Friday, February 29, 2008

Taktik kotor di Kulim Bandar Baharu


Setelah menghidu yang calon BN yang jelas tidak popular di kawasan undi parlimen Kulim Bandar Baharu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, berdepan dengan masalah untuk menang, pihak-pihak tertentu telah beralih kepada taktik kotor untuk menyekat kemenangan calon lawan yang mewakili Barisan Rakyat, Sdr Zulkifli Noordin.


Zulkifli, peguam yang mewakili PKR bagi pihak Barisan Rakyat, dituduh kononnya tidak menyerahkan penyata akaun, seperti yang disyaratkan, kepada Suruhanjaya Pilihanraya. Dengan itu, mereka berharap supaya pencalonan Zulkifli akan dibatalkan dan calon BN akan mendapat kemenangan percuma.


Tetapi, menurut laman sesawang Zulkifli, beliau sah bertanding dan pencalonannya telah disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan undi Kulim Bandar Baharu.


Jelas sekali para penyokong calon BN begitu terdesak setelah mendapati calon mereka tidak mendapat sambutan para pengundi.


Taktik itu dengan sendirinya memperlihatkan sejauh mana mereka sanggup pergi atau lakukan untuk menjatuhkan calon lawan.

Singapura panik bila tahanan tak bersenjata bolos




Foto yang dikutip daripada media Singapura (versi Internet)



Dalam kita di Malaysia menghadapi bahang pilihan raya, jiran di sebelah selatan sedang berdepan dengan satu masalah keselamatan. Elok juga kita lupakan seketika isu pilihan raya dan sama-sama kita renungi episod keselamatan di Singapura.
Seluruh jentera keselamatan termasuk Regimen Gurkha dan "Special Operations Command" atau SOC, unit elit anti pengganas, telah dikerah dalam satu operasi besar-besaran oleh pemerintah Singapura. Keadaan panik menyelubungi pulau republik itu.
Apakah puncanya? Adakah Singapura sedang diancam musuh atau kumpulan pengganas "yang semestinya" ada kaitan dengan Al-Qaeda?
Tidak. Keributan dan kepanikan itu semata-mata kerana orang yang dikatakan pemimpin Jemaah Islamiyah di Singapura, Mas Selamat Kastari, 47, berjaya memboloskan diri daripada Pusat Tahanan Whitley Road pada tengah hari Rabu lepas.
Pihak berkuasa keselamatan dalam negeri Singapura mengesahkan bahawa Mas Selamat tidak bersenjata dan berjalan secara tempang. Jaminan itu diberikan oleh timbalan perdana menteri merangkap menteri ehwal dalam negeri, Wong Kan Seng di Parlimen, Khamis lalu.
Sebilangan rakyat Singapura, melalui ruang ulasan laman sesawang media di republik itu, mempersoalkan kewibawaan dan kecekapan pihak berkuasa keselamatan republik itu.
Mereka ingin tahu bagaimana seorang yang tidak bersenjata dan berjalan tempang, boleh terlepas daripada sebuah pusat tahanan di sebuah negeri yang begitu bangga dengan aset keselamatan dan pertahanan yang canggih dan berteknologi tinggi.
Beribu-ribu anggota keselamatan termasuk Regimen Gurkha, SOC, polis dan tentera dikerah menjejaki Mas Selamat. Semua pintu masuk dan keluar - iaitu darat, laut dan udara - termasuk ke Malaysia di kawal ketat dan diperiksa rapi.
Nampaknya, seorang manusia yang berjalan tempang dan tidak bersenjata bernama Mas Selamat Kastari, benar-benar memberi satu pengajaran yang amat berguna kepada pemerintah Singapura, iaitu kelengkapan keselamatan yang paling canggih dan berteknologi tinggi tidak dapat menjamin atau melindungi 'keselamatan' seratus peratus.
Aset paling penting dan cukup berharga ialah rakyat yang ta'at dan setia kepada negara.

Thursday, February 28, 2008

70 peratus laporan pro-BN


Satu kajian bebas berkaitan liputan atau laporan kempen pilihan raya ke-12 yang sedang berjalan sekarang mendapati bahawa hampir semua media arus perdana memberi atau menghidangkan laporan berat sebelah.

Parti Barisan Nasional (BN) mendapat liputan sebanyak 70 peratus dan peratusan itu dikatakan sedang meningkat. Parti-parti lain hampir tidak mendapat tempat kecuali laporan bercorak negatif.

Bagi saya (berasakan pengalaman) tiada apa-apa yang baru berkaitan kajian itu. Inilah hakikat di Malaysia.

Kerajaan yang bercorak 'sementara' atau 'penjaga' yang dianggotai oleh mantan anggota Kabinet pentadbiran di bawah Parlimen ke-11 sebenarnya menyalahgunakan kedudukan dan 'kuasa' sementara itu dengan memperalatkan jentera pentadbiran dan kemudahan siaraya dan perhubungan/penyiaran seperti radio dan televisyen.


Lihat saja temubual 'orang ramai' (sebenarnya penyokong BN) yang dipancarkan setiap hari melalui siaran tv dan iklan pro-kerajaan.


Kita ingin tahu sama ada BN membuat bayaran mengikut kadar sedia ada untuk semua iklannya itu. Ketua Audit Negara hendaklah menjalankan pengauditan forensik berhubung perkara ini. Kita mahukan ketelusan.

Wednesday, February 27, 2008

Undi calon bukan parti, kata mufti Perlis


"Saya tidak setuju mengundi hanya berdasarkan jenama parti semata. Ini adalah cara fikir yang menghalang proses kemajuan negara. Akhirnya rakyat menjadi fanatik parti dan tidak menggunakan lagi akal fikiran menilai siapakah yang diundinya."


Kata-kata di atas diungkap oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu wawancara khas yang disiarkan dalam laman sesawangnya Minda Mufti.


Kenyataan mufti yang sering menimbulkan perdebatan dan perbalahan di kalangan tokoh agama dan sarjana Islam termasuk berkaitan soal akidah, isu bida'ah dan fahaman mengikut mazhab yang empat, semestinya mendapat perhatian umum tetapi tidak pula dilaporkan oleh media arus perdana.

Saya setuju 100 peratus dengan kenyataan Dr Mohd Asri seperti yang tercatat dalam blog ini. Bagi saya faktor calon amat penting berbanding faktor parti kerana yang nak mencorakkan parti adalah calon atau manusia itu sendiri.

Antara lain, Dr Mohd Asri berkata jika semua pengundi memilih calon dan bukan parti, maka beliau percaya tidak akan timbul atau berlaku persaingan kualiti (mutu) calon.

Pemilihan berdasarkan parti boleh "menyebabkan 'si bodoh' atau 'perasuah' atau orang yang rendah moralnya (rendah akhlak) akan terpilih dek kerana parti yang diwakilinya. Ini adalah cara fikir yang tidak berdaya saing dan jumud," tambah Dr Mohd Asri.

Sikap undi atau sokong siapa saja yang diletakkan oleh parti hendaklah dikikis dan saya percaya majoriti pemilih yang ada sekarang bukan lagi berpendirian begitu. Mereka bijak membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji atau sogokan-sogokan 'musim pilihan raya' seperti yang saban hari dihidangkan oleh media arus perdana terutama media elektronik.

Walaupun ada pihak yang mahukan perubahan sepenuhnya, iaitu menolak sama sekali BN dan memilih gabungan parti lain untuk memerintah, saya berpijak di atas bumi yang nyata dan menerima hakikat bahawa BN akan kekal berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Kekuatan dan pengaruh BN sukar ditandingi tetapi penguasaannya dalam Parlimen boleh dikurangkan dengan menafikan kelebihan dua-pertiga.

Salah satu cara untuk menafikan majoriti dua-pertiga ialah dengan membuat pilihan berdasarkan calon dan bukan parti. Banyak calon parti lain (bukan BN) yang jauh lebih baik dari beberapa sudut termasuk agama, kelayakan akademik dan kewibawaan.

Seperti yang dinyatakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, jangan buat pilihan berdasarkan jenama parti dan jangan jadi fanatik parti. Gunakan akal fikiran dengan memilih calon, bukan parti.

Tuesday, February 26, 2008

Semoga mereka menang

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop - Tasek Gelugor & Dr Norraesah Mohamad - Balik Pulau
Nurul Izzah - Lembah Pantai

Jeff Ooi - Jelutong


Haji Abdul Hadi Awang - Marang

Fong Po Kuan - Batu Gajah

Zulkifli Noordin - Kulim Bandar Baharu

Mukhriz Tun Mahathir -Jerlun

Dr. Lo'Lo Mohamad Ghazali - Titiwangsa



Saya lihat kewibawaan calon, bukan parti. Tak kisah sama ada dari UMNO, PAS, PKR ataupun DAP. Saya harap mereka ini akan menang.

Untuk renungan bersama

Meriahnya parti di Putrajaya

Amin.


Tiga serangkai - Khairy Jamaluddin, Pak Lah dan Patrick Lim (Tun M kata Patrick Badawi)






Kemesraan, laksana mawar wangi, bahagia junjung tinggi.... begitu agaknya. Kata orang sekeping foto lebih baik daripada 1,000 patah perkataan. (Foto ihsan Sheih 'Kickdefella')






Perbelanjaan hidup akan naik lagi

Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa inflasi akan meningkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini ekoran daripada kesan atau impak harga yang tinggi untuk komoditi dan bahan-bahan makanan.

Dalam perkataan yang mudah, perbelanjaan hidup atau kos sara hidup akan naik lagi dan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah serta yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan dan pekerja kampung akan menanggung keperitan beban hidup.

Kepada rakyat Malaysia yang akan keluar mengundi pada 8 Mac depan, fikir-fikirkanlah masalah yang bakal dihadapi dan renungilah masa depan anak-cucu anda sebelum mengundi.

Gunakan hak anda sebagai pengundi dengan bijaksana.

Calon mesti komited untuk bertanding

Timbalan presiden Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Syed Husin Ali berkata pihak tertentu (BN - siapa lagi) telah menawarkan wang sehingga RM1 juta kepada bakal calon parti itu supaya menarik diri atau tidak menghadirkan diri pada hari penamaan calon.

Dia juga membayangkan bahawa kejadian itu berlaku di Selangor dan di Johor di mana seorang menteri (Azalina Othman Said) telah menang tanpa ditandingi.

Peristiwa itu seharusnya menjadi satu ingatan kepada semua parti politik agar pada masa hadapan, berhati-hati memilih calon kerana bukan semua yang bertanding itu benar-benar bertanding demi parti yang diwakili.

Kesetiaan manusia sememangnya sukar diukur tetapi hakikatnya manusia begitu mudah dibeli dengan wang ringgit untuk berpaling tadah. Dalam hubungan ini, kita menghormati mantan wakil-wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri Kelantan yang lalu yang tidak tunduk kepada tawaran wang ringgit untuk berpaling tadah.

Monday, February 25, 2008

Ada yang tak faham antara nama blog dan penulis blog

Naik kasihan saya apabila ada seorang pelawat yang mempersoalkan kenapa saya mengunakan nama Kuda Ranggi untuk menulis blog dan juga nama Syed Imran. Sedih kerana masih ada insan yang kurang cerdik dan tidak tahu membezakan antara nama blog dan nama penulis blog.

Sebagai seorang penulis blog yang bertanggungjawab, saya tidak menyembunyikan siapa saya sebenarnya. Sebab itu saya kekalkan nama sebenar. Kuda Ranggi adalah nama blog yang saya kendalikan dan bukan nama penulis blog. Perkataan ranggi membawa maksud cantik dan bergaya (elegant). Kuda Ranggi merujuk kepada kuda yang dilatih khas dan sering mengambil bahagian dalam sukan ekuestrian dan show jumping.

