Thursday, September 06, 2007

Raja memerintah & Persatuan Sukan

Hujung minggu ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan Kongres Tahunan ke-42 dan sudah tentu pemilihan pucuk pimpinan baru akan dibuat. FAM adalah antara persatuan sukan yang boleh dikatakan 'bermasalah' dari segi pencapaian atau prestasi pasukan kebangsaan. Tahun demi tahun kedudukan Malaysia merudum. Mujurlah pasukan bawah umur 23-tahun berjaya menebus maruah negara dengan menjuarai Pestabola Merdeka.

Bercakap mengenai FAM, mahu tidak mahu saya perlu menyentuh peranan pihak Istana selaku peneraju persatuan. Kita bukan menyoal kewibawaan, kemampuan dan kesungguhan pihak Istana menerajui mana-mana persatuan sukan. Persoalannya wajarkah seorang Raja Memerintah atau Waris Pengganti Raja berbuat demikian? Wajarkah seorang Raja Memerintah menyamakan kedudukan dan taraf selaku ketua negeri dengan seorang rakyat biasa yang menjadi presiden sebuah badan sukan lain, katakan bolakeranjang, ping pong, bolatampar atau renang kerana kedudukannya dari sudut kepimpinan persatuan adalah sama.

Semasa mempengerusikan mesyuarat majlis, umpamanya, bolehkah Raja Memerintah memisahkan kedudukan hakikinya dengan kedudukan sebagai presiden persatuan dengan mengetepikan protokol, adat resam dan budaya Istana untuk membezakan peranan yang sudah pastinya jauh berbeza? Apakah bahasa yang digunakan apabila Raja Memerintah mempengerusikan mesyuarat, adakah bahasa istana atau bahasa Melayu lazim yang dipertuturkan oleh rakyat? Sebagai presiden persatuan, Raja Memerintah bukan berkedudukan sebagai Raja dan istilah-istilah khusus untuk Raja seperti "tuanku" atau "ampun tuanku" dan "patek" tidak semestinya diguna pakai kerana Raja mesti memisahkan bidang tugas, peranan dan yang utama sekali, kedudukannya.

Bagi ahli majlis atau ahli jawatankuasa persatuan, beranikah mereka bertikam lidah atau menegur presiden mereka yang juga Raja Memerintah apabila membincangkan sesuatu perkara dalam mesyuarat? Mereka sudah tentu melihat presiden persatuan berkenaan sebagai seorang Raja Memerintah dan bukan selaku presiden persatuan dan oleh itu mereka tidak dapat memberi sumbangan sewajarnya untuk memajukan bidang sukan berkenaan.

Jawatan yang paling sesuai bagi Raja Memerintah dalam apa jua badan atau persatuan adalah penaung atau penasihat. Melalui kedudukan yang mengatasi presiden persatuan, Raja Memerintah boleh memberi nasihat, teguran, pendapat dan menyemai semangat juang bukan sahaja kepada ahli-ahli sukan tetapi juga kepada pucuk pimpinan persatuan. Kedudukjan Raja Memerintah kekal dan tidak perlu dipisahkan dengan satu kedudukan lain. Bagi persatuan pula, jika menghadapi sesuatu masalah atau kebuntuan, mereka boleh merujuk kepada Raja Memerintah selaku penaung atau penasihat.

Semua menteri kabinet telahpun melepaskan jawatan dalam persatuan sukan dan ia semestinya disusuli oleh menteri besar atau ketua menteri. Masanya sudah tiba bagi Raja Memerintah atau Waris Ganti melepaskan jawatan dalam badan atau persatuan sukan dan persatuan-persatuan lain demi memelihara taraf dan kedudukan Institusi Raja Berperlembagaan.

1 comment:

Berita dari gunung said...

Masa sembang dengan kawan-kawan baru-baru ni timbul satu cerita.

Ada sorang kata "Tak kan sampai macam tu sekali suruh semua orang pakat renti, semata-mata nak bagi peluang ORANG TU pegang jawatan".

Sorang lagi kata "Kamu ni... tak kan lah PM atur strategi yang too cheap"