Saturday, January 19, 2008

Nak kebas Kelantan, Penang yang terlepas

Para panglima perang UMNO nampaknya begitu ghairah nak tumbangkan pentadbiran Islam di Kelantan. Bermacam-macam tuduhan dan gambaran negatif dilemparkan terhadap kerajaan negeri pimpinan YAB Dato Nik Abdul Aziz atau lebih mesra dipanggil Tuan Guru.

Media yang dikawal atau dikuasai oleh parti berkenaan turut mengisi halaman masing-masing dengan berita-berita yang jelas memperkecil dan menggambarkan 'keadaan yang amat teruk" di Kelantan.

Keghairahan UMNO untuk menawan Kelantan amat ketara sedangkan umum mengetahui bahawa negeri itu masih mencari-cari pemimpin yang benar-benar berwibawa, bersih dalam erti kata sebenar dan cukup beramanah untuk memimpin pentadbiran negeri. Pendek kata bukan senang nak cari pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz.

Dalam keasyikan UMNO untuk menawan Kelantan, sesuatu yang pada pemerhatian saya tidak akan berlaku, mereka lupa akan kedudukan di Terengganu, Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Ketidakpuasan rakyat terhadap kepimpinan BN sekarang berada pada tahap kritikal terutama di Pulau Pinang. Pada perkiraan saya, pada pilihan raya kali ini Pulau Pinang akan beralih angin dan akan ditadbir oleh gabungan parti pembangkang. Saya meletakkan pengamatan ini berasaskan rasa tidak puas hati bukan sahaja di kalangan pengundi atau warga negara keturunan Cina dan India tetapi Melayu/Islam.

Pendek kata, dalam keghairahan UMNO untuk kebas Kelantan, Pulau Pinang yang akan terlepas.

Teringat saya akan serangkap pantun lama:

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja,
Jangan dikenang zaman dahulu
Akan menitis si air mata.

Bermacam tafsiran boleh dibuat berkaitan makna atau maksud pantun lama ini. Kepada orang UMNO lain maksudnya dan kepada yang tidak memihak kepada UMNO lain pula. Terpulanglah kepada pengertian yang ingin dihayati.

Jangan lupa! Gunakan hak dan kuasa anda sebagai pemilih dengan penuh tanggungjawab. Pilih yang terbaik sama ada antara yang baik atau antara yang buruk. Jika tiada pilihan, fikir-fikirkanlah apa yang boleh dibuat.

2 comments:

AFRAR YUNUS said...

salam pak tuan,
majoriti yang banyak sudah pasti menyusahkan rakyat. kerajaan seperti itu boleh melakukan apa sahaja dgn sewenang-wenangnya. rakyat perlu menilai pendapatan yang mereka perolehi berbanding dengan perbelanjaan yang dilakukan. mereka juga harus sedar bahawa ada pemimpin kerajaan sekarang berpendapatan sehingga RM60,000.00 sebulan. elok juga jika memberi peluang kpd yg lain. yg lain ini jika mungkir janji, tukarkan mereka pula. kuasa ditangan rakyat. gunakan...

Unknown said...

Sdr Afrar,

Kelekaan dek terlalu lama berkuasa membuatkan orang lupa bahawa kuasa sebenar berada di tangan rakyat. Pada zaman Tok Nadork, rakyat mudah terpengaruh dan dipengaruhi dengan janji-janji manis, habuan dalam bentuk wang ehsan, elaun dan sebagainya, tetapi pada zaman sekarang tidak lagi. Orang kampung tidak lagi buta huruf dan buta maklumat.

Lihat saja apa yang jadi kepada LDP di Jepun, Congress di India dan Golkar di Indonesia.

Jika dilihat cara dan kecepatan kerajaan membelanjakan wang, kita harus bimbang akan masa depan negara. Kos saraan hidup terus naik dan selepas pilihan raya ini, harga bahan bakar (petrol) akan naik melepasi RM2.00 dan kesan limpahannya akan mengakibatkan inflasi. Yang susah adalah rakyat yang berpendapatan sederhana ke bawah dan mereka yang bekerja sendiri lebih-lebih lagi golongan miskin.