Monday, November 20, 2006

Antara maruah bangsa dan maruah negara

Dalam perhimpunan agung UMNO yang baru lalu, soal maruah dan kedudukan orang Melayu terus menjadi topik perbahasan. Nampaknya isu ini tidak berkesudahan walaupun negara mula melangkah ke tahun 50 kemerdekaannya.

Dalam memperkatakan tentang persoalan itu, isu-isu sensitif sudah tidak sensitif dan akibat daripada lepas cakap, terutama golongan muda belia dalam UMNO, keresahan dan rasa terguris hatipun timbul. Reaksi pihak yang terguris seolah-olah seperti mencurah minyak ke dalam api.

Maruah sesuatu bangsa, sebenarnya, tidak boleh dipertahankan semata-mata dengan meminta atau mendesak ataupun memaksa supaya orang lain tidak menghina bangsa itu. Apa yang perlu dibuat ialah membuktikan bahawa bangsa berkenaan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berjaya.

Cuba kita renung sejarah bangsa dan lihat di mana letaknya maruah bangsa Melayu. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira tiga dekad yang lalu.

Dalam sejarah negeri-negeri Melayu terdapat amalan menghantar bunga emas ke negara-negara yang lebih kuat daripada mereka. Itu telah menjadi semacam satu adat.

Ya, kita menghormati adat tetapi bukan semua adat perlu dikekalkan. Amalan sujud atau tunduk kepada sesiapa sahaja kerana takut atau kerana wang ringgit bukanlah adat yang harus dikekalkan atau dipertahankan. (Kita boleh kaitkan perkara ini dengan amalan rasuah politik dalam UMNO)

Maruah bangsa dan maruah negara perlu dipertahankan. Jika tidak, kemerdekaan tidak bermakna. Apa guna kemerdekaan sekiranya sesiapa sahaja boleh mengongkong kita? Apa erti kemerdekaan jika kita letakkan diri kita di bawah telunjuk orang lain?

Orang Melayu tidak harus angkuh dan sombong. Kita harus berbaik-baik dengan orang lain. Kita harus kekalkan sifat kesederhanaan. Tetapi semuanya mesti diasaskan kepada timbal-balas, iaitu jika kita menghormati mereka, maka mereka juga hendaklah menghormati kita. Semua pihak mesti tahu di mana letaknya batas dan di mana letaknya sempadan. Batas dan sempadan ada perbezaannya.

Kita percaya bahawa masyarakat Malaysia sudah dewasa dan matang. Masyarakat Malaysia boleh membezakan antara kaca dengan permata.

No comments: