Friday, November 03, 2006

MT Umno ambil tindakan bijak berkaitan isu Tun Mahathir

Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan yang bijak untuk tidak meminta mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan semua jawatan penasihat yang disandangnya. Keputusan ini bukan sahaja waras tetapi bertepatan dengan amalan demokrasi yang kita anuti. Soal mengkritik Pak Lah tidak seharusnya dikaitkan dengan soal lain.

Tun Mahathir dilantik sebagai penasihat kepada Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) kerana kerajaan mengenang dan menghormati jasa dan sumbangan buah fikiran Tun memajukan ketiga-tiga entiti tersebut.

Suara-suara sumbang yang dilaung-laungkan, terutama oleh Pemuda Umno, yang mendesak kerajaan menarik balik atau menyingkir Tun selaku penasihat entiti-entiti tersebut mungkin dibuat atas desakan atau tekanan pihak tertentu yang menaruh dendam terhadap Tun.

Sayugia diingatkan, ada pemimpin pemuda berkenaan yang masih berhingus atau separuh bogel berlari di halaman rumah apabila Tun mula menerajui kerajaan. Di mana adab dan budaya Melayu di kalangan mereka? Atau mungkin mereka tidak mengenali adab dan kesopanan yang cukup indah yang diwarisi oleh orang Melayu. Benar kata Tun, Melayu mudah lupa!

Orang Umno yang benar-benar sayangkan parti sudah pasti tidak mahu melihat parti mereka hancur. Umno kini menuju ke arah itu kerana ramai ahlinya membelakangkan perpaduan semata-mata untuk mencari kepentingan sendiri. Lihat dan baca komen yang dibuat berkaitan isu Pak Lah-Mahathir. Semuanya komen yang bersifat negatif dan tidak menuju ke arah perpaduan.

Dalam hubungan ini, pihak media turut bertanggungjawab memutar-belitkan berita untuk memenuhi agenda tertentu. Kumpulan Media Prima, umpamanya, cukup ghairah cuba menjatuhkan imej dan maruah Tun Mahathir dalam siaran beritanya. Mereka menggunakan kaedah provokasi untuk mendapatkan ulasan.

Saya amat memahami mengapa stesen-stesen tv yang dikuasai Media Prima, terutama TV3 bertindak demikian.

Rakan-rakan media tahu bahawa Pengarah Berita dan Ehwal Semasa TV3 adalah bekas setiausaha akhbar Pak Lah semasa berjawatan timbalan PM. Datuk Kamaruzzaman Zainal cukup terhutang budi kepada Pak Lah atas kedudukannya sekarang. Dia sememangnya tidak bermimpi untuk menjawat jawatan itu. Sudah tentu Datuk KZ tidak melepaskan peluang untuk mempertahankan Pak Lah menerusi siaran berita TV3.

Sebenarnya, jawatan yang disandang oleh Datuk KZ diwujudkan khas untuknya. Sebelum ini, orang nombor satu dalam Divisyen Berita dan Ehwal Semasa TV3 adalah Datuk Chamil Wariya, mantan wartawan kanan Kumpulan Utusan yang jauh lebih berpengalaman dan berkelulusan lebih tinggi daripada Datuk KZ. Datuk Chamil berjawatan Pengurus Kanan divisyen tersebut dan jawatan itu masih kekal tetapi sudah ada satu jawatan lain yang setingkat lebih tinggi yang disandang oleh Datuk KZ.

TV3 dan media lain yang saya rujuk sebagai ULCs (Umno-linked Companies) seperti Media Prima, yang turut menguasai NST dan Berita Harian, serta Kumpulan Utusan Melayu
sudah tentu memainkan peranan masing-masing seperti yang diarahkan.

Sekiranya pihak media tidak mengapi-apikan keadaan, sudah tentu tengkarah antara Tun Mahathir dan Pak Lah tidak sampai ke tahap sekarang.

Kepada sahabat saya Tan Sri Hashim, mantan pembantu khas Tun Mahathir semasa jadi PM dan kini pengerusi eksekutif Kumpulkan Utusan Melayu, saya ingin bertanya apa perasaan saudara apabila saban hari membaca berita yang disiarkan oleh akhbar dalam kumpulan Utusan?

Penaklukan diri sendiri itu adalah kemenangan yang paling besar (Plato). Tepuk dada tanya selera.

1 comment:

Anonymous said...

I found your blog from rocky's and this article got my attention. I am glad someone else noticed similar about Media Prima. It is a sad time for journalism of late both printed or electronics. Now I fully understand why. NST and utusan are my favourite paper over the years for its grandiose of the language and literature flare UNTIL LATELY. I keep shaking my head asking why and how that they have such guts. So I certainly look forward to reading blogs. I am sure I a not the only few.