Sunday, February 24, 2008

Ungkapan menang tanpa bertanding kurang tepat

Media masa terutama media elektronik sering menyebut si polan telah 'menang tanpa bertanding' apabila seseorang calon itu tidak dicabar atau pencalonan bakal pencabarnya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya.


Ungkapan itu tidak tepat. Ia sebenarnya dikutip daripada ungkapan dalam bahasa Inggeris'unopposed' atau 'uncontested'. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia bermaksud tidak dicabar atau tidak ditandingi.


Dalam penjelasan yang amat mudah, bolehkah sesiapa menang apa-apapun pertandingan tanpa bertanding? Tentu tidak. Dia kena bertanding dan sekiranya tiada pencabar atau pesaing, maka dia boleh diiystihar sebagai menang tanpa dicabar atau menang tanpa ditandingi. Bukan menang tanpa bertanding.


Dalam hubungan pilihan raya, seseorang calon itu mesti menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding secara sah. Ini bermakna dia masuk bertanding. Sekiranya dia tidak dicabar atau pencabarnya ditolak oleh SPR, maka dia memenangi pertandingan itu tanpa dicabar atau tanpa ditandingi. Pendek kata, dia mesti masuk bertanding terlebih dahulu. Dengan itu, ungkapan menang tanpa bertanding tidak betul.

Arau Oh Arau...haru-biru dibuatnya!

Mula-mula nama adik Shahidan Kassim, iaitu Ismail Kassim diumumkan sebagai calon BN, kemudian Shahidan umum pembatalan pencalonan Ismail dan mengumumkan bahawa ketua wanita UMNO negeri Mastika Junaidah Husin sebagai calon, beberapa jam kemudian nama Mastika dibatalkan dan nama Ismail naik semula.
Saya tidak mengemaskini blog kerana tak tahu apa yang bakal berlaku, tukar-ganti, tukar-ganti. Oleh itu saya tunggu sehingga proses penamaan calon selesai dan diumumkan sah oleh Suruhanjaya Pilihanraya.
Nama Ismail Kassim sah sebagai calon BN yang akan menghadapi tokoh agama yang dihormati dan disegani, mantan profesor Dr Haron Din Al-Hafiz.
Andai kata saya pengundi di Parlimen Arau, sudah pasti undi saya untuk Dr Haron Din.
Semoga kejayaan memihak kepada Dr Haron Din.

Saturday, February 23, 2008

Sandiwara ala-canggung Perlis

BERITA TERKINI: PENCALONAN ISMAIL KASSIM, IAITU ADIK SHAHIDAN KASSIM, DI PARLIMEN ARAU DITARIK BALIK DAN DIGANTIKAN OLEH MASTIKA JUNAIDAH, DEMIKIAN MENURUT malayiakini.com.
Hebat! sungguh hebat. Kalah segala bentuk telenovela atau drama tv dari Indonesia yang setiap hari disogokkan melalui kaca tv sehingga membuatkan rakyat leka dan ada kalanya lalai.

Sandiwara Indera Kayangan yang dipentaskan di Putrajaya dan diulang lakon di Kangar dan Arau sama hebatnya dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah mahupun Malim Kundang (Si Tanggang) ataupun telenovela Storm.
Sandiwara ini tidak kurang dengan episod titisan air mata, ugutan dan ancaman, rajuk, rujuk dan merajuk, letak jawatan dan kemudian tarik balik serta tunjuk perasan dan perasaan.

Tak kurang juga espisod ala-mafia untuk mendapatkan sesuatu demi mengekalkan kedudukan dan kawalan. Bukankah semuanya itu cukup hebat.

Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya berjaya mengekalkan pencalonannya di kawasan undi Tambun Tulang dan dengan penuh bangga memberitahu para wartawan bahawa dia akan kekal sebagai Menteri Besar. Pastikah Shahidan yang dia akan menang kali ini? Apakah Shahidan hendak mendahului takdir? Apa kata mufti Perlis selaku penasihat kerohaniannya?

Selain mengekalkan pencalonannya, Shahidan juga berjaya meletakkan adiknya, Ismail Kassim, untuk bertanding di kawasan undi Parlimen Arau, menggantikan adinda Raja Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail yang dipindahkan bertanding di kawasan undi negeri, Pauh, salah satu kerusi di bawah Parlimen Arau.

Ismail akan menghadapi bukan calang-calang orang tetapi seorang ulama dan mantan tokoh akademik yang amat dihormati bukan sahaja oleh orang PAS tetapi orang UMNO, iaitu Datuk Dr Haron Din. Timbalan ketua Mursyidul Am PAS itu tewas kepada Syed Razlan pada pilihan raya 2004 dengan kelebihan 3,243 undi. Syed Razlan meraih 17,367 undi manakala Haron Din 14,124 undi.

Dengan meletakkan adiknya Ismail di Arau, Shahidan sebenarnya membuka peluang kepada Haron Din untuk menang dan saya percaya kemenangan akan memihak kepada ulama Darul Syifa itu. Pendek kata, talkin untuk Ismail Kassim.

Setiausaha Agung UMNO yang juga mantan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kekal bertanding di kerusi Parlimen Kangar manakala rakan Kabinetnya Datuk Seri Azmi Khalid di Padang Besar.

Walaupun hanya mempunyai tiga kawasan undi Parlimen, namun masalah dan keributan yang ditimbulkan oleh mereka yang pada mulanya disenaraikan sebagai orang yang kena gugur tetapi tidak mahu menerima kenyataan, menunjukkan sikap yang tidak seharusnya ada pada sesiapa sahaja yang berpegang kepada prinsip setia dan patuh kepada parti dan keputusan parti.


Shahidan, yang keluar-masuk Bangunan Perdana Putra di Putrajaya sebanyak tujuh kali, pernah membuat pengakuan bahawa dia akan menerima dan patuh kepada apa saja keputusan yang dibuat oleh bosnya, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad. Tetapi, apa dah jadi sehingga menimbulkan masalah dan karenah?

Tidak ada seorangpun pemimpin yang akan menongkat dunia. Tidak ada seorangpun pemimpin yang tidak boleh diganti. Tidak ada seorangpun pemimpin pada zaman serba canggih ini yang boleh dikategorikan sebagai insan kamil.

Masalahnya, manusia masih tidak sedar akan hakikat ini seolah-olah tanpa mereka maka masa depan negeri ataupun negara akan menjadi gelap, tanpa pembangunan, tanpa kemajuan dan tanpa nilai dan taraf kehidupan yang bagus dan tinggi untuk rakyat.

Friday, February 22, 2008

Apa jadi dengan Nor Mohamed Yakcop?

Terkini: Sah Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bertanding di Tasek Gelugor menggantikan mantan timbalan menteri pertanian Mohamad Shariff Omar.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Inilah persoalan yang menjadi tanda tanya banyak pihak. Sayapun menerima pertanyaan yang serupa. Pening juga dibuatnya.

Kita tunggulah pengumuman Pak Lah atas sifatnya sebagai pengerusi badan perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Ikut firasat saya, hanya ada dua kawasan undi Parlimen di Pulau Pinang yang boleh diberikan kepada Nor Mohamed - Balik Pulau dan Tasek Gelugor. UMNO Balik Pulau siang-siang dah tolak 'orang luar' manakala UMNO Tasek Gelugor masih 'setia' kepada Mohamad Shariff Omar. Permatang Pauh jangan usik manakala Kepala Batas hak milik kekal Pak Lah. Yang tinggal Nibong Tebal dan kerusi ini agak kurang selamat.

Kerusi selamat di luar Pulau Pinang, iaitu Putrajaya, dahpun diserahkan sekali lagi kepada Teuku Adnan Teuku Mansor, mantan pengerusi perhubungan UMNO Wilayah Perskutuan keturunan Aceh.

Andai kata benar Pak Lah mahukan Nor Mohamed terus membantunya di Kementerian Kewangan, dia seharusnya menawarkan kerusi selamat untuk Old Xaverian dari Pulau Pinang itu. Nampaknya Pak Lah tak buat begitu.

Pengerusi Masjid Kg Baru calon BN Titiwangsa

Pengerusi JK Pentadbir Masjid Jame' Kampung Baru, Datuk Abdul Aziz Jamaluddin dipilih sebagai calon UMNO/BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa, nadi kekuatan politik Melayu dii Kuala Lumpur.


Datuk Abdul Aziz akan menghadapi Dr. Lo'Lo Ghazali dari PAS dalam pertandingan satu lawan satu, jika tiada calon beba yang kacau daun.

Thursday, February 21, 2008

UMNO hadapi masalah di Perlis?

PALING TERKINI: Shahidan Kassim berjaya mndapat restu PM untuk kekal bertanding di kerusi negeri Tambun Tulang.
TERKINI: Beberapa perletakan jawatan berlaku dalam barisan kepimpinan UMNO Arau, Kangar dan Padang Besar berkaitan krisis pencalonan. Antaranya Ismail Kassim, adik Shahidan Kassim. Nampaknya kedudukan semakin kucar-kacir di Perlis kerana perebutan nak jadi calon.



Nampaknya negeri paling kecil dengan hanya tiga kerusi Parlimen, Perlis, merupakan satu masalah 'besar' kepada Pak Lah. Dengar khabar Shahidan Kassim kena gugur, tetapi dia enggan menerima kenyataan (termasuk merah mata - menangis la tu).

Dia merupakan mantan MB yang paling kerap berulang-alik ke Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di mana pejabat PM dan TPM berada.

Orang Shahidanpun segera bertindak dengan mengerahkan para ibu tunggal, ahli UMNO dan penerima bantuan am berkumpul di kediaman MB Perlis untuk beri sokongan kepada Shahidan.

Terima sajalah apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti jika anda benar-benar sayangkan parti anda. Mungkin Mufti Perlis boleh beri sedikit nasihat kepada Shahidan. Islam ajar kita jangan tamak. Cukup la tu, bagi peluang kepada orang lain.

Mamu Zam for Sungai Petani, Mukhriz for Jerlun



Former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad's son, Mukhriz, has been selected to stand in the coming general elections. He will stand for the Jerlun parliamentary seat in Kedah.

Caretaker government's information minister Zainuddin Maidin has been retained by the Kedah BN and he will stand in Sungai Petani instead of his previous constituency, Merbok.

Tsu Koon for Batu Kawan

Acting Gerakan president and caretaker chief minister of Penang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon will stand for Parliament via the Batu Kawan constituency.



Tsu Koon, formerly a senior lecturer of Universiti Sains Malaysia (USM), will face another ex-lecturer, Prof. Dr. P. Ramasamy of the DAP. I was wrong to predict that Tsu Koon is to stand in Bukit Bendera.

Jeff Ooi to stand in Jelutong


My blogger friend, Jeff Ooi is the DAP's candidate for the Jelutong Parliamentary constituency in Penang. My moral support for Jeff since I am not a registered voter in Jelutong (I was in the 1970s).


Good luck and all the best, Jeff.

Wednesday, February 20, 2008

Mantan wakil rakyat BN sertai PAS





Foto Harakah.net



Andai kata berita ini membabitkan mantan wakil rakyat PAS, ia sudah tentu mendapat liputan meluas dalam akhbar berkaitan parti pemerintah mahupun media elektronik yang dikawal dan dikuasai 'pemerintah'.

Tetapi, memandangkan ia melibatkan seorang mantan wakil rakyat UMNO yang memberi sokongan dan menyertai PAS, maka berita itu tidak mendapat tempat sama sekali dalam media berkenaan.

Inilah contoh sikap dan pendirian media yang dikawal atau dikuasai parti pemerintah. Inilah kebebasan media yang diamalkan di Malaysia. Saya pernah melalui dan turut terlibat dalam kerja sedemikian selama 27 tahun berkhidmat dengan Bernama. Saya sedar rakan-rakan di Bernama tidak berupaya membantah kerana mereka terikat dengan aturan dan peraturan sebagai seorang kakitangan awam. Jika mereka tidak setuju, hanya satu jalan yang ada, letak jawatan. Belum ada yang berbuat demikian. Begitu juga dengan kawan-kawan di Kumpulan Utusan Melayu dan Media Prima (termasuk NST dan BH).

Mantan wakil rakyat UMNO yang dimaksudkan ialah Mohamad Hassan, 63, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jelawat selama dua penggal (1978 dan 1984). Beliau juga pernah menjawat jawatan timbalan ketua bahagian UMNO Bachok.

Selain Mohamad Hassan, turut menyertai PAS ialah mantan penceramah UMNO Abdul Ghani Abdul Kadir, 66 dan 70 orang pengikutnya. Turut menyertai PAS ialah 230 orang mantan ahli UMNO cawangan Kampung Bunga Mas dalam kawasan undi DUN Kijang.

Monday, February 18, 2008

UMNOpun ada masalah

Gambar hiasan: Almarhum Tunku Abdul Rahman sedang berucap dalam kempen pilihan raya pra-Merdeka. Apakah UMNO yang diwariskan oleh Almarhum masih berpegang kepada prinsip perjuangan asalnya?



Timbalan presiden UMNO Najib Abdul Razak berkata parti DAP sedang menghadapi krisis dalaman yang serius berikutan mantan wakil rakyatnya Fong Po Kuan (Batu Gajah) enggan dicalonkan semula ataupun bertanding di mana-mana kerusi yang ditawarkan oleh parti itu.

Media yang dikawal ataupun dikuasai parti pemerintah segera melaporkan di muka hadapan atau muka utama berita tersebut. Biasalah tu.

Tetapi parti pemerintah (utama) iaitu UMNOpun menghadapi perbalahan dan krisis dalaman tetapi tidak diheboh-hebohkan sebegitu meluas oleh media berkenaan.

Apakah UMNO di Perlis tidak bermasalah? Semua orang tahu sandiwara yang sedang dilakonkan oleh Shahidan Kassim sehingga membuatkan Radzi Sheikh Ahmad melenting dan Azmi Khalid berkecil hati.

Bagaimana pula pendirian UMNO Shah Alam dan Langkawi yang akan menolak 'orang luar" sebagai calon parti? Bukankah 'orang luar' itu adalah ahli UMNO juga? Apakah ini bukan satu masalah dan boleh dikatakan satu krisis?

Dalam menghadapi pilihan raya, pemimpin dan ahli UMNO seharusnya mementingkan parti daripada kepentingan sendiri. Dengan menolak pencalonan ahli UMNO yang bukan dari bahagian mereka, ia sebenarnya memperlihatkan betapa cetek dan berkepentingannya pemimpin dan ahli UMNO di bahagian berkenaan.

Sebaliknya, PAS, DAP dan PKR tidak memperlihatkan 'budaya kepentingan setempat' dan mereka menerima siapa saja yang dipilih oleh parti sebagai calon walaupun ia digembar-gemburkan oleh media sebagai calon 'payung terjun'.

Jika keutamaan parti dipentingkan, soal sama ada calon itu anak tempatan, atau dari bahagian atau cawangan setempat seharusnya tidak timbul. Inilah budaya politik sihat dan matang yang seharusnya diamalkan setelah negara merdeka selama 50 tahun. Malangnya, masih ada pemimpin UMNO yang belum matang dan terus mementingkan faktor orang tempatan atau ahli setempat daripada ahli parti, tanpa mengira dari mana asal-usulnya.

Perebutan di Kulim Bandar Baharu


Foto: Zulkifli Noordin - calon BA untuk kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu


Terkini: Nampaknya Sdr Zulkifli akan berdepan dengan adik Nana Kadiak, iaitu Abdul Aziz Sheikh Fadzir. Dalam pertarungan satu lawan satu ini, doa saya untuk Sdr Zulkifli. Semoga berjaya, Insya-Allah.

Kawasan undi Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kedah yang seluas negeri Melaka menjadi salah satu kawasan undi yang dijangka menghadapi saingan hebat antara calon Barisan Nasional (BN) dan calon Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya ke-12.

Calon yang bakal mewakili UMNO, bagi pihak BN, masih menjadi tanda tanya kerana perebutan antara beberapa orang 'tokoh' untuk dipilih sebagai calon.

Mantan wakil rakyat Kulim Bandar Baharu, Abdul Kader Sheikh Fadzir telah melobi kuat untuk adiknya, Abdul Aziz yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Ketil. Dalam masa yang sama mantan ADUN Bandar Baharu Azimi Daim turut bekerja keras untuk bertanding kerusi Parlimen itu. Turut berminat seorang lagi ahli UMNO keturunan India Muslim, Abdul Azeez (Biro Putra UMNO) yang juga mengidam kerusi Baling selain Kulim Bandar Baharu.

Nana Abdul Kader nampaknya nak terus kekalkan penguasaan keluarganya di Kulim Bandar Baharu dan dia bersungguh-sungguh mahukan adiknya bertanding kerusi itu. Nepotisme atau pilih keluarga bukanlah sesuatu yang asing di kalangan orang UMNO.

Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam (PAS) sepakat untuk meletakkan seorang tokoh profesional muda, Zulkifli Noordin untuk bertanding bagi kerusi Kulim Bandar Baharu. Zulkifli, adalah seorang profesional yang mempunyai syarikat sendiri, Tetuan Zulkifli Noordin & Associates yang berpejabat di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Zulkifli, anak kelahiran Baling, Kedah adalah Pengerusi Tetap PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan 'dipinjamkan' kepada PKR kerana kerusi Kulim Bandar Baharu diperuntukkan kepada PKR. Calon PKR yang sepatutnya bertanding di situ, Sheikh Azmi Sheikh Ahmad, mantan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang, tidak dapat meneruskan cita-citanya atas sebab-sebab kesihatan. PKR dan PAS sepakat untuk meletakkan Zulkifli sebagai calon BA.

Jumlah pengundi bagi kawasan undi Kulim Bandar Baharu ialah 51,444 orang dan kawasan itu mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Kulim dengan jumlah pengundi seramai 28,072 orang dan Bandar Baharu dengan seramai 23,372 pengundi. Pecahan undi mengikut kaum bagi Parlimen Kulim Bandar Baharu ialah Melayu 34,667 atau 67.93 peratus, Cina 10,868 atau 21.13 peratus, India 5,907 atau 11.48 peratus dan lain-lain 2 orang. Terdapat juga 1,640 undi pos.


Kepada pengundi Kulim Bandar Baharu, gunakan kuasa anda dan pilih calon terbaik dan berkelayakan dan jangan undi mengikut sentimen parti. Pilih calon jangan pilih parti. Selamat mengundi pada 8 Mac depan.

Saturday, February 16, 2008

Tsu Koon di Bukit Bendera?




Bangunan Dewan Bandar Raya Pulau Pinang yang pada satu ketika menjadi lambang pentadbiran Negeri Pulau Pinang.




Ketua Menteri Kerajaan Sementara Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga pemangku presiden parti Gerakan berkemungkinan besar akan mempertaruhkan masa depan politiknya di kawasan undi Parlimen Bukit Bendera.

Kerusi Bukit Bendera yang mempunyai jumlah pengundi Cina hampir 75 peratus, Melayu 14 peratus dan India serta kaum lain 11 peratus, merupakan kerusi 'paling selamat' untuk Tsu Koon di Pulau Pinang. Tiga kerusi lain yang diperuntukkan kepada Gerakan agak kurang selamat iaitu Tanjong, Jelutong dan Batu Kawan.

Parlimen Bukit Bendera mempunyai empat kawasan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Bunga, yang sebelum ini diwakili oleh Tsu Koon, Air Putih, Kebun Bunga dan Pulau Tikus. Pada pilihan raya lepas, Gerakan menguasai kerusi Parlimen Bukit Bendera dan kerusi DUN Pulau Tikus, Kebun Bunga dan Tanjong Bunga manakala kerusi Air Putih oleh MCA.

Pengundi Melayu akan berperanan sebagai penentu pada pilihan raya kali ini memandangkan sejumlah besar undi Cina diramalkan akan memihak kepada DAP. Pada pilihan raya 2004, DAP meletakkan calon Melayu, iaitu Zulkifli Mohd Noor, dan beliau memperolehi 17,564 undi manakala calon BN dari Gerakan Chia Kwang Chye meraih 28,281 undi. Sekiranya DAP meletakkan calon keturunan Cina, parti itu boleh merampas kerusi Bukit Bendera.

Mampukah Tsu Koon mengulangi kejayaan BN di Bukit Bendera sekiranya dia bertanding di situ? Semuanya bergantung kepada siapakah calon lawan yang akan bertanding di situ.

Friday, February 15, 2008

Rais Yatim perlu beri laluan

Terkini: Bahagian Jelebu pimpinan Rais Yatim hanya mencalonkan nama beliau untuk bertanding kerusi Parlimen Jelebu, tak bagi jalan kepada orang lain. Sekurang-kurangnya senaraikan dua tiga nama supaya Pak Lah boleh buat pilihan. Nampaknya tiada pilihan diberikan kepada Pak Lah. Bacalah komen Tok Mat (mantan Menteri Penerangan dalam NST bertarikh 20 Februari berkaitan orang 'tua' dalam politik.



Saya tertarik membaca laporan media yang mengutip Menteri Kerajaan 'caretaker' Dr Rais Yatim yang meluahkan hasrat untuk bertanding lagi pada pilihan raya ke-12 ini. Rais 'kembali' ke arena politik cergas pada pilihan raya 1999 setelah dipilih oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di Jelebu, Negeri Sembilan.

Berikutan pemilihannya oleh pengundi Jelebu, dia dilantik menganggotai semula Kabinet selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Pada pilihan raya lepas (2004), Rais berjaya mempertahankan kerusi Jelebu dan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Rais, yang akan berusia 66 tahun April depan, mendapat laluan untuk bertanding di Jelebu setelah mantan wakil rakyat kawasan itu, Datuk Yunus Rahmat secara sukarela 'menyerahkan' pencalonan kepada Rais. Selain daripada itu, Yunus juga sanggup melepaskan jawatan ketua bahagian UMNO Jelebu kepada Rais dan menerima jawatan timbalan ketua bahagian.

Dalam ingatan saya, Rais pernah berkata yang dia ingin berkhidmat tidak lebih daripada dua penggal. Ini bermakna Rais harus memberi laluan kepada calon lain untuk bertanding di Jelebu.

Oleh itu, agak terperanjat saya apabila membaca laporan berita yang menyatakan Rais sedia untuk bertanding sekali lagi. Inilah politik namanya.

Saya harap Rais akan memberi laluan kepada Yunus untuk bertanding di Jelebu. Pengorbanan dan kesetiaan Yunus, mantan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu seharusnya dihargai. Sekirnya khidmat Yunus diperlukan untuk negeri (sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri/Exco), maka laluan harus diberi kepada Jalaluddin Alias untuk bertanding bagi kerusi Jelebu.

Thursday, February 14, 2008

ZAM guna Perhimpunan Bulanan Kementerian untuk berkempen


Menteri Penerangan Kerajaan Sementara (caretaker government) Datuk Seri Zainuddin Maidin (Mamu Zam) telah melakukan satu 'kesalahan' apabila ia menggunakan kedudukannya untuk berkempen bagi pihak parti Barisan Nasional.

Mamu Zam menggunakan pelantar (platform) Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan, iaitu satu majlis rasmi bukan politik, untuk berkempen kepada kakitangan awam tentang kebaikan pentadbiran BN yang lepas.

Sebahagian daripada ucapan politik Mamu Zam disiarkan pula oleh RTM melalui siaran beritanya. Inipun sesuatu yang tidak betul dan tidak seharusnya dilakukan oleh RTM, tak kiralah sama ada pegawai RTM nak bodek dan ampu menteri atau tidak.

Perlu diingatkan bahawa kerajaan sementara yang mentadbir negara selepas pembubaran Parlimen pada 13 Februari itu bukan kerajaan BN dalam erti kata sebenanya. Kalau RTM memberi ruang kepada Mamu Zam berkempen bagi pihak parti BN, maka peluang yang sama hendaklah diberikan kepada tokoh-tokoh parti politik lain seperti PAS, PKR mahupun DAP. Itu baru adil.

Persoalan selepas pembubaran Parlimen

Selepas Parlimen dibubarkan:-

1. bolehkah Kabinet atau Kerajaan berfungsi/berjalan seperti biasa?

Jawapan: Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan secara tersirat, saya ulangi secara tersirat, membenarkan seseorang Menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen.
Perkara 43(2) menyebut: Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu-
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dari antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen;
tetapi jika sesuatu perlantikan dibuat dalam masa Parlimen dibubarkan, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang terakhir itu boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas persidangan Parlimen yang kemudiannya dimulakan melainkan, jika ia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan mengenai seorang Menteri lain, melainkan ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Selain daripada itu, berdasarkan kepada konvensyen perlembagaan (constitutional convention) Jemaah Menteri akan terus wujud sebagai Kerajaan 'caretaker' dan seseorang Menteri yang menganggotainya boleh menjalankan tanggungjawab atau fungsinya selepas Parlimen terbubar.
2. bolehkah Menteri merasmikan mana-mana majlis, walaupun ia bukan di bawah tanggungjawabnya?
Jawapan: tidak salah jika Menteri nak rasmi apa-apa majlis termasuk majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000.
Tetapi jika seseorang Menteri itu merasmikan majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya, Menteri berkenaan tidak boleh dianggap sebagai menjalankan tugasnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000, sebaliknya Menteri berkenaan hanya mewakili Menteri yang bertangungjawab bagi majlis tersebut.
Tetapi sekiranya sesuatu majlis itu melibatkan pemberian berupa sumbangan berbentuk kebendaan atau wang atau dalam apa jua bentuk, ia adalah satu sogokan atau perbuatan rasuah dan dicakupi oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) khususnya seksyen 10 yang melarang apa-apa penyogokan dalam bentuk pemberian sedemikian jika ia bertujuan mendorong seseorang pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi, atau untuk memancing undi.
Walaupun demikian, seseorang Menteri yang menganggotai Kerajaan 'caretaker' yang bersifat sementara, tidak seharusnya menggunakan kemudahan dan jentera Kerajaan untuk berkempen termasuk kemudahan penyiaran milik kerajaan seperti radio dan televisyen.
Bagi kakitangan awam, slogan kesetiaan kepada kerajaan yang dipilih rakyat atau 'loyaly to the government of the day' tidak timbul kerana Parlimen sudahpun dibubar dan kerajaan pilihan rakyat sudah luput tarikh. Kakitangan awam harus menunggu keputusan pilihan raya dan pembentukan sebuah kerajaan baharu yang mereka dikehendaki memberi sokongan dan taat setia, iaitu kepada 'government of the day'.

Apabila Parlimen terbubar, maka gugurlah keahlian Dewan Rakyat

Apabila Parlimen dibubarkan, maka gugurlah keahlian semua Ahli Dewan Rakyat. Oleh itu, apa saja urusan Dewan Rakyat tidak boleh dijalankan kerana tiada ahli yang dipilih oleh rakyat.

Jadi, apakah perlu bagi Yang diPertua Dewan Rakyat membuat kenyataan bahawa mesyuarat yang dijadualkan bagi Parlimen yang dibubarkan itu terbatal. Inilah yang dilaporkan oleh Bernama, agensi berita kebangsaan yang diletakkan di bawah seliaan Menteri Penerangan.

Dalam berita yang bertajuk "Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-11 Terbatal Kerana Pembubaran Parlimen", Bernama mengutip Yang diPertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib sebagai berkata bahawa mesyuarat pertama Penggal Kelima Parlimen ke-11 yang dijadualkan bermula pada 17 Mac ini terbatal kerana pembubaran Parlimen.


Budak sekolahpun tahu jika tiada ahli mana boleh diadakan mesyuarat. Parlimen Ke-11 dah dibubarkan dan ini bermakna tidak wujud seorangpun Ahli Dewan Rakyat atau MP dan dengan sendirinya mesyuarat yang dijadualkan tidak boleh dijalankan kerana tiada ahli.

Ahli baru hanya akan menduduki kerusi Dewan Rakyat selepas pilihan raya ke-12 dan boleh menyertai semua urusan Dewan Rakyat selepas mereka mengangkat sumpah seperti yang ditetapkan dalam perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

"Tiap-tiap ahli mana-mana Majlis Parlimen hendaklah sebelum mengambil tempatnya mengangkat dan menandatangani di hadapan orang yang mengetuai Majlis Parlimen itu suatu sumpah mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, tetapi seseorang ahli boleh sebelum mengankat sumpah itu mengambil bahagian dalam urusan memilih Yang diPertua Dewan Negara atau Yang diPertua Dewan Rakyat.

Seperti yang terkandung dalam perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, apabila Parlimen (dalam hubungan ini Parlimen Ke-11) dibubarkan, maka suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dan Parlimen (dalam hubungan ini Parlimen Ke-12) hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu.

Sepanjang tempoh pembubaran Parlimen, urusan pentadbiran negara dipikul oleh sebuah kerajaan sementara atau 'caretaker government' yang tidak semestinya pentadbiran sedia ada. Tetapi dalam kes di Malaysia, pentadbiran yang ada semasa Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan akan bertindak selaku kerajaan sementara.

Dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara itu, anggota pentadbiran tidak seharusnya menggunakan kemudahan dan logistik kerajaan kerana mereka adalah pentadbir sementara sehingga sebuah pentadbiran baru dibentuk.

Malangnya, pentadbiran sementara sering menyalahgunakan kemudahan 'kerajaan' untuk 'berkempen' dengan alasan menjalankan tanggungjawab selaku menteri.

Media yang dimiliki kerajaan juga dipergunakan untuk 'menyokong' parti yang berkuasa sebelum Parlimen dibubarkan dengan alasan menyampai atau menyalur maklumat kepada rakyat sedangkan parti itu tidak lagi berkuasa kerana ahlinya bukan lagi Ahli Parlimen.

Jadi, wujudkah kebebasan, keadilan dan kebersihan sebenarnya dalam pilihan raya di Malaysia? Jawapannya - tidak.

Wednesday, February 13, 2008

PARLIMEN BUBAR

The New Straits Times (NST) report: You be the judge.



The Yang diPertuan Agong has given his consent to dissolve Parliament today, Feb 13, paving the way for the 12th General Elections to be held within 60 days from the date of dissolution.

The Election Commission will meet to fix the nomination and polling dates.



Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen hari ini, 13 Feb, mengikut Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.



Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu.



Suruhanjaya Pilihanraya akan menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya ke-12.

Monday, February 11, 2008

Pulau Pinang milik siapa?

Gambar hiasan meriam Sri Rambai di atas Kota Cornwallis (Padang Kota Lama). Meriam ini tidak berdentum lagi kerana sudah ketinggalan zaman.



Ada kawan yang hantar SMS bertanya kenapa saya tak kemas-kini blog ini dan apakah kedudukan di Pulau Pinang memandangkan banyak spekulasi sedang tersebar dalam media.

Saya tidak berpeluang untuk meninjau secara menyeluruh suasana dan arus deras spekulasi berkaitan pilihan raya namun saya dapat rasai getarannya.

Di Pulau Pinang tiada gegaran gelombang biru, itu yang dapat saya huraikan. Dalam erti kata yang lain, BN akan menghadapi kekalahan. Inilah gambaran yang dapat saya berikan.

Di bahagian pulau, BN mungkin dapat mempertahankan hanya satu kerusi Dewan Rakyat iaitu Balik Pulau dan akan kehilangan tiga kerusinya iaitu Bukit Bendera, Bayan Baru dan Jelutong. DAP akan kekal di Tanjong dan merampas semula Jelutong. Bayan Baru dan Bukit Bendera juga akan beralih kepada parti bukan BN.

Di tanah besar, BN akan terus mewakili Kepala Batas tetapi sukar untuk mempertahankan Nibong Tebal dan Batu Kawan. Bukit Mertajam dan Bagan akan kekal milik DAP manakala Permatang Pauh dan Tasek Gelugor boleh bertukar tangan bergantung kepada faktor calon.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), arus perubahan boleh dirasai dan besar kemungkinan pentadbiran baru yang akan mengambil alih adalah gabungan/pakatan parti-parti bukan BN.

Saya tidak menyebut pembangkang kerana dalam mana-mana pilihan raya, tidak wujud parti pemerintah atau parti pembangkang kerana yang ada pada tempoh itu adalah 'kerajaan sementara' atau 'caretaker government' yang sepatunya bukan kerajaan parti pemerintah.

Tuesday, February 05, 2008

Noor Mohamed Yakcop ke Tasik Gelugor?

Menteri Kewangan II Tan Sri Noor Mohamed Yakcop besar kemungkinan akan bertanding pada pilihan raya yang bakal diadakan dalam tempoh masa terdekat ini. Khidmat dan pengalaman Noor Mohamed amat diperlukan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi).


Kawasan undi yang mungkin diberi kepada Noor Mohamed ialah Tasik Gelugor di Seberang Perai. Wakil Rakyat Tasik Gelugor ialah Mohd Shariff Omar, timbalan menteri pertanian yang dikatakan akan diketepikan.


Ramalan awal menyatakan bahawa Noor Mohamed akan bertanding di Balik Pulau, kerusi setiausaha parlimen Kementerian Kewangan Dr Hilmi Yahya.


Noor Mohamed, anak kelahiran Butterworth, Seberang Perai dikatakan lebih sesuai diletakkan di salah satu kawasan undi yang diwakili UMNO di Seberang Perai dan Tasik Gelugor dikirakan yang paling sesuai.

Jika Pak Lah nak kekalkan Noor Mohamed dalam Kabinetnya, itupun sekiranya diizinkan oleh Yang Maha Berkuasa dan BN kekal memerintah, maka Noor Mohamed perlu bertanding kerana tempoh khidmatnya selaku Ahli Dewan Negara selama dua penggal akan tamat dan dia tidak boleh dilantik semula sebagai Senator.

Monday, February 04, 2008

Norza jadi pilihan untuk Titiwangsa?

Orang kanan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (KJ), iaitu Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Norza Zakaria, dikatakan hampir pasti terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Titiwangsa.

Pemilihan Norza sudah pasti dengan sokongan kuat KJ yang juga menantu Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi).

Sekiranya cakap-cakap yang sedang tersebar luas di Kampung Baru itu benar, maka inilah kali kedua seorang pemimpin dari UMNO Bahagian Wangsa Maju dihantar untuk mewakili Titiwangsa dan sesuatu yang amat malang bagi UMNO Titiwangsa.

Norza, anak Negri Sembilan seperti KJ, adalah Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan II, Tan Sri Noor Mohamed Yakcop, iaitu menteri yang bertaraf profesional dan bukan orang politik.

Menurut sumber UMNO Titiwangsa, pemilihan Norza (jika benar) bakal menimbulkan masalah kepada mereka untuk mendapat sokongan pengundi. Keadaan akan menjadi bertambah sukar sekiranya PAS, yang dijangka bertanding di Titiwangsa, meletakkan calon yang hebat dan berpengaruh.

Semoga calon terbaik, tidak kira dari parti mana, akan dipilih oleh pengundi kawasan Titiwangsa.