Thursday, January 31, 2008
Antara Mahathir dan Pak Lah - siapa pembohong?
Depa dah mula dok tikam-menikam nak jadi calon
Wednesday, January 30, 2008
Rasuah pilihan raya bukan perkara baru, Tun!
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kekhuatirannya mengenai perbuatan rasuah pada pilihan raya akan datang untuk 'memastikan' kemenangan parti pemerintah.
Maaf saya kata Tun, ini bukan perkara baru. Ia berlaku semasa Tun menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Jadi, saya tidak tahu kenapa Tun nak bangkitkan perkara itu sekarang.
Dalam banyak perkara saya bersetuju dan menyokong pendirian Tun, tetapi ada juga beberapa perkara yang Tun sendiri sedar berlaku dan dilakukan dalam tempoh pemerintahan Tun sendiri. Tun bukanlah manusia yang tidak melakukan kesilapan dan bersifat sempurna. Tun adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.
Oleh itu, apabila Tun membangkitkan soal rasuah atau salahguna kuasa ataupun penyelewengan dalam pentadbiran dan dalam jentera pentadbiran termasuklah apabila menghadapi pilihan raya, saya kurang setuju.
Seperti yang Tun sedia maklum, saya pernah bekerja di pejabat menteri, Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra semasa Tun berpejabat di Aras 5, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra. Jadi, sedikit sebanyak, saya tahu dan sedar apa yang berlaku dan dilakukan dalam tempoh itu.
Apakah Tun akan menafikan bahawa parti pemerintah menerima banyak sumbangan untuk dana pilihan raya? Selain wang tunai, ada pihak yang memberi sumbangan dalam bentuk kebendaan seperti kemeja-T, topi, air mineral, pemidang dan sepanduk, serta kenderaan (4x4, pickup mahupun jenis salun) untuk kegunaan calon dan jentera pilihan raya. Saya perlu jelaskan bahawa bukan semua kenderaan diberi langsung tetapi sebagai pinjaman semasa pilihan raya.
Bukankah semuanya itu adalah rasuah? Perbuatan atau amalan itu bukan satu perkara baru tetapi lebih merupakan satu amalan biasa dalam musim pilihan raya. Jadi kenapa baru sekarang Tun terfikir untuk meluahkan kebimbangan? Kenapa Tun sendiri tidak mengharamkannya semasa menjadi perdana menteri?
Walaupun saya sedar perkara ini berlaku, untuk membuktikannya adalah sesuatu yang sukar kerana semua pihak akan menafikannya. Semua orang akan berlagak alim, baik dan bersih daripada rasuah. Yang menerima dan yang memberi tidak akan mengaku perbuatan itu. Itulah lumrah tetapi ia juga rasuah.
Sekali lagi, maaf Tun, ada perkara yang perlu di sokong dan ada perkara yang perlu di perbetulkan faktanya.
Monday, January 28, 2008
Zam tak mahu dirinya jadi masalah
Sunday, January 27, 2008
Antara yang bercakap dengan yang bekerja
Blogger arrested for protesting against inflation
According to sources, Black is to be remanded for a week.
Friday, January 25, 2008
ZAM tubuh Sahih nak tangkis maklumat palsu
Mantan wartawan Utusan Melayu itu berkata Sahih akan mula menjalankan tugas atau peranannya pada 1 Februari depan.
Menurut Mamu Zam, Sahih boleh menentukan atau mengenal pasti hanya maklumat tepat dan benar disampaikan kepada rakyat dengan menggunakan kemudahan teknologi sedia ada.
Persoalannya, apa itu maklumat (atau Info bagi Mamu Zam dan Kementerian Penerangan) palsu? Siapa yang nak mengesahkan bahawa sesuatu maklumat atau berita atau cerita itu benar atau palsu?
Soalnya ialah kepercayaan orang ramai berkaitan apa yang mereka dengar atau lihat dan dengar. Saluran-saluran dan wadah maklumat yang dikuasai pemerintah atau yang berkait-rapat dengan pemerintah lazimnya menyalurkan maklumat atau berita yang memberi gambaran baik atau positif kepada pemerintah dan yang memberi gambaran kurang baik atau negatif kepada pihak lawan khususnya parti pembangkang.
Apa yang dilakukan bukanlah memastikan hanya maklumat tepat dan benar disampaikan kepada rakyat tetapi menyalurkan maklumat yang hendak disampaikan kepada rakyat atau dalam erti kata lain menyogok berita atau maklumat yang dipilih dan ditapis.
Kesahihan sesuatu maklumat itu terletak kepada siapa yang akan mendapat faedah dan siapa pula yang akan menerima padahnya. Jika maklumat itu kelihatan boleh memberi gambaran yang kurang baik kepada pemerintah walaupun ia adalah maklumat yang benar atau sahih, bagaimana? Mahukah ia disalurkan menerusi RTM, Bernama atau Jabatan Penerangan lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya?
Rakyat dah pun mula disogok dengan cerita dan berita penyokong dan ahli parti pembangkang tertentu yang kononnya keluar beramai-ramai untuk menyertai atau menganggotai UMNO. Muslihat sedemikian, yang saban tahun diulang tayang terutama menjelang pilihan raya umum ataupun pilihan raya kecil, sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Muslihat sedemikian, sebaliknya, boleh menikam tuan dan harus dihentikan kerana kesahihannya sering dipersoalkan.
Thursday, January 24, 2008
Ali Rustam tak faham sindiran Mahathir
Tak tahu pula saya sama ada Ali Rustam, yang juga naib presiden UMNO, faham atau sedar yang Tun Mahathir 'menyindir' dan sindiran itu dikutip (bahagian-bahagian tertentu) oleh Utusan Malaysia sebagai bahan beritanya.
Mungkin pemberita Utusan itu sendiri yang tidak faham kerana Tun Mahathir berbahasa Inggeris. Petua yang perlu difahami oleh pemberita ialah jangan tulis jika tak faham.
Apabila ditanya pemberita mengenai pilihan raya, iaitu pada pendapatnya bila ia akan diadakan, Tun Mahathir memberi jawapan berikut dalam bahasa Inggeris.
"It's ideal now. Everything is going up. The prices of items are going up, the stock market is going up. Roti pun naik (bread also rises)," he said (according to Malaysiakini) with a huge smile and his usual dose of sarcasm.
Tuesday, January 22, 2008
Apa dah jadi dengan kes Annuar Musa?
BPR telah mengambil beberapa dokumen yang ada kaitan dengan kes berkenaan dari kediaman Annuar di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Sebelum itu, polis telah mengambil keterangan daripada Annuar berhubung kes yang sama.
Kes penyelewengan itu melibatkan beberapa projek ikan hiasan dan penanaman bunga anggerik di Kelantan dan Terengganu.
Ketika kes itu disiasat BPR dan Polis, Annuar adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Kelantan (YKK).
Apa dah jadi dengan kes ini?
Sunday, January 20, 2008
Ku Nan atau Khairy - sama aja
Saturday, January 19, 2008
Nak kebas Kelantan, Penang yang terlepas
Media yang dikawal atau dikuasai oleh parti berkenaan turut mengisi halaman masing-masing dengan berita-berita yang jelas memperkecil dan menggambarkan 'keadaan yang amat teruk" di Kelantan.
Keghairahan UMNO untuk menawan Kelantan amat ketara sedangkan umum mengetahui bahawa negeri itu masih mencari-cari pemimpin yang benar-benar berwibawa, bersih dalam erti kata sebenar dan cukup beramanah untuk memimpin pentadbiran negeri. Pendek kata bukan senang nak cari pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz.
Dalam keasyikan UMNO untuk menawan Kelantan, sesuatu yang pada pemerhatian saya tidak akan berlaku, mereka lupa akan kedudukan di Terengganu, Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Ketidakpuasan rakyat terhadap kepimpinan BN sekarang berada pada tahap kritikal terutama di Pulau Pinang. Pada perkiraan saya, pada pilihan raya kali ini Pulau Pinang akan beralih angin dan akan ditadbir oleh gabungan parti pembangkang. Saya meletakkan pengamatan ini berasaskan rasa tidak puas hati bukan sahaja di kalangan pengundi atau warga negara keturunan Cina dan India tetapi Melayu/Islam.
Pendek kata, dalam keghairahan UMNO untuk kebas Kelantan, Pulau Pinang yang akan terlepas.
Teringat saya akan serangkap pantun lama:
Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja,
Jangan dikenang zaman dahulu
Akan menitis si air mata.
Bermacam tafsiran boleh dibuat berkaitan makna atau maksud pantun lama ini. Kepada orang UMNO lain maksudnya dan kepada yang tidak memihak kepada UMNO lain pula. Terpulanglah kepada pengertian yang ingin dihayati.
Jangan lupa! Gunakan hak dan kuasa anda sebagai pemilih dengan penuh tanggungjawab. Pilih yang terbaik sama ada antara yang baik atau antara yang buruk. Jika tiada pilihan, fikir-fikirkanlah apa yang boleh dibuat.
Thursday, January 10, 2008
Bila Parlimen dibubarkan apa kuasa Pak Menteri
Berbalik kepada topik yang ingin saya perkatakan iaitu tugas dan peranan Jemaah Menteri atau Kabinet dalam tempoh Parlimen dibubarkan sehingga pilihan raya umum ke-12 diadakan dan Kerajaan atau Pentadbiran baru dilantik untuk menerajui negara.
Persoalan yang perlu diketahui umum termasuklah bolehkah Kabinet menjalankan peranannya dan bolehkah menteri terus memegang jawatannya dan bolehkah dia merasmikan apa-apa majlis, berhubung atau berurusan dengan penjawat awam dan mengunakan kemudahan kerajaan.
Ini penting kerana dalam tempoh Parlimen dibubarkan, Kabinet bertindak selaku "kerajaan caretaker" sehinggalah sebuah kerajaan baru dilantik (selepas dipilih oleh rakyat).
Setahu saya, mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan (secara tersirat) membolehkan seseorang menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen.
Mari kita baca Perkara 43(2) itu:
Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu-
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dari antara ahli mana-mana Majlis Parlimen;
tetapi jika sesuatu perlantikan dibuat dalam masa Parlimen dibubarkan, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang terakhir itu boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas persidangan Parlimen yang kemudiannya dimulakan malinkan, jika ia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan mengenai seorang Menteri lain, melainkan ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Itu tafsiran mengikut bahasa undang-undang, tetapi dalam bahasa yang mudah difahami, seseorang menteri yang juga ahli Dewan Rakyat yang dibubarkan itu boleh terus memegang jawatannya dalam tempoh Parlimen dibubarkan sehinggalah keangotaan Parlimen baru dipilih atau sehinggalah ahli Jemaah Menteri baru dilantik.
Bolehkah, dalam tempoh Parlimen terbubar, seseorang menteri merasmikan sesuatu majlis sama ada di kawasan pilihan rayanya atau di kawasan pilihan raya lain memandangkan dalam musim berkempen, banyak perasmian yang dilakukan seperti merasmi balai raya, surau, jalan, dewan, sekolah, makmal sains atau makmal komputer dan sebagainya.
Pada asasnya boleh tetapi jika ia melibatkan apa-apa pemberian umpamanya sumbangan komputer, enjin sangkut, pukat, basikal atau wang ringgit, ia boleh dilihat sebagai satu sogokan untuk memancing undi dan melanggar Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Perbuatan itu menjurus kepada satu dorongan bagi seseorang pemilih (pengundi) untuk mengundi atau tidak mengundi.
Harus diingat bahawa apa jua pemberian di sesuatu majlis yang dibuat untuk memancing undi, maka perbuatan itu adalah satu amalan rasuah.
Jika kita melihat atau mengetahui perbuatan sedemikian, lapor segera kepada Suruhanjaya Pilihanraya atau Badan Pencegah Rasuah dan jangan lupa kepada pihak polis. Dalam laporan kepada polis, sebutkan bahawa kita telah membuat laporan kepada SPR atau BPR dan dapatkan salinan laporan polis sebagai bukti laporan telah dibuat.
Soal sama ada sesuatu pemberian itu mempunyai tujuan rasuah atau mendorong ke arah rasuah merupakan 'question of facts' atau dalam bahasa yang mudah soalan fakta berasaskan kes-kes tertentu. Pihak berwajib dapat menentukan kedudukan sesuatu kes itu.
Jika laporan kita itu tidak diambil tindakan, kita boleh jadikan perbuatan itu sebagai asas untuk satu Petisyen Pilihan Raya kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk mengisytiharkan sesuatu pemilihan itu tidak sah.
Sebagai rakyat dan pemilih, kita boleh mempastikan bahawa pilihan raya dijalankan dengan telus, adil dan saksama.
Pihak yang bertindak selaku 'caretaker government' tidak boleh menyalahgunakan kedudukan dan jawatan semasa berkempen termasuk mempergunakan alat dan jentera kerajaan seperti radio dan televisyen. Inilah yang sering berlaku di negara ini dengan alasan "itu adalah tanggungjawab kerajaan". Tetapi, kerajaan yang wujud pada waktu itu adalah bersifat "caretaker" sehingga terbentuk sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.
Gunakan hak dan kuasa kita selaku pemilih untuk memilih sebuah kerajaan yang bersih, amanah, adil dan telus.
Wednesday, January 09, 2008
SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1429
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1429
Pada tahun Hijrah ini, kita akan menghadapi pilihan raya umum kali ke-12, fikirkan sebaik mungkin sebelum memangkah calon dan parti yang anda percayai dan boleh diharap untuk mentadbir negara ini.
Sunday, January 06, 2008
Siapa dia?
Semasa mengemas kotak simpanan gambar atau foto, saya temui foto ini. Oleh kerana orang berkenaan kini merupakan seorang tokoh dunia korporat atau perniagaan besar di Malaysia, sudah tentu ia sesuatu yang agak menarik.
Foto ini dirakam dalam tahun 1970-an di Kampung Syed, Kelawai, Pulau Pinang semasa orang berkenaan berada dalam usia remaja. Lihat saja gaya dia memakai baju dan gaya rambutnya. Saya tidak akan menamakan orang ini kerana saya percaya ramai yang boleh mengenalinya, termasuk rakan Blogger Rocky dan Jeff Ooi.
Thursday, January 03, 2008
BN to rule Kelantan?
I am not a Kelantanese but I am doubtful, very doubtful of what Najib said.
As far as I am aware, the people of Kelantan, Muslims and non-Muslims alike, are happy with the present state government led by Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.
What about Terengganu, Datuk Seri? One cannot rule out a change of the state government.
Wednesday, January 02, 2008
Chua Soi Lek kena letak jawatan
Chua, selaku pemimpin dalam sebuah kerajaan yang dipilih rakyat, mesti memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan yang berakhlak mulia dan bersih daripada sebarang perbuatan yang mengaibkan bukan sahaja diri dan keluargnya, tetapi masyarakat pada amnya.
Benar, tiada manusia di zaman ini yang boleh dikatakan insan kamil, tetapi sekurang-kurangnya perlihatkan tingkah-laku yang baik walau dimana sekalipun.
Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) cukup bangga dengan konsep atau pendekatan (Islam) Hadhari dalam pentadbiran pimpinannya. Jadi, adakah skandal seks termasuk dalam konsep itu? Sudah tentu tidak.
Pak Lah mesti pecat Chua Soi Lek kerana menterinya itu telah mencemar dan mengotori dengan najis pentadbiran berkonsepkan (Islam) Hadhari. Inilah hakikatnya.
Kita perlu ingat bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memecat mantan timbalannya, Anwar Ibrahim atas alasan akhlak atau moral (homoseksual). Tuduhan itu dinafikan oleh Anwar dan kebenarannya masih ada yang mempertikaikannya. Tetapi, dalam kes Chu Soi Lek, dia sendiri membuat pengakuan.
Apakah Pak Lah mahu terus memikul biawak hidup?