Wednesday, August 15, 2007

Profesionalisme Bernama mesti dipertahankan

Sepanjang hampir 27 tahun berkhidmat di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), saya tidak melalui pengalaman di mana Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama campur tangan dan memberi arahan, seperti seorang ketua eksekutif yang benar-benar mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian, bermula dengan Tan Sri Aziz Yeop sehinggalah Tan Sri Mazlan Nordin. Saya tidak lagi berkhidmat di Bernama sebelum tempoh Prof Abu Bakar, yang menggantikan Tan Sri Mazlan, tamat. Setahu dan seingat saya, pengerusi Bernama tidak pernah campur tangan terutama dalam urusan dan pentadbiran Jabatan Pengarang, satu-satunya jabatan terpenting dan nadi penggerak Bernama ketika itu.
Sekarang, terutama semasa Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) baru-baru ini, saya dapati ada berita yang dikeluarkan oleh Bernama agak janggal, seolah-olah ia sengaja diada-adakan atas kepentingan tertentu. Agakan dan sangkaan saya itu rupa-rupanya ada asasnya. Pengerusi Bernama bukan saja berada di Langkawi tetapi memberi arahan dan perintah kepada pimpinan Jabatan Pengarang untuk menyondongkan berita berkaitan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia bertujuan untuk memberi gambaran kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad begitu baik hati dan rendah diri sehingga memberi ruang kepada mantan bosnya untuk berucap. Hakikatnya tidak begitu.

Perkara ini telah dilapor dengan lebih terperinci dalam blog Malaysia Kita yang dikendalikan oleh YM Raja Petra Kamaruddin.

Kenapa pengerusi Bernama, Sdr Anuar Zaini bertindak demikian rupa? Dia hanyalah seorang pengerusi bukan eksekutif dan tugas utamanya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama, bukan mentadbir dan bertindak sebagai Super Ketua Pengarang sehingga mengakibatkan kewibawaan Bernama sebagai sebuah agensi berita kebangsaan terguris dan tercalar?

Umum tahu bahawa Sdr Anuar merupakan salah seorang "ahli kabinet dalaman" Pak Lah dan dia juga pernah berkhidmat di bawah mantan TPM Tun Musa Hitam. Umum juga tahu bahawa dalam Team B Umno dahulu, Pak Lah adalah orang kuat Tun Musa, bukan orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah. Oleh itu, apa yang dilakukan oleh Sdr Anuar tidak lebih daripada satu strategi politik untuk Pak Lah. Malangnya, Bernama dan para wartawan yang bersifat profesional telah diperalatkan.

Kita akui bahawa kredibiliti Bernama kebelakangan ini telah dipersoalkan dan keadaan akan menjadi bertambah buruk jika Sdr Anuar terus "bermain politik" dan mengambil sikap yang tidak profesional dalam menerajui Lembaga Pengelola Bernama. Jika beliau ingin terus bersikap sedemikian, beliau mesti meletak jawatan dan menubuh serta mengetuai sebuah badan pemikir khas untuk melaksanakan apa saja strategi, propaganda dan usaha peningkatan imej Pak Lah.

Profesionalisme Bernama harus dipertahankan sejajar dengan semangat dan tujuan asal penubuhannya yang dipersetujui oleh Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan mantan Menteri Penerangan dan Penyiaran, Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman.




4 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,
Memang betul apa yg tuan tulis dan dengar tu. Selepas Mazlan nordin diganti pulak dengan Prof Abu bakar, kadir jasin dan kalimullah. Semuanya nama2 tu ternama..tp ANNUAR ZAINI yg tak ternama ni lah yg lebih2..buang org pon dier, tranfer org pon dier, order catering pon dier, buat story pon dier, edit story pon dier, beli barang dapor untuk Darfur pon dier dan menangis time berucap pon dier..!!

Anonymous said...

Pak Tuan,

Takan tak dengaq cerita lagi? Kan Annuar Zaini ni sedang bersiap-siap diri untuk bertanding di sebuah DUN di Perak dan telah mendapat restu daripada pembesar negara untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas Tajul Risli Ghazali, menteri besar perak yang paling gagal dalam sejarah politik perak.

Perjalanan politik ini akan lebih mudah dan licin kerna Annuar amat rapat dengan Raja Nazrin selaku penasihat media dan juga penulis ucapan beliau. Justeru kemungkinan besar perak mendapat MB baru amatlah jelas dan tidak selindung lagi.

Annuar adalah orang perak yang pernah menjadi head boy di Sekolah Anderson Ipoh dan sedang menyiapkan diri sementara Bernama, seperti biasalah, tidak akan sedar bahawa dirinya sedang dilacurkan untuk menghalalkan agenda politik sesetengah pihak.

Agenda Annuar ini akan bertembung dengan agenda Ahmad Zahid Hamidi, tokoh politik perak yang diperkatakan mendapat restu di kalangan para pemimpin grassroot untuk dilantik sebagai MB sementara gantinya sebagai Timbalan Menteri ialah Dr Zambri Kadir Lumut. Tajol Rosli akan kembali ke Putrajaya sebagai menteri penuh sekiranya percaturan yang dibuatnya menjadi.

Dalam percaturan ini Zahid akan ke DUN dan tempatnya sebagai Timb Menteri akan digantikan oleh Dr Zambri. Namun, percaturan ini ada sedikit kacau apabila Annuar menggunakan pengaruh istana perak dengan memulas tangan Raja Nazrin untuk menyetujui bahawa Annuar adalah calon yang lebih layak.

Mengenai Bernama, seseorang pengerusi tidak akan berupaya mengambil alih kuasa eksekutif sekiranya ketua eksekutif bernama (dalam konteks ini pengurus besar) berupaya menghalangnya.

Namun seperti yang kita semua ketahui, pengurus besar bernama sekarang ini yang kurang pendidikan telah lama menjadi lauk Annuar yang lebih jauh berpendidikan dan lebih licik bermain politik. Kasihan Bernama.

Bukan susah sangat nak "jaga" pengurus besar bernama -- bagi dia hp baru, selesailah. Dan itulah yang apa Annuar telah lakukan dan melakukannya dengan berkesan sekali.

Anonymous said...

tuan syed,

campur tangan datuk mohd annuar zaini dalam operasi editorial bernama semakin menjadi-jadi sejak datuk azman ujang menjadi GM dan saudara yong dilantik KP.

kenapa?... kerana GM sekarang juga sibuk mencampuri urusan editorial seolah-olah beliau masih seorang KP.

ketika datuk syed jamil jadi GM dulu, annuar tidak berani campuri urusan editorial kerana SJ tidak beri muka padanya... itu antara sebab khabarnya kenapa kontrak SJ sebagai GM tidak disambung.

sejak AU jadi GM, annuar bukan sahaja berani campur urusan editorial tapi tanpa segan-silu guna kuasa beliau untuk kepentingan peribadi.

contohnya, annuar membawa anak lelaki beliau untuk buat liputan majlis pernikahan raja nazrin dan zara salim sedangkan anak lelaki annuar itu bukan seorang kakitangan bernama atau mana-mana syarikat sekutunya.

inilah akibatnya kalau GM lebih sibuk mengetuk story daripada pertahankan integriti dan profesionalisme wartawan bernama.

Anonymous said...

AU/yong tersepit, sangkut kalau tak ikut cakap kena tibai, AU/yong tak suka konfrontasi & baik hati, maka orang ambil kesempatan tekan jgn salahkan AU dan yong,Bernama mesti bersatu