Thursday, January 10, 2008

Bila Parlimen dibubarkan apa kuasa Pak Menteri

Parlimen berkemungkinan besar akan dibubarkan dalam tempoh terdekat ini untuk membolehkan pilihan raya diadakan pada bula Mac. Inilah yang sedang diperkatakan walaupun si menantu marah-marah dengan golongan yang membuat spekulasi. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Berbalik kepada topik yang ingin saya perkatakan iaitu tugas dan peranan Jemaah Menteri atau Kabinet dalam tempoh Parlimen dibubarkan sehingga pilihan raya umum ke-12 diadakan dan Kerajaan atau Pentadbiran baru dilantik untuk menerajui negara.

Persoalan yang perlu diketahui umum termasuklah bolehkah Kabinet menjalankan peranannya dan bolehkah menteri terus memegang jawatannya dan bolehkah dia merasmikan apa-apa majlis, berhubung atau berurusan dengan penjawat awam dan mengunakan kemudahan kerajaan.

Ini penting kerana dalam tempoh Parlimen dibubarkan, Kabinet bertindak selaku "kerajaan caretaker" sehinggalah sebuah kerajaan baru dilantik (selepas dipilih oleh rakyat).

Setahu saya, mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan (secara tersirat) membolehkan seseorang menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen.

Mari kita baca Perkara 43(2) itu:

Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu-

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dari antara ahli mana-mana Majlis Parlimen;

tetapi jika sesuatu perlantikan dibuat dalam masa Parlimen dibubarkan, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang terakhir itu boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas persidangan Parlimen yang kemudiannya dimulakan malinkan, jika ia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan mengenai seorang Menteri lain, melainkan ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Itu tafsiran mengikut bahasa undang-undang, tetapi dalam bahasa yang mudah difahami, seseorang menteri yang juga ahli Dewan Rakyat yang dibubarkan itu boleh terus memegang jawatannya dalam tempoh Parlimen dibubarkan sehinggalah keangotaan Parlimen baru dipilih atau sehinggalah ahli Jemaah Menteri baru dilantik.

Bolehkah, dalam tempoh Parlimen terbubar, seseorang menteri merasmikan sesuatu majlis sama ada di kawasan pilihan rayanya atau di kawasan pilihan raya lain memandangkan dalam musim berkempen, banyak perasmian yang dilakukan seperti merasmi balai raya, surau, jalan, dewan, sekolah, makmal sains atau makmal komputer dan sebagainya.

Pada asasnya boleh tetapi jika ia melibatkan apa-apa pemberian umpamanya sumbangan komputer, enjin sangkut, pukat, basikal atau wang ringgit, ia boleh dilihat sebagai satu sogokan untuk memancing undi dan melanggar Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Perbuatan itu menjurus kepada satu dorongan bagi seseorang pemilih (pengundi) untuk mengundi atau tidak mengundi.

Harus diingat bahawa apa jua pemberian di sesuatu majlis yang dibuat untuk memancing undi, maka perbuatan itu adalah satu amalan rasuah.

Jika kita melihat atau mengetahui perbuatan sedemikian, lapor segera kepada Suruhanjaya Pilihanraya atau Badan Pencegah Rasuah dan jangan lupa kepada pihak polis. Dalam laporan kepada polis, sebutkan bahawa kita telah membuat laporan kepada SPR atau BPR dan dapatkan salinan laporan polis sebagai bukti laporan telah dibuat.

Soal sama ada sesuatu pemberian itu mempunyai tujuan rasuah atau mendorong ke arah rasuah merupakan 'question of facts' atau dalam bahasa yang mudah soalan fakta berasaskan kes-kes tertentu. Pihak berwajib dapat menentukan kedudukan sesuatu kes itu.

Jika laporan kita itu tidak diambil tindakan, kita boleh jadikan perbuatan itu sebagai asas untuk satu Petisyen Pilihan Raya kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk mengisytiharkan sesuatu pemilihan itu tidak sah.

Sebagai rakyat dan pemilih, kita boleh mempastikan bahawa pilihan raya dijalankan dengan telus, adil dan saksama.

Pihak yang bertindak selaku 'caretaker government' tidak boleh menyalahgunakan kedudukan dan jawatan semasa berkempen termasuk mempergunakan alat dan jentera kerajaan seperti radio dan televisyen. Inilah yang sering berlaku di negara ini dengan alasan "itu adalah tanggungjawab kerajaan". Tetapi, kerajaan yang wujud pada waktu itu adalah bersifat "caretaker" sehingga terbentuk sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.

Gunakan hak dan kuasa kita selaku pemilih untuk memilih sebuah kerajaan yang bersih, amanah, adil dan telus.




2 comments:

Anonymous said...

Selepas Parlimen dibubar bolehkah Menteri membuat lantikan baru jawatan utama perkhidmatan awam seperti KSU, Ketua Pengarah, Naib Canselor IPTA dan sebagainya?

Unknown said...

Satu soalan yang baik.

Jika dilihat atau berpandukan Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperkatakan mengenai pelantikan Jemaah Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, ia memperincikan soal peranan Jemaah Menteri menasihati Baginda dalam perjalanan fungsinya, termasuk pelantikan ke jawatan-jawatan utama yang penting seperti Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, umpamanya.

Mengikut apa yang disebut sebagai konvensyen perlembagaan, Jemaah Menteri akan terus wujud sebagai kerajaan "caretaker" dan seseorang Menteri boleh menjalankan tanggungjawab atau fungsinya selepas Parlimen terbubar. Tetapi ia tidak membabitkan penggubalan apa-apa dasar baru, pelaksanaan apa-apa projek pembangunan baru dan pelantikan baru yang penting dan utama seperti bagi institusi kehakiman dan angkatan bersenjata/pasukan keselamatan.

Pelantikan utama dalam perkhidmatan awam, walaupun dilihat sebagai 'kuasa' Ketua Setiausaha Negara, namun ia memerlukan 'restu' Kabinet atau Menteri berkaitan. Oleh itu, ia tidak seharusnya dibuat oleh kerajaan 'caretaker'. Begitu jua dengan pelantikan naib canselor IPTA yang lazimnya perlu dipersetujui oleh Menteri yang bertanggungjawab. Pada hakikatnya, pada waktu itu Menteri hanya bersifat 'sementara' dan atas sifat itu, tidak seharusnya terlibat dalam apa-apa pelantikan baru.

Walaupun secara logiknya apabila Jemaah Menteri masih wujud, termasuk dalam bentuk sementara, maka perhubungan antara Kabinet dengan penjawat awam tidak dapat dielakkan bagi maksud penjalanan tugas harian, namun sebarang pelantikan baru membabitkan jawatan utama tidak wajar dibuat sehinggalah terbentuk sebuah kerajaan baru selepas pilihan raya. Ini adalah sebahagian daripada konvensyen perlembagaan.