Sunday, January 20, 2008

Ku Nan atau Khairy - sama aja


Dalam sepak terajang dan rebut-merebut serta lobi-melobi menjelang pilihan raya umum kali ke-12 yang bakal diadakan pada bulan Mac depan, ramai orang yang berminat nak jadi calon atau nak sambung khidmat sebagai wakil rakyat, dah mula main sandiwara.


Khir Toyo dengan lagu "Kuda Hitam" dah pun buka langkah di Selangor mengikut rentak yang popular di tanah Jawa, Shahidan Kassim dahpun perbetulkan gerak tari tarian Canggung dengan bantuan nasihat kerohanian Dr Asri Zainul Abidin, mufti kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang manakala Tajol Rosli, Ali Rustam, Idris Jusoh, Ghani Othman, Muhammad Hassan dan Adnan Yahya sebenarnya Adnan Yaakob mula memperkemaskan senarai pasukan masing-masing. Itupun jika nama mereka ada dalam senarai Imam Besar Islam Hadhari Al-Ustaz Abdullah Ahmad (Pak Lah).


Berasaskan perkembangan dan aliran berita semasa, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh cuti persekolahan antara 7 hingga 15 Mac.


Orang nombor dua dalam parti pemerintah dan kerajaan, Najib Tun Razak dah pun kata persidangan untuk pemilihan kepimpinan UMNO akan diadakan selepas pilihan raya dan orang UMNO dah tahu bahawa pemilihan parti mereka akan diadakan pada bulan April. Jadi sudah tentu pilihan raya akan diadakan pada bulan Mac.


Banyak perkara menarik yang boleh diperkatakan dan buat permulaan saya ingin tumpu kepada kawasan undi pusat pentabiran kerajaan persekutuan, iaitu Putrajaya. Pertama kerana ia adalah kawasan majoriti Melayu, kedua ia adalah kawasan yang mempunyai ramai pemilih daripada kalangan kakitangan awam dan ketiga ia adalah kawasan yang menjadi idaman Khairy Jamaluddin, menantu Imam Besar Islam Hadhari.


Wakil Rakyat Putrajaya yang juga Menteri Pelancongan Teuku Adnan Teuku Mansor dahpun gelabah dan mula melatah. Dalam pilihan raya lepas, dia tidaklah mencapai kemenangan besar. Bak kata orang cukup makan saja.


Teuku Adnan atau Ku Nan tidak merupakan tokoh politik yang handal sangat. Dia dahpun hilang taring apabila digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan oleh Pak Lah. Orang yang menggantikan beliau adalah mantan timbalannya yang kini Menteri Wilayah Persekutuan Zulhasnan Rafique, orang kepercayaan Pak Lah.


Ku Nan juga dikaitkan dengan salah seorang tawke besar bernama Vincent Tan yang dikaitkan pula dengan episod klip video V.K. Lingam, peguam (correct, correct, correct) yang bercuti ke New Zealand bersama-sama keluarga mantan Ketua Hakim Negara Eusoff Chin dan ke Eropah bersama-sama keluarga mantan Peguam Negara almarhum Mohtar Abdullah.


Dalam sistem pentabiran negara, Ku Nan bermula sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan nak dijadikan cerita, timbalan kepada Dr Rais Yatim yang menjaga hal-ehwal undang-undang. Dr Rais yang telah membakar jambatan apabila keluar daripada UMNO dan turut menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, diterima semula oleh mantan PM Tun Dr Mahthir Mohamad sebagai anggota pentadbiran. Ku Nan tidak begitu senang dengan kehadiran semula Rais dalam UMNO dan kerajaan manakala Rais tak begitu serasi dengan Ku Nan selaku timbalannya. Apa yang boleh dikatakan persamaan antara Ku Nan dan Rais ialah kedua-duanya bertaraf jutawan.


Ku Nan telahpun menegaskan bahawa dia nak pertahankan kerusi Putrajaya kerana dia telah menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik (itu katanya). Putrajaya juga bukan satu kawasan undi yang mudah dijaga kerana mempunyai bermacam masalah. Hanya Ku Nan yang mampu berdepan dan mengatasi masalah tersebut, mungkin itu yang hendak di katakan oleh beliau.


Oleh itu, Ku Nan tidak dapat menerima kehadiran Khairy Jamaluddin atau KJ. Bagi Ku Nan menantu Pak Lah yang cukup bangga dengan latar belakang pelajarannya di bumi Inggeris itu, patut mencari kawasan lain di Negeri Sembilan jika dia mengidam kerusi Dewan Rakyat. Jangan kacau Putrajaya. Pusat pentadbiran yang diilham oleh Dr Mahathir adalah milik Ku Nan.


Apa pula kata Pak Lah? Ku Nan tentu tahu bahawa semuanya terletak di tangan Pak Lah. Kalau Pak Lah mahu KJ bertanding di Putrajaya apa Ku Nan boleh buat? Saya tidak akan terperanjat sekiranya Pak Lah gugur Ku Nan daripada senarai calon pilihannya.


Yang jelas, sama ada Ku Nan ataupun KJ, sama saja. Parti lawan yang bakal meletak calon di Putrajaya, tak kiralah PAS atau PKR, mesti buat kerja rumah dan kaji betul-betul apa yang diperlukan oleh para pemilih atau pengundi. Kakitangan awam tidak semestinya penyokong parti kerajaan. Tidak mustahil bagi calon selain BN untuk dipilih sebagai wakil rakyat Putrajaya.




3 comments:

Anonymous said...

Pak tuan

Ku Nan the BARBARIAN correct me if Im wrong..correct!!correct!!correct

Anonymous said...

Salam Pak Tuan,
Adnan Yaakob MB Pahang kot bukan Adnan Yahya! With that exception yang lain semua KORRECK, KORRECK, KORRECK, KORRECK, KORRECK.....

Unknown said...

Correct, correct, correct...Adnan Yaakob. Macam mana pi jadi Yahya pulak! Kadang kala macam tu la bila dah masuk zaman senja. Maaf sajalah.