Thursday, October 12, 2006

Peminggiran kaum berlaku dimana-mana saja

Kita masih memperkatakan isu menteri mentor Singapura Lee Kuan Yew yang cuba menghasut kaum Cina di Malaysia dan Indonesia melalui ulasannya baru-baru ini. Kata-kata hasutannya yang menimbulkan kemarahan orang Melayu berkaitan dengan peminggiran bersistematik yang dikatakan dilakukan oleh pemerintah ke atas kaum Cina.

Kita harus terima hakikat bahawa kata-katanya itu ada kebenarannya. Walaupun pahit, kita harus akuinya. Tetapi yang dipersoalkan, kenapa Kuan Yew, seorang pemimpin sebuah negara asing mengusik sarang tebuan di dalam negara jirannya? Apakah muslihatnya? Persoalan ini mempunyai banyak jawapan bergantung kepada sudut dan isu mana yang kita mahu kaitkan.

Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, banyak perubahan telah berlaku. Antara peristiwa penting adalah penubuhan kerajaan campuran (Gerakan-Umno) di Pulau Pinang dan kemudian perlebaran parti Perikatan kepada Barisan Nasional dan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan mengagih-agihkan kek ekonomi secara adil dan saksama dengan keutamaan diberikan kepada Bumiputera sebanyak 30 peratus.

Dasar ini sedikit sebanyak membantu memulihkan perpaduan dan melahirkan satu generasi Bumiputera yang berjaya dalam bidang ekonomi dan profesional. Ini dilaksanakan melalui satu sistem kuota yang memperuntukkan tempat kepada anak Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di menara gading walaupun kelulusan yang ada tidak mencukupi. Ini adalah satu kenyataan dimana pemerintah membantu satu kaum melalui pelbagai usaha dan dalam pelaksanaannya, tidak kurang banyaknya kaum bukan Melayu yang terpaksa diketepikan. Ini dilihat sebagai satu peminggiran secara sistematik. Begitu juga dalam bidang pekerjaan sektor awam dimana keutamaan diberikan kepada Bumiputera sehinggakan kini tidak kurang daripada 75 peratus jumlah kakitangan awam terdiri daripada Bumiputera. Ini juga dilihat sebagai satu peminggiran bersistematik.

Sebenarnya soal peminggiran kaum berlakau di mana-mana saja termasuk di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara yang menghampiri taraf maju seperti India dan Singapura. Di Amerika Syarikat, kita sedia maklum bahawa kaum peribumi Red Indian masih dan terus dipinggirkan manakala masyarakat kulit hitam yang merupakan keturunan hamba abdi dari benua Afrika masih tidak boleh menikmati kebebasan sepenuhnya berbanding dengan kaum kulit putih. Di Australia masyarakat aslinya yang dikenali sebagai Aborigines terus terpinggir dengan kehidupan yang daif dan terasing. Di India, sistem kasta masih diamalkan dan melalui sistem ini, peminggiran dan penindasan dirasai oleh masyarakat berkasta paling rendah atau Pariah. Di Singapura, orang Melayu terus dipinggirkan secara terang-terangan bukan melalui dasar rasmi tetapi melalui arahan dan pendirian "kiasu" parti pemerintah, PAP.

Di Malaysia, peminggiran bukan sahaja berlaku ke atas satu-satu kaum tetapi oleh satu kaum ke atas kaumnya sendiri akibat perbezaan fahaman politik. Lebih khusus ia dilakukan oleh orang Melayu ke atas orang Melayu, Umno ke atas PAS dan PAS ke atas Umno. Ia bukan sesuatu yang pelik tetapi satu kebenaran.

Kita masih ingat semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu, Kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno telah melakukan bermacam tekanan ke atas kerajaan negeri termasuk menarik balik royalti minyak. Ia diganti oleh wang ehsan melalui sebuah badan khas yang ditubuh oleh kerajaan persekutuan dan tidak diberikan kepada kerajaan negeri. Bukankah ini satu peminggiran oleh orang Melayu ke atas orang Melayu? Sebagai tindak balas, kerajaan PAS Terengganu tidak mengiktiraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diwarisi daripada kerajaan BN sebelumnya dan menubuhkan apa yang disebut sebagai Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR). JSR telah bertindak sebagai penguasa tempatan di kampung-kampung dengan menutup kelas-kelas TABIKA kendalian Jabatan Kemas. Kita masih ingat bagaimana anak kecil dari Tabika KEMAS terpaksa mengusung bangku apabila premis mereka dikunci dan mereka dihalau tanpa belas kasihan. Bukankah ini satu peminggiran oleh Melayu ke atas Melayu?

Bercakap mengenai JKKK yang berkait rapat dengan barisan kepimpinan Umno setempat, malahan sesetengah JKKK adalah orang yang sama dengan AJK Umno cawangan berkenaan. Tidak kurang banyaknya JKKK yang telah meminggirkan orang kampung yang sebangsa dan seagama dengan mereka apabila mengagih-agihkan bantuan kerajaan termasuk bantuan baja, enjin bot sangkut, pukat, rumah rakyat termiskin dan sebagainya semata-mata kerana pendirian dan fahaman politik. Orang yang dikatakan ahli dan penyokong PAS selalunya diketepikan oleh JKKK yang dikuasai Umno. Bukankah ini satu peminggiran oleh orang Melayu ke atas orang Melayu?

Tindakan yang dilakukan oleh Umno dan PAS, semasa memerintah, adalah sama sahaja. Masing-masing menggunakan kuasa yang ada untuk meminggirkan musuh politik. Peminggiran merupakan satu senjata untuk menghukum musuh politik, tak kiralah sama ada musuh itu saudara sendiri atau tidak.

Peminggiran berlaku di mana-mana saja dan di Malaysia, peminggiran bukan sahaja antara kaum tetapi dalam kaum itu sendiri.

(ESOK: Peminggiran Melayu Singapura oleh PAP)

1 comment:

A Voice said...

Satu pandangan yang ikhlas dan bijak, Tuan Syed.

Sebagai seorang yang peka dengan nasib bangsa Melayu, memang sedih kita meminggir bangsa sendiri disebabkan fahaman politik. Satu-satu bangsa itu memang secara realiti tidak pernah yang berstu tegoh tapi apabila pemikiran sempit sedemikian yang menambahkan perpecahan.

Saya cuba menilai isu peminggirin satu kaum keatas kaum yang lain, senang cakaplah Melayu meminggir Cina melalui politik dan pentadbiran kerajaan dan Cina meminggir Melayu dari segi ekonomi.

Kalau dibuang dan dihapus polisi peminggiran, hanya peminggiran Melayu katas Cina yang boleh dilakukan. Peminggiran Cina ketas Melayu dalam ekonomi tidak boleh dihapuskan kerana ia adalah urusan persendirian perseorangan mereka dan peminggiran keatas melayu telah disemadikan dalam kebudayaan mereka.

Kita sedia faham yang kekuatan ekonomi mereka terus berkekalan walau bagaimana usaha yang dilakukan untuk membantu Melayu kerana rantaian kegiatan ekonomi dikuasai mereka.

Isn't that a scary thought! Macam mana orang melayu tidak insecure dan menentang?