Friday, October 20, 2006

Tugas dan peranan Setiausaha Politik Pak Menteri

Seperti yang ramai sedia maklum, apabila seseorang Ahli Parlimen dilantik menganggotai Jemaah Menteri atau Kabinet, dia dibenarkan melantik beberapa orang pembantu untuk membantunya dalam tugas-tugas harian.

Pembantu-pembantu menteri terdiri daripada Setiausaha Sulit Kanan selaku ketua pentadbir pejabat menteri, Setiausaha Politik yang menjalankan tugas-tugas berkaitan politik, Setiausaha Akhbar yang bertindak sebagai penghubung antara menteri dengan media, Setiausaha Sulit yang menjalankan tugas-tugas tertentu seperti diarahkan oleh menteri dan Pegawai Khas yang tugasnya tertakluk kepada bidang tugas seseorang menteri.

Saya ingin perkatakan mengenai bidang tugas dan peranan Setiausaha Politik atau SUPOL kerana, pada pendapat saya, tidak semua menteri memerlukan SUPOL dan keadaan ini menjadikan tugas SUPOL tidak relevan atau tidak berkaitan dan SUPOL itu boleh dikatakan makan gaji buta.

Tugas utama SUPOL ialah membuat laporan bertulis mengenai apa jua hal yang berkaitan politik, sama ada politik dalaman parti bosnya atau perkembangan politik parti-parti komponen ataupun parti pembangkang. Jika bosnya seorang menteri Umno, maka semua hal-ehwal berkaitan Umno di kawasan parlimen yang diwakili hendaklah diambil tahu dan dilaporkan kepada menteri. Ini penting kerana Pak Menteri perlu mendapat tahu atau mendapat maklumat terkini supaya dia dapat membuat sebarang keputusan yang perlu berkaitannya.

SUPOL juga mesti bertanggungjawab apabila berlaku sesuatu bencana atau tragedi di kawasan parlimen Pak Menteri kerana setiap perkara yang berlaku ada kaitan dengan urusan politik. Pak Menteri mesti dilihat sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dan sekiranya dia tidak ambil berat tentang masalah rakyat, besar kemungkinan dia akan ditolak oleh rakyat pada pilihan raya akan datang. Oleh itu, peranan SUPOL untuk mengambil tahu dan bertanggungjawab amat penting untuk bosnya itu.

Pendek kata semua tugas politik dipikul oleh SUPOL termasuk berperanan aktif untuk mempastikan parti bosnya, katalah Umno, hidup dan bergerak aktif di semua peringkat dan cawangan. Jika cawangan-cawangan dalam sesebuah kawasan parlimen tidak aktif, ia akan memudahkan parti lawan masuk dan bertapak.

Jika diteliti, kita akan dapati bahawa tugas SUPOL adalah tugas politik untuk orang politik. SUPOL biasanya orang parti yang dipercayai oleh bosnya. SUPOL juga bertindak sebagai ejen atau orang kanan bosnya apabila tiba musim pemilihan parti yang boleh menaikkan kedudukan bosnya dalam parti.

Saya dapati kebelakangan ini ada beberapa orang SUPOL yang tidak aktif dan seolah-olah tidak tahu membuat kerja dengan cekap dalam membantu partinya. Pak Menteri harus berhati-hati memilih calon untuk jawatan SUPOL jika dia ingin bertahan lama dalam politik. Dunia SUPOL bukan dunia glamor atau dunia yang diisi dengan publisiti tetapi SUPOL adalah orang dibelakang Pak Menteri, seboleh-bolehnya tidak menonjol atau melebihi bosnya.

Dalam barisan Kabinet Malaysia, ada menteri yang bukan dari kalangan orang politik tetapi golongan profesional. Mereka dilantik ke jawatan menteri melalui saluran Dewan Negara, iaitu sebagai Senator, dan bukan melalui saluran Dewan Rakyat selaku Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Sebagai anggota kabinet, menteri profesional ini juga layak melantik pembantu-pembantunya. Persoalan yang ingin saya ketengahkan ialah sama ada menteri profesional patut mempunyai seorang Setiausaha Politik sedangkan dia bukan orang politik dan tidak pula mempunyai kawasan pilihan raya?

Saya berpendapat menteri profesional yang bukan orang politik tidak seharusnya mempunyai seorang Setiausaha Politik kerana dia tiada kerja politik yang perlu dilakukan, dia bukan seorang wakil rakyat dan bukan seorang pemimpin parti, katakanlah Umno. Jadi apa perlu adanya seorang Setiausaha Politik? Adakah gaji dan elaun yang berbelas ribu ringgit yang diterima setiap bulan oleh Setiausaha Politik ini wajar?

Salah seorang menteri profesional yang benar-benar profesional ialah Menteri Kewangan II Tan Sri Noor Mohamed Yaacop. Sebelum dilantik menganggotai kabinet, Tan Sri Noor dilantik sebagai Penasihat Khas (Kewangan) kepada Perdana Menteri IV YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan dikekalkan atas sifat yang sama oleh PM V Datuk Seri Abdullah Badawi.

PM Abdullah kemudian melantik Tan Sri Noor selaku Menteri Kewangan II untuk mmbantunya, selaku Menteri Kewangan, menjalankan tugas-tugas seharian di Kementerian Kewangan.

Atas cadangan (mungkin desakan) Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan KL, Tan Sri Noor melantik Ketua Pemuda Umno KL Mohd Norza Zakaria sebagai Setiausaha Politik.

Apakah kerja politik yang nak dilakukan oleh Mohd Norza Zakaria untuk bosnya yang bukan orang politik? Tepuk dada tanya selera.

Bagi saya, episod ini memperlihatkan keghairahan orang politik, khasnya di kalangan parti Umno, untuk mengisi apa jua jawatan yang ada, tak kiralah sama ada ianya wajar atau tidak, asalkan dapat memegang jawatan dan dapat pula menambah kekayaan. Lihat saja di Pelabuhan Klang, apa yang dibuat oleh ADUN dari Umno kini membuka mata rakyat.

Jika benarlah kerajaan pimpinan Pak Lah telus, cekap, cemerlang dan terbilang seperti yang dilaung-laungkan selama ini, Pak Lah mesti melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Bukan semua menteri harus mempunyai Setiausaha Politik, bukan semua orang yang memegang jawatan dalam parti mesti dilantik sebagai Ahli Majlis perbandaran atau Majlis Tempatan sehingga ia seolah-olah sebuah syarikat sendirian berhad.

Pak Lah tidak seharusnya membiarkan setitik nila merosakkan susu sebelanga. Rakyat semakin muak dan bosan dengan tindak-tanduk dan gila kuasa dan kedudukan di kalangan pemimpin parti yang diterajui oleh Pak Lah.

No comments: