Monday, September 24, 2007

UMNO Cheras berdoa untuk kesihatan Tun Mahathir

UMNO Bahagian Cheras, Kuala Lumpur telah mengadakan majlis tadarus, berbuka puasa dan solat berjamaah di Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, malam tadi. Majlis itu dihadiri oleh tidak kurang daripada 350 orang terdiri daripada ahli-ahli parti dan masyarakat beragama Islam yang tinggal sekitar kawasan itu.

Sempena majlis itu, pihak penganjur telah mengadakan acara khas, iaitu memohon doa untuk kesihatan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan perdana menteri dan presiden UMNO yang sedang menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan di Institut Jantung Negara. Ia diketuai oleh seorang pendakwah bebas, Habib Ali Zainal Abidin Alhamid, yang juga mengimamkan solat tarawih selepas solat-solat fardu.

Setahu saya, inilah majlis pertama anjuran UMNO yang mengadakan acara khas membaca doa untuk mantan presiden parti itu yang banyak berjasa dan berbakti untuk negara. Kita harap bahagian-bahagian lain yang mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih akan turut mengadakan acara khas untuk mendoakan kesihatan ke atas Tun Dr Mahathir.

No comments: