Wednesday, October 04, 2006

Isu PERKIM timbul kerana muslihat politik?

Saya tidak dapat menjangkakan niat seorang usahawan dari Pulau Pinang, Datuk Noor Mohamad Backer Abu Backer membangkitkan isu pemecatan beliau selaku naib yang dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau PERKIM.

Beliau meminta PERKIM memberi penjelasan terperinci mengenai tindakan mereka memecatnya yang disifatkannya sebagai tidak adil dan dibuat secara sewenang-wenangnya.

Noor Mohamad, dari keluarga yang menguasai syarikat Barkath yang terkenal dengan gula-gula Hacks, turut dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi PERKIM Pulau Pinang.

Beliau mendakwa segala pergolakan yang berlaku hanya akan mengaibkan PERKIM.

Sementara itu, ibu pejabat PERKIM tidak memberi alasan atau sebab musebab kenapa Noor Mohamad dipecat.

Saya cuma dapat membuat agakan bahawa ia mungkin ada kaitan dengan satu kes mahkamah yang masih berjalan yang membabitkan Noor Mohamad.

Noor Mohamad menghadapi satu pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atau Penal Code. Kes ini disiasat berikutan satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tun Razak (Repot 5728/97) dan Pejabat Peguam Negara telah mengambil tindakan mengenakan pertuduhan ke atas Noor Mohamad.

Oleh kerana kes ini masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, saya tidak boleh memberi ulasan.

No comments: