabila si bapa kencing berdiri.

Seperti yang pernah saya utarakan sebelum ini, hanya Lembaga Disiplin yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan ke atas anggota yang melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan kesalahan lain yang disenaraikan dalam Tataetika Ahli UMNO.

Majlis Tertinggi diberi kuasa untuk menubuhkan Lembaga Disiplin dan ahli-ahli Lembaga Disiplin yang dilantik oleh Majlis Tertinggi mesti terdiri dari ahli-ahli yang tidak berjawatan dalam parti dan tidak mempunyai kepentingan dalam pemilihan.

Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian. Mungkin peruntukan ini yang digunapakai oleh Rosol Wahid tetapi persoalnnya, bilakah Majlis Tertinggi bersidang untuk berbuat demikian?

Selain daripada itu, Lembaga Disiplin di peringkat Badan Perhubungan Negeri atau Bahagian, setelah mendengar dan berpuas hati terhadap pelanggaran peruntukan Perlembagaan UMNO atau Tataetika Ahli UMNO, boleh mengenakan mana-mana hukuman setakat yang diperturunkan kuasa oleh Majlis Tertinggi.

Persoalannya, bilakah Badan Perhubungan UMNO Terengganu menubuhkan Lembaga Disiplin dan bila pula ia diarahkan oleh Majlis Tertinggi untuk berbuat demikian?

Oleh itu, tindakan Rosol Wahid mengumumkan pemecatan atau apa-apa tindakan lain ke atas Ahmad Said adalah tidak mengikut semangat Perlembagaan UMNO atau Tataetika Ahli UMNO.
Dalam erti kata lain, tidak sah.

Yang jelas dan nyata dalam Perlembagaan UMNO ialah Perkara 20.10 yang menyentuh tentang pemecatan seseorang ahli yang bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya dan ahli yang dipecat itu tidak boleh diterima balik sebagai ahli selama-lamanya.

Dalam kes Ahmad Said, dia bertanding atas tiket Barisan Nasional bukan sebagai calon bebas atau atas tiket parti lawan. Jadi, dia tidak boleh dikenakan tindakan berasaskan Perkara 20.10 Perlembagaan UMNO.

Nampaknya, isu atau krisis perlembagaan membabitkan perlantikan MB Terengganu menjadi semakin kusut dan jalan penyelesaian mungkin tidak dapat dicapai oleh pihak-pihak yang terbabit.

Jalan terbaik untuk menyelesaikan kebuntuan dan untuk mengelak kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, Suruhanjaya Pilihanraya hendaklah diberi mandat untuk mengadakan semula pilhan raya peringkat negeri Terengganu.

Kita bimbang sekiranya krisis ini tidak dapat diselesaikan secara baik dan aman, Kerajaan Persekutuan berkemungkinan akan menggunakan kuasanya untuk mengisytihar darurat dan meggantung Perlembagaan Negeri dan mengambil alih kuasa pemerintahan sehinggalah darurat ditarik balik.

Monsun melanda Terengganu

Terkini: Ahmad Said dipecat daripada UMNO. Tetapi, seperti yang ditimbulkan oleh seorang pengulas dalam blog ini, bila Lembaga Disiplin UMNO bersidang dan memecat Ahmad Said. Ataupun bila Majlis Tertinggi menurunkan kuasa itu kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Keputusan pemecatan Ahmad Said boleh dicabar di mahkamah.



Musim monsun (tengkujuh besar) dah mula melanda Terengganu. Ketibaan monsun kali ini jauh lebih hebat daripada apa yang pernah dilalui oleh rakyat Negeri Darul Iman, sama ada semasa di bawah pemerintahan PAS ataupun Barisan Nasional.

Monsun kali ini juga mengatasi 'populariti' Piala Monsun (Monsoon Cup) yang diilhamkan oleh Patrick Lim (Patrick Badawi kata Tun Mahathir).


Macam-macam 'bencana' dibawa oleh monsun kali ini. Bencana paling besar membabitkan 'perang yang tidak dingin' antara UMNO dan pihak Istana.
Ada pihak di Kuala Terengganu berkata ia adalah antara Idris Jusoh dengan pihak Istana.

Isu pokok ialah perlantikan Menteri Besar untuk mengetuai Kerajaan Negeri selepas kejayaan BN dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Kini dah masuk hari ke-15 negeri yang kaya dengan hasil minyak dan gas itu tanpa ketua kerajaan yang 'sah'.

Kuasa untuk melantik MB terletak pada Istana. Itu cukup jelas. Pihak Istana boleh memilih sesiapa sahaja yang terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti yang memenangi kerusi terbanyak. Itu kuasa Istana.


Dari segi politik, ketua parti yang menang boleh mengemukakan nama, tidak semestinya hanya satu nama, kepada pihak Istana untuk dilantik sebagai MB. Dalam hubungan ini, BN atau sebenarnya UMNO, hanya mengemukakan nama Idris Jusoh, seorang calon yang tidak diterima oleh Istana.


Oleh itu, keadaan menjadi buntu mengakibatkan Terengganu dilanda monsun, iaitu lebih awal daripada sepatutnya. Monsun ini bukan monsun biasa, ia adalah monsun luar biasa.

Adakah Idris dan penyokongnya yang diketuai oleh Rosol Wahid menderhaka kepada raja? Dari segi adat dan adab Melayu, mereka menderhaka kerana mengengkari titah perintah Istana.

Dalam pada itu, saya agak hairan kenapa Peguam Negara (yang saya percaya bijaksana) perlu mengeluarkan kenyataan yang 'mengaitkan' Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Abdul Gani Patail, anak Sabah yang agak asing dengan adat istiadat dan adab Melayu Beraja, telah 'menjelaskan' apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh Baginda.

Perbuatan Gani itu memberi gambaran yang jelas bahawa SPB Agong terlibat dalam krisis di Terengganu apabila beliau menyatakan bahawa sebagai SPB Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melepaskan semua kuasa Baginda selaku Sultan Terengganu melainkan yang berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Persoalannya, kenapa perlu mengeluarkan kenyataan akhbar apabila ia berkaitan dengan SPB Agong?

Bukankah lebih baik, lebih terhormat, lebih sopan dan lebih santun bagi Peguam Negara untuk menghadap SPB Agong dan memaklumkan kepada Baginda apa-apa sahaja perkara yang perlu diketahui oleh Baginda?

Apakah perlu mendedahkannya kepada umum melalui satu kenyataan akhbar?

Bangsa Melayu terkenal dan disanjungi kerana budi bahasa dan adat resam yang cukup indah dan mulia sejak zaman berzaman. Kenapa ia harus dinodai sebegitu rupa?

Friday, March 21, 2008

Isu MB Terengganu

Saya menghasilkan nukilan ini dari Kuala Terengganu. Hari ini adalah hari kedua saya di bumi Darul Iman dan isu perlantikan Menteri Besar masih belum selesai.

Saya sempat meninjau pandangan warga Terengganu dan majoritinya berpendapat Idris Jusoh harus menghormati pendirian pihak Istana. Idris sepatutnya menarik diri daripada pencalonan parti kerana tidak mendapat restu Istana.

Orang yang saya temui berkata rakyat Terengganu sudah bosan dengn Jusoh Enterprise. Saya tidak bertanya apa yang dimaksudkan dengan Jusoh Enterprise. Tetapi majoriti orang Terengganu tahu.


Negeri-negeri yang dikuasai parti bukan Barisan Nasional dapat mengatasi kebuntuan dan menghuraikan masalah dengan baik. Kenapa Terengganu yang dikuasai BN gagal berbuat demikian?


Rumusan yang dapat saya buat, Idris Jusoh tidak mendapat restu perkenan Istana. Oleh itu, Idris Jusoh tidak perlu menyusahkan dan mengerohkan keadaan dengan masih mengharapkan jawatan Menteri Besar walaupun dia menjadi pilihan parti.


Itulah saja cara yang dapat menjernihkan keadaan. Hidung tak mancung, pipi janganlah tersorong-sorong.

Wednesday, March 19, 2008

Ceramah Maulidur Rasul oleh Anwar Ibrahim di Bayan Baru



Mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) akan menyampaikan ceramah umum Maulidur Rasul pada hari Jumaat, 21 Mac mulai pukul 9 malam di Masjid Bayan Baru, Pulau Pinang.




Datuk Seri Anwar akan memperkatakan mengenai: Harapan Baru Masyarakat Malaysia.



Penduduk Pulau Pinang, terutama sekali yang beragama Islam, tidak harus melepaskan peluang untuk mendengar syarahan yang akan mengupas mengenai hala tuju dan harapan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 yang baru lalu.

P. Pinang Beri Bonus RM879,000 Untuk Guru KAFA :: Bernama.com

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini mengumumkan pemberian bonus untuk 1,465 guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).

Ini adalah satu permulaan yang baik dan seharusnya dihargai oleh masyarakat Melayu/Islam Pulau Pinang yang kini cuba dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu termasuk mereka yan kalah dalam pilihan raya baru-baru ini.

Sila klik pada tajuk untuk baca berita yang diedarkan oleh Bernama.

Dr Wan Azizah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia


Presiden Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dipersetujui oleh parti-parti pembangkang untuk dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang Palimen Malaysia.


Dr Wan Azizah akan mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang (ulang Ketua Pembangkang bukan kerusi Wakil Rakyat) apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim layak bertanding untuk kerusi Parlimen dan menang.


Persetujuan itu disepakati oleh Datuk Seri Anwar yang mewakili PKR, Lim Kit Siang yang mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Ustaz Abdul Hadi Awang yang mewakili Parti Islam-Se-Malaysia (PAS) dalam satu pertemuan pada malam 18 Mac di Kuala Lumpur.


Ketiga-tiga pemimpin itu juga bersetuju bahawa hasrat rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini perlu dihormati dan dilaksanakan oleh ketiga-tiga parti itu.


Anwar, Kit Siang dan Ustaz Hadi juga bersetuju bahawa kerjasama yang lebih erat perlu dipertimbangkan dengan serius dengan mengambil kira hasrat rakyat untuk mewujudkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang baru dan boleh membawa perubahan-perubahan besar kepada rakyat.


Kontraktor kelas "F" puas hati hasil pertemuan dgn Guan Eng

Semalam, kira-kira 500 orang kontraktor kelas 'F" dari seluruh Pulau Pinang telah mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di KOMTAR.


Pertemuan itu diadakan berikutan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan isu berkaitan nasib Bumiputera yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana. Tajuk berita yang mengelirukan dan isi kandungan berita berkaitan bukan sahaja membimbangkan tetapi boleh meninggalkan kesan negatif di kalangan rakyat Pulau Pinang.


Dalam pertemuan itu, Guan Eng telah memberi jaminan bahawa pengagihan kontrak berlandaskan tawaran terbuka (open tender) akan dilaksanakan secara telus dan adil. Tawaran kerja untuk kontraktor kelas 'F" yang terdiri daripada Bumiputera akan dikekalkan.


Mengenai wujudnya 'kroni' dalam pentadbiran lepas yang mengakibatkan ketidakadilan dalam pengagihan kerja untuk kontraktor kelas 'F', Ketua Menteri berkata perkara itu akan ditangani dan beliau memberi jaminan bahawa perkara seumpama itu tidak akan dibenarkan wujud dalam pentadbirannya.


Guan Eng memberi jaminan bahawa beliau dan pentadbirannya akan bersikap adil dan saksama kepada semua.


Majoriti kontraktor Bumiputera kelas 'F' yang menghadiri pertemuan itu berpuas hati meninggalkan Tingkat 5, DOME Komtar dengan perasaan lega. Mereka kini menunggu pelaksanaan apa yang dijanjikan oleh Ketua Menteri.


Kepada masyarakat Melayu Pulau Pinang, jangan leka mendengar khabar-khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang kecewa, hampa dan yang ditolak oleh rakyat, berilah peluang kepada pentadbiran baru untuk membuktikan kemampuan mereka mentadbir negeri.


Negeri aman, rakyat pasti selamat. Negeri makmur, rakyat pun tumpang senang.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul



Selamat Menyambut Hari Keputeraan Nabi Yang Mulia, Muhammad s.a.w. Merayakan hari keputeraan Baginda membawa kita untuk berselawat dan salam kepadanya. Kedua-dua hal ini adalah sangat dituntut, sebagaimana bunyi firman Allah dalam Al-Quran pada surah Al-Ahzab, ayat 56; yang maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman selawatlah ke atasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam."

Memanglah apa-apa yang dituntut oleh syara' itu, kita digalakkan untuk melakukannya, kerana faedah berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu tidak dapat dikira banyaknya.

Apabila merayakan hari keputeraan Nabi s.a.w., kita akan dikenalkan kepada mukjizat dan riwayat hidup Nabi s.a.w. agar kita akan lebih mengenali Baginda s.a.w. Kita dituntut mengikuti jejak langkah Baginda, beramal seperti amalan Baginda, beriman pada mukjizatnya dan mempercayai segala keterangannya.

Oleh kerana banyak pendapat telah dan masih disuarakan dari segi hukum mengenai merayakan hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., perbalahan antara yang berfahaman Syiah, Sunni mahupun Wahhabi dan sebagainya, maka saya tidak membolehkan ulasan atau komen dibuat khusus untuk tajuk ini. Harap maklum.


PERINGATAN TAMBAHAN: Maaf Chua. Komen saudara tidak dapat disiarkan. Sebab itulah saya tak benarkan sebarang komen. Ulasan seperti yang dibuat oleh Mufti Perlis yang condong kepada fahaman tertentu itu boleh memecah-belahkan umat Islam dan saya tidak ingin masalah itu menular ke dalam blog ini. Terima kasih.

Tuesday, March 18, 2008

Kabinet yang luar jangkaan

Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) mengumumkan barisan Kabinet barunya dengan sedikit kejutan.

Dua orang tokoh yang mahir dalam bidang masing-masing akan dilantik menganggotai Kabinet dan mereka akan mengangkat sumpah petang ini sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Mereka ialah Datuk Zaid Ibrahim, rakan kongsi kanan Zaid Ibrahim & Co., firma guaman tempatan terbesar di Malaysia. Zaid dilantik menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bertangungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Zaid juga dipertangungjawabkan untuk membantu dalam mengreformasikan cabang kehakiman.

Seorang lagi yang merupakan pakar kewangan dan ahli ekonomi unggul yang menerajui bank terbesar di Malaysia, Maybank, Datuk Amirsham Abdul Aziz juga dilantik menganggotai Kabinet melalui perlantikannya sebagai Ahli Dewan Negara. Amirsham bertangungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Sesuatu yang mengejutkan ialah perlantikan mantan menteri besar Selangor, Tan Sri Muhamnad Md Taip sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Ini mungkin satu kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah.

Satu lagi kejutan yang dibuat oleh Pak Lah ialah tiada perlantikan jawatan Setiausaha Parlimen. Hanya menteri penuh dan timbalan menteri. Sayugia diingatkan bahawa hanya menteri penuh menganggotai Kabinet, timbalan menteri bukan ahli Jemaah Menteri atau Kabinet.

Antara perubahan dalam portfolio ialah Syed Hamid Albar ke Kementerian Dalam Negeri, Dr Rais Yatim ke Kementerian Luar, Azalina Othman Said ke Kementerin Pelancongan, Muhyiddin Yassin ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Shafie Apdal ke Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Khalid Nordin ke Kementerian Pengajian Tinggi, Mustapha Mohamad ke Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Maximus Ongkili ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pak Lah kekal sebagai Menteri Kewangan (1) manakala Nor Mohamed Yakcop kekal sebagai MK (2), Najib Tun Razak kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Jabatan Perdana Menteri yang merupakan kementerian terbesar dalam Kabinet Malaysia, mempunyai tujuh orang menteri termasuk PM dan TPM. Menteri lain ialah Bernard Dompok, Nazri Aziz, Ahmad Zahid Hamidi (baru), Zaid Ibrahim (baru), Amirsham A Aziz (baru).

Hishamuddin Hussein kekal di Kementerian Pelajaran manakala Peter Chin di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Zulhasnan Rafique di Kementerian Wilayah Persekutuan, Douglas Unggah Kementerian Sumber Asli, Ong Tee Kiat di Kementerian Pengangkutan, Dr Ng Yen Yen di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noh Omar di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Zin Mohamad di Kementerian Kerja Raya, Shaziman A Mansor di Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Ahmad Shaberi Chik di Kementerian Penerangan, Dr S Subramaniam di Kementerian Sumber Manusia, Yeo Tiong Lye di Kementerian Kesihatan, Shahrir Samad di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Ong Ka Chuan di Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, Ismail Sabri Yaakob di Kementerian Belia dan Sukan.

Untuk melihat senarai penuh Kabinet dan Timbalan Menteri, sila ke laman sesawang Bernama:
http://www.bernama.com/

Walaupun pada pilihan raya lepas, Pak Lah telah menggugurkan Dr Mashitah Ibrahim daripada mempertahankan kerusi Baling yang mengakibatkan BN kalah kepada PAS, Pak Lah nampaknya telah memperbetulkan kesilapannya dengan melantik Dr Mashitah selaku timbalan menteri di JPM, iaitu selepas Mashitah mengangkat sumpah sebagai Senator.

Pengguguran Rafidah Aziz adalah dijangka walaupun banyak pihak yang menganggap ia satu kerugian kerana Rafidah memiliki pengalaman yang begitu luas dalam bidang perdagangan antarabangsa dan rundingan-rundingan yang berkaitan. Patah tumbuh hilang berganti.
Walau apapun, kita hendaklah memberi peluang kepada Kabinet baru untuk membuktikan kemampuan dan ketelusan mentadbir negara.
Selamat bertugas untuk negara.

Monday, March 17, 2008

MB Perak boleh bertutur empat bahasa


Menteri Besar Negeri Perak Darul-Ridzuan, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin merupakan satu-satunya ketua kerajaan negeri di Malaysia yang boleh bertutur dalam empat bahasa - Inggeris, Cina dan Tamil selain bahasa ibundanya, Melayu.

Jurutera Mekanikal berusia 51 tahun itu juga berpengalaman luas dalam industri pembinaan, kejuruteraan bangunan, penyeliaan dan penyelenggaraan projek-projek besar semasa berkhidmat dengan kerajaan dan kemudian swasta.

Antara projek besar yang dia terlibat secara langsung semasa berkhidmat dengan kerajaan ialah Dayabumi Fasa 2 dan 3 (1983), pembangunan Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri (1984), dan pembinaan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985).

Ir. Mohamad Nizar lulus 'A' Level di Norwich City College of Arts and Technology, Norfolk, England dan Sarjana Muda Sains (BSc) Kejuruteraan Mekanikal dari University of Aston, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), kemudian Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA-Daya Urus) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebelum menyertai sektor swasta.

Dalam bidang politik, Ir Mohamad Nizar bergerak cergas dalam Parti Islam (PAS) dan memegang beberapa jawatan termasuk Ketua PAS Kampar, Bendahari PAS Perak dan Setiausaha PAS Perak.

Anak kelahiran Kampung Air Hitam Labu, Kampar itu mendirikan rumah tangga dengan Fatimah binti Taat dan dikurniakan lapan orang anak.

Ir Mohamad Nizar adalah antara ratusan pemimpin barisan kedua PAS yang memiliki kelulusan profesional seperti jurutera, jurubina, doktor, peguam dan akauntan dari dalam dan luar negara.

Kehadiran mereka dalam PAS membuktikan bahawa parti itu bukanlah sebuah parti yang kononnya kolot dan dimonopoli oleh Tok-Tok Guru sekolah pondok atau golongan ulama lulusan Al-Azhar dan pusat-pusat pengajian tinggi lain di Mesir, Arab Saudi, Jordan mahupun Pakistan.

PAS adalah sebuah parti politik yang dianggotai dan dipimpin oleh golongan berpendidikan tinggi dalam semua bidang ilmu. Para pemimpin PAS beriltizam tinggi dalam perjuangan mereka dengan berlandaskan Islam sebagai asas perjuangan dan petunjuk ke arah jalan yang benar.

Sunday, March 16, 2008

Azhar Ibrahim tak faham Perlembagaan UMNO




Azhar Ibrahim, setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, jelas tidak faham isi kandungan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO apabila dia meminta Ketua Pemuda UMNO Hishamuddin Hussein memecat ahli Exco Pemuda yang terpilih sebagai Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir (Foto).


Bukan pecat sebagai Exco Pemuda tetapi sebagai ahli UMNO.Cukup hebat desakannya itu.

Azhar, yang juga mantan Ahli Exco Kerajaan BN yang tumbang baru-baru ini, marahkan Mukhriz kerana anak mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad itu menulis surat kepada PM Abdullah Ahmad (Pak Lah) supaya letak jawatan. Sepatutnya, dia menghormati pendirian tegas dan berani Mukhriz demi kelangsungan hidup UMNO itu sendiri.

Sekiranya Azhar membaca Perlembagaan UMNO, dia akan tahu bahawa Ketua Pemuda tiada kuasa untuk berbuat demikian. Inilah masalah dengan pemimpin bawahan UMNO yang dalam nada mengampu membuat desakan yang amat kurang bijak (saya dah malas nak gunakan perkatan bodoh). Sebenarnya, banyak pemimpin UMNO yang tak baca Perlembagaan apatah lagi mengetahui semangat Perlembagaan itu sendiri.

Apakah UMNO mengamalkan dasar kuku besi sehingga tiada ahli yang boleh membuka mulut untuk menyuarakan pendapat yang tidak popular seperti yang dilakukan oleh Mukhriz Mahathir? Bukankah apa yang dilakukan oleh Mukhriz adalah satu amalan lazim dalam sistem demokrasi? Nampaknya, gambaran yang diberikan menjurus kepada tanggapan bahawa UMNO bukan sebuah parti yang demokratik. Itulah gambarannya wahai Azhar Ibrahim.

Isu yang dibangkitkan oleh Azhar dan beberapa kerat pemimpin pertengahan dan bawahan UMNO melibatkan isu disiplin.

Oleh itu, ia mesti dirujuk kepada FASAL 20 Perlembagaan UMNO yang memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi (MT) menubuhkan Lembaga Disiplin dan menentukan peraturan-peraturan, kuasa-kuasanya dan mengenakan hukuman kerana melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan kesalahan lain yang disenaraikan di dalam Tataetika Ahli UMNO atau mana-mana peraturan lain.

Amat jelas Perlembagaan UMNO tidak memberi kuasa sedemikian kepada Ketua Pemuda UMNO atau mana-mana pihak lain melainkan, menurut Fasal 20.3, Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana Jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian.


Fasal 20.3 juga tidak menyebut yang kuasa itu diperturunkan kepada Ketua Pemuda UMNO atau pihak-pihak lain. Ini cukup jelas.



Dengan itu, desakan Azhar supaya Ketua Pemuda UMNO mengambil tindakan memecat Mukhriz dengan sendirinya memperlihatkan betapa ceteknya pengetahuan beliau mengenai Perlembagaan UMNO. Kalau tak tahu dan tak faham, jangan bercakap.


Untuk pengetahuan Azhar, mari kita fahami FASAL 10 PERLEMBAGAAN UMNO - TANGGUNGJAWAB MAJLIS TERTINGGI


Kita terus ke Fasal 10.10: Melucutkan jawatan mana-mana Ahli Badan Perhubungan, Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan atas apa-apa sebab sekalipun.


Fasal ini memberi kuasa melucutkan jawatan kepada Majlis Tertinggi sekiranya ia membabitkan barisan kepimpinan parti peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan. Kuasa itu hanya diberikan kepada MT dan bukan kepada pihak lain.


Dalam hubungan inipun ia tidak boleh dikenakan ke atas Mukhriz apatah lagi oleh Ketua Pemuda UMNO.


FASAL 20 juga menggariskan langkah-langkah yang kena diambil sebelum seseorang ahli itu boleh dipecat. Ini diperjelaskan dalam Fasal 20.9 iaitu:-


(a) Diberi amaran;
(b) Digantung hak-haknya dalam parti;
(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi;
(d) Dipecat daripada parti;
(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.


Azhar dan sesiapa jua ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan pendirian berani Mukhriz Mahathir atau mana-mana ahli parti yang lain, tidak boleh membuat kenyataan sesuka hati meminta orang yang mereka tidak setuju itu dipecat.

Mereka kena ikut saluran parti seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO.


Kedudukan UMNO dan BN di Dewan Rakyat agak rapuh. Sokongan setiap ahli Dewan amat penting dan diperlukan. Jika ahli UMNO dengan begitu mudah nak pecat ahlinya yang juga Wakil Rakyat, apa kesudahannya? Adakah Azhar Ibrahim memikirkan persoalan ini?


Apa yang dapat saya amati, suara Azhar Ibrahim tiba-tiba begitu kuat dilalakkan selepas BN tewas dan setelah dia sendiri terlepas peluang untuk meneruskan untung nasibnya selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri. Sebelum ini, kita amat jarang mendengar suara Azhar Ibrahim.


Azhar dan rakan-rakannya perlu menerima hakikat tentang apa yang berlaku. Segala-galanya ditentukan oleh Allah. Bukan manusia.

Saturday, March 15, 2008

Ku Li desak UMNO adakan perhimpunan khas



Mungkinkah inilah kali terakhir Pak Lah akan menguap pada Perhimpunan Agung UMNO?



Mantan menteri kewangan dan kini Ahli Parlimen paling lama di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh Hamzah, mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk membincangkan masa depan parti itu hasil daripada keputusan pilihan raya 2008.

Beliau mencadangkan tarikh keramat, 11 Mei untuk diadakan perhimpunan itu kerana pada tarikh itulah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan, demikian menurut satu laporan dalam media Internet The Malaysian Insider.

Tengku Razaleigh, tokoh yang dilihat sebagai dapat memulih semangat dan mengembalikan kekuatan UMNO, telah mengutus surat kepada semua 193 ketua bahagian UMNO mengenai perkara itu.

Tindakan Ku Li merupakan satu lagi tekanan ke atas presiden UMNO Abdullah Ahmad (Badawi) atau Pak Lah, untuk berundur dan melepaskan jawatan parti dan kerajaan. Sebelum ini, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir yang juga Exco Pemuda UMNO, telah mengutus surat kepada Pak Lah supaya bertanggungjawab dan meletak jawatan.

Di sekitar Kuala Lumpur, beberapa sepanduk telah di rentang menyeru supaya Pak Lah letak jawatan. Sepanduk-sepanduk itu direntang di kawasan-kawasan strategik seperti Kampung Baru, Jalan Ulu Klang, Ampang Jaya, Jalan Ampang, Bandar Tun Razak dan Kampung Pandan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan telah segera menurunkan sepanuk-sepanduk itu.

Berbalik kepada desakan Ku Li, MP Gua Musang itu menyifatkan keputusan pilihan raya 8 Mac sebagai bukan sahaja memeranjatkan tetapi menakutkan.

Ini kerana UMNO bukan lagi satu kuasa politik yang kuat. Ku Li hampir menitiskan air mata memikirkan masa depan parti kesayangannya dan anak bangsa Melayu.

Para pemimpin UMNO peringkat bahagian harus menyambut baik desakan Ku Li jika anda sayangkan parti dan benar-benar bimbang tentang masa depan anak cucu anda. Semuanya terletak di tangan anda. Ini bukan masa untuk menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada seorang pemimpin yang lemah, tidak tegas dan yang telah hampir-hampir mengakibatkan UMNO rebah seperti yang pernah dialami oleh Congress Party di India, Partai Demokrasi dan Golkar di Indonesia dan Liberal Democratic Party di Jepun.

Pemimpin UMNO Pulau Pinang jangan hipokrit!

Nampaknya para pemimpin UMNO Pulau Pinang, terutama yang tersungkur ditolak rakyat pada pilihan raya yang baru lalu, adalah manusia hipokrit. Kenapa sekarang baru nak terpekik terlolong macam si siamang kononnya nak pertahankan nasib orang Melayu?

Selama ini apa yang mereka buat?

Tanyalah orang Tanjong Tokong, orang Kampung Makam, orang Bayan Lepas, Telok Kumbar, Sungai Batu, Permatang Damar Laut dan Balik Pulau, dan orang Melayu yang beli rumah yang terbengkalai bertahun-tahun. Adakah pemimpin UMNO termasuk yang berjawatan timbalan ketua menteri dan exco tolong mereka?

Tanya Abdul Rashid, mantan timbalan ketua menteri yang ditolak rakyat, apa yang dilakukannya untuk menolong orang Melayu?

Apa dah jadi dengan projek perumahan kos rendah di Jawi dan tanya Abdul Rashid kenapa semasa berkempen, dia panggil para pembeli kononnya nak beri kunci rumah, tetapi ramai yang hadir takpun dapat kunci rumah. Projek itu dah terbengkalai 10 tahun dan majoriti pembeli adalah orang Melayu yang berpendapatan kecil. Di mana letaknya keadilan dan timbang rasa di bawah kepimpinan UMNO Pulau Pinang?


Kenapa hampir semua peniaga kecil Melayu yang berniaga di KOMTAR gulung tikar? Apa UMNO buat? Apa kerajaan BN buat? Apa Dewan Perniagaan Melayu yang sokong kerajaan BN Negeri buat?

Kepada Abdul Rashid, Azhar Ibrahim, Roslan Saidin, Musa Shake Fadzir, Jasmin Mohamed, Shabudin Yahya, Jahara Hamid, Arif Shah, Mahmud Zakaria, Syed Ameruddin (Matahari), Muhamad Farid Saad dan Helmi Yahya - tanya diri anda apakah sumbangan anda ke arah memajukan masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Anda semua tentu tersentak dan terperanjat besar apabila rakyat, termasuk sebilangan besar pengundi Melayu, menolak BN. Anda semua terlalu leka dan selesa dengan kemewahan hidup sehingga menganggap bahawa rakyat akan terus menyokong anda semua.

Sekarang rakyat dah buat keputusan. Terimalah penghakiman rakyat. Buat kerja jangan buat karenah dan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. Insaflah akan kehendak Tuhan Yang Maha Berkuasa.


Ingatlah: Kita akan dibangkitkan di akhirat kelak dan akan dipertanggungjawabkan tentang semua hal dan perkara yang kita lakukan semasa di dunia ini.

BERNAMA mohon maaf dpd Lim Guan Eng


Foto hiasan: Patung Francis Light di Padang Kota Lama.



Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) telah memohon ma'af daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berhubung satu laporan yang diedarkan oleh agensi berita itu pada 12 Mac.

Dalam surat yang dikirim melalui faksimili kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bertarikh 14 Mac, Ketua Pengarang BERNAMA Yong Soo Heong menyalahkan cara berita berkenaan disunting sebagai puncanya.

Antara lain, Yong, dalam suratnya yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu menyebut:

"On behalf of my colleagues in BERNAMA, I would like to congratulate your team and you for the recent victory in Penang.

I would like to take this opportunity to apologise for the sloppy editing in the news story of March 12, 2008, which we mistakenly quoted you as commenting on the May 13 incident as well. The inclusion of the fact was intended to give a background on the establishment of the NEP in 1971. Nevertheless, upon a thorough review, the inclusion of that fact along with your quote may have been inappropriate."


Pejabat Ketua Menteri juga telah meminta penjelasan daripada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Khalid Mohamad berhubung isi laporan berita persidangan media Lim Guan Eng pada 12 Mac. Khalid menepis masalah dengan berkata Utusan Malaysia menguip berita yang disalurkan oleh BERNAMA. (Walaupun wartawan Utusan hadir pada sidang media itu, nampaknya Khalid lebih bergantung kepada BERNAMA dan bukan wartawannya sendiri).


Saya angkat topi kepada Yong, seorang anak Pulau Pinang, atas keberaniannya mengutus surat dan memohon ma'af. Bukan senang bagi mana-mana kakitangan awam untuk berbuat demikian. Saya percaya sekiranya Azman Ujang atau si Jamil masih ketua pengarang, perkara seumpama ini tidak akan berlaku. Mereka akan lepas tangan.


Kepada Yong, berhati-hati kerana saya percaya segala gerak-geri anda akan diikuti dengan penuh minat oleh Anuar Zaini ataupun kaki-kaki ampu di Kementerian Penerangan. Anda akan melalui ranjau, onak dan laluan yang jauh lebih berbahaya daripada apa yang anda jangkakan.

Sepanduk minta Pak Lah letak jawatan





FOTO DIKUTIP DARIPADA JINGGO'S FOTOPAGE. Terima kasih Jinggo.

Semakin ramai orang yang mahukan Pak Lah undur, atau letak jawatan selaku Perdana Menteri. Beberapa sepanduk atau kain pemidang telah dipasang di sekitar Lembah Klang mendesak Pak Lah supaya letak jawatan.


Selain itu, menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, beberapa buah bahagian UMNO juga telah dan akan mendesak Pak Lah berbuat demikian. Kepercayaan terhadap kepimpinan Pak Lah mulai merudum berikutan pencapaian pilihan raya paling buruk yang dicatat oleh Barisan Nasional sejak empat dekad lalu.


Siapakah yang layak untuk menerajui pentadbiran negara? Timbalan Presiden UMNO Najib Tun Razak dilihat sebagai pilihan yang kurang bijak memandangkan isu Altantuya dan isu pembelian aset pertahanan. Oleh itu, dalam keadaan sekarang, Najib tidak sesuai.


Di kalangan pemimpin UMNO, tokoh yang paling sesuai dan yang dilihat sebagai mampu memulihkan kekuatan UMNO ialah mantan Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau adalah seorang pemimpin yang bebas daripada skandal, tidak rasuah, dihormati bukan sahaja di kalangan BN tetapi parti-parti bukan BN. Ku Li juga dikatakan tidak menghadapi masalah dalam hubungan dengan PAS dan PKR terutama sekali Anwar Ibrahim.


Adalah diharapkan agar bahagian-bahagian UMNO akan mencalonkan Tengku Razaleig Hamzah sebagai presiden UMNO dan sekaligus Perdana Menteri.

Friday, March 14, 2008

Dr Md Isa Sabu MB Perlis ganti Shahidan Kassim

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan undi Bintong, Perlis telah mendapat perkenan Raja Perlis untuk menerajui Kerajaan Negeri selaku Menteri Besar.

Perlantikan Dr Md Isa Sabu tidak memeranjatkan berikutan mantan MB Shahidan Kassim tidak mendapat perkenan Istana.

Ada pihak yang meramalkan bahawa politik Perlis yang hanya mempunyai tiga bahagian UMNO itu akan berkocak, bergelora dan lebih bercelaru.

Kepada orang UMNO dan penyokong Shahidan Kassim, terimalah keputusan yang dibuat itu dan sebagai umat Islam, tak kiralah sama ada pengikut Wahhabi atau tidak, terimalah takdir.

Lim Guan Eng bertemu 21 NGO Islam Pulau Pinang



(Keterangan foto: saki baki Kampung Haji Mahmood dan perkampungan Tanjong Tokong semasa pemerintahan kerajaan BN)



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemimpin dan wakil 21 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili orang Islam di Pulau Pinang.

Dalam pertemuan itu, Guan Eng memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Islam di Pulau Pinang tidak tergugat sama sekali di bawah pemerintahan kerajaan baru.

Beliau turut menafikan khabar angin yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya seruan azan tidak lagi akan berkemundang dari menara-menara masjid di Pulau Pinang.

Guan Eng berkata khabar angin ini berniat jahat dan satu fitnah.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga memberi jaminan kepada masyarakat Melayu Tanjong Tokong bahawa beliau akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan tidak diselesaikan semasa di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.


Katanya, perkampungan Melayu Tanjong Tokong adalah antara tempat pertama yang dilawatinya semasa berkempen dan beliau bersimpati dengan nasib mereka.


Penasihat Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Dr Danial Zainal Abidin yang mengetuai rombongan 21 NGO Islam itu, berkata pihaknya berpuas hati dengan hasil pertemuan yang diadakan di Pejabat Ketua Menteri di menara KOMTAR.

Jangan berhimpun di KOMTAR - itu kerja bodoh!

Saya ingin menasihati rakyat Pulau Pinang, terutama mereka yang terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang kalah pada pilihan raya lalu, supaya JANGAN BERHIMPUN DI KOMPLEKS TUN ABDUL RAZAK (KOMTAR) lewat tengah hari ini seperti yang dihasuti.


JANGAN AMBIL TINDAKAN BODOH! APA FAEDAHNYA BERBUAT DEMIKIAN?


Ikutlah nasihat Ketua Polis Negara. Jangan berkumpul dan mengadakan sebarang bantahan atau desakan.

Thursday, March 13, 2008

UMNO Pulau Pinang dah mula gelabah

UMNO Pulau Pinang pimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) yang mengalami pukulan hebat apabila gagal mempertahankan dua kerusi kawasan undi Parlimen Balik Pulau dan Nibong Tebal serta tewas di empat kawasan undi Dewan Undangan Negeri - Sungai Bakap, Batu Maung, Permatang Pasir dan Penanti - dah mula buat hal.

Kegagalan UMNO untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap yang ditandingi oleh mantan timbalan ketua menteri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, Batu Maung dan Penanti serta gagal merampas kerusi Permatang Pasir dari PAS benar-benar mengejutkan parti itu.

Juga menjadi tamparan hebat apabila UMNO gagal mempertahankan kerusi Balik Pulau yang ditandingi oleh tokoh wanita yang mempunyai talian keluarga dengan Pak Lah iaitu Datuk Dr Norraesah Mohamad (Kwantung) serta kerusi Nibong Tebal (Datuk Zainal Abidin Osman).

Pemimpin UMNO Pulau Pinang nampaknya tidak dapat menerima kekalahan dan mula menuding jari kepada para pengundi Melayu yang menolak mereka dan mula membuat desakan agar projek-projek yang dijanji dan yang telahpun dilaksanakan dibatal sahaja.

Setiausaha badan perhubungan UMNO Pulau Pinang yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Penaga (dalam kawasan undi Parlimen Kepala Batas), Datuk Azhar Ibrahim meminta kerajaan persekutuan supaya membatalkan semua projek mega yang dirancang untuk Pulau Pinang termasuk jambatan kedua, monorel, jalan lingkaran luar Pulau Pinang (PORR) serta perkhidmatan pengangkutan Rapid Penang.

Alasan bodoh yang diberikan oleh Azhar ialah rakyat Pulau Pinang telah menolak kerajaan BN dan memilih pentadbiran baru yang diketuai oleh DAP. Oleh itu rakyat Pulau Pinang menolak pembangunan. Satu hujah yang boleh dikatakan balas dendam walaupun dinafikan oleh Azhar. Bak kata Mat Salleh - sour grapes.

Yang melucukan ialah Azhar meminta Rapid Penang dibatalkan sedangkan perkhidmatan itu telahpun dilaksana dan berjalan lancar. Saya tidak faham dimana letaknya kewarasan dan kebijaksanaan Azhar apabila membuat gesaan tersebut.

Apa yang dilakukan oleh Azhar bagi pihak UMNO Pulau Pinang tidak lain daripada perumpaan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Inilah mentaliti dunia ketiga yang dimiliki oleh seorang pemimpin yang hidup dalam persekitaran kelas satu.

Apakah tidak mungkin Azhar dan UMNO Pulau Pinang meminta semua projek mega yang dirancang dan diluluskan di Pulau Pinang dibatalkan kerana ada udang di sebalik batu?

Apakah tidak mungkin desakan itu dibuat kerana kroni-kroni akan kehilangan habuan dan juga projek yang ada kaitan dengan pelaksanaan projek-projek mega?

Bukankah kekalahan pentadbiran BN akan merugikan puak-puak tertentu termasuk yang ada kaitan dengan pemimpin-pemimpin UMNO?

Jangan persalahkan rakyat kerana menolak BN dan UMNO. Cerminkan diri sebelum membuat tuduhan dan desakan. Rakyat hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab. Inilah kuasa yang ada di tangan rakyat dan kuasa pemerintahan bukan hak milik kekal BN.

Mari sama-sama kita dendangkan gurindam Boria ini:

Jatuh tangga ditimpa tangga
Kerana BN kalah pilihan raya
Emas di badan tiada sesaga
Akal fikiran dah tak tentu hala.


Mana nak dapat habuan dan laba
projek terlepas entah pada siapa
otak dah sasau hampir nak gila
Boria Padang Kota buka cerita.



.

Kit Siang mohon maaf kepada Sultan dan Pemangku Raja Perak


Orang kuat DAP Lim Kit Siang hari ini memohon ampun dan ma'af daripada Paduka Seri Sultan Perak dan Pemangku Raja Perak atas kenyataannya semalam yang berkata wakil-wakil DAP yang memenangi kerusi DUN Perak tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar baru dari parti PAS.


Sebaliknya, semua bakal wakil rakyat DAP akan hadir pada majlis yang akan diadakan petang ini dan mereka menerima perlantikan setiausaha PAS Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin selaku ketua kerajaan negeri seperti yang dipersetujui.


Kit Siang perlu diingatkan agar pada masa akan datang, jangan terlalu ghairah nak keluarkan kenyataan akhbar tanpa mengambil tahu tentang perkembangan-perkembangan terkini di peringkat negeri. Jangan bersikap angkuh.


Kit Siang juga perlu diingatkan bahawa tanpa kerjasama, sokongan dan tolak ansur rakan-rakan dalam Barisan Alternatif (BA) seperti Parti KeAdilan Rakyat dan PAS, belum tentu DAP boleh meraih kejayaan yang dinikmatinya sekarang, termasuk di Pulau Pinang.


Apa yang dilakukan oleh Kit Siang harus menjadi contoh dan teladan kepada pemimpin-pemimpin lain dalam BA agar keadaan tidak menjadi kelam-kabut dan membuka ruang dan peluang kepada musuh politik mereka untuk menyerang dan seterusnya menghancurkan kerjasama yang dijalinkan.

DEB tak dilanjutkan, kata Pak Lah (2007)


Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) telah berkata bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak dilanjutkan, sebaliknya strategi dasar itu yang dipersetujui pemimpin semua kaum, diteruskan sebagai dasar ekonomi semasa (Dasar Pembangunan Negara).

Dalam erti kata yang mudah difahami, DEB pada hakikatnya, telahpun berakhir.

Sekarang, Pak Lah dah dok dolak-dalik apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bercakap mengenai hasrat pentadbirannya berkaitan DEB. Para pengampu Pak Lah pun sama-sama melenting tanpa mengetahui hujung-pangkal dan isu sebenar. Semuanya berpunca daripada tajuk berita Utusan Malaysia.

Bilakah Pak Lah menyebut yang DEB tak dilanjutkan? Mungkin itulah yang akan dipersoalkan termasuk oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Nana Khalid Mohamad.

Saya ingin membawa pembaca ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2007 dan anda boleh semak (check) dalam semua akhbar arus perdana tentang kenyataan Pak Lah pada sidang media pada akhir hari kedua PAU itu.

Presiden UMNO itu berkata, yang akan diteruskan adalah dua strategi DEB, iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

"Ini bukan DEB, kita cuma ada dua strategi dalam DEB sebelum ini. DEB tidak lagi dilancarkan, yang dilancarkan cuma dua matlamat DEB itu yang menjadi pendekatan penting bagi pembangunan negara kita," itulah kata-kata Pak Lah yang diungkap di hadapan pihak media pada hari kedua PAU di Pusat Dagangan Dunia Putra.


Oleh yang demikian, kenapa timbulkan polemik mengenai DEB yang sudah tidak wujud?


Pak Lah sendiri harus disedarkan tentang apa yang diperkatakannya tahun lepas. Usah berdolak-dalik semata-mata kerana niat anda untuk menawan Kelantan tidak tercapai, sebaliknya anda kehilangan pemerintahan di empat negeri lain dan akan memerintah tanpa kekuatan sokongan dua-pertiga.

Wednesday, March 12, 2008

Antara DEB dan hak istimewa Melayu


Saya amat tertarik dengan tajuk besar yang menghiasi muka depan Utusan Malaysia hari ini - Tiada lagi DEB - dan bertanya apakah tujuan tajuk sedemikian untuk menakut-nakutkan orang Melayu berikutan kejayaan pakatan DAP-PKR-PAS memenangi pilihan raya peringkat negeri Pulau Pinang.
Sebenarnya tajuk itu tepat dan betul. Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah tiada dan ia digantikan oleh Dasar Pembangunan Negara (DPN). Mungkin para pengarang di Utusan Melayu lupa akan hakikat ini maka mereka memilih tajuk itu.


Dalam isi kandungan berita itu, pemberita Utusan juga menyebut bahawa tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP itu akan turut menjejas hak istimewa orang Melayu. Ini juga boleh dilihat sebagai satu provokasi untuk menakut-nakutkan orang Melayu.


Saya berkata demikian kerana hak istimewa orang Melayu dan DEB adalah dua perkara yang berbeza. DEB adalah dasar pembangunan baru ekonomi yang digubal oleh Parlimen manakala hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang bukan berbentuk dasar tetapi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.


Hak istimewa orang Melayu hanya boleh dihapuskan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan dan memansuhkan Perkara berkaitan.


Dengan itu, adalah tidak betul dan tepat bagi Utusan Malaysia untuk mengaitkan DEB dengan hak istimewa orang Melayu.


Pihak media semestinya tahu bahawa tempoh pelaksanaan DEB sudah berakhir, iaitu bermula pada tahun 1970 dan tamat pada tahun 1990 dan digantikan oleh DPN.


Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ianya telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk;


(1) mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan


(2) mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.


Oleh itu, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang baru kerana DEB, pada hakikat dan mengikut undang-undang, tidak wujud.


Tuesday, March 11, 2008

Tiada kata-kata yang dapat gambarkan suasana ini






Geli hati baca tajuk berita Utusan

Seorang teman menghantar sms meminta saya meneliti tajuk utama muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini. Dia menyifatkan tajuk itu sebagai sesuatu yang melucukan. Entahlah, sampai bila kawan-kawan di Utusan nak pijak di bumi yang nyata.


Di mana letaknya kekuatan? BN pimpinan Pak Lah hanya diberi mandat untuk terus berkuasa tanpa kekuatan majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat. Oleh itu kerajaan yang bakal dibentuk adalah yang tiada kekuatan dalam erti kata sebenar.


Keputusan pilihan raya kali ini memberi gambaran yang tepat dan betul mengenai sokongan rakyat kepada Pak Lah, bukan keputusan pilihan raya 2004 seperti yang digembar-gemburkan oleh media. Pada tahun 2004, rakyat sebenarnya memberi undi terima kasih atau penghargaan kepada mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan memberi mandat besar kepada Pak Lah.


Entahlah.

Monday, March 10, 2008

Maha silap jika Pak Lah lantik Khairy

Desas-desus dan cakap-cakap yang menyebut bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) berkemungkinan besar akan memberi sesuatu jawatan pentadbiran kepada menantunya yang juga pemenang pemilihan umum bagi kerusi kawasan undi Parlimen Rembau, Negeri Sembilan, cukup membimbangkan.


Amat malang dan mendukacitakan jika ianya menjadi kenyataan. Ia berkemungkinan besar akan menjadi satu maha kesilapan.


Perlu diingatkan bahawa banyak pihak yang berpendapat bahawa salah satu penyebab kenapa Barisan Nasional tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal berkuasa di Kelantan dan gagal mempertahankan majoriti dua-pertiga di Parlimen berpunca daripada isu menantu Pak Lah. Sama ada ianya betul atau tidak, ia tetap dijadikan alasan dan ia mungkin telah mempengaruhi para pengundi pada 8 Mac.


Lihat saja pencapaian Bursa Malaysia apabila urus niaga dibuka pada hari Isnin, iaitu selepas pilihan raya hari Sabtu yang memperlihatkan ketidaktentuan politik. Urus niaga saham di Bursa Malaysia terpaksa dihentikan selama satu jam mulai pukul 2.58 petang setelah bursa mengalami kejatuhan 130.01 mata kepada 1,166.32 atau merudum kira-kira 10.03 peratus. Pasaran pulih sedikit selepas itu dan ditutup pada 1,1172.2 mata, juga jauh lebih rendah daripada kedudukan pada Jumaat lepas.


Urus niaga di pasaran wang juga menjunam dan ringgit jatuh 1.2 peratus kepada RM3.198 berbanding dolar Amerika.


Para pelabur dan pemain pasaran bimbang tentang kestabilan politik dan kedudukan Pak Lah selaku perdana menteri. Ada yang meramalkan bahawa Pak Lah tidak akan bertahan lama dan berkemungkinan besar akan dicabar pada pemilihan UMNO yang bakal diadakan tahun ini.


Kebimbangan juga disuarakan sekiranya Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan negara memandangkan beberapa isu berkaitan seperti yang dibangkitkan dalam kempen-kempen pilihan raya oleh parti-parti bukan Barisan Nasional. Antaranya isu kes pembunuhan Altantuya dan pembelian aset-aset pertahanan (kapal selam dan pesawat pejuang/pengebom).


Oleh itu, Pak Lah harus berhati-hati dan teliti dalam memilih dan melantik Jemaah Menteri atau Kabinet agar ianya tidak turut menyumbang kepada kebimbangan pasaran dan pelabur asing.


Satu jalan keluar yang boleh memulihkan keyakinan para pelabur dan pasaran saham ialah meletakkan orang yang paling sesuai dan yang dapat memberi keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada para pelabur dan pasaran saham. Orang berkenaan tidak semestinya presiden, timbalan presiden atau naib-naib presiden UMNO. Dalam usaha pemulihan yang amat penting sekarang, kita tidak semestinya mengikut konvensyen.


Bagi saya, orang yang paling layak untuk menerajui pentadbiran negara yang dapat memberi penawar pemulihan ialah Tengku Razaleigh Hamzah.


Sudah pasti para penyokong dan mereka yang bergantung atau mendapat perlindungan daripada Pak Lah akan melenting dan marah. Mereka tidak dapat menerima senario seperti ini kerana ia akan menjejas masa depan politik dan pembabitan mereka dalam dunia perniagaan atau yang sedap disebut sebagai dunia korporat. Peminat ceritera sang serigala (wolves) dan Red Indian pun akan naik angin membaca apa yang saya perkatakan ini.


Saya melihat Tengku Razaleigh sebagai tokoh yang dapat sekurang-kurangnya menyuntik semangat dan kepercayaan yang amat diperlukan oleh pasaran dan para pelabur. Pengalaman, kewibawaan dan kebolehpercayaan yang dimiliki oleh Tengku Razaleigh amat diperlukan sekarang. Kita berkehendakkan kepada seseorang yang bukan sahaja mampu memimpin tetapi tidak terlibat dalam sebarang skandal politik atau skandal-skandal lain; yang dapat diterima dan dihormati oleh pemimpin-pemimpin politik bukan BN. Orangnya ialah Tengku Razaleigh.


Benar Pak Lah sudahpun mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi ia bukanlah sesuatu yang kekal dan tidak boleh ditukar ganti. UMNO sendiri boleh membuat penentuan demi masa depan parti itu sendiri. UMNO memerlukan seorang pemimpin yang boleh memulihkan penyakit yang menjangkiti parti itu. UMNO perlu mencari penawar kerana punca penyakit sudahpun diketahui.


Pak Lah tidak boleh dibiarkan membuat lebih banyak kesilapan. Pak Lah masih belum menemui apa yang dicarinya (Al-Ghazali dan As-Syafie) walaupun ramai yang berkata secara berseloroh bahawa dia telah menemui jin.


Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui bahawa dia telah melakukan kesilapan apabila memilih Pak Lah sebagai penggantinya. Oleh itu, Tun Mahathir turut bertanggungjawab dan sebab itulah dia meminta Pak Lah supaya meletak jawatan. Hanya dengan berbuat demikian sahajalah kesilapan yang dilakukan itu boleh diperbetulkan agar lebih banyak kesilapan tidak akan dilakukan.