Wednesday, October 11, 2006

Tahniah Syed Amin - anda bukan hipokrit

Sekalung tahniah dan ucapan syabas untuk Datuk Syed Amin Aljufri, pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Kuala Lumpur atas keberanian dan keikhlasannya menjemput mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad selaku tetamu kehormat pada majlis berbuka puasa dewan tersebut pada 10 Oktober.

Tindakan Datuk Syed Amin membuktikan kepada umum bahawa beliau bukan seorang manusia hipokrit yang hanya pandai bermuka-muka demi kepentingan diri. Hubungan rapat dan khidmat bakti Tun Mahathir kepada dewan perniagaan Melayu tidak boleh diketepikan begitu sahaja semata-mata kerana wujud krisis antara Tun dengan PM Abdullah Badawi.

Lihat sajalah kepada jumlah orang yang hadir pada majlis anjuran Datuk Syed Amin. Yang dijemput 200 orang, yang hadir 400 orang. Ini membuktikan sokongan dan tanda hormat para peniaga Melayu kepada Tun Mahathir.

Kita sedia maklum bahawa Tun Mahathir pernah menceburi dunia perniagaan, bermula sebagai seorang penjaja di Pekan Rabu, Alor Star semasa pemerintahan Jepun. Beliau dan rakan niaganya, Allahyarham Johari (Pak Jo) menjaja pisang goreng dan kuih-muih. Tun juga terlibat secara aktif dalam dewan perniagaan Melayu Kedah bersama-sama Tan Sri Khalid Abdullah. Taraf Pekan Rabu yang ada sekarang adalah hasil ilham dan sokongan kuat Tun Mahathir.

Seharusnyalah dewan-dewan perniagaan Melayu menghargai jasa dan sumbangan Tun Mahathir tanpa menghiraukan soal politik dan isu-isu lain yang tiada kaitan dengan dewan.

Saya katakan Datuk Syed Amin bukan hipokrit kerana dia berterus terang dan tidak berselindung. Dia tidak risau apa orang nak kata apabila dia menjemput Tun Mahathir kerana dia tahu apa yang dilakukannya adalah sesuatu yang betul dan tidak menyalahi undang-undang. Datuk Syed Amin tidak bermain politik. Dia sebenarnya bersikap profesional.

Lain pula ceritanya dengan sebilangan pemimpin Umno peringkat bahagian. Ramai yang hipokrit apabila berdepan dengan isu Pak Lah dan Tun Mahathir.

Baru-baru ini, saya berkesempatan berbual-bual dengan seorang ketua salah sebuah bahagian Umno di Selangor yang juga seorang ahli Dewan Undangan Negeri. Saya tanya pendiriannya berkaitan isu Pak Lah-Mahathir. Siapa yang dia sokong.

"Saya terpaksa hipokrit," jawabnya ringkas. Dengan menjadi hipokrit, dia menjelaskan bahawa dia "terpaksa" menyokong Pak Lah walaupun pada hakikatnya dia menyokong Tun Mahathir.

Sebagai orang politik, dia mengakui bahawa dia terpaksa "berlakon" di khalayak sebagai penyokong Pak Lah demi kelangsungan perjuangan politiknya. Dalam erti kata lain, kerana nak hidup. Kenyataannya disokong oleh setiausaha bahagiannya yang turut mengakui bahawa dia juga terpaksa menjadi hipokrit.

Sebenarnya ramai pemimpin Umno yang bersikap sedemikian. Mereka tidak menyokong Pak Lah tetapi terpaksa berbuat demikian kerana nak hidup.

Apa kesudahannya? Sampai bila pemimpin Umno nak jadi hipokrit? Jika anda sokong Pak Lah, terus terang sajalah, dan jika anda sokong Tun Mahathir, hentikan daripada sikap hipokrit, tunjukkan sokongan anda secara terang-terangan.

Pak Lah bangga dengan mandat rakyat pada pilihan raya lalu. Satu mandat yang belum pernah diterima oleh BN. Benar, ia satu mandat besar tetapi faktor yang memberi sumbangan kepada sokongan itu bukan Pak Lah sahaja.

Rakyat ingin menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada Tun Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun. Oleh itu mereka memberi sokongan kuat kepada BN. Faktor kedua ialah mereka menerima janji dan ikrar Pak Lah nak lakukan reformasi termasuk memerangi rasuah dan salahguna kuasa. Dua faktor inilah yang menyumbang kepada mandat besar itu.

Tetapi, rakyat mula mempersoalkan keikhlasan Pak Lah menunaikan janji dan ikrarnya itu. Masalah rasuah terus berleluasa, menteri rasuah masih berkuasa, menteri besar rasuah masih ada, kes penipuan AP masih berlaku, kos dan sara hidup terus naik, yang miskin masih menagih bantuan dan pertolongan, yang kaya bertambah kaya dan bermacam lagi masalah lain.

Sampai bila nak jadi hipokrit?

No comments: