Saturday, May 24, 2008

Isu royalti minyak untuk Terengganu




Sama ada ia dikatakan wang ehsan atau royalti minyak, isunya sama saja. Ia sudah berlarutan agak lama. Isu yang diperkatakan membabitkan pembayaran wang tunai oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu.


Dalam perjanjian di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas yang ditandatangani pada 22 Mac 1975, tiada perkataam royalti digunakan. Apa yang disebut dalam perjanjian ialah pembayaran wang tunai mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petrolium 1974 yang menjadi asas perjanjian tersebut:


"Sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak-hak, kuasa-kuasa, kebebasan-kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakkan padanya menurut Akta ini, Perbadanan (Petronas) itu hendaklah membuat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan apa-apa pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak berkenaan."

(Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974)


Menteri Besar Terengganu semasa dibawah pentadbiran Kerajaan PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengaku (sila lihat The Sun Jumaat 15 September, 2000) bahawa perkataan royalti tidak disebut dalam perjanjian 1975 tetapi perjanjian itu merujuk kepada pembayaran wang secara tunai sebanyak lima peratus kepada Kerajaan Negeri.


Amat jelas perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat kepada Kerajaan Negeri dan ini bermakna ia tidak boleh disalurkan kepada pihak ketiga.


Sebelum PAS menerajui Terengganu, bayaran wang tunai itu disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri pimpinan UMNO (Barisan Nasional) tetapi apabila UMNO/BN tewas kepada PAS, ia disalurkan kepada sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) yang dianggotai oleh para pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan Persekutuan.


Kerajaan Persekutuan berhujah bahawa wang tersebut bukan hak Kerajaan Terengganu berlandaskan undang-undang.


Menurut pentafsiran undang-undang, tidak ada negeri di Semenanjung Malaysia berhak mendapat "royalti" bagi perolehan minyak kerana tidak ada minyak ditemui di dalam mana-mana negeri tersebut. Menurut Kanun Tanah Negara 1928, tanah negeri ditakrifkan sebagai meliputi semua tanah di dalam negeri "termasuklah pesisir bawah dan dasar laut di dalam perairan wilayah negeri berkenaan".


Mengikut Emergency Ordinance No 11 1969 pula, takrif perairan wilayah sesebuah negeri ialah tiga batu nautika daripada paras air surut. Di luar tiga batu nautika, itu adalah pelantar benua yang menjadi perairan kebangsaan. Semua sumber minyak yang ditemui di kawasan itu, sama dalam kes di Terengganu, adalah menjadi hak Kerajaan Persekutuan.


Dalam kes di Terengganu, oleh kerana minyak dijumpai kira-kira 150 kilometer di luar kawasan perairan negeri, Terengganu sebenarnya tidak berhak mendapat apa-apa pembayaran kerana perolehan minyak tersebut ialah di kawasan pelantar benua yang menjadi hak Kerajaan Persekutuan.


Perlu diketahui bahawa dalam perjanjian pembayaran tunai kepada Terengganu, ia hanyalah satu perjanjian persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Negeri Terengganu (ketika itu UMNO/BN) dan Petronas. Dalam istilah undang-undang, perjanjian sebanyak enam perenggan itu tidak merupakan perlunasan kepada penghartaan atau pemilikan harta. Penghartaan terjadi daripada perjanjian atau pemberian. Dalam kes Terengganu, penghartaan secara konsepnya adalah dipegang oleh Terengganu tetapi pada hakikatnya, oleh kerana minyak berada di kawasan pelantar benua yang menjadi milik Kerajaan Persekutuan, maka Terengganu tidak ada asas kepada penghartaan tersebut.


Selama ini, siapa yang mengurus dan mengendalikan wang yang sebegitu banyak selepas UMNO/BN berjaya membentuk semula pentadbiran negeri yang diketuai oleh Idris Jusoh? Wang berjumlah berbilion ringgit itu beralir ke mana? Siapa atau pihak mana yang mendapat faedah?


Jika negeri Terengganu mendapat wang yang sebegitu banyak, kenapa masih ramai rakyatnya hidup dalam kemiskinan? Kenapa masih ada kampung yang tiada bekalan air bersih mahupun kuasa elektrik? Kenapa masih ada kampung yang tiada hubungan jalan yang sempurna ataupun jambatan untuk menyeberangi sungai?


Kerajaan baru pimpinan MB Datuk Ahmad Said turut tertanya-tanya berkaitan isu wang ehsan/royali minyak. Kenapa?


(22 MAC 1975 - Perjanjian mengenai bayaran wang tunai petroliam ditandatangani antara Kerajaan Negeri Terengganu yang diwakili Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Petronas yang diwakili Pengerusinya Tengku Razaleigh Hamzah.)



17 comments:

WIRA RANJANG said...

A logical comment to be understood by all parties. Tapi kenapa isi masih berbangkit? Pm tak faham ke? Menteri2 tak faham ke? Rakyat lagilah tak faham. Kenapa tak buat rencana ulasan kat akhbar arus perdana? Biar semua tahu.

Unknown said...

Wira Ranjang,

Mereka bukan tidak faham tetapi inilah permainan politik mereka.

Isu ini berbangkit kerana sejak mula lagi, ada yang tidak betul.

Pengalaman mengajar saya bahawa perkara seumpama ini tidak akan mendapat tempat dalam media arus perdana lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang tidak menentu sekarang.

Terima kasih atas pandangan saudara.

kulatlapok said...

dari dulu lagi sudah ada 'double standard". Jangan bagi terus kepada kerajaan negeri yang ada sekarang. Zaman pemerintahan hj. hadi dan kena ganyang. inikan md said pulak nak mintak. mana adil.

tapi kerajaan pusat sebenar dah agihkan tapi orang terengganu tak tahu sebab dah dibawa oleh 'angin monsun'.

biarkan orang terangganu yang fikirkan sendiri.

http://www.kulatlapok.blogspot.com

WIRA RANJANG said...

Then consider writing in HARAKAH atau akhbar baru SINAR HARIAN.

Anonymous said...

Salam Tuan Syed,

BERNAMA Sambut ulangtahun ke 40 di Dewan Perdana Felda esok malam.Tuan Syed dijemputkah oleh pengurusan BERNAMA. Harap dpt bertemu dgn ex BERNAMA seperti Tuan Syed. Insyallah.

Kakitangan BERNAMA

Unknown said...

Alhamdulillah, pengurusan Bernama masih ingat akan saya dan saya akan hadir ke majlis itu. Terima kasih.

Anonymous said...

Assalamualaikum.. Boleh jelaskan royalti utk Sarawak dan Sabah pula.. Apakah jarak telaga-telaga minyak dr pantai negeri, memandangkan Sarawak basin meliputi kawasan yang lbh lebar dari Malay basin? Terima kasih.
Hana

Unknown said...

Hana,

Kaedahnya sama saja kerana ia berlandaskan ukuran antarabangsa.

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Pemberian 5% royalti, adakah berdasarkan hasil pengeluaran telaga-telaga minyak/gas yg berada pd jarak 150km kebawah dr pantai? Bagaimana pula hasil dr telaga-telaga yg melepasi jrak itu? mandangkan Sarawak basin ini agak luas,adakah hasil dari blok-blok spt SK306,SK308,SK312 dan mgkn nanti dr SK301 diambil sepenuhnya olh Krj Pskutuan? Terima Kasih.

Unknown said...

Akta Kemajuan Petroliam 1974 dengan jelas menyebut lima (5) peratus tanpa mengira di mana sumber minyak diperolehi.

Kalangan politik di Sabah dah mula mempersoalkannya dan meminta bayaran itu atau "royalti" dinaikkan kepada 20 peratus. Ada juga suara politik dari Sarawak yang membuat desakan serupa.

Sekaranglah masa untuk menuntut dinaikkan bayaran itu. Pak Lah amat memerlukan sokongan politik dari Sabah dan Sarawak untuk kelangsungan hidup politik BN.

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Pada fahaman saya, Tuan menjelaskan bhw pembayaran 5% royalti skrg adalah berdasarkan hasil dr semua telaga minyak/gas di Sarawak basin (dlm perairan M'sia)samada kurang/lebih dr 150km.
Apakah akan timbul nanti spt.kes T'gganu? Dimana royalti ke atas hasil dr telaga2 yg melepasi jrk 150km, dikatakan sbg "ehsan" @ "saguhati" @"belas kasihan"? Apakah jaminan hak ke atas harta dan maruah org Sarawak? Adakah mrk jg akan dimalukn spt T'gganu? Terima Kasih

Unknown said...

Dalam kes Terengganu, isu ini berbangkit apabila PAS menang dan memerintah negeri itu.

Kerajaan Persekutuan kemudian menarik balik pembayaran terus kepada Kerajaan Negeri dan menyalurkan sumbangan itu kepada sebuah jawatankuasa khas (Jawatankuasa Peringkat Pusat atau JPP).

Pemberian wang itu tidak lagi disebut "royalti" tetapi diubah kepada "wang ehsan" semata-mata atas dasar politik.

Untuk pengetahuan, pada 22 Mac 1975perjanjian mengenai bayaran wang lima peratus itu ditandatangani antara kerajaan negeri Terengganu yang diwakili oleh MBnya ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Petronas yang diwakili oleh pengerusinya ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 26 Jun 2000 PM Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji apa hak Terengganu (yang diperintah PAS ketika itu) untuk mendapatkan wang ehsan daripada Petronas. Pada bulan yang sama, naib presiden PAS Mustafa Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia Terengganu berkata jika PM mengkaji balik wang ehsan minyak oleh Petronas kepada Terengganu, ia seumpama mengisytihar perang terhadap rakyat Terengganu.

Begitulah hebat dan seriusnya perbalahan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu berkitan isu ini.

Kerajaan PAS Terengganu kemudian menyaman Petronas supaya syarikat petroleum itu melaksanakan perjanjiannya manakala Kerajaan Malaysia disaman ata dasar mengganggu pelaksanaan perjanjian.

Apabila BN menawan semula Terengganu pada tahun 2004, kerajaan negeri tidak menarik balik saman yang dikemukakan oleh kerajaan PAS sebelum itu. Baru-baru ini, apabila kerajaan persekutuan berkata ia akan kembalikan pembayaran wang ensan itu terus kepada kerajaan negeri, MB Terengganu berkata kerajaan negeri akan menarik balik saman tersebut.

Cerita mengenai isu wang ehsan atau royalti minyak ini agak panjang tetapi itulah latar belakangnya. Semuanya berpunca daripada kekalahan kerajaan BN kepada PAS pada tahun 1999.

Jadi, perkatan "ehsan" sebenarnya digunapakai khusus untuk Terengganu semata-mata atas alasan dan kepentingan politik.

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Terima kasih di atas penerangan Tuan td. Ini bermakna krj Pskutuan berpegang pd Akta Kemajuan Petroliam 1974, memperakui hak negeri2 yg berkenaan utk mendapat royalti bg hasil dr telaga2 minyak/gas tanpa mengambilkira jarak perairan negeri.Bkn begitu Tuan?
Maaf, saya ingin bertanya: atas dasar apa shahidan cuba menyaman Petronas? Jika jarak 150km yg jd sandaran, maka bkn T'gganu shj malah Sarawak & Sabah juga turut terlibat. Adakah dia cuba bermain api sentimen? atau dia cuai dlm membuat pertimbangan?
Politik merubah byk perkara. Apakah nasib yg sama akan menimpa org Sarawak/Sabah jika 1 ketika ia jatuh ke tangan p'bangkang? dan apakah shahidan skali lg cuba menyaman Petronas utk m'bawa hasil bumi S'wak/Sabah basin ke S'jung?
Terima Kasih

Unknown said...

Shahidan bermain politik. Semuanya gara-gara kerajaan PAS Terengganu ambil tindakan saman.

Saya yakin perkara yang serupa tidak akan berlaku ke atas Sabah dan Sarawak andai kata kedua-dua negeri itu diperintah oleh parti bukan BN atau parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Perskutuan. Pengalaman yang dilalui daripada kes Terengganu seharusnya menjadi ikibar.

Saya setuju bahawa bayaran "royalti minyak" kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya 20 peratus dan bukan lima peratus. Kedua-dua negeri itu menikmati autonomi tertentu dan minyak adalah sumber alam yang berada dalam kawasan/zon ekslusif ekonomi masing-masing. Tanpa sokongan Sabah dan Sarawak, kerajaan Persekutuan yang ada sekarang tidak mungkin boleh memerintah.

ejang said...

Jahatnya UMNO/BN ini.

Boleh saya tahu dari mana encik Syed dapat 150km delineation ini ? Ukuran 150km tidak pernah disebutkan dalam mana-mana takrifan.

Bukankah ukuran melebihi 12nm yang digunakan untuk menentukan national waters ?

Semasa perjanjian itu ditandatangani, sedarkan orang2 yang sign itu bahawa 12nm amatlah dekat dengan garis pantai ?

Tentu sekali mereka berfahaman bahawa perjanjian PDA 1974 itu meliputi darat, pantai dan lautan lepas (inland, shore < 12nm, dan offshore > 12nm.

Unknown said...

Ejang,

150km adalah takrifan seperti yang ditetapkan dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

mutiara said...

Salam.
sy perlu membuat tugasan ttg isu perlanggaran kontrak. sy telah memilih kes kerajaan kelantan menyaman petronas.
adakah kes ini sama spt terengganu. kalau blh tuan n encik2 semua menolong saya.
email : mutiara_sejati@yahoo.com