Monday, November 06, 2006

Rasuah - kedudukan Malaysia terus jatuh

Kedudukan amalan rasuah di Malaysia semakin buruk tahun demi tahun walaupun usaha untuk memerangi rasuah menjadi salah satu janji pilihan raya yang diikrarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sepatutnya, ketegasan dan semangat yang ditunjukkan oleh Pak Lah itu telah memperbaiki kedudukan Malaysia di mata dunia tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) yang berpusat di Berlin, Jerman, kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah dunia telah jatuh lima anak tangga daripada 39/158 negara pada tahun 2005 kepada 44/163 negara tahun semasa. Pada tahun 2004, Malaysia menduduki tangga ke 39 dan pada tahun 2003 tangga ke 37. Ini bermakna kedudukan Malaysia telah menjunam daripada 37 pada 2003 kepada 39 pada 2004 dan 2005 dan kepada 44 pada 2006.

Antara lain, TI mengulas tentang tiada kesungguhan untuk melaksanakan dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh pemerintah. Ini bermakna dasar yang diperkenalkan tidak dilaksanakan dengan jujur dan betul.

Setahu saya, soal pelaksanaan agak rumit kerana selalunya ia membabitkan campur tangan politik.

TI juga menyebut bahawa usaha perlu dibuat untuk memperbaiki tatacara kelulusan permohonan dan pemberian lesen oleh pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun. Ini bermakna PBT seperti majlis-majlis bandar raya, perbandaran dan penguasa tempatan dan badan-badan berkanun yang mengeluarkan lesen, umpamanya untuk teksi, bas dan lori, masih diselimuti amalan rasuah dan tidak telus.

Ingatan kita masih segar tentang isu tiga orang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mewakili Umno yang mendirikan rumah/mahligai tanpa kebenaran (mengemukakan pelan dan mendapat kelulusan).

Dalam persoalan rasuah dan salahguna kuasa, kita tidak boleh persalahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Seperti yang pernah saya perkatakan, tangan BPR adalah terikat dan BPR tidak bebas untuk mengambil tindakan.

Para pegawai BPR bebas untuk menyiasat tetapi tidak bebas untuk bertindak terutama jika kes tertentu membabitkan orang kenamaan seperti tokoh-tokoh politik dan golongan bangsawan. BPR perlu mendapat restu pihak atasan.

Dengan terus meletakkan BPR di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), masalah kebebasan untuk bertindak tetap wujud kerana Ketua Pengarah BPR terpaksa menghadap bos politik di JPM sebelum boleh bertindak.

Jika Pak Lah benar-benar ikhlas untuk memerangi amalan rasuah di semua peringkat, maka tiada jalan lain melainkan membebaskan BPR daripada pengaruh JPM dan meletakkan badan itu di bawah Parlimen, iaitu BPR bertanggungjawab kepada Parlimen Malaysia dan bukan kepada JPM.

Beranikah Pak Lah berbuat demikian?

1 comment:

Anonymous said...

bagaimana hendak memerangi isu rasuah dan ketidaktelusan serta ketidakcekapan kakitangan awam ini apabila kaki dan tangan terikat juga mulut terkunci dengan peraturan yang diwujudkan untuk memelihara kepentingan individu tertentu sejak dahulu lagi. Hanya pemimpin sahaja yang silih berganti tetapi senario yang sama masih berlaku dan meneruskan kesinambungan ketidakadilan/penindasan secara terancang dan tersembunyi terhadap rakyat.