Tuesday, September 11, 2007

Kenapa BPR perlu 'lampu hijau' untuk menyiasat?


Sekali lagi kita dihidangkan dengan amalan rasuah dan salahguna kuasa oleh jabatan dan kementerian apabila laporan Juruaudit Negara mendedahkan kepincangan dalam pembelian keperluan termasuk pemutar skru, kamera digital, pensil dan kren menara.

Ekoran daripada itu, seperti biasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz mengeluarkan kata-kata hikmatnya yang antara lain menyebut bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh menyiasat perkara itu termasuk menyiasat menteri yang bertanggungjawab.

Kata-kata BPR boleh menyiasat memberi gambaran yang cukup jelas bahawa BPR tidak bebas kerana ia perlu mendapat 'lampu hijau' daripada pihak pentadbiran (Kabinet) untuk menyiasat. Inilah gambaran yang diberikan apabila ada menteri yang berkata BPR boleh menyiasat.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri selaku salah seorang pembantu kepada seorang menteri, saya pernah berinteraksi dengan pegawai-pegawai kanan BPR dan saya cukup memahami perasaan mereka.

Seperti yang pernah beberapa kali saya perkatakan, BPR sebenarnya bebas untuk menyiasat tetapi tidak bebas untuk bertindak. Selepas siasatan sesuatu kes itu selesai, BPR akan mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara. Sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa atau tidak seseorang itu terletak sepenuhnya di tangan Pendakwa Raya, bukan BPR. Dalam hubungan ini kebebasan BPR hanyalah setakat menyiasat.

Setahu saya, BPR tidak perlu mendapat 'lampu hijau' daripada mana-mana menteri untuk menyiasat sesuatu kes yang membabitkan mana-mana jabatan atau kementerian. Kenyataan oleh mana-mana menteri yang 'meminta' atau 'memberi kebenaran' kepada BPR untuk menyiasat amat tidak 'adil' dan boleh menjejaskan kewibawaan BPR. Orang ramai akan membuat andaian bahawa BPR perlu mendapat 'kebenaran' pihak pentadbiran sebelum boleh memulakan sebarang siasatan. Ini tidak betul.

Saya juga pernah menyebut bahawa untuk menjadikan BPR lebih berkesan dan berwibawa, ia perlu dikeluarkan daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri. BPR sepatutnya bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan kepada Perdana Menteri atau Kerajaan. BPR juga harus mempunyai bahagian pendakwaannya sendiri dan tidak perlu merujuk kes siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara.

Pengalaman lampau membolehkan saya merasai kehampaan para pegawai penyiasat BPR yang bertungkus lumus menyiasat tetapi akhirnya kes yang disiasat tidak di bawa ke muka pengadilan kerana BPR tidak bebas untuk mendakwa. Inilah dilema para pegawai BPR yang dedikasi dan amanah.

3 comments:

ali allah ditta said...

"Kenapa BPR perlu 'lampu hijau' untuk menyiasat?"

....kerana BPR barua gomen.

cheers.

Berita dari gunung said...

Semua orang ada boss. Bila pening dan sensitif mesti kena check dengan boss dulu.

Mana boleh buat memandai. Saya jangka Menteri pun sama.. Kena check dulu.

Tentang PM saya tak tau. PM check dengan sapa saya tak tau. Saya yakin PM pun kalau setakat nak wise words, atau guidance tentang good governance, tentang statesmanship, masih ada yang serba tahu, masih hidup untuk dirujuk.

Samaada Tun Musa Hitam termasuk dalam kategori wise guys untuk dirujuk saya tak tau. Tapi sapa kata credentials atau track record penting?.. Khairy dilantik jadi org no 2 FAM sebab track record ka?..

Ringkasnya, selagi kita ada boss, rujuklah dulu dengan boss masing-masing. Kalau tidak ada orang tak happy dan dilihat "memandai".

Unknown said...

Sdr Ali Allah Ditta,

BPR bukanlah 'barua' tetapi sebuah agensi yang dikawal dan diselia oleh Perdana Menteri. Mereka mesti patuh kepada arahan, taat kepada ketua dan menjadi hamba kepada Perintah Am dan segala pekeliling perkhidmatan yang diedarkan oleh KSN atau JPA ataupun Perbendaharaan. Jika itu dikatakan 'barua' maka jadilah demikian.

Saya tahu sangat betapa hampanya pegawai BPR apabila kes besar yang disiasat tidak dikenakan tuduhan semata-mata kerana tidak mendapat 'kebenaran' pihak atasan. Sebagai seorang kakitangan awam 'yang menurut perintah' dia terpaksa akur walaupun dari segi semangat moral, dia amat kecewa